Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Monday, January 31, 2011

Diam

Aku ingin seperti Abu Bakar al-Siddiq
Persahabatan dijalin kerana al-Khaliq
Harta dikorban bukan sedikit
Cintakan kebenaran sanggup menanggung sakit!



Aku ingin setawakal Ibrahim mulia
ketika meninggalkan insan tercinta
di bumi tandus tanpa bicara
meyakini ALLAH sebagai Penjaga



Aku impikan aku menjadi seorang Umar
berdiri tatkala tunduknya manusia
bersuara tatkala diamnya mereka
menggerunkan musuh durjana


Ku rindukan senyuman Syed Al Qutb
ketika berhadapan tali maut
akidah mantap tidak terenggut
roh dakwahnya tidak surut


Aku ingin seteguh Ibnu Zubbair
menahan panahan Hajjaj dengan rela
bersama si ibu tua
lantas syahid rohnya ke syurga
Ingin ku semai benih Hasan Al Banna
fikrahnya jernih menggegar dunia
merelakan tubuhnya dimamah peluru
demi menegakkan kalam ALLAH dan Rasul


Aku cintakan pemuda Giffari
menentang kezaliman walaupun diancam
moga kan lahir lagi di abad ini
jiwa jitu pemuda yang tak pernah suram


Aku ingin diriku sepemaaf Yusuf
Tetap mencintai saudaranya
walaupun dihumban ke perigi tua
terpisah dari ayahanda bertahun lamanya


Aku ingin pusaraku harum mewangi
bagai harumnya pusara Masyitah
semerbak kasturi


Aku ingin perjuangan indah ini
Bisa menjadi syafaat
di mahkamah Masyar nanti.....


Ya ALLAH kuatkanlah diri ku menghadapi ujian dunia yang tiada nilaiannya...........

Wednesday, January 26, 2011

Allah always save the best for the last (Part 2)


Untuk Part I, sila klik di sini

Perjalanan hidupnya semakin mencabar. Ku lihat dia kini begitu disibukkan dengan tanggungjawab dalam dunia barunya. Biarpun kadang kadang dia sendiri keliru apakah itu pilihan setepatnya untuk dirinya yang masih berusaha memperbaiki diri. Diia mengakui bahawa dirinya itu insan yang lemah. Seruannya tidak didengari apatahlagi dia sering dilabel sebagai 'baru'. Malah terdapat juga insan insan yang menempelak dirinya dengan pelbagai ejekan kerana tidak percaya pada perubahan dirinya. Pelbagai gelaran diberikan padanya. Pernah juga dia ingin mengalah dan berpaling semula... cuma Kitab cinta itu menjadi hiburan buatnya.
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdo’a dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan ma’afkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.(2:286)

Janji ALLAH SWT sudah cukup menjadi penawar buatnya. Tidak dinafikan rasa rindu pada kehidupan yang terdahulu menggamit lubuk hatinya. Apatahlagi dia tidak bisa membayangkan penerimaan insan kesayangannya nanti terhadap perubahannya. Sedangkan dirinya kini seakan dipulaukan oleh insan insan yang biasa mendampinginya di kampus. Kata mereka, dia sudah lain. Terasa dirinya berseorangan menghadapi jalan hidup yang penuh ranjau.
Telinganya juga sudah seakan akan lali dengan pelbagai soalan ;

"Kenapa nak pakai labuh labuh, awakkan masih baru?"

"Kalau pakai labuh sekarang, mesti tidak istiqomah kerana baru berubah?"

"Awak ikut usrah?, hati hati selalunya masa awal awal ini memang awak senang hendak ikut ikutan".

Pemahamannya yang tidak mendalam ketika itu membuatkan dirinya bingung, mengapa sesuatu yang hendak buat kerana ALLAH itu seringkali mendapat tentangan? Apabila berbuatkan sesuatu perkara yang baik terasa terlalu banyak batu penghalangnya tetapi apabila berbuat kejahatan, seolah olah laluan dipermudahkan. Dia tahu dia sudah tidak boleh berjauhan dari Kitab cinta itu. Dia berusaha mentadabbur kalam suci itu dengan harapan dipertemukan dengan jawapan kepada persoalan yang menghimpit dirinya kini. Syukur kepada ALLAH SWT yang sentiasa memberi petunjuk buat hamba hambaNYA, dia dipertemukan dengan sesuatu yang bisa mengubati jiwanya

ALLAH swt memberikan jawapannya:

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (29: 2 & 3)

Dia mengerti kini bahawa mehnah dan tribulasi yang dilaluinya dan segala kepahitan yang ditempuhi ketika mengalami transisi kehidupan ini merupakan proses tapisan yang dia perlu lalui untuk memastikan dia benar benar ikhlas dalam mencari keredhaanNYA. Dia tahu dirinya itu patut bersyukur kerana ALLAH memberi peluang untuknya mensucikan diri sebersih bersihnya dengan ujian yang ditempuhinya. Malah, dirinya begitu mengingati pesanan seorang pejuang yang hebat, Sayyid Qutb bahawa iman bukanlah hanya semata mata kata yang diucapkan tetapi juga tugas yang perlu dilaksanakan, amanah yang mempunyai beban dan tanggungjawab serta jihad dan perjuangan yang memerlukan kesabaran. Orang yang dekat dengan ALLAH bukan calang calang orang bukan??


Dia kini nekad, langkah harus tetap dihayunkan. Sesungguhnya dosa dosa silam tidak akan mematikan manusia tetapi apa yang patut ditakuti adalah mati dengan keadaan berdosa tanpa sempat mensucikan diri darinya. Dia mula yakin bahawa perubahannya itu adalah hadiah yang ALLAH berikan padanya dan dia bersyukur kerana menjadi pilihan ALLAH SWT atas kurniaan yang tidak ternilai itu. Sesungguhnya hadiah itu datang dalam pakej yang lengkap. Dia mula menyertai jalan pentarbiyahan yang tidak pernah timbul dalam kamus hidupnya dahulu.

Ku lihat dia pada awalnya kurang memahami. Mengapa perlu begini dan begitu. Kadang kadang dia berasa terlalu marah kerana pada dirinya yang kurang kefahaman itu, telah dibebankan dengan amanah yang cukup berat untuk dipikul. Selain itu, terdapat juga norma norma hidup yang asing bagi dirinya. Baru dia mengetahui terdapat amalan amalan yang perlu dijaga, mengapa seorang daie itu tidak boleh begitu dan begini. Pelbagai perkataan asing dan baru juga yang dijumpainya seperti haraki, akhwat dan sebagainya. Pada mulanya dia takut, adakah dia melibatkan diri dengan sesuatu yang tidak patut? Dia menangis lagi kerana persoalan yang menghimpit dadanya tapi dia yakin ALLAH ingin menunjukkan sesuatu padanya.

"Yang mencipta mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Perkasa dan Maha Pengampun"(67:2)
Rugilah buat hamba hambaNYa yang menolak untuk memberikan amalan terbaik demi menggapai redha ALLAH SWT. Maka dia tekad bahawa dengan dirinya yang serba kekurangan itu, dia masih tidak mahu ketinggalan untuk menjadi yang terbaik di sisi ALLAH SWT. Jesteru itu, dia harus kekal dan tabah pada jalan perjuangan yang sudah dipilihnya. Dia bersyukur kerana dirinya begitu mudah menerima pemahamaan berbanding insan insan lain yang sudah lama diseru tapi masih menidakkan kewajipan dalam perjuangan itu.

Akhirnya, ku lihat dirinya semakin kuat. Dia tidak lagi segan silu untuk menyuarakan pendapatnya hanya kerana ISLAM. Dia juga semakin senang berjalan di atas perjalanan juang itu. Apatahlagi dia dipertemukan dengan cermin ajaib yang satu persatu muncul dalam hidupnya. Iya, seringkali mereka menangis bersama kerana tidak tahan pada ujian yang melanda namun ku dapati kesusahan itu yang menjadi penguat di antara mereka. Terus terang dikatakan, aku mencemburui saat saat indah mekarnya ukhuwwah antara mereka hanya kerana ALLAH.

Tika dirinya begitu asyik melayari bahtera perjuangan, ku lihat dia diuji lagi. Berlaku perubahan pada fizikalnya yang menyebabkan insan lain seakan terkejut dengan keadaan dirinya. Jika dulu dirinya diuji dengan emosi tetapi kini diuji dengan kehilangan nikmat kesihatan.

"Kamu terpaksa menjalani rawatan dan kamu akan mengalami beberapa kesan sampingan antaranya sistem imuniti kamu akan mudah terganggu"

Begitulah pesanan doktor buat dirinya. Maka, bermulalah saat yang dikatakan getir dalam hidupnya. Sewaktu dirinya sedang asyik berprogram maka dengan mudahnya dia jatuh sakit. Sehingga dia berasakan dirinya begitu lemah dan sering menyusahkan cermin ajaibnya. Apatahlagi dirinya terpaksa sering berulang alik dari kampus ke hospital. Dan selalunya juga dirinya itu dicucuk untuk ujian itu dan ini.

To be continued

Wednesday, January 19, 2011

Allah always save the best for the last


Bismillahirahmanirahim
Ku tulis coretan kali ini kerana diriku ini begitu merindukan seorang gadis yang cukup ku kenali. Cumanya, pada saat ini kurasakan dirinya terlalu jauh dariku. Aku tidak tahu dimana dia menghilangkan diri, namun aku sering mendambakan agar dia kembali pada ku. Dia yang ku kenali cukup banyak mengajarku erti perjalanan sebuah kehidupan... Biarlah kisah gadis ini ku kongsikan sebagai peringatan dan menjadi saksi betapa aku merindui nya yang semakin hilang dari diriku.

2008
Dia yang ku kenali sering hidup dalam dunianya sendiri. Cuma, hatinya terlalu lembut. Dia tidak pernah mempersendakan agamanya walaupun kadang kala dia terlalai memenuhi tuntutan hidupnya. Aku mengetahui bahawa impian hidupnya adalan untuk mencari kesempurnaan. Sesungguhnya, dia ada segala galanya. Dia ada rupa paras yang menarik, kepintaran dan kebolehan memimpin serta kesenangan hidup seperti yang selalu dikatakan kepadanya.

Seringkali dia mengadukan bahawa, dia berasa tidak cukup dengan hidupnya. Dia sering terkejar kejar sesuatu tetapi tidak kesampaian. Dan hingga sampai satu ketika, memori bersamanya kembali...

"Hari ini kita ada tadarus Al Quran, semua muslimat dibahagi kepada tujuh kumpulan ya."

Ku dapat berasakan dia keresahan. Hatinya gundah gulana dan wajah manisnya kelihatan memucat. Akhirnya, tadarus dimulakan, sehingga sampai gilirannya.

"Saya tak pandai baca Al Quran"
Terlihat dia menunduk, ada sedikit linangan air mata di pipinya. Seorang kakak tersenyum lantas memegang bahunya lalu mengajarnya membaca sedikit demi sedikit. Baru ku terlihat senyuman di bibirnya. Aku tahu dia pasti berasa malu kerana pada usianya yang menghampiri seorang wanita, dia masih tidak pandai membaca Al Quran

Maka waktu pun semakin pantas berlari meninggalkan diriku dan dirinya, Seperti biasa, dia sibuk dengan dunianya, siapa yang tidak mengenal dirinya... ku yakini dirinya tenggelam bersama arus dunia, namun masih dapat ku lihat secebis hati yang mengingati Tuhannya, hati yang sangat lembut.

Sehingga sampai satu ketika pada ulang tahun kelahirannya

"Saya mahu hadiah Al Quran"

Dia sememangnya seorang yang manja, sering meminta itu dan ini dari rakan rakannya.
Maka bermulalah episod dia membaca belajar membaca Al Quran. Pada mulanya, bacaannya memang merangkak kerana dia berasakan huruf itu terlalu asing buat dirinya. Tetapi ku lihat, dia sentiasa berusaha untuk memperbaiki bacaan Al Qurannya. Dia mengatakan bahawa dia sudah jatuh cinta dengan Al Quran. Alhamdulillah, indahnya hidayah ALLAH SWT,

Diriku melihat perubahannya lagi. Dia mula berjinak jinak pergi ke surau. Biarpun sebelum ini tempat itu boleh dikatakan paling kurang dijejakinya. Dia juga sudah tidak kekok untuk bersahabat sahabat dengan insan insan yang ditakutinya dulu.

Sebelum ini dia mengatakan berasa segan dan malu untuk bersahabat dengan mereka yang bertudung labuh atau berjubah kerana dia mengatakan tidak layak untuk bersahabat bersama mereka. Katanya dirinya itu dipenuhi dosa dosa silam. Alhamdulillah, kini kuperhatikan bahawa dia mula mendekati golongan itu. Malah sesuatu yang ajaib terjadi! Dia menghadirkan diri pada setiap usrah mingguan! Dia juga begitu bersemangat mengenakan tudung di kepalanya. Sesungguhnya dirinya ini adalah galian berharga yang tidak patut disia siakan. Malahan, kakak kakak akhwat juga begitu bersemangat untuk membimbingnya kerana dia dikatakan punya potensi besar dalam perjuangan.


Diriku semakin disibukkan dengan tugasan di kampus sehingga aku lupa tentang dia. Sehingga satu ketika....

ALLAHUAKHBAR! Aku melihat dia bertudung malah antara percaya atau tidak. Hampir seluruh warga kampus serta pendidik juga tidak mempercayaianya. Pelbagai cerita dan tomahan dilemparkan kepada dirinya. Ada yang mengatakan dia berubah kerana seorang lelaki, ada yang mengatakan dia berubah kerana dirinya mempunyai masalah, malah ada yang mengatakan dirinya berubah hanya hangat hangat tahi ayam.

Seringkali juga ku melihat dia menangis dan merintih pada Tuhan di surau itu. Malahan, ada juga sahabat sahabat yang tidak dapat menerima perubahan imejnya itu. Dia terus memilih untuk memakai pakaian yang labuh dan besar. Dia juga ditanyakan mengapa berubah begitu mendadak? Ku lihat dia tersenyum tenang dan menjawabnya

"Apabila saya sudah belajar membaca Al Quran. saya berasakan bahawa setiap kalam ALLAH itu menujukan kepada saya yang selama ini saya tidak tahu. Betapa saya merindui untuk merasai nikmat syurgaNYA dan berasa terlalu takut apabila membaca tentang azabNYA. Maka, apabila saya sudah mengetahuinya kini, mengapa saya tidak mengikutinya? Semoga ALLAH mengampunkan dosa dosa saya yang lalu."

Ketika itu semangat juangnya begitu kuat dan terasa dirinya begitu dekat dengan ALLAH SWT. Dan pada ketika itu juga dia diperkenalkan pada sesuatu yang sangat asing dalam hidupnya. Hidup dalam tarbiyah.

Pada ketika itu suasana kampus yang dahagakan perjuangan fikrah. Sebelum ini, dirinya sudah ada pemahaman yang sedikit dan cuma dia tidak sedari betapa besar tanggung jawabnya. Dia selalu menangis dan berasakan dia tidak layak. Syukur dia dipertemukan naqibah dan cermin ajaib yang sangat memahami. Dia tahu dia tidak boleh merangkak dalam mempelajari urusan tarbiyah dan dakwah. Dia perlu sedaya upaya mencari fikrahnya walaupun dirinya baru sahaja mengalami transisi kehidupan.

Dia berasa hairan. mengapa dia yang menjadi pilihan sedangkan dirinya punya zaman silam yang kelam. Namun, kefahaman yang ALLAH berikan pada dirinya begitu mudah sehinggakan dia berasa sudah jatuh cinta dengan jalan perjuangan. Hakikatnya, dia sering berasa kepahitan tapi baginya itu adalah sesuatu yang sedikit dia mampu lakukan berbanding nikmat hidayah dan taufiq yang ALLAH berikan padanya.




To be continued......

Tuesday, January 11, 2011

Maaf tuk Berpisah


Bismillahirahmanirahim
Ku tulis coretan kali ini sebagai jawapan buat soalan soalan yang sering dikemukakan oleh anak anak halaqah ataupun adik adik kesayanganku. Ketahuilah wahai adikku sekalian, kakak mu ini bukanlah insan yang paling layak untuk menjawab segala pertanyaan yang dikau kemukakan. Namun, dengan sedikit kekuatan yang ALLAH pinjamkan kepada diriku yang kerdil ini, maka kakak mu ini sedaya upaya, mencoretkan sesuatu untuk dirimu, kerana seperti yang ku ikrarkan dalam janjiku kepadaNYA, biarlah sebarang tulisan ku yang sederhana ini membawa hati hati yang membacanya kembali kepada pemilik hati hati yang sebenarNYA.

Tersenyum simpul diriku apabila membaca soalan soalan yang sering di'sms' kan oleh anak anak dan adik adikku. Kadang kadang terfikir layakkah diriku ini untuk memberi nasihat berkaitan hal sedemikian kerana diriku ini juga tidak punya ilmu dan pengalaman. Mungkin jika yang ditanya serba sedikit berkaitan ilmu haraki ataupun tarbiyah, inshaALLAH boleh ku jawab sedikit ataupun lari saja terus merujuk kepada naqibahku. Tetapi apabila ditanya soal cinta dan perasaan, diriku pun turut menjadi bingung. Apatah lagi cinta manusia ini sebenarnya terlalu abstrak.

Tidak dinafikan bahawa cinta itu adalah fitrah kepada manusia. Sesungguhnya berbohonglah mereka yang mengatakan bahawa tidak pernah punya perasaan cinta. Cinta yang paling agung sudah tentunya mencintai yang MAHA KUASA iaitu ALLAH SWT. Selain itu, cinta kepada rasulNYA, agamaNYA serta jalan perjuanganNYA merupakan antara cinta yang perlu dicari oleh kita yang bernama manusia. Cuma kadang kala diri kita yang lemah ini tertipu dengan permainan dunia. Sesuatu yang kita anggap indah itu sebenarnya bukanlah yang terbaik untuk kita kerana sesungguhnya syaitan itu sengaja menjadikan segalanya indah di matamu agar dikau mengikut jejak langkahnya.

Allah sudah memberi peringatan dalam kalam cinta dariNYA:

"Kami mengadakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu; dan sekiranya Pemelihara kamu menghendaki, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka mengada-adakan." (6:112)

Adik adikku yang disayangi,

Ketika menghadiri satu forum tentang cinta yang di anjurkan di Universiti Malaysia Sabah, kakakmu ini begitu tertarik dengan perumpaan cinta yang diberikan oleh ahli panel. Katanya,

Cinta itu ibarat kentut, di tahan sakit, di lepas puas
Gamat seluruh dewan dengan gelak ketawa para penonton. Tidak dinafikan bahawa cinta itu adalah nikmat kurniaan ALLAH SWT kepada kita yakni hamba hambaNYA. Bukankah DIA itu yang Maha Pemurah, DIA memberikan segalanya kepadamu, cuma dirimu itu sahaja yang tidak menyedarinya. Cinta itu adalah milik semua tetapi sejauh mana cinta itu disandarkan semata mata keranaNYA? Apatahlagi tika usiamu yang masih berpaksi pada alam remaja, terlalu banyak kepentingan cinta yang harus kau pilih dalam hidupmu.

Pertama sekali cinta pilihanmu adalah janji pada ALLAH dan Rasulmu. Bukankah setiap kali dalam duduk tasyahud mu di dalam solat kau telah bersaksi bahawa hanya DIA yang layak disembah dan kau bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruhNYA. Maka, lafaz yang dijanjikan itu sudah menuntut dirimu untuk melaksanakan seperti yang kau ucapkan. Sudah tentu yang kau cari dalam hidupmu adalah cinta hakiki ALLAH SWT di samping menelusuri perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Untuk keduanya, cinta pilihanmu adalah untuk keluarga dan pelajaranmu. Wahai adikku, ingatlah betapa susah dan peritnya seorang ibu ketika melahirkanmu. Inginku berkongsi sedikit pengalaman ketika bertugas di wad bersalin, kadang kadang seorang ibu itu terpaksa menanggung kesakitan berhari hari semata mata untuk melahirkanmu. Sesungguhnya dia merintih dan menangis kesakitan akan tetapi apabila mendengar suara tangisan mu, itula ubat untuk segala kepayahan yang dihadapinya. Bagaimana pula dengan ayahmu, yang tidak pernah mengenal erti penat lelah untuk mencari nafkah demi sesuap nasi. Sanggupkah dirimu menggadaikan cinta yang suci dan murni ini hanya semata mata untuk sesuatu yang belum pasti? Sesungguhnya ayah dan ibumu itu, harapannya agar dikau berbakti kepada agama dan ummah. Adikku, hargailah mereka dengan kesungguhan mu menuntut ilmu akhirat yang diseiringkan dengan ilmu dunia.

Ketahuilah adik adik, Mengikut apa yang kakak mu ini pelajari dalam teori kejururawatan berpandukan theori Erik Erikson Stages of Development, dirimu sedang mengalami Identity versus Roles Confusion. Dalam tahap ini, dirimu mula mencari dan membentuk personaliti dirimu. Selalunya, apa yang kau dapati adalah apa yang kau perolehi dari sekelilingmu. Malah, dirimu juga bisa terjebak ke alam kekeliruan dalam membina jati diri. Konklusinya, dirimu akan mudah membuat sesuatu keputusan di luar pertimbangan yang benar. Mungkin pada tika ini, jiwamu juga akan mudah memberontak. Dirimu mula berasa hanya mereka yang sebaya sahaja memahamimu. Seterusnya, perasaan cinta pilihan yang ketiga muncul. Dirimu mula tertarik kepada makhluk yang berlawanan jenis dengan mu. Ahh... memang tidak dinafikan bahawa adalah amat sukar untuk menepis perasaan sebegini. Pernah diri ini ditanya oleh anak anak usrahku, maka jawapanku senjata yang paling ampuh untuk mempertahankan dirimu adalah penggantungan kepada ALLAH SWT dan seterusnya hati yang sentiasa berhajatkan pada tarbiyah.

Sudah tentu adik adik mengatakan, wahai kakakku, dirimu yang menulis itu sudah tentu mudah sahaja untuk menarikan jari jemari pada cik laptop kesayanganmu. Adik adikku, tahukah kalian bahawa insan yang berkata kata itulah yang akan diuji dengan kata katanya sendiri. Mahu atau tidak, kita mestilah sentiasa bersiap sedia untuk menerima ujian dariNYA kerana seperti biasa, kita hanyalah hamba walau setinggi mana pangkat ataupun kedudukanmu.

Adik adiku.. ingin ku kongsikan satu frasa kegemaranku iaitu

A Women's heart should be so lost in ALLAH, that a man needs to seek HIM in order to find her

Sejauh mana dirimu itu cuba untuk menikmati cinta manusia, tapi tidak akan bermakna apa apa tanpa sentuhan cinta dariNYA. Cuma ingatlah pesananku, semakin kau mengejar cintaNYA maka dirimu akan terus di asak dengan cinta manusia kerana seperti pesanan ku selalu kepada kalian bahawa

Mereka yang dekat dengan ALLAH bukan calang calang orang, perlu melalui proses tapisannya.

Dan yang paling menakutkan sekali wahai adik adikku, seseorang itu menjadi lalai semata mata kerana kita yang kerdil dan lemah ini. Sedangkan kita sama sama bernama manusia. Sebaik baiknya kita menjadi asbab kepada kebaikan manusia berbanding menjadi asbab kepada kehancurannya kerana Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita:

Jika seseorang mendapat hidayah lantaran kamu, kurniaan itu lebih baik daripada apa apa yang disinari matahari. Hadis riwayat Al tabrani
Adik adik, jika benar sayangkan ALLAH SWT, sudah tentu kita tidak mahu menjadi penggugat rindu insan lain kepada ALLAH SWT, jika benar sayangkan insan agung Muhammad SAW, sudah tentu kita tidak mahu menjadi asbab kepada lalainya insan lain mengikuti sunnahnya. Sesungguhnya tidak salah bercinta namun biarlah halal dan semuanya kerana ALLAH. Hati itu memang susah sekali hendak mengikhlaskan keranaNYA tetapi ambillah cara yang diredhainya untuk menyemai cinta dan berdoalah agar cinta kalian diberkati dan diterima olehNYA.

Buat mereka yang masih tercari cari cinta, seperti yang dikatakan oleh cik Asiah Yusro dalam artikel Pemilik Hatiku


sekiranya dirimu juga mencari siapa diriku maka muhasabahlah dirimu.. Mengapa ALLAH swt tidak mempertemukan kita lagi... adakah kerana kita masih belum cukup? Ataupun diriku dan dirimu masih punya tanggungjawab yang belum selesai dalam perjuangan dakwah?

Mari kita bermuhasabah diri, mungkin kekuatan kita ini belum cukup dan mampu untuk kita 'menduakan perjuangan'. Selain itu, mungkin ALLAH SWT ingin membersihkan hati mu sebersih bersihnya sebelum mempertemukan dikau adikku dengan pemilik hatimu.

Diriku ingin memohon seribu kemaafan sekiranya terhadap kekurangan di dalam penulisanku. Seperti yang ku katakan sebelum ini, aku bukan srikandi solehah, doakan agar diriku ini sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Selain itu, ku pohon pimpinan kalian agar diriku terus diberi kekuatan iman untuk menulis kerana sedang Sayyiq Qutb bisa menulis Tafsir Fi Zi Lalil Quran ketika dipenjara, sedangkan diriku yang sedang duduk bersenang lenang ini tidak mampu mencoretkan walau sebaris ayat pun?

Sebelum mengakhiri kalamku, ingin ku berkongsi sebuah irama lagu yang indah, semoga bisa membawa hati hati kita kembali mengingatiNYA. Untuk mendengar lagu ini, boleh klik di sini


Maaf tuk berpisah
Tashiru

Kau tahu tentang hatiku yang tak pernah bisa melupakanmu
Kau tahu tentang diriku yang selalu mengenangmu selamanya
Kini kusadari Bahwa semua itu
Adalah salah, juga keliru
Akan membuat hati menjadi ternodai

Reff..
Maafkanlah segala khilaf yang tlah kita terlewati
Tlah membawamu kedalam jalan yang melupakan tuhan
Kita memang harus berpisah
Tuk menjaga diri
Untuk kembali mngarungi hidup
Dalam ridho ilahi

Kutahu bahwa dirimu
Mendambakan kasih suci yang sejati yeee
Kuyakin bahwa dirimu
Merindukan kasih sayang yang hakiki

Kini kusadari Bahwa semua itu
Adalah salah, juga keliru ooo
Akan membuat hati menjadi ternodai

Back to reff.
Dan bila takdirnya kita bersama
Pastilah Allah akan menyatukan kita oooooo


Wallahualam

Dari Kakak Naqibahmu

Murabbiyah to be,
ICU Nurse to be,

Asiah Yusro

Izinkan diriku menjadi seperti Asiah disisiMU... Ameen ^_^


Sunday, January 9, 2011

Siapakah Penulis yang baik?


Siapakah Penulis Yang Baik?
Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya. Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.
Penulis Yang Terbaik Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.
Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?
Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.
Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.
Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.
Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.
Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?
Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.
Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.
Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.
Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.
Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.
Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.
Tips 4: Disiplin
Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.
Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.
Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.
Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.
Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.
Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.
Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.
Penutup
Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.
Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.
Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.
Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.
~Hilal Asyraf ~ ms.langitilahi.com
Image: Google
http://www.emocutez.com

Muhasabah diriku....
Semoga penulisanku membawa hati hati kembali mengingati pemiliknya yang sebenar... ALLAH

Wednesday, January 5, 2011

Rehlah Nisa Sepanggar 2010 =)



Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah, segala puji hanya untuk ALLAH, PENCIPTA ALAM..

Pada 25 Disember 2010, Rehlah Mahabbah Nisa Sepanggar telah diadakan. Alhamdulillah, syukran jazilan buat semua pejuang Nisa' yang sudi meluangkan masa untuk bersama sama mengikat kembali hati hati kita mengingatiNYA.

Sesungguhnya Nisa' amat bermakna buat diriku ini kerana melalui Nisa' diriku ditarbiyah malah diriku memulakan langkah dalam perjuangan ini juga melalui Nisa'. Apatahlagi ketika itu naqibah ku sendiri merupakan pengerusi Nisa' di peringkat negeri. Secara terus terang diriku ini merupakan hasil anak didik warga Nisa' di bumi tarbiyah. Maka, ketika diriku ini tiba ke medan pertempuran realiti, Nisa' jugalah yang kucari...


Alhamdulillah... diriku ini berkesempatan menjadi sebahagian daripada pejuang pejuang Nisa di bumi negeri bawah bayu ini. Biarpun Nisa' Sepanggar ini sebenarnya masih baru dan masih bertatih tetapi inshaALLAH, kami warga Nisa' Sepanggar akan berusaha untuk menggerakkannya. Sesuai dengan slogan Nisa' Sepanggar iaitu Muslimat.. Power Power Power..


Tujuan utama Nisa' adalah tidak lain tidak bukan untuk menegakkan kalimah Lailahaillallah di bumi bawah bayu ini. InshaALLAH... selepas ini akan lebih banyak program Nisa' Sepanggar yang akan menyusul, antaranya ialah:

TH (tautan hati mingguan Nisa' Sepanggar)

Le Tour De Nisa' Sepanggar

OPKIM (Operasi Khidmat Masyarakat)

TOT NISA' (Traning of Trainees)

Small Kindness Nisa'

Kerana dirimu begitu berharga

InshaALLAH... Doakan Nisa' Sepanggar terus bergerak. Jutaan terima kasih buat sang naqibahku, penggerak Nisa' di bumi tarbiyah serta cermin cermin sakti yang telah melatih diriku dan inshaALLAH ajaran dan ilmu yang kalian turunkan, tidak akan ku persiakan dalam memperkasakan dakwah di bumi ALLAH ini...

Biar nampak tak berapa laju tapi konsisten bergerak, akhirnya sampai penamat, itu tentu jauh lebih baik dari berdesup laju tapi tak lama dan tak selalu =)

Monologku: Tahun 2011, dua amanah bidadari ditampung dibahuku , Balkis dan Nisa' ... Dua nama yang benar benar memerlukan fokus yang tinggi.InshaALLAH, kadang kadang sangat cemburu pada Saidatina Aishah kerana dia punya kekuatan luar biasa untuk membangunkan wanita, cemburu juga pada Saidatina Khadijah kerana tidak pernah takut pada perjuangan namun sentiasa ingin menjadi ASIAH kerana kesabarannya. Tika semua wanita solehah itu ingin menjadi Aishah atau Khadijah, izinkanlah diriku menjadi Asiah yang tetap teguh mempertahankan akidah walau apapun mehnah dan tribulasinya. Kekuatan pentarbiyahan dirimu itu tidak dapat dinilai tika dirimu bersama dengan akhwatmu sambil sentiasa diwarnai dengan program tarbiyah, tetapi penilaiannya adalah ketika dirimu bersendirian, sejauh mana keteguhan peganganmu?


Ya Tuhanku, binakanlah untukku istana di syurgaMu, walaupun di dunia ku diseksa, namun tak terbayar nikmat di syurgaMU... Ameen =)
P/s: Diamku adalah dalam rangka tarbiyah =)

Monday, January 3, 2011

Aku sudah menjadi seorang ibu =)


Bismillahirahmanirahim... Rasanya hari semakin hari, terasa terlalu banyak cerita ingin dicoretkan pada bidadari kesayanganku. Buat sahabiah sahabiah yang mencariku di 'muka buku', maaf buat tika ini ingin berehat sebentar dari 'muka buku'. InshaALLAH, semuanya kerana ALLAH. Diriku ini terpanggil untuk mencoretkan sedikit pengalaman yang ku lalui dalam titipan ku sebagai seorang hamba yang mencari keredhaanNYA. Terkadang diriku ini tidak meyakini adakah aku benar benar ikhlas, cuma yang ku harapkan ALLAH SWT memandang sekecil kecil usahaku ini. Siapalah diriku ini untuk dibandingkan dengan Saidatina Khadijah, usahanya dalam perjuangan yang tidak pernah bisa kita balas. Namun kuyakini, dia pasti menikmati balasan cinta dari ALLAH SWT.

Baru baru ini berpengalaman menjaga seorang kanak kanak lelaki comel berbangsa Cina yang berumur lapan tahun. Si kecil ini dimasukkan ke hospital kerana menjalani pembedahan. Pada mulanya diriku ini endah tak endah dengan kanak kanak ini dan diriku meneruskan rutin harian ku. Seperti biasa tugas ku sekarang memastikan semua pesakit memakan ubat mereka. Kadang kadang, ada juga yang terpaksa dipujuk baru mahu makan ubat. Tatkala diriku ini menjengah dari satu kamar ke satu kamar pesakit, ku dapati kanak kanak ini menangis. Rupa rupanya si comel ini menangis mencari ibunya yang meninggalkan dia bersendirian di ward. Diriku sedaya upaya memujuknya. Alhamdulillah, tangisannya mula reda. Tidak sia sia 'kemahiran' yang diperturunkan oleh ibu dan ayahku dalam seni penjagaan kanak kanak. =)

Terimbas kembali memori silam...

"Asiah anak tunggal, mesti tak pandai jaga budak, mesti tak pernah pegang bayi".

Ini adalah antara monolog pengajarku ketika kami berpraktikal untuk menjaga pesakit kanak kanak. Alhamdulillah, apabila saat untuk memandikan bayi yang baru beberapa jam/ hari dilahirkan, diriku ini tidak kekok. Astaghfirullah al azim, bukan tujuan untuk meninggi diri tetapi hanya ingin berkongsi secebis pengalaman. Syukur kepada ALLAH SWT kerana memilih diriku ini, Asiah Yusro untuk dijadikan puteri kepada kedua ibu bapaku.

Kedua ibu bapaku amat meminati penjagaan kanak kanak. Cuma, ketentuan ALLAH SWT diterima dengan redha. Harapan untuk memperoleh anak yang ramai tidak kesampaian tetapi hanya seorang sahaja puteri yang nakal menjadi penyeri hidup mereka =P. Dari semenjak kecil sehinggai kini boleh dikira diriku sebagai seorang dewasa (tak mahu mengaku), rumah kami sememangnya sering diserikan dengan kanak kanak. Sehingga ayahku bersara, dia tidak berminat untuk menceburi bidang lain selain membantu ibuku menjaga kanak kanak. Apatahlagi diriku ini selalu menjadi 'mangsa' membantu menjaga kanak kanak di bawah jagaan ibu dan bapaku. Maka secara automatiknya, diriku ini sudah terbiasa menjaga bayi yang baru lahir, yang sudah merangkak, berjalan hatta menjaga wanita bersalin sekalipun. Mungkin, dari situ jugalah timbul minatku untuk menjadi seorang 'mumaridha'. Seringkali ayahku berpesan bahawa:

Rasulullah SAW adalah insan yang sangat disukai kanak kanak. InshaALLAH, jika disayangi dan disukai kanak kanak, kita akan disayangi oleh ALLAH dan RasulNYA, maka berbuat baiklah kepada anak anak kita.

Menyambung kembali cerita tentang diriku dan pesakit kanak kanak itu. Setelah usaha untuk memujuknya berhasil, hatiku menjadi lega. Diriku meneruskan rutin pekerjaanku seperti biasa. Pada keesokan harinya, loceng pemanggil di bilik kanak kanak tersebut sentiasa berbunyi. Jika dikira, setiap 30 minit berbunyi. Rakan rakan sekerja ku yang lain menjengah kebiliknya, tiada apa apa yang disuarakan. Namun, apabila diriku yang menjenguknya. dia mula merengek dan menangis. Ada sahaja yang tidak kena, seperti perutnya sakit, dia mahu makan bubur, dia mahu pergi ke tandas. Kadang kadang rasa geram pun ada kerana diriku ini punya tuntutan lain untuk dikerjakan. Namun pesanan ayah ku bermain main difikiran. Penat juga sehari suntuk melayan karenah si kecil ini.

Alhamdulillah, akhirnya si dia keluar dari hospital. Dirinya agak malu malu untuk mengucapkan selamat tinggal. InshaALLAH, moga ALLAH memberikan hidayah dan taufiqNYa dan semoga kanak kanak ini bertemu kebenaran sinar ISLAM. Kadang kadang satu cabaran untuk melayan karenah pesakit kanak kanak. Teringat setiap kali hendak menjarum mereka, baru nampak jarum sudah menangis meraung raung, tetapi apabila kena cucuk, tak menangis pula =P. Hati juga tidak sampai hati melihat pesakit kanak kanak yang diuji dengan penyakit kronik. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bukankah ujian yang paling berat untuk orang yang beriman adalah kematian anak? Maka di sinilah kita bermuhasabah diri, segalanya bukan kepunyaan kita. Hapuskanlah rasa memiliki tetapi suburkanlah rasa menyayangi kerana ALLAH.

Bagiku, betapa bertuahnya seorang wanita itu apabila sudah menjadi seorang ibu. Seringkali kagum melihat seorang wanita yang mengandungkan anak selama sembilan bulan. Apatahlagi, pelbagai proses dan cubaan yang perlu diharungi selama proses kehamilan tersebut. Diriku ingin sekali melihat ibuku mengandung. Namun sebagai hamba yang yakin dengan ketentuanNYA, diriku ini redha dengan ketentuanNYA. Tahniah buat ibuku yang berjaya mengharungi dugaan menghamilkan diriku selama sembilan bulan, sudah pasti diriku yang bukan srikandi solehah ini banyak karenahnya semenjak dari kandungan lagi. Takziah juga buat ibuku yang memperoleh anak yang kurang baik seperti diriku, aku ini insan yang bukan kalis dosa, cuma yang kuharapkan doa darimu wahai ibuku serta restumu dalam setiap langkah perjuanganku.

Apabila melihat tajuk artikel pasti terkejut 'aku sudah menjadi seorang ibu'. Sebenarnya buatmu wanita yang mentaklifkan dirimu sebagai pejuang agama, inshaALLAH, dirimu sebenarnya sudah bergelar seorang ibu. Dirimu yang sudah punya kefahaman islam, yang sudah punya fikrah perjuangan sudah menggalas tanggungjawab berat di bahumu. Dirimu itu adalah ibu kepada ummah. Ummah yang semakin hari semakin hanyut dihimpit nafsu dan kebobrokan diri. Maka, mereka mengharapkan dirimu untuk menjadi ibu kerana sesungguhnya fitrah seorang ibu itu adalah untuk menjadi penyelamat.

Apatah lagi buat sang naqibah sekalian, dirimu itu adalah umi kepada seluruh anak usrahmu. Itulah diriku ini lebih menyenangi jika mawar kesayanganku seperti Hidayah Zamdee atau pun ukhti Ummul Izzatin memanggilku dengan gelaran umi. Sekurang kurangnya, panggilan sebegitu mengingatkan diriku bahawa aku punya tanggungjawab untuk menjadi pemandu kepada mereka. Seperti yang selalu dikatakan, ibu bapalah yang mencorakkan diri seorang anak itu. Maka, selalunya anak anak usrah itu, mengikut cara dan corakan naqibahnya. Sedarilah wahai sahabat sahabat naqibah sekalian, kalian adalah sebenarnya seorang ibu.

Jika seorang wanita membicarakan ingin menjadi seorang ibu, pasti dibalas dengan usikan dan jenaka. Katanya tak lama lagi ingin mendirikan baitul muslim atau sudah ada tanda tanda dan sebagainya. Pemikiran sebegini seharusnya diubah oleh kita. Menjadi seorang ibu bukan fokus untuk baitul muslim semata mata. Perkara yang lebih penting adalah kita bisa menjadi ibu kepada ummah, ibu kepada perjuangan dan seterusnya ibu kepada para syuhadah. Amatlah menakutkan jika kita asyik menumpukan kepada soal pembinaan baitul muslim, sehingga kita menjadi muslimat tarbiyah yang lembik dan menduakan perjuangan. Sekiranya ALLAH telah menakdirkan kita untuk menjadi seorang ibu, inshaALLAH, kita bisa menjadi ibu untuk ummah, perjuangan, dakwah dan juga baitul muslim kita. Ameen =) . Jesteru itu, mari kita berusaha sejak dari awal, rebutlah peluang untuk kita sentiasa memperbaiki diri demi mengejar mardhotillah. Jika tidak dapat jadi Srikandi Hasan Al Banna, paling cukuplah jadilah srikandi untuk diri kita sendiri, seperti jadi Srikandi Asiah atau Srikandi Nadrah kerana kita berjuang melawan hawa nafsu kita sendiri.

Ya ALLAH.. terasa sedikit melalut juga entri kali ini. Ku pohon doa dari sahabiah sekalian agar ALLAH tuntun dan pimpin langkahku dalam jalan perjuangan yang masih jauh ini. Semoga penulisan ku yang biasa ini dapat membawa hati hati kembali mengingati TUHAN YANG SATU. Jika ada sedikit kebaikan dari penulisanku ini, sampaikanlah kepada kedua ibu bapaku, naqibah dan sahabiah tercinta serta seluruh ibu ibu yang meninfaqkan diri dalam perjuangan. Semoga kita sebagai wanita ini menyedari bahawa kita sebenarnya sudah menjadi seorang ibu. Wallahualam ^_^

Monologku: Ingin menulis dengan lebih santai, tiada tekanan... ilham datang dari ALLAH dan kerana ALLAH



Sunday, January 2, 2011

Kesaktian mu tidak pernah pudar...




Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah.. sepertinya tarian jari jemari semakin
mudah untuk menari di papan keyboard. Tulisan ini sekadar tulisan biasa, untuk berkongsi sedikit ketenangan hati dan kegembiraan yang di kecapi tika ini. Sebelum ini, mendapat 'Electric shock' dari ALLAH SWT, sehingga hidup menjadi sedikit tidak teratur, mutabaah amal terganggu, roh perjuangan semakin berpudar dan lazatnya bercinta dengan NYA pun semakin lama semakin malap. InshaALLAH.. fasa fasa getir itu berjaya di lalui dengan pertolonganNYA.

Baru baru ini berkesempatan berhubung dengan cermin cermin
saktiku yang bertebaran di seluruh bumi ALLAH. MasyaALLAH... terubat kerinduan. Ada yang ku hubungi melalui telefon, ada yang melalui sms dan juga melaluis skype. Silap ku sendiri kerana tidak memohon buah fikiran insan insan yang amat bermakna dalam hidupku ini. Teringat ketika detik perpisahan bersama mereka, betapa deritanya hidup. Sehingga air mata tidak henti henti ditumpahkan. Jika ada yang tidak memahami, mungkin akan berasa hairan, mengapa begitu kuat perasaan kepada kaum sejenis, adakah terdapat sesuatu yang abnormal?

Diriku ini seseorang yang normal cumanya kesaktian sahabat sahabatku ini yang membuatkan perasaan keterikatan ku bersama mereka begitu kuat. Diakui ketika di kampus, kami tidaklah selalu bersama, cumanya apabila tiba saat 'dating' atau halaqah cinta kami, kami berasakan itu adalah waktu yang paling nikmat. Dan sesungguhnya ikatan ukhuwwah kerana ALLAH itu, jika benar benar ikhlas, pasti terasa betapa indahnya. Sehinggakan diriku ini, terasa tidak mahu dipertemukan lagi dengan mereka kerana aku tidak sanggup menahan pedihnya perpisahan. Namun sebagai insan yang beragama, peganganku adalah kita semua tetap jua akan bertemu dengan perpisahan hakiki iaitu kematian. Maka, berusahalah agar kita ini bisa dikumpulkan semula disyurgaNYA nanti.

Beberapa akhwat yang ku kenali menasihati supaya tidak terlalu bersedih kerana berpisah dengan wanita wanita sakti ini. Kata mereka, inshaALLAH pasti ada pengganti. Aku mengakuinya bahawa walau di mana kita berada, selagi kita berada di jalan perjuanganNYA, selagi itu kita pasti dipertemukan dengan pejuang pejuang yang hebat. Tidak ku nafikan hal tersebut ya ukhti... Tetapi, perasaan kasih dan cinta buat insan insan yang mengenalkan ALLAH pada dirimu adalah berlainan sekali. Sehingga seringkali anak anak usrah ku menyatakan bahawa diriku ini selalu sahaja menyebut nama nama cermin sakti ini ketika memberi pengisian kepada mereka. Semoga apa yang disampaikan pada anak anak usrahku, segala kebaikan diberikan kepada cermin cermin sakti ini kerana merekalah yang ALLAH pinjamkan padaku, ketika diriku ini masih dalam pencarian.

Alhamdulillah, ALLAH swt tidak mahu diriku ini menjadi muslimat perjuangan yang manja. Tatkala diriku ini berasa asyik berjuang berada di bawah naungan kasih sayang sahabat tercinta, maka terjadilah perpisahan. Seringkali dalam hatiku terdetik menyatakan bahawa sesungguhnya diriku ini belum siap untuk berpisah dengan mereka. Aku masih ingin belajar, belajar dan terus belajar. Siapalah diriku ini untuk menilai sesuatu kerana seperti yang ku katakan sebelum ini, hanya ALLAH swt sahaja yang berhak menilai sesuatu. Setelah puas dimanjakan, akhirnya ALLAH menghantar diriku untuk berjuang berjauhan dari mereka.

Betapa pilunya hati ini, tiada lagi senyuman manis srikandi Umar, tiada lagi pujukan kasih sayang srikandi Abu Bakar, tiada lagi kelembutan srikandi Usman dan yang paling menyedihkan tiada lagi dia.... Srikandi Khadijah di sisiku. Tercari cari diriku, teraba raba diriku dalam meneruskan perjuangan. Alhamdulillah, sedikit kekuatan ALLAH pinjamkan untuk mencari pejuang pejuang sefikrah ditempat baru. Sememangnya rasa perjuangan itu semakin berbeza, apatahlagi sentiasa diuji dengan ALLAH SWT ketika mula melangkah. Tapi, bukan namanya seorang pejuang jika kita sentiasa berada di zon selesa bukan? Syukur... syukur...

Teringat ketika mula mula menyertai pejuang pejuang hebat di medan tarbiyah yang baru, seringkali dihamburkan persoalan

"Tak pernah dengar nama enti pun, tarbiyah
mana ya?"

"Enti tak pernah join sini ya?"

Lucu juga apabila difikirkan, sememangnya diriku ini bukanlah insan yang popular berbanding srikandi srikandi Ansorullah yang lain. Seringkali ku menyatakan bahawa '
biarlah si dia itu tidak dikenali oleh penduduk dunia atas kehebatannya dalam ditarbiyah atau kepimpinannya atau ketampanannya... cukup ALLAH sahaja yang mengenalnya kerana iman dan taqwanya'.

Maka sudah semestinya diriku ini ingin juga dikenali ALLAH SWT walaupun tidak dikenali oleh penduduk dunia. Kerana apa yang dipertaruhkan di akhiratNYA nanti bukan kejayaan menjadi yang terkenal di dunia tetapi yang paling nikmat adalah dikenali oleh Rasulullah SAW sebagai penyambung mata rantai pejuangannya. InshaALLAH.

InshaALLAH.... semoga ALLAH tuntun dan pimpin langkahku dalam mencari keredhaanNYA. Sesungguhnya aku hanyalah seorang wanita yang diciptakan dari sesuatu yang bengkok. Moga moga hidayah dan taufiq dariNYA dapat meluruskan diriku yang kerdil ini.

Buat srikandi srikandi kesayanganku... ketahuilah perpisahan dengan kalian adalah antara kepahitan yang berlaku dalam hidupku. Biarpun diriku ini tidak mengekspresikan secara zahirnya namun sesungguhnya batinku menjerit kesakitan kerana jauhnya dari kalian. Aku meyakini ALLAH SWT tidak mahu lagi aku menjadi pejuang yang manja kerana sebelum ini dikala aku keletihan melangkah, kalian sentiasa ada untuk menopang bahuku. Tetapi kini, kalian kurasakan sangat jauh untuk ku berlari dikala ku keletihan dan kesedihan tetapi terasa dekat sekali tatkala aku menangis mengadu padaNYA dalam tahajud cintaku.

Buat mu Srikandi Umar (Surianah Yahya @ asrarsafiyya.blogspot.com)




Ku hadiahkan mawar putih buat dirimu, yang tidak pernah jemu jemu memimpin langkahku.



Buatmu Srikandi Abu Bakar (Norashikin Samsudin @ shifwah88.blogspot.com)


Ku hadiahkan mawar ungu buatmu, yang tidak pernah jemu jemu memberikan naunganmu.



Buatmu Srikandi Usman (Ilhamimi Karim)


Mawar Hijau untuk dirimu yang tidak pernah jemu jemu memberikan kasih sayangmu.



Dan untuk yang paling istimewa, Srikandi Khadijah (Nadzirah Aslan)




Mawar Kuning untuk dirimu kerana segala galanya.



Dan terakhir sekali, diriku menghadiahkan diriku sendiri (Srikandi Hassan Al Banna .. hehe, perasan sikit)



Mawar Merah Jambu... moga roh perjuangan sentiasa menyegar dalam diriku ini =)


Sesungguhnya kesaktian kalian tidak pernah pudar... dan kesaktianmu sentiasa bersama samaku. Akan ku bawa bersama dalam nadi perjuanganku...

"SEKIRANYA KITA BERSAMA, PASTI ISLAM AKAN KITA TEGAKKAN"

TAKBIR!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...