Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Monday, February 28, 2011

Merindukan kelahiran ulama generasi Al Quran (cabaran buat pejuang muslimat Sabah)



"staff nurse, ada staff staff kita yang tengah berusaha belajar mengaji sekarang, kebanyakkan mereka yang dari golongan mualaf. Biarpun usia sebegini, sibuk dengan anak anak dan keluarga, tetapi semangat untuk belajar masih ada. Sebenarnya, saya sendiri pun sudah lama berminat tentang ISLAM tetapi saya tidak tahu nak bertanya pada siapa"

Dialog dari seorang TAN (trained assistant nurse) yang bukan beragama ISLAM amat meninggalkan kesan di hati saya. Sebab pertama adalah saya mengkagumi ruh ISLAM yang mekar subur dalam golongan mualaf yang tidak mendapat bimbingan sepenuhnya tetapi masih berusaha mencari sinar ISLAM. Sebab kedua adalah saya amat merisaukan masyarakat di bumi kelahiran saya iaitu Sabah yang sangat dahagakan tarbiyah yang berpanjangan. Saya meyakini bahawa wujudnya keinginan kepada ISLAM yang membuak buak buat masyarakat di bumi kelahiran saya. Cuma kadang kala terdapat asbab yang menyebabkan terhijabnya saluran untuk memberi kefahaman ISLAM kepada masyarakat sehingga mereka masih terus tercari cari.


Keadaan di bumi kelahiran saya ini membuatkan saya terus terusan bermuhasabah diri. Apa yang telah saya lakukan demi memberikan kefahaman ISLAM? Mungkin saya antara generasi 'bertuah' kerana mempunyai sedikit kefahaman tetapi bagaimana pula dengan saudara saudara seakidah saya yang terus ketandusan sinar ISLAM. Sampai bila saya perlu terus duduk berehat dan bermalas malasan sedangkan penduduk di tanah kelahiran saya sedang berhadapan dengan satu penyakit yang berbahaya.

Kekuatan semangat rakan sekerja saya yang sudah berusia untuk terus belajar mengaji dan juga anak anak usrah saya yang juga menyuarakan hasrat yang sama membuatkan saya terpukul dengan sesuatu hambatan bahawa kurangnya penerapan kepentingan membaca Al Quran pada masyarakat di bumi kelahiran saya.

Dialog tersebut juga mengingatkan saya kepada adik adik usrah di bawah jagaan saya. Alhamdulillah, kebanyakkan mereka sudah punya kefahaman ISLAM yang cukup dan mampu menjaga syariat. Namun, rata rata mereka mengalami masalah yang sama iaitu tidak lancar membaca Al quran. Hal ini cukup merunsingkan saya kerana Al Quran itu merupakan 'sahabat karib' kepada seorang muslim. Hampir menitiskan air mata ketika mengingati pesanan kekasih agung bernama MUHAMMAD SAW:

Aku tinggalkan kalian dua perkara dan kalian tidak akan sesat selagi berpegangan kepadanya iaitu Al Quran dan Sunnah
(Hadith Riwayat Muslim)

Situasi begini membawa memori saya kembali kepada seorang wanita yang saya kongsikan dalam ALLAH always save the best for the last. Betapa ketika dia mula belajar membaca Al Quran dan tika itu ALLAH mempermudahkan dia menerima hidayah dan petunjukNYA. Saya mengakui bahawa diri saya ini juga tidak hebat dalam ilmu Al Quran tetapi saya cukup bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenal kalam ALLAH SWT itu. Malah saya sendiri sudah merasakan keajaiban Al Quran yang mengubah hidup saya 360 darjah. Benarlah firmanNYA dalam Surah Al Baqarah ayat dua:

Kitab Al Quran ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.
Pengalaman bergaul dengan sahabat sahabat dari Kelantan semasa di kampus memberi mutiara yang bisa dijadikan panduan dalam hidup saya. Ada antara sahabat yang kelihatan biasa, segalanya sederhana dan biasa sahaja. Namun apabila mendengar dia membaca Al Quran, hati pasti tersentuh. Saya begitu mengkagumi didikan masyarakat Kelantan kepada anak anak mereka yang amat menitik beratkan Al Quran. Saya tidak mengatakan bahawa perlu mewajibkan kita mengajar anak anak kita bertaranum atau membaca Al Quran dengan penuh berirama dan lagu tetapi itu adalah yang terbaik. Namun apa yang perlu kita fokus adalah memastikan anak anak di bumi Sabah kenal dan boleh membaca Al Quran. InshaALLAH, kenal Al Quran, hatinya lebih suci dan mudah untuk mengenali ALLAH SWT. Kefahaman kepada ISLAM adalah juga lebih mudah untuk diterima dan sekaligus bisa melahirkan generasi yang membawa evolusi kepada perjuangan ISLAM di bumi bawah bayu ini.

Sepanjang perjalanan hidup saya di bumi Sabah ini, saya memerhatikan bahawa ajaran Al Quran seolah olah dijadikan sebagai soal kedua dalam mendidik anak anak. Ada ibu bapa yang berhabis habisan menghantar anak ke tempat tuisyen semata mata untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan seterusnya mendapat gred A dalam mata pelajaran. Saya mengakui bahawa saya dahulunya antara pelajar yang begitu mengidam idamkan A tersebut. Setelah melalui transisi dalam kehidupan, saya merasakan bahawa A itu tidak punya makna apa apa jika tidak ada A dalam Al Quran.

Ibu bapa sering menggunakan alasan bahawa merisaukan anak anak terbeban dan tidak dapat menampung untuk belajar dua perkara sekaligus iaitu pelajaran di sekolah biasa dan belajar mengaji. Saya ingin mengajak para ibu bapa menyoroti kisah di sebalik insan insan hebat yang pernah dilahirkan. Masih ingatkah kita pada Imam Nawawi, ulama tersohor dan meninggalkan mutiara buat kita melalui kitab tinggalannya sudah khatam Al Quran sejak kecil lagi. Atau mungkin kita sudah melupakan Imam Hasan Al Banna, fikrahnya jernih menggegar dunia dan didapati didikan awalnya adalah Al quran. Paling tidak ambil contoh masa kini iaitu seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu ketika dulu yang juga merupakan seorang pelajar aliran agama. Maka tiada alasan untuk mengatakan bahawa pelajaran Al Quran itu menjadi beban. Terpulang sama ada kita 'mahu' atau tidak.





Saya begitu tertarik dengan silibus yang disediakan di PASTI (Pusat Asuhan Tunas ISLAM) dan saya meyakini bahawa PASTI adalah satu wadah untuk mendidik anak anak kita mengenali Al Quran. Malah penubuhan Sekolah Rendah ISLAM Al Hafidz di bandar Sierra juga sebagai salah satu usaha murni untuk melahirkan generasi yang celik Al quran di bumi Sabah ini. Setiap kali melihat wajah wajah comel si kecil menimbulkan perasaan hebat yang sukar digambarkan dalam diri saya. Betapa saya merindukan kelahiran seorang ulama di bumi Sabah ini yang bisa menjadi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah. Sering kali saya diusik oleh sahabat sahabat yang menyatakan bahawa saya ini sudah mendapat 'seru' dan sebagainya tetapi bagi saya matlamat utama kita semua adalah untuk merealisasikan impian 'ISLAM UNTUK SEMUA' di bumi Sabah. Saya tidak mahu anak anak pada masa hadapan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh generasi kini dengan meninggalkan Al Quran. Jika saya tidak mampu menjadi srikandi Salahudin Al Ayubi tetapi biarlah saya berusaha melahirkan dan mendidik generasi muda menjadi pejuang ISLAM yang seterusnya. Sekurang kurangnya saya ada sedikit jawapan yang bisa diberi ketika ditanya oleh ALLAH SWT di akhirat nanti, apakah usaha saya untuk menegakkan agamaNYA.

Sedikit titipan buat insan insan yang ALLAH sentuh hatinya untuk mengenali Al Quran:

Alhamdulillah, ALLAH telah menyentuh hati kalian. Saya juga seperti kalian. Saya mengakui pada mulanya terasa begitu susah untuk membiasakan diri membacanya. Tetapi peganglah sesuatu bahawa untuk mendekati ALLAH itu bukan jalan mudah kerana pasti ada proses tapisannya tetapi tidak juga ada jalan buntu kerana ALLAH pasti membantu hamba hambaNYA. Bersabarlah dan jangan terlalu gopoh. Teringat pengalaman ustazah Noraslina yang sering saya jadikan rujukan. Bagi ustazah, biar lambat asalkan benar. Beliau begitu tegas dalam mendidik anak anak membaca bacaan Al Quran sehingga 'selagi belum lancar, selagi itu tidak boleh beralih bacaan'. Kita tidak mahu bahawa kita dilaknat oleh Al Quran sendiri kerana gopoh untuk mengkhatamkan sehingga lupa hukum dan tidak mengamalkan perintah ALLAH dalam Al Quran.

Daripada Abu Hurairah r.a juga meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

ALLAH mengalakkan kepada hambaNYA sebagaimana ALLAH memerintahkan Rasulullah SAW supaya memperelok dan mengangkat suara ketika membaca Al Quran.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hamba yang kerdil,
merindui kelahiran ulama generasi Al Quran di bumi bawah bayu...
Asiah Yusro..

Saturday, February 26, 2011

Hati yang paling indah


Sehingga saat ini, saya masih termenung panjang tatkala mengulang baca sebuah sajak yang baru saya siarkan dua hari yang lalu.

CINTA 100%.

Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.

Andai mereka bertanya, lalu berapa pula peratus cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…

Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.


KETIDAKADILAN
Saya akui, dalam melewati pertengahan usia tiga puluhan ini, dari sehari ke sehari kian kerap saya mengimbas pengalaman masa lalu, mengutip pengajaran dari kehidupan, terutama kenangan-kenangan yang pahit dan mencabar. Yang banyak merobek hati dan menitiskan airmata kepedihan.

Walau siapa pun saya, saya tetap seorang manusia biasa yang adakalanya tewas dengan emosi sendiri. Dan saya yakin, tiada seorang pun yang terkecuali dari mengalami situasi ini.

Telah banyak kita membaca, mendengar dan menyaksikan, bagaimana sebahagian orang mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada anak-anak; makan minumnya dijaga rapi, pakaian, permainan, hiburan dan segala yang diinginkan oleh si anak dari kecil hingga menginjak dewasa diberi tanpa banyak soal.

Namun, bila melihat sikap si anak yang bagai melupakan budi orang tua, mereka kecewa. Limpahan kasih mereka kepada si anak dibalas dengan curahan kata-katanya yang menyakitkan, memberontak, tidak mendengar nasihat dan seumpamanya.

Berapa ramai pula para isteri yang meluah masalah, telah melakukan yang terbaik untuk suami tercinta. Memasak makanan kesukaannya, menatahias kediaman mereka agar bersih dan selesa, membasuh dan menyediakan pakaiannya, mengasuh dan mendidik anak-anak sewaktu ketiadaan suami di rumah, berusaha menenangkannya saat suami berhadapan masalah, merawat kesakitannya dan lain-lain khidmat bakti seorang isteri buat suami yang dikasihi.

Namun, bila satu-satu ketika, isteri juga memerlukan perhatian serupa, suami bagaikan tidak perasan, lebih bersikap acuh tak acuh dalam mempamerkan penghargaan. Lalu, isteri makan hati dan merajuk kerana merasa dirinya tidak dihargai dan disayangi.

Demikian seterusnya, suami menjeruk rasa terhadap isteri, rakan sesama rakan, jiran antara jiran, pendakwah terhadap mad’unya, kakitangan bawahan terhadap majikan/pihak atasan mereka dan lain-lain lagi.

Di satu pihak mereka merasa hanya banyak memberi, tetapi tidak terlalu kerap menerima.

Terbit justifikasi, adilkah keadaan sebegini?

KISAH SEKEPING HATI
Suatu ketika, seorang pemuda yang tampan berdiri di tengah-tengah kota dan mendakwa bahawa dia memiliki sekeping hati yang paling cantik. Lalu diangkat hatinya setinggi yang boleh agar kilauan dari hati yang indah itu dapat dilihat oleh orang lain di sekitarnya.

Tersebar bicara kekaguman orang ramai. Sememangnya hati pemuda itu, tiada cacat celanya. Tidak carik walau sedikitpun. Permukaannya licin sempurna. Warnanya juga segar dan menyerlah pesona seorang anak muda.

Pemuda tampan itu mulai merasa bangga dengan pujian yang diterima. Sorakannya semakin kuat mewar-warkan betapa indah sekeping hati yang dimilikinya.

Tiba-tiba, di tengah-tengah keriuhan itu, muncul seorang tua. Langkahnya perlahan menuju ke arah pemuda tampan. Lagaknya, seolah dia mahu membicarakan sesuatu.

“Wahai anak muda, mengapa kulihat hatimu hampir tidak seindah hatiku?” Orang tua tersebut bertanya dalam nada suara yang agak lemah tetapi penuh keyakinan. Orang ramai dan si pemuda mulai berkeliling mengerumuni orang tua.

Mereka mendengar degup yang kuat tercetus dari hatinya, tetapi hati itu dipenuhi luka. Di satu sisi, kelihatan permukaannya bertampal-tampal. Ada potongan hati yang diambil dan potongan yang lain dimasukkan ke dalamnya, tetapi ia kelihatan tidak berpadanan. Pada satu sudut yang lain, terdapat pula beberapa tanda patah. Bahkan, di beberapa tempat, terdapat lubang yang dalam, di mana seluruh bahagian permukaannya telah hilang.

Melihat itu, orang ramai saling berpandangan.

TERTANYA-TANYA
"Bagaimana orang tua ini boleh mengatakan bahawa hatinya lebih indah?" fikir mereka.
Sementara itu, pemuda tampan tertawa.

"Tentu engkau bergurau, wahai orang tua," katanya.

"Kalau dibandingkan hatimu dengan hatiku, apa yang aku ada ini adalah sangat sempurna, sedangkan kepunyaanmu begitu berantakan dengan bekas-bekas luka dan air mata," lanjutnya lagi.

"Ya, memang benar" tukas si tua penuh kesabaran.

"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarnya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap seorang yang telah aku berikan cintaku buat mereka. Aku merobek sepotong hatiku dan memberikannya kepada mereka, dan setiap kali itu juga mereka memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi tempat kosong di hatiku ini, tetapi kerana potongan-potongan itu tidak tepat, lalu menyebabkan ketidaksempurnaannya, bahkan ia kelihatan kasar dan tidak rata.

Namun, aku tetap menghargainya, kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami. " Panjang lebar bicara orang tua. Si pemuda tampan terpaku mendengar patah katanya.

"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku, tetapi orang yang kuberikan potongan hatiku itu, tidak memberikan kembali sepotong hatinya kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini. Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang dan kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia akan tetap terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lompong-lompong kosong yang sekian lama kutunggu-tunggu agar ia diisi.

Nah, sekarang fahamkah engkau tentang kecantikan sejati? " Si tua mengakhiri kata-katanya.

Pemuda tampan itu terus terdiam. Dia menundukkan kepala dengan air mata mengalir di pipinya. Dia menghampiri orang tua, mengambil hatinya yang sempurna, muda dan cantik itu dan merobek keluar satu potongan darinya. Dia menawarkan potongan tersebut kepada orang tua dengan tangan gementar.

Si tua itu menerima pemberian tersebut lalu meletakkannya pada hatinya dan kemudian mengambil pula sepotong dari bekas luka lama di hatinya dan menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda itu.

Sungguhpun ia sesuai, tetapi ia tidak sempurna, kerana ada beberapa tanda patahan.
Orang muda itu menatap hatinya yang tidak lagi sempurna tetapi kini lebih indah dari sebelumnya, lantaran cinta dari hati orang tua itu kini mengalir kepada hatinya. Mereka bergandingan dan berjalan bersama meninggalkan orang ramai terus terpaku dengan peristiwa menginsafkan itu.

HATI YANG PALING INDAH
Saya menangis. Seakan terpancar kefahaman di dalam diri ini bagaimana anjuran ‘mencintai’ yang dimaksudkan oleh junjungan mulia, Muhammad SAW menerusi sabdanya yang bermaksud :

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ia bermaksud, memberi sepenuh hati. 100%. Yang terbaik!

Sebagaimana kita menginginkan yang terbaik buat diri sendiri, begitulah juga sewajarnya yang kita lakukan/berikan kepada orang di sekitar.

Tetapi, dengan satu ingatan. Jangan pula mengharap balasan yang sama, 100% , terhadap apa yang telah diberikan itu, kerana bila pemberian mengharap balasan, maka dibimbangi tiada lagi keikhlasan padanya.

Justeru itu, tidak hairan mengapa Rasulullah SAW diiktiraf oleh ALLAH SWT sebagai semulia-mulia insan. Setelah sekian banyak hinaan, cacian dan penderitaan yang dialami, baginda tetap tampil menyebar salam beserta senyuman.

Tujahan batu-batu, diganti dengan kalungan doa, lemparan najis, diganti dengan untaian budi.

Firman ALLAH SWT :

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad ) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” ( Surah al Qalam ayat 4 )

Justeru itu, mari bersama kita usahakan, walau kasih tidak dihargai, kita tetap memberi. Walau khidmat tidak dipeduli, kita terus mencurah bakti.

Ingatlah, andai satu ketika kita tidak mengenal erti kehancuran, kita tidak akan pernah tahu apa yang membuatkan kita utuh dan teguh untuk hari-hari seterusnya.

Yakinlah :


ALLAH mahu mendidik kita, DIA ingin mengingatkan kita bahawa tiada cinta yang sempurna selain cinta-NYA, yang hanya dapat dirasakan oleh pemilik hati-hati yang mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Hati yang sering dilukai lalu sembuh setelah dirawat dengan zikir kepada ilahi, adalah hati yang indah, bercahaya dengan kasih dan sayang dari Yang Maha Esa. Walaupun luka masih ada, namun sifat sabar, reda dan bersedia memaafkan menjadi ‘antiseptik’ yang menahan luka itu dari dijangkiti kuman dendam yang membawa derita berpanjangan.

Akhirnya, bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami dan menghargai.

Dari Ustazah Kesayangan Saya di sini

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Artikel ini sangat berkesan di hati saya kerana saya mengingati betapa saat saat saya sering dilukai dan disakiti pada waktu yang terdahulu. Namun segalanya terubat apabila saya menerima pentarbiyahan dariNYA. Tika diri saya ini mencari jawapan di manakah diri saya yang dulu, Asiah Yusro yang dulu tatkala diri saya begitu hebat diuji dengan mehnah dan tribulasi, tulisan ini mengingatkan saya kembali bahawa setiap kelukaan yang saya lalui tika ini, pasti ALLAH simpankan sesuatu yang terbaik buat saya, seperti mana DIA menghadiahkan saya keindahan mengenal cintaNYA tika saya berada kejauhan pada waktu dulu... Serahkanlah segalanya pada ALLAH kerana saya meyakini ALLAH mengetahui tahap kemampuan hambaNYA dan saya memohon ALLAH menerima diri saya yang sangat fakir dan lemah di sisiNYA.


"Jika dirimu sudah berasa manisnya dekat dengan ALLAH SWT, pasti kau akan berasa pahit apabila jauh dariNYA"

Dengan kecantikan mu, kau lebih elok dari matahari...
Dengan akhlakmu, kau lebih wangi dari haruman..
Dengan rendah hatimu, kau lebih tinggi dari rembulan...
Dengan kelembutanmu, kau lebih halus dari rintik...
maka
pertahankanlah keindahan ini
agar kau terus terusan menjadi sayap kiri perjuangan
penegak kalimah ALLAH di muka bumi...
Bila kau letih dan hilang semangat..
ALLAH tahu betapa kau telah mencuba sedaya upaya..
Bila tangismu berpanjangan dan hatimu kedukaan...
ALLAH telah mengira titisan air matamu..
Bila kau rasa ketinggalan dan masa telah meninggalkanmu..
ALLAH sentiasa di sisimu
Bila kau telah mencuba segalanya tetapi tak tahu tujuan
ALLAH ada jalan penyelesaian
Dan bila tidak ada yang bererti dan buatmu keliru dan kecewa
Ingatlah ALLAH adalah jawapannya...

Sabda Rasulullah SAW:

Barang siapa dikehendaki ALLAH SWT padanya sesuatu kebaikan..
Maka diberiNYA penderitaan..

(HR Bukhari/5213 Ahmad/6937 Malik/1477)

Friday, February 18, 2011

Jadilah Mahasiswa yang peduli!




“Aku pesankan kepada kalian agar memperlakukan kaum muda dengan baik. Sebab, hati mereka lebih lembut. Ketahuilah, sesungguhnya Allah mengutusku sebagai saksi, pemberi kabar gembira dan pemberi peringatan.Ternyata orang-orang mudalah yang menyambutku dan orang-orang tualah yang menentangku. Sesungguhnya mereka adalah Pemuda2 yg beriman kepada Rabb mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. " (Kahfi 18:13)


Bismillahirahmanirahim
InsyaALLAH, entri ini ditulis untuk mengajak mahasiswa/ mahasiswi UNIMAS untuk sama sama memberikan sokongan dan melibatkan diri dalam Pilihan Raya Kampus UNIMAS 2011.

Saya ditanya oleh seorang sahabat mengapa saya yang sudah bergraduasi ini masih ambil peduli tentang perkembangan perjuangan mahasiswa di UNIMAS. Sesungguhnya hati saya bercampurbaur menjawab persoalan ini. Maka jawapan saya adalah walau di mana anda berada dan keluaran jenama universiti mana sekalipun, anda tetap seorang mahasiswa. Dan seperti yang sedia maklum, generasi yang bernama mahasiswa ini dipandang tinggi oleh masyarakat. InshaALLAH suara mereka akan didengari dan segala tindak tanduk mereka akan
dicontohi. Sebagai golongan intelektual, sudah menjadi tanggungjawab seorang mahasiswa untuk menyumbang kepada pembangunan ummah dan generasi rabbani. Kita harus ingat bahawa syarat utama untuk menjadi agen pembangunan adalah dengan membangunkan peribadi sendiri.

"You become the change that you want to see"
Mahatma Gandhi


Bagaimana kita hendak membangunkan diri sendiri jika skop mahasiswa pada masa kini hanyalah tertumpu pada 'exam oriented' semata mata tetapi hal sekeliling tidak diambil peduli. Kalau boleh, kita mahu melahirkan mahasiswa yang bukan kaki buku sahaja tetapi punya ruh perjuangan. Kita mahu hapuskan kebatilan dan tegakkan kebenaran. Secara konklusinya, di medan mana pun kita berada, kita sebagai mahasiswa ini harus sentiasa mengaktifkan "alarm" kita terhadap perkembangan yang berlaku dalam perjuangan mahasiswa kerana saya meyakini firman ALLAH dalam Surah At Taubah ayat 71:


"Dan orang mukmin lelaki dan perempuan sebahagian daripada mereka adalah penolong daripada sebahagian yang lain, mereka menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran, mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, taat kepada ALLAH dan Rasul. Mereka itu akan dirahmati ALLAH. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Kuat lagi Maha Bijaksana."
Kadang kadang saya sendiri bertanya bahawa potensi apa yang perlu ada pada seorang mahasiswa?. Adakah cukup sehelai kertas sebagai tanda kejayaan menamatkan kursus yang diikuti ketika dikampus. Maka dengan senang hatinya kita membawa kertas tersebut sebagai tanda kemegahan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Gaji yang lumayan, kereta yang besar, rumah yang cantik, adakah itu kualiti kehidupan yang diidamkan oleh mereka yang bernama mahasiswa? Saya percaya mereka yang bergelar mahasiswa yakni golongan intelektual (bijak pandai) pasti punya impian menyumbang untuk agama dan ummah. Hal ini kerana sesungguhnya mereka yang cerdik akalnya itu tidak akan hanya membiarkan dirinya dipandu oleh hawa nafsu semata mata tetapi inshaALLAH pasti memegang dua warisan Rasulullah SAW iaitu Al Quran dan sunnah. Terasa diri saya begitu mencemburui pemuda Kahfi pilihan ALLAH SWT yang begitu terpelihara daripada kezaliman dan kisah mereka dinukilkan dalam Al Quran Kareem. Saya percaya pemuda dan pemudi yang bertaqwa pasti amat disayangi oleh ALLAH SWT.



Betapa saya mengimpikan bersama sama golongan mahasiswa yang sentiasa bersedia menginfaqkan diri dalam menyuarakan kebenaran . Saya meyakini bahawa dengan sedikit perjuangan kita dan sikap ambil peduli kita dalam aktiviti kampus bisa melatih kita untuk menjadi generasi ulul albab yang bisa menyumbang untuk ummah. Sampai bila kita hendak melihat saudara saudara seISLAM kita ditindas sesuka hati diseluruh dunia sedangkan kita hanya bersenang lenang, duduk bercanda menikmati hidup di sini. Biarpun mungkin kita tidak berpeluang mengangkat senjata tetapi jadikanlah kita insan yang 'mampu' memberi sesuatu dengan menjadi agen perubahan kepada masyarakat.Bagaimana hendak menjadi agen perubahan? Maka jadilah mahasiswa yang punya pakej lengkap, pengetahuan tidak terbatas hanya pada kursus yang diambil semata mata tetapi mendalami skop ilmu yang lebih luas. Jadilah mahasiswa cakna yakni tidak memandang sepi kepada pilihan raya kampus tetapi melibatkan diri secara proaktif kerana yakin bahawa pilihan raya kampus sebagai salah satu wacana untuk membuat perubahan demi kebaikan ummah.


Sampai bila kita hendak menjadi mahasiswa yang lesu?


Seringkali kita menantikan kelahiran Salahuddin Al Ayubi yang kedua,tetapi mengapa kita
sendiri yang tidak berusaha menjadi atau melahirkannya??

Tepuk dada, tanya iman..


Calon pilihan saya untuk Pilihan Raya Kampus UNIMAS..
Jangan ditanya mengapa saya memilih mereka kerana saya percaya jika saya memilih mereka kerana kelebihan, kelebihan pasti datang bersama kekurangan, jika saya memilih mereka kerana kebaikan, kebaikan pasti ada sedikit kecacatan tetapi saya serahkan segala penggantungan kepada ALLAH SWT. Saya memilih mereka yang meletakkan ISLAM di tempat tertinggi sekali...

Itulah harapan saya kepada calon calon ini... wallahualam


Monday, February 14, 2011

Selamat menyambut Hari Kekasih!


Wahai Rasulullah,
Tika ini, jika engkau hadir bertamu,
Mungkin mengalir deras airmatamu,
Dek kesayuan mengenang umatmu,
Terlalu jauh dari Allah dan risalahmu,

Wahai Rasulullah,
Nafsu kini menjadi tuhan,
Harta dan pangkat menjadi sembahan,
Melalaikan segala arahan & janji ketuhanan,
Ibadah dirasa berat tidak tertahan,
Al Quran bukan lagi panduan kehidupan.

Wahai Rasulullah,
Kedamaian rumahtangga semakin hancur,
Sikap curang semakin subur,
Peranan ibubapa kian gugur,
Ketaatan anak-anak turut melebur,
‘Barah' di dalam keluarga menjadi parah,
Akibat solat yang tiada berarah,
Amat jauhlah keikhlasan ibadah

Wahai Rasulullah,
Kami tidak mahu lupai jasa & kesukaranmu,
Namun ramai mendustakan ajaranmu,
Harta kini lebih dicintai dari cintamu,
Cinta Allah & Rasul menjadi lafaz kaku,
Seperti khayalan yang nyata palsu,

Wahai Rasulullah,
Dosa kami ibarat lautan tidak berpenghujung,
Namun dirasa umpama lalat di hujung hidung,
Hinggapnya hanya sebentar,
Bila ditepis ia tidak lagi berkunjung...
Taubat kami kurang kekesalan,
Tiada penghayatan, tiada keinsafan
Hati kian berkarat, dipenuhi dosa tanpa Nur Tuhan,
Anehnya, kami masih merasa layak ke syurga idaman,

Wahai Rasulullah,
Aurat wanita tercemar kian,
Berbangga ditayang & dihias berlebihan,
Ditagih penghargaan dan kalam pujian,
Tidak dipeduli murka Tuhan,
Bapa & suami dayus suatu kebiasaan,
Cuaikan amanah ketua keluarga lantikan tuhan,


Wahai Rasulullah,
Bersamamu, kami merindui kehidupan,
Namun adakah diri ini punyai kelayakan,
Dibanding sahabat, tabien & solihin yang beriman,
Dimanakah tempat kami di sisi insan kesayangan Tuhan,
Dipohon syafaatmu duhai kekasih pilihan,


Wahai Rasulullah,
Belas Allah kami harapkan,
Moga , tatkala menjelang kematian,
Jiwa yang sejahtera dapat kami hamparkan.


Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Leicester, UK
31 Ogos 2010

Tulisan Murabbi disini

Thursday, February 3, 2011

Bilakah waktu rehat itu??


Tatkala diri terasa ingin beradu kerana keletihan melayari kehidupan sebagai seorang jururawat, telefon bimbit kesayangan saya bergetar. Terasa di hati ingin membiarkan sahaja kerana sesungguhnya tenaga tubuh perlu di top up akibat kesibukan hospital pada waktu pagi yang amat memerlukan ketangkasan mental dan fizikal. Namun saya menggagahi juga tangan kurniaan ALLAH untuk mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja.

1 Message Received

Layyinul Harir:
Assalamualaikum kak Asiah, Hana sekarang berada di Bandar ******, katanya ingin bertemu dengan kakak sebelum berangkat ke Sandakan. Kalau kakak free, boleh pergi jumpa dia? ;)

Terbayang wajah manis Layyinul Harir, anak usrah saya yang kini Alhamdulillah telah mula mengorak langkah dalam perjuangan. Senyuman manis Hana juga bermain main pada anak mata saya. Sejujurnya saya mengatakan bahawa tika itu diri saya ini begitu berat untuk bangkit dari tempat pembaringan. Dalam hati sedikit merungut kerana waktu rehat saya diganggu. Apatahlagi pada waktu waktu ini diri saya juga diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi dalam perjuangan dakwah. Terasa ALLAH SWT memberikan peringatan kepada saya bahawa kerja kerja meneruskan perjuangan para nabi dan Rasul bukan satu kerja mudah. Seorang yang bergelar daie itu sudah pasti memahami bahawa tuntutan yang perlu dipenuhi adalah melebihi masa yang dia miliki.

Langkah demi langkah yang diatur dalam perjuangan mendidik ummah untuk menegakkan ISLAM ini kadang kadang saya rasakan terlalu berliku. Apatahlagi dengan keterbatasan pergerakan saya buat masa kini kerana nenda saya yang sakit dan memerlukan perjagaan rapi. Malah saya terpaksa membatalkan beberapa kehadiran ke program program penting kerana ada tanggungjawab yang lebih aula menanti saya. Kerisauan ibubapa kepada kesihatan saya juga menyebabkan mereka agak kurang membenarkan saya bergerak ke sana kemari kerana mereka mengatakn bahawa diri saya ini seolah olah tidak ada waktu rehatnya. Saya memahami kerisauan dan kebimbangan mereka yang sangat berasas. Cuma bagi diri saya, saya berasa sebenar benarnya tidak sihat apabila saya hanya duduk diam tanpa berfikir atau berbuat apa apa tentang perjuangan. Itulah sakit kronik yang paling perlu dirawat!

Saya mengakui kadang kadang bahawa diri saya ini juga berasa penat sehingga terasa ingin bercuti sekejap dari jalan dakwah dan tarbiyah ini. Apatahlagi kesempitan dan kepayahan sentiasa membayangi hari hari yang dilalui. Setiap kalinya saya berfikir sedemikian, setiap kali jugalah imbasan memori bersama gadis yang saya rindui dalam artikel ALLAH always save the best for the last bermain di fikiran saya. Saya menyedari bahawa gadis yang saya rindui itu tidak akan wujud tanpa ada insan insan yang tika itu juga berusaha untuk mentarbiyah dirinya. Dan jika difikirkan fikirkan, mungkin juga tanpa usaha insan insan yang mentarbiyah diri saya tanpa pernah kenal erti penat lelah, saya tidak akan mampu mencoretkan sesuatu pada 'bidadari' kesayangan saya ini.

Malu rasanya untuk bertentang mata dengan Rasulullah SAW di padang Masyar kelak kerana merungut hanya semata mata kepenatan yang sedikit itu tidak mampu di atasi. Malahan diri ini cukup takut sekiranya Rasulullah SAW tidak mengakui bahawa diri ini adalah sebahagian daripada penyambung mata rantai perjuangan Baginda. Apalah sangat langkah yang dihayun oleh diriku yang kerdil dan lemah ini berbanding perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalahnya. Perjuangan baginda dan sahabat sahabat sehingga ke titisan darah yang terakhir sedangkan pada zaman kini rungutan demi rungutan diberikan hanya kerana titisan peluh yang sedikit.

Selain itu saya juga menginsafi perjuangan umat ISLAM pada masa kini. Apatahlagi tika ini, saudara seagama di Mesir sedang berjuang menentang kebatilan. Belum lagi dicampur dengan perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah mengenal erti penat. Sesungguhnya perjuangan sebegini yang memotivasikan saya. Dunia hanya dilihat sebagai satu padang bola. Akhirat dikejar tanpa menoleh kebelakang melihat dunia. Teringat pesanan yang dikongsikan sahabat saya yang mengatakan bahawa jangan biarkan anak anak akhirat tertawa melihat anak anak dunia yang berlari hanya kerana mengejar sebiji bola! Terpulanglah sama ada kita mahu menjadi anak dunia ataupun anak anak akhirat.

Akhir akhir ini saya sering bermuhasabah diri. Saya memohon keredhaan ALLAH swt dalam setiap langkah yang diatur pada pentas perjuangan yang terlalu panjang ini. Istilah cuti atau rehat untuk seorang kader dakwah hanya apabila dia bertemu dengan janji ALLAH swt di syurgaNya kelak. Yang lebih baik untuk seorang daie itu adalah kerehatan yang sedikit tetapi mampu memulihkan tenaganya untuk melangkah dan kerehatan sebenar di dunia ini paling bisa ditemui tatkala kita bersujud dan menangis padaNYA di sepertiga malam.

Akhirnya setelah pertemuan singkat saya dan Hana, cukup bisa memulihkan tenaga saya yang telah hilang dan saya lebih bersemangat untuk bermujahadah pada keesokan harinya. Perjumpaan singkat itu bagi saya sebagai peringatan ALLAH SWT bahawa diri saya ini masih punya tanggungjawab untuk membawa galian galian berharga yang ALLAH hadiahkan buat saya ini sehingga beroleh kefahaman dan mudah mudahan generasi inilah yang akan menjadi murobiah, wanita pendidik ummah suatu hari nanti. Tulisan ini bukan untuk bertujuan riak atau menunjuk nunjuk tetapi cukup sebagai peringatan diri saya yang seringkali berasa letih dalam meneruskan amanah ALLAH SWT. Semoga DIA mengampunkan dosa dosa saya...

Dan telefon bimbit merah jambu kesayangan saya bergetar lagi....


2 Messages Received:

019XXXXXXX:
Assalamualaikum Kak Asiah, ingat lagi saya? Kita jumpa masa Rehlah Nisa' Sepanggar hari itu. Rindu dengan akak. Boleh saya add FB akak?

Aisyah:
Kak Asiah... lama tidak bertemu, bila akak ada kelapangan, rindu berusrah bersama....

Saya tahu bahawa ALLAH menghadiahkan galian berharga untuk saya lagi ;)


Asiah Yusro
Murobbiah to be?
InshaALLAH ^^,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...