Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Wednesday, July 28, 2010

Agar Bidadari Cemburu Padamu


Salam semerdu suara bidadari,buat akhawat yang jiwanya mudah tersentuh dengan kebenaran..tulisan ini adalah pemujuk bagi jiwanya yang dipanah cemburu terhadap sang bidadari ciptaan Allah..

“Sesungguhnya orang-orang bertaqwa berada ditempat yang aman. Di dalam taman-taman dan mata air – mata air. Mereka memakai sutera halus dan sutera tebal,(duduk) berhadap-hadapan.Demikianlah…dan Kami jodohkan mereka kepada bidadari bermata jeli” (QS. Ad Dukhan 51-54)

“dan ada bidadari bermata indah,laksana mutiara tersimpan indah” (Surah al-waqi’ah 22-23)

Subhanallah,bila terbaca ayat ini dalam al-quran ada timbul rasa cemburu pada sang bidadari ciptaan terindah Ilahi,begitu tidak dapat saya bayangkan keindahannya, gadis-gadis muda bermata jeli,dihatinya penuh cinta dan setia, laksana mutiara tersimpan indah tidak terusik walaupun sedikit,masih terpelihara fitrah muslimatnya tetap terpelihara dalam jagaan Allah

Cemburu itu bukan hanya terbit di hati saya,tapi di hati ummu salamah,isteri baginda Rasulullah S.A.W.

Tapi tenang sahaja,(^_^).Allah bersifat dengan ke’adilannya..maka tercetuslah dialog antara ummu salamah dengan baginda S.A.W,yang patut kita ambil ihtimam,bahawa wanita dunia juga patut di cemburui oleh bidadari,tapi wanita dunia yang bagaimana?

Imam Thabrani meriwayatkan sebuah hadis dari Ummu Salamah,bahawa Ummu Salamah Radiallahu ‘Anha telah berkata :”Ya Rasulullah, jelaskan padaku firman Allah tentang bidadari-bidadari yang bermata jeli…”

Baginda menjawab,”Bidadari yang kulitnya bersih,matanya jeli dan lebar, rambutnya berkilau bak sayap burung Nasar.”

Aku (ummu salamah) berkata lagi,”Jelaskan padaku ya Rasulullah, tentang firmanNya: “Laksana mutiara yang tersimpan baik…”(QS. Al Waqi’ah 23)

Baginda menjawab,” Kebeningannya seperti kebeningan mutiara di kedalaman lautan, tak pernah tersentuh tangan manusia…”

Aku bertanya,” Ya Rasulullah jelaskanlah kepadaku tentang firman Allah; “ Di dalam surga itu ada bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik…”(QS Ar Rahman 70)

Baginda menjawab,” Akhlaqnya baik dan wajahnya cantik jelita”.

Aku bertanya lagi,” Jelaskan padaku firman Alloh: “ Seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan baik…”(QS As Shaffat 49)

Baginda menjawab,” Kelembutannya seperti kelembutan kulit yang ada pada bahagian dalam telur dan terlindung dari bahagian luarnya, atau yang biasa disebut putih telur.”

Aku bertanya lagi,” Ya Rasulullah jelaskan padaku firman Allah ; “Penuh cinta lagi sebaya umurnya…”(QS Al Waqi’ah 37)

Baginda menjawab,” Mereka adalah wanita-wanita yang meninggal di dunia dalam usia lanjut dalam keadaan rabun dan beruban.Itulah yang dijadikan Allah tatkala mereka sudah tahu, lalu Allah menjadikan merka sebagai wanita-wanita gadis, penuh cinta, ghairah, mengasihi, dan umurnya sebaya.”

Aku bertanya,” Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli?”

Baginda menjawab,” Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat.”

Aku bertanya,” Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?”

Baginda menjawab,”Karena Solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya diwajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara, dan sisirnya terbuat dari emas.Mereka berkata,”Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya.”

Aku berkata,” Ya Rasulullah, salah seorang wanita diantara kami pernah menikah dengan dua, tiga atau empat lelaki lalu meninggal dunia.Dia masuk syurga dan mereka pun masuk syurga. Siapakah diantara lelaki itu yang menjadi suaminya di syurga?”

Baginda menjawab,” Wahai Ummu Salamah, wanita itu disuruh memilih, lalu dia pun memilih siapa diantara mereka yang paling baik akhlaqnya. Lalu dia berkata,”Rabbi, sesungguhnya lelaki inilah yang paling baik tatkala hidup bersamaku di dunia. Maka nikahkanlah aku dengannya…”

…Wahai Ummu Salamah, akhlaq yang baik itu akan pergi membawa dua kebaikan, dunia dan akhirat.” (HR Ath Thabrani)

Subhanallah..beruntunglah wanita yang masih kekal menjaga fitrah,sehingga membuat bidadari yang cantik jelita cemburu padanya..seperti peribadi ummul mukminin saidatinah khadijah,saidatinah ‘aisya,saidatinah Fatimah dan banyak lagi wanita dunia yang akhirnya menjadi pemimpin para bidadari disyurga (subhanallah..subhanallah..subhanallah). buat sahabat akhawat, wanita cantik tidak semestinya solehah,tapi muslimat solehah itu semestinya cantik dipandangan Allah..


Taken from: Laman Nisa' Sabah
Picture: Google

Friday, July 23, 2010

UPPS di hatiku


Donut UPPS ^_^

Bismilahirahmanirahim
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh
UPPS?
rasa rasanya sepanjang hidupku di Kolej Perubatan, UPPS adalah sebutan atau pertubuhan yang paling aku geruni. Mengapa? mesti kalian hairan.. kerana di waktu zaman kegelapanku, pembaca mawar sakinah mesti sudah sedia maklum, diri ini sememangnya jauh dari surau. UPPS merupakan singkatan kepada Unit Perwakilan dan Pengurusan Surau Kolej Perubatan.

Unit yang boleh dikatakan yang boleh membuatkan diri ini sakit alergik. Pantang ada muktamar, diri ini sentiasa mencari alasan untuk melarikan diri. Pantang ada aktiviti surau anjuran UPPS, mesti bermacam sakit yang datang. Malah, ada antara AJK UPPS merupakan sahabat terdekat ku sendiri, tidak putus putus untuk mengajak menyertai aktiviti UPPS namun diri ini terasa begitu berat melangkan. Benarlah, ALLAH pemilik hati hati manusia. Sekiranya ALLAH belum menggerakkan hati manusia, ajak macam mana pun, tetap terasa berat untuk pergi.

Sebenarnya di hati kecil ini, ada keinginan untuk menyertai atau menghadiri, namun perasaan malu ku begitu menebal. Bayangkan seorang seperti diriku menyertai aktiviti surau, sudah tentu menjadi bahan sindiran dan ejekan. Itulah persepsi yang bermain difikiran ku pada waktu itu. Malah kekadang juga aku mengalaminya sendiri, apabila menjenguk muka ke surau

"wah, dah bertaubat ke asiah?"

Merah juga wajah ini dibuatnya. Betapa jauhnya diriku daripada surau ketika itu. Sedangkan surau atau masjid adalah tempat yang dicintai ALLAH s.w.t. Masjid dan surau adalah tempat yang paling tepat buat insan insan yang mencari kekuatan untuk berubah. Malah, diri ini mengalaminya, telah ku ceritakan segalanya dalam universiti kehidupanku.
Apabila mula mencintai surau, ku mula mengenal erti ISLAM, apabila mula menyayangi surau, ku jatuh cinta pada ISLAM dan surau Kolej Perubatan begitu istimewa buatku kerana surau itu adalah tempat bermulanya proses pentarbiyahan dalam diri ini.

Bercerita berkenaan UPPS,
subhanALLAH, alhamdulillah, Allahuakhbar.. bertasbihku kepada yang Maha Esa. Tidak ku pernah merencana dan terlintas di fikiran, akan menjadi sebahagian daripada ahli UPPS. Sungguh, aku merasakan diri ini begitu tidak layak sahabat sekalian. Namun kerana tuntutan dakwah dan gerak kerja ISLAM, ku gagahi juga menyahut cabaran. Biarpun sekecil kecil jawatan yang ku pegang dalam UPPS iaitu sebagai AJK Makanan sahaja namun aku berpendapat, setiap ahli UPPS merupakan ikon kepada pelajar pelajar muslim Kolej Perubatan.

Ahli UPPS hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik bukan sahaja dari segi menguruskan surau Kolej Perubatan, tetapi juga dalam menjadi kebajikan setiap muslim di Fakulti Perubatan khasnya dan di UNIMAS amnya. Bukan mudah untuk menjadi ahli UPPS, ALLAH telah meletakkan amanah yang cukup berat untuk dipikul. Maka, keikhlasan hati dan tarbiyah yang berkesan amat diperlukan sepanjang menjadi ahli UPPS.

Panjang lebar rasanya ku memberikan penerangan sehingga lari dari niat menulis yang sebenarnya. Hari ini adalah muktamar Unit Perwakilan dan Pengurusan Surau Kolej Perubatan. Sedih terasa kerana tidak dapat bertugas untuk kali terakhir sebagai AJK Makanan. Diri ini sudah pulang ke kampung halaman

Pertama sekali, daku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada adik yang sangat aku hormati iaitu rakan seperjuangan menjadi AJK Makanan, Akhi Hasha Zainal. Akhi Hasha sememangnya banyak memberi pengajaran kepadaku. Sesungguhnya aku manusia yang tidak sabar dan mudah melenting. Namun, Hasha sering menenangkanku. Bukan senang untuk menguruskan berkaitan makanan. Alhamdulillah, diberi peluang dapat melatih diriku menjadi lebih sabar dan muslimah sejati ^_^ Biarpun kekadang makanan yang dimasak tidak sedap, Akhi Hasha sentiasa menyenangkan hati ini. Malah selalu menjadi mangsa membeli barang keperluan. Terima kasih dik!

Ramai sahabiyah bertanya, mengapa diri ini selalu "menyusahkan" diri memasak saban minggu. Jawapannya adalah pada ALLAH. ALLAH yang memberi kekuatan untuk memasak, memberi ilham untuk resipi resipi yang dibuat. Ku serahkan segala pergantungan pada ALLAH S.w.t. Setiap kali memasak, tawakalku meninggi kerana kekadang tidak yakin dengan mutu makanan yang disediakan. Pernah juga diri ini memasak ayam masak merah yang terlebih pedas, menangis seisi surau memakannya, insyaALLAH, diri ini sentiasa cuba memperbaiki diri. Terima kasih atas teguran dan tunjuk ajar. Sesungguhnya diri ini rindu sekali untuk memasak terutamanya di surau kolej. Teringat memori membuat donut coklat tetapi tersalah beli coklat. Coklat yang dibeli sepatutnya boleh dicairkan tetapi dipanaskan sejam pun tidak cair juga. Akhi Hasha memujuk supaya buat donut biasa sahaja, tetapi hati ini tetap berkeras. Mujur adik adik ku yang solehah (Amal Athirah dan Farahin) membantu untuk membelikan coklat. Alhamdulillah, berjaya juga menghasilkan donut coklat seperti gambar di atas ^_^




Ayam masak merah yang sangat pedas ^_^



Seterusnya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada saff pimpinan tertinggi UPPS iaitu Akhi Zakaria selaku Pengerusi, Akhi Roslani selaku timbalan pengerusi dan juga Ukhti Noorazizah selaku timbalan pengerusi dua. Seterusnya juga baut semua ikhwan dan akhwat dalam organisasi UPPS yang banyak memberi teguran dan tunjuk ajar. Mohon ampun dan maaf atas kekurangan diri ini. Terima kasih atas bantuan yang diberikan kepada AJK Makanan dan juga kepada diri ini. Moga niat kita sentiasa ikhlas kerana ALLAH dan sentiasa mendapat rahmat daripadaNYA. Sesungguhnya menjadi ahli UPPS merupakan salah satu memori terindahku sewaktu berada di Universiti Mengharap RedhaNYA ini malah diri ini amat menyayangi unit ini kerana begitu istimewa kerana dengan menjadi ahli UPPS ku dapat belajar dan terus menarbiyah diri terutama dari ikhwan dan akhwat yang mantap mantap belaka.

Buat saff kepimpinan UPPS yang baru, tahniah dan takziah diucapkan. Tahniah kerana mendapat jawatan dan takziah kerana sesungguhnya jawatan itu adalah kesengsaraan di dunia dan penyesalan di akhirat. Ikhlaskan niat di hati untuk berkerja kerana ALLAH dan kekallah dalam jalan tarbiyah agar diri kalian berasa lebih kuat di jalan yang penuh ranjau ini. Selamat bertugas!

Di akhir kalam, memetik kata kata Khalifah Umar Abdul Aziz:
Aku bukan seorang qadi, tetapi aku adalah seseorang yang akan melaksanakan perintah ALLAH. Aku bukanlah orang yang terbaik tetapi aku adalah manusia seperti kalian juga. Cumanya aku diberi bebanan yang berat berbanding kalian.

Wallahualam








Wednesday, July 14, 2010

Selamat Tinggal bumi tarbiyah!



Bismillahirahmanirahim
SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar
Sujud syukur ke hadrat ILAHI kerana masih diberi ruang dan kesempatan untuk menulis, mungkin entri sebelum ini terasa sedikit emosional, namun sesungguhnya ku mengambil sesuatu masa untuk rehabilitasi. Malahan jua, diriku begitu sibuk (alasan) menguruskan MINGGU ALUAN PELAJAR (MAP) di mana sekali lagi menjadi Liason Officer (L.O) untuk membantu adik adik permata berharga ini.
Alhamdulillah, seperti biasa sebelum menjadi L.O akan dimulakan dengan Kursus induksi. Pengalaman berkampung di Kolej Tun Ahmad Zaidi cukup indah. Tidak menyangka diriku berpeluang hidup di kampus barat dan timur UNIMAS. Kursus induksi kali ini lebih santai cuma sedikit keletihan kerana terpaksa berjalan jauh dari kolej ke CTF2 (mentang mentang fakulti dan kolej ku dekat kan, ini mungkin untuk melatih tenaga fizikal agar menjadi srikandi gagah)
Aku ditakdirkan bertugas di Kolej Perubatan iaitu kolej ku sendiri. SubhanALLAH, sekiranya empat tahun lalu aku mendaftar di kolej kesayangan ku ini sebagai pelajar baru dan kini aku menjadi salah seorang L.O yang menyambut kedatangan adik adik. Inilah aturan ALLAH yang kita tidak sedari.


Ditugaskan di kolej Perubatan sebagai Penolong Ketua Kolej (PKK), rasa bertuah dapat bekerja dengan sahabat sahabat L.O yang begitu berkaliber seperti Ketua Kolej (KK) Abang Zulhelmi yang banyak memberi tunjuk ajar. Untuk pengetahuan kalian, Abang Zulhelmi merupakan L.O yang menyambut ku sebagai pelajar baru empat tahun dulu. Namun dengan takdir ALLAH mengaturkan aku menjadi pembantunya pula. Selain itu, kami dibantu oleh barisan L.O yang mantap seperti Ukhti Ilhamimi iaitu rakan seperjuangan merangkap cermin ajaibku, junior juniorku yang comel belaka iaitu Debby, Shirley dan Lyon. Malahan, kehadiran sahabat L.O dari kampus utama juga menyerikan suasana iaitu saudara Muazzam sahabat ku yang baik dan juga adik adik yang baik seperti Khairul, Haikal dan Hadi.

Sebelum ini, ku mengakui berasa sedikit gentar kerana tidak pernah bekerja dengan mereka kecuali ukhti Ilhamimi tersayang. Alhamdulillah, sesungguhnya mereka ini adalah insan insan hebat yang telah ALLAH kurniakan dan memberikan aku kesempatan untuk belajar lebih banyak tentang kehidupan. Terima kasih sahabat sahabat L.O!



Sesungguhnya aku mengakui bahawa diriku bukanlah manusia yang sempurna dan kalis dosa. Kadang kadang ku hanyut dibawa arus kelalaian. Ku telah membiarkan adik adik permata berharga ini hanyut bersama. Namun, ku punya satu kekaguman ketika adik adik ini membuat sorakan untuk kolej Perubatan. Mereka begitu bersemangat sekali biarpun dalam kumpulan yang kecil. Malah, kami barisan L.O pun turut berasa bersemangat. Alangkah bagusnya sekiranya semangat sebegini diterapkan dalam perjuangan ISLAM.
Tertarik dengan kata kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS, Akih Hasbullah Najib;

Sekiranya kita punya masa untuk bersorak mewakili kolej kita, tidakkan kita tidak boleh meluangkan masa lima minit untuk solat subuh berjemaah?
Terima kasih Akhi Hasbullah atas teguran yang betul betul menginsafkan. Ya ALLAH, takutnya diriku kerana membawa adik adik ini ke arah kelalaian. Ku rasa diri ini bukanlah insan yang layak ditempatkan di kolej Perubatan untuk mentarbiyah mereka. Apatah lagi, diri ini baru sahaja menghidu nafas pembaharuan dan pembaikan diri. Semoga adik adik ku tersayang terus tsabat dalam perjuangan. Jangan lupa imarahkan Surau Kolej Perubatan yang tercinta ya!


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Itulah antara kisah noktah titik perjuangan ku dan pada tanggal 12 Julai yang lalu, aku telah berangkat pulang ke tanah air meninggalkan bumi tarbiyah tercinta. Aduh, pilu dan sedih meninggalkan bumi tarbiyah apatah lagi meninggalkan sahabiyah setarbiyah. Air mata ini tidak dapat ditahan. Bukan kerana meminta belas kasihan, bukan kerana ingin menunjuk nunjuk tetapi kerana aku tahu sahabat sekalian, aku sudah tidak berada di medan juang yang sama. Diri ini bakal berhadapan dengan jalan juang yang lebih hebat. Jalan juang yang memerlukan pentarbiyahan yang lebih mantap dan berkesan.

Teringat pesanan naqibah tercinta bahawa sekiranya pulang ke tempat sendiri, perkata pertama yang perlu dicari adalah usrah kerana usrah itu nadi perjuangan. Usrah bermasalah, jiwa kacau dan sudah tentu kita menjadi kehilangan arah. Sahabat sahabat sekalian, doakan diriku terus tsabat dalam perjuangan ini. Aku tidak mahu kehilangan anugerah yang indah ini, bertemu jalan tarbiyah

Buat sahabat sahabatku, selamat berjuang. Maafkan diri ini untuk segala kekurangan semasa keberadaan diriku bersama kalian. Teruskan menyampaikan risalah dakwah, jangan takut dan gentar kerana dakwah itu satu kegilaan da kecintaan bukannya satu beban. Terima kasih kerana sudi menerima diriku seadanya, namun aku juga manusia biasa, punya hati dan perasaan, kekadang aku juga merasa terluka dalam perjuangan. Mohon ALLAH kukuhkan ukhuwah di antara kita. Amin
Ingin ku petik kata kata Ukhti Atiqah, terima kasih atas hadiah buku itu. Alhamdulullah, sudah habis membacanya. Terimalah:

Jadikan jalinan antara kita terbina
persis untaian tasbih,
ada awal tiada penghujung,dibentuk untuk mengingatiNYA,
dicantum kerana cintaNYA,
diratib semata mata kerana redhaNYA,
menitis air mata tika merasai kemanisanNYA,
semoga jalan ini kekal dan dirahmati ALLAH

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengumuman penting!

Nama blog ini akan ditukar kepada "Mawar Sakinah" kerana diriku begitu menghormati idolaku iaitu penulis novel Salju Sakinah, Zaid Akhtar.

Beliau mengatakan bahawa lebih baik sekiranya kita ada identiti tersendiri. Terima kasih sifu! ^_^
Bunga mawar merupakan bunga kegemaranku dan sudah tentu ku sentiasakan mengharapkan kedamaian

terimalah

MAWAR SAKINAH!!



Sunday, June 20, 2010

SAYA PENAT!

"Dulu awak cheerleader kan??"

"Eh, tak cheers lagi ke"

"Cheers, cheers, cheers" (sambil menjerit menjerit)

"Eh, kenapa dulu tak pakai tudung, sekarang pakai tudung besar pula?"

"Tak payahla pakai tudung besar besar, awak baru lagi"

"Awak ni, nak berdakwah, awak kena faham, awak tu baru lagi"

"Tak menari dah, dah insaf dah?"

"Orang amcam awak ni, baru pakai tudung, mestilah tak pandai sangat"

Penat... saya penat melayan pertanyaan anda semua... saya sangat penat... saya tahu saya punya zaman silam yang kelam tetapi bagilah saya peluang..

saya rasa penat ;( ;( ;( ;( ;( ;( ;( ;( ;( ;( ;( ;(

Thursday, June 17, 2010

Ikhlas tetapi ditindas?


Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah... syukur, diberi kekuatan untuk bertinta di "salju sakinah" kesayangan hamba. Mungkin para pengunjung Salju Sakinah berasa hairan, mengapa setiap kali diriku yang kerdil ini memulakan coretan di Salju Sakinah, ku mempersembahkan rasa syukur yang teramat kepada Penciptaku. Ya.. sahabiyah sekalian, bukan mudah untuk istiqomah dalam menulis blog. Apatah lagi untuk memberikan yang terbaik dan berkualiti kepada para pembaca.

Diri ini ingin memohon maaf atas segala kedhaifan dan kekhilafan diriku. Maaf sekiranya Salju Sakinah tidak memberi input yang berguna kepada kalian. Segala tulisan yang tercoret disini adalah sama ada buah fikirku iaitu anugerah ALLAH dan juga perkongsian dari sahabat sahabiyah yang sememangnya bermutu. Takbir!

Namun yang paling ditakuti, kehadiran Salju Sakinah dalam diri ini bukan mendekatkan diriku pada Rabbku tetapi menghimpun dosa dosa kering. Maksudku, aku terlalu riak dengan blog kepunyaanku ini. Oh.. betapa susahnya menjadi ikhlas. Manusia tidak dapat menilai keikhlasan manusia lain. Hanya individu itu sendiri tahu sejauh mana ikhlasnya dirinya. Ikhlas diibaratkan semut hitam di atas batu hitam di malam yang kelam. Ya ALLAH.. ikhlaskan hati ku dalam memperjuangkan Salju Sakinah ini.

Aku mengakui, kekadang berasa iri membaca karya karya sahabiyah yang hebat belaka. Ibarat sudah boleh menulis buku. Kebelakangan ini, asyik memikirkan tajuk yang hebat, agar diri ini setaraf dengan mereka. Bermulanya pertumbuhan penyakit hati yang boleh merebak! Menulis kerana inginkan nama tetapi bukan untuk mendapat keredhaanNYA. Sesungguhnya kita tidak dapat memuaskan hati manusia, maka carilah jalan untuk mendapat tempat di sisi ALLAH melalui tulisan

Ingin berkongsi satu cerita menarik berkenaan ikhlas. Memandangkan tulisan pada kali ini berkaitan dengan keikhlasan. Seorang wanita yang bergelar Puan merungut pada seorang pemuda berkenaan dirinya yang tidak pernah naik pangkat biarpun selama ini telah bertungkus lumus bekerja dengan rajin dan penuh ikhlas. Sedangkan teman teman lain yang curi tulang, cantas sana sini, kaki bodek dan kaki ampu begitu mudah mendapat kenaikan pangkat dan kelebihan.

Wanita ini berasa dirinya tertindas kerana baginya siapa yang tidak marah sekiranya selama ini setelah bekerja gigih dan ikhlas tetapi tidak mendapat kenaikan gaji? Di alkisahkan wanita ini sudah menghampiri waktu pencennya, malah mempunyai anak anak yang begitu berjaya dalam profesion masing masing seperti doktor, jurutera dan pensyarah.

Diriku tertarik dengan persoalan yang diberikan oleh pemuda tersebut. Yang mana satukah menjadi pilihan wanita tersebut, anak anak yang berjaya atau naik gaji?
Dengan tenang wanita tersebut memilih anak anaknya berjaya dunia dan akhirat.

Ya.. nikmat ALLAH itu terlalu besar sehingga kita sendiri tidak melihatnya. Teringat prinsip

what you give, you get back
Selalunya kita sebagai manusia yang hina ini, berasa kita sudah cukup ikhlas dan kita menunggu balasan dengan apa yang kita mahukan sedangkan takdir ALLAH begitu misteri. Mungkin bagi wanita tersebut, pembalasan untuk ikhlas bukan di tempat dia bekerja tetapi pembalasan kebaikan kepada keluarganya. Bukankah itu lebih lumayan? Contoh ini juga bisa diaplikasikan dalam bidang dakwah .

Kita bermati matian mencari mad'u ( mereka yang diseru di jalan dakwah), dengan penuh keikhlasan agar mereka dapat menyertai kita dalam menegakkan daulah islamiyah. Namun, sekiranya apa yang kita serukan tidak kesampaian, tetapi keikhlasan kita itu diganti dengan sesuatu yang lebih baik oleh ALLAH iaitu sama ada di dunia ini kita terus mendapat hidayah dan taufiqnya atau memperoleh rahmat naunganNYA di akhirat nanti

Mengambil contoh wanita tadi, keluarga yang bahagia, hati yang tenang dan anak anak yang soleh adalah pembalasan yang cukup indah berbanding kenaikan pangkat atau gaji yang boleh menjadi faktor risiko kepada penyakit cinta dunia.

Mengambil kata kata daripada penulis "Beduk diketuk" dalam Majalah Solusi isu no 19, ikhlas sebenarnya tidak minta dibalas. Tetapi ALLAH Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya.

Janganlah kita mengharapkan ucapan terima kasih dari manusia kerana sesungguhnya manusia ini "sakit jiwa'. Manusia tidak pandai berterima kasih kerana dengan ALLAH pun manusia tidak pernah bersyukur, apatah lagi sesama manusia.

Namun sesungguhnya, ALLAH tidak pernah berhenti memberi, biar manusia tidak berterima kasih kepadaNYA, malah derhaka kepadaNYA tetapi ALLAH masih memberi. Jadi siapakah kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?

Inilah kita manusia, mengapa kita perlu mendustakan segala nikmat yang diberikan. Mengapa perlu berkita tentang keikhlasan dan persoalannya adakah benar mereka yang ikhlas ini tertindas atau soalan yang paling perlu dijawab adalah adakah mereka yang benar benar ikhlas sempat berasa tertindas ketika membuat kebaikan yang tidak dibalas?



Monologku: Ingin mengajak para pengunjung Salju Sakinah untuk sama sama membaca Majalah Solusi, majalah ini banyak sekali memberi input dan info, Tak salah sekiranya berkorban wang ringgit untuk ilmu yang bernilai bukan?


Rujukan: Majalah Solusi
Gambar: Google

Sunday, June 13, 2010

23 tahun ;)

Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah
Diberi kekuatan sekali lagi untuk menulis coretan di "Salju Sakinah" tercinta. Alhamdulillah.. 2 hari yang lalu genap diri ini berusia 23 tahun. SubhanALLAH.. sudah 23 tahun diri ini hidup di muka bumi ini. Teringat kepayahan ibu melahirkan.. rasa hendak menangis. Ibu lah segala galanya.. ibulah ratu hatiku . Ulang tahun kelahiran pada kali ini cukup membawa kegembiraan dan kesedihan. Kesedihan kerana mengenangkan umur ini yang semakin pendek. Amalan ku tidak terjaga, tidak cukup.. sedangkan waktu menghadap Rabbku semakin menghampiri. Mutabaah ku sendiri tidak terjaga.. Ya ALLAH.. takutnya diri ini.. biarlah hidupku dan matiku dalam perjuangan taubat kepadaMU. Kesedihan juga kerana ini adalah ulang tahun kemungkinan yang terakhir diraikan bersama sahabat sahabat di Universiti Mengharap RedhaNYA ini. Ya.. aku pasti akan amat merindui bumi tarbiyah ku.. bumi perjuangan ku.. Namun.. ketentuan ALLAH ku terima dengan hati yang redha. ALLAH MAHA BERKEHENDAK.
Hati ini begitu gembira kerana sahabat sahabat mengingati ulang tahun ku malah turut meraikan. Paling istimewa kerana diraikan dua kali bersama dua kek hari jadi. SubhanALLAH.. terima kasih atas nikmatMU ya Tuhanku kerana memberi sahabat sahabat yang begitu baik.

Sambutan ulang tahun yang pertama adalah oleh sahabat sahabat L.O (liason officer) untuk Asasi UNIMAS. Sungguh tidak menyangka mereka akan meraikan ulang tahun kelahiranku. Alhamdulillah.. pada mulanya mereka mengatakan untuk makan bersama sama di sebuah restoran untuk reunion L.O. Bijak sungguh rakan rakan L.O ku ya ;)



Kek Harijadi Pertama dari rakan rakan L.O

Seterusnya.. sambutan hari jadi oleh sahabat sahabatku iaitu Adila, Nadzirah dan adik adik medic. Terima kasih.. kek harijadi kedua menyusul dan parti kedua menyusul ;)

Alhamdulillah.. mendapat hadiah jam tangan dari sahabat baikku.. hadiah jam tangan ini memberi peringatan tentang masa bahawasanya demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.
Selain itu.. ucapan terima kasih jua buat cermin ajaibku.. Nadzirah dan Norashikin atas pemberian hadiah istimewa. Benda yang paling ku gemari iaitu tak lain tak bukan adalah sehelai jubah. Menjerit dapat hadiah ini, syukran sahabiyah.. semoga kita terus tsabat dalam perjuangan ini.


Syukran, terima kasih atas ucapan ulang tahun dan doa daripada sahabat sahabat, adik adik dan anak anak lollipop. Semoga ALLAH membalas keikhlasan antuna sekalian. Doakan ana agar terus istiqomah dalam perjuangan ini. Indahnya ukhuwah yang dibina kerana ALLAH.. berilah kasih sayang dengan seikhlas hati kerana ALLAH... nescaya kita jua akan mendapat kasih sayangNYA

Seterusnya hadiah paling istimewa adalah puisi daripada adik kecilku yang manis, ukhti Surianah.. terima kasih ye dik ;)


Sahabatku doaku di hari lahirmu
Agar kau sihat sejahtera
Diberi kekuatan menempuh hari hari mendatang
Dapat menerima dugaan bersandang iman dan taqwa
Berulam kesabaran berteman kematangan

Sahabat - doaku di hari lahirmu
Agar terjaga akhlakmu sampai menutup mata
Dikunci kejahatan nafsu dilabuhkan kebaikan
Dibersihkan hati di siram hidayah
Tenang dalam amal sepanjang masa

Doaku di hari lahirmu
Diberi kelapangan hidup dunia dan akhirat
Agar terubat duka yang menjalar dalam hidup
Dan terpadamlah kesuraman lampau

Aku berseru pada seluruh isi alam
pada setiap juzuk yang ada
berdoa untuk kebaikan buatmu

Itu sahaja yang aku mampu
Kerana aku tahu doa itu tidak perlu modal
Tapi perlu pada keikhlasan
dan aku tahu aku punya itu
Kerana kita sama sama tidak punya harta
Selamat hari lahir kakakku sayang
luv u bcoz of ALLAH sayang fillah wa illah

Buat adik su yang dikasihi.. terima kasih, terima kasih atas puisi yang begitu indah... Ana menyayangi enti kerana ALLAH... semoga kita bisa bersama bergelak ketawa dan menjadi bidadari syurga.. amin!



Tuesday, June 8, 2010

Hikmah Musibah


Bismillahirahmanirahim
SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar.. Menghirup udara segar di malam hari, begitulah indahnya ciptaan Rabbku. Biarpun berasa kesunyian kerana sahabat sahabat "junior" sudah pulang ke kampung halaman, namun komputer riba menjadi teman setia. Ku kira sudah lama tidak bertinta di "salju sakinah" kesayangan ini. Diriku yang kerdil ini ingin memohon seribu kemaafan buat pengunjung "salju sakinah". Doakan diri ini diberi kekuatan untuk terus menulis, doakan diri ini terus ikhlas dalam penulisan ini.

Maaf juga ku pinta atas kekeliruan yang berlaku. Salju Sakinah adalah blog milik ku.. Asiah Yusro. Nama Salju Sakinah adalah bersempena dengan novel islamik pertama yang menyentuh jiwaku. Terima Kasih Encik Zaid Akhtar. Tulisan beliau yang begitu menyentuh hati dan insyaALLAH kerana keihklasannya dalam penulisan menyebabkan mesej di dalam cerita tersebut sampai tepat ke lubuk hatiku. Asiah Yusro bukan nama sebenarku. Asiah Yusro adalah nama penaku. Nama Asiah Yusro yang begitu indah ku ambil dari novel islamik yang memperkenalkan diri ini pada halaqah, pada dunia tarbiyah. Itulah dia novel "Tautan hati" karya Fatimah Syarha. Diceritakan dalam kisah tersebut, Asiah Yusro seorang srikandi dakwah yang berjuang dalam menyampaikan risalah islam. Ku sematkan nama Asiah Yusro sebagai nama pena ku kerana ku ingin sekali menjadi seperti dirinya, punya kecintaan yang begitu tinggi dalam dakwah. Dakwah itu bukan beban tetapi kecintaan!

Itulah sedikit mukadimah untuk tajuk yang ingin ku bicarakan. Sahabat sahabat yang ku kasihi kerana ALLAH,
mengharungi hidup ini sememangnya tidak lepas daripada kesusahan dan musibah. Itulah yang dinamakan fitrah manusia. Musibah didefinisikan sebagai perkara yang berlaku yang tidak disukai manusia seperti kematian, kesakitan dan kehilangan, Seringkali kita mendengar rungutan dan keluhan

"Mengapa aku yang ditimpa musibah ini?"
"Apalah dosa dosa ku sampai begini ujianku?"
"Asyik asyik aku sahaja yang ada masalah, tengok si dia tu, bahagia sahaja hidupnya"
Rungutan dan keluhan sebegini adalah amat berbahaya. Mengapa? Rungutan sebegini seolah olah kita mempertikaikan kekuasaan ALLAH sedangkan ALLAh lah yang menentukan takdir dan jalan hidup kita. Adakah kita terlupa bahawa:

"Dia yang menjadikan mati dan hidup adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan kamu yang terbaik amalannya." (Al mulk 67:2)
Sudah tentu ada yang mengatakan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, kita sebagai ISLAM, punya cara sendiri dalam berhadapan dengan musibah. Pengakuan syahadah kita adalah:

Tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH
Sekiranya benar yakin bahawa ALLAH itu adalah Tuhan, mengapa perlu mempersoal? Lihat zaman para nabi, setiap ujian diterima dengan penuh sabar kerana yakin ALLAH itu Maha Berkuasa. Kita hanya berpangkat hamba di dunia ini, sebagai hamba, redhalah dengan pemberian daripada TUAN kita kerana kita sendiri tidak mengetahui beribu ribu hikmah ayng tersembunyi.

Musibah itu merupakan mesej daripada ilahi. Renungilah sedikit hikmah di sebalik musibah iaitu dapat melatih kita bersifat sabar. SubhanALLAH.. betapa besar ganjarannya buat mereka yang sabar sahabatku sekalian kerana sabar itu adalah antara yang paling susah buat seorang mukmin. Selain itu, musibah juga dapat menyucikan hati daripada sifat sifat tercela. Ragam kita manusia yang lemah, apabila ditimpa kesusahan, baru lidah terasa ringan mencari ALLAH. semoga pencarian itu sebagai bentuk penyucian hati dari penyakit penyakit tercela ini.

Namun jangan kita lupa, kekadang musibah juga sebagai peringatan buat kita. Kita yang selama ini alpa dan lalai dan terlalu taksub pada dunia. Allah memberikan musibah agar kita manusia dapat mengambil pelajaran daripada musibah tersebut. Selain itu, musibah menjadi sumber pahala dan kebaikan. Dengan kesabaran dalam menghadapi ujian, ALLAH memberikan pahala yang berlipat ganda kepada insan tersebut. Lihat saja Rasul rasul yang menerima ujian dengan getir tetapi menghadapinya dengan penuh sabar dan mendapat gelaran Rasul ULUL AZMI (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan Nabi Isa)

Bukan mudah untuk menulis berkaitan musibah. Apatah lagi buat diri yang kerdil dan berdosa ini. Namun, melalu tulisan ini sebagai peringatan pada diriku. Kekadang ku melalui saat saat getir. Keadaan kesihatan yang kurang baik menyebabkan emosi sering terganggu. Keadaan kesihatan ayah juga kurang baik, sekaligusmemberi impak besar pada diri apatah lagi peperiksaan besar juga kian menghampiri. Ini hanyalah serba sedikit yang bisa ku kongsikan di Salju Sakinah kesayanganku ini. Sekali lagi ku memohon seribu kemaafan andai artikel di sini kurang menepati citarasa pengunjung. Walau apa apapun, idea dan kekuatan untuk menulis itu datangnya dari ALLAH. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah :)


Sumber Rujukan: Majalah Solusi edisi ke 19
Gambar: Akhi Danang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...