Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Wednesday, September 8, 2010

Layakkah kita menyambut syawal?


Bismilahirahmanirahim
Alhamdulillah... sujud syukur kepada ALLAH S.w.t kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus bernafas di bumi milikNYA ini. Sekali lagi diri ini terpanggil untuk bercoret di Mawar Sakinah kesayanganku. Dalam keheningan dingin pagi di hari akhir ramadhan, tersimpan seribu macam perasaan di dalam hatiku. Allahuakhbar! Tidak lama lagi kita akan menyambut lebaran. Sudah tentu pelbagai persiapan telah di lakukan. Ibu ibu sudah pasti sibuk menghias rumah, anak anak kegembiraan mendapat baju baru, dan dimeriahkan lagi dengan pelbagai jenis juadah yang dirancang untuk disediakan semasa lebaran.

Namun dalam persiapan menyambut raya, sedarkah kita wahai sahabiyah ku sekalian? Ramadhan bulan yang mulia semakin meninggalkan kita. Berpeluangkah kita bertemu dengan ramadhan yang akan datang? Sudahkah kita menggunakan sebaik baiknya "TAWARAN JUALAN MURAH" untuk beribadat semasa bulan yang penuh berkat ini?

Semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, berpeluang mendengar ceramah di radio dari seorang ustaz. Antara intisari ceramah tersebut adalah

Sekiranya kita terlalu gembira untuk menyambut syawal tanpa ada perasaan sedih untuk meninggalkan ramadhan yang mulia, maka ALLAH telah menarik keberkatan dalam bulan ramadhan itu.
Syawal sememangnya bulan yang amat dinanti oleh muslimin dan muslimat namun ingatlah bahawa Syawal adalah tanda kemenangan buat mereka yang berjaya berjuang di bulan Ramadhan. Berjuang melawan hawa nafsu bukan sahaja melalui perut mereka, malah turut merangkumi nafsu mata, telinga, lidah dan seluruh anggota badan

Allah s.w.t yang MAHA PENGASIH dan PENYAYANG telah menghadiahkan SYAWAL buat hamba hambaNYA. Namun, adakah kita tergolong dalam mereka yang benar benar layak untuk menyambut syawal?

Cuba periksa semula amalan kita di bulan ramadhan, sejauh mana kita bisa menghayati dan memanifestasikan segala amalan kebaikan yang kita janjikan? Awal bulan ramadhan kita bersemangat untuk berterawih, tetapi akhir ramadhan sibuk pula membuat kuih raya. Awal ramadhan kita sentiasa istiqomah dengan qiamulail dan tadarus namun akhir ramadhan kita istiqomah di pusat membeli belah untuk mendapat pakaian terbaik dan termurah.

Jadi dimanakah nilai ramadhan kita itu? Apakah nilaian kita untuk menyambut Syawal sekiranya ramadhan yang dilalui tidak dapat membersihkan diri kita dari segala noda noda hitam yang telah melekat selama sebelas bulan dalam diri kita.

Sesungguhnya Syawal itu adalah petanda kesucian. Petanda sucinya seorang hamba yang telah bermujahadah di bulan Ramadhan.Sesungguhnya hanya ALLAH yang berkuasa menilai mutu amalan kita. Artikel ini ditulis sebagai peringatan buat diri ini yang sememangnya sedia jahil dan berusaha memperbaiki diri.

Semoga Syawal yang bakal menjelma bisa menjadi petanda kesucian kita setelah mujahadah membersihkan diri di bulan Ramadhan

Buat semua FOLLOWERS dan pengunjung MAWAR SAKINAH:
Sepuluh tangan disusun, kupohon kemaafan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mohon maaf atas kekurangan menghidupkan Mawar Sakinah ku ini, sesungguhnya diriku ini telah diuji dengan masa. Selain itu, mohon maaf juga atas kekurangan dalam entri yang ku tulis. InsyaALLAH, akan sentiasa memperbaiki diri.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin, Semoga lebaran kali ini menjadi tanda penyucian buat kita semua

Dari Asiah Yusro sekeluarga =)



Wednesday, September 1, 2010

Mari membaca

BismillahirahmanirahimSubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar ... diri ini diberi kekuatan dan peluang untuk bertinta sekali lagi di "Mawar Sakinah" sekali lagi. Bulan Ogos kelihatan seperti satu bulan yang sangat sibuk. Apatah lagi buat pertama kalinya diriku bekerja. Dan pada waktu itu, diriku mengalami kesusahan untuk menyesuaikan masa dan mencari waktu untuk terus bertinta di teratak kesayanganku ini. Terperanjat juga apabila melihat entri untuk bulan Ogos kerana hanya terdapat dua entri sahaja. Satu entri tulisan sendiri, dan satu lagi entri yang disalin dari laman web kegemaranku.

Seribu kemaafan buat semua pengunjung Mawar Sakinah atas keterlewatan untuk menghasilkan entri entri yang bermutu. Bukan sahaja terlewat tetapi tidak menghasilkan entri langsung. Akhirnya diriku ini diuji dengan kata kata sendiri. Dahulunya, diri ini yang sering menasihati sahabat agar menjadikan blog sebagai medan perjuangan namun akhirnya diriku yang menjadi semakin liat. Ingatlah para daie,

Dirimu akan diuji dengan kata katamu sendiri
Terasa otak ini sudah berkarat kerana sudah terlalu tidak menutur kata. Di waktu ini kita berada di 10 malam terakhr Ramadhan. Maka, peluklah Ramadhan mu seeratnya sebelum melepaskan ia pergi, tidak tahu sama ada kita bisa bertemu ramadhan lagi di masa hadapan. Semoga bertemu malam Lailatuqadar


Untuk entri kali ini, teringat kata kata dari Ustaz Pahrol bahawa seorang penulis itu harus lebih banyak membaca agar dapat menghasilkan karya yang lebih bermutu buat para pembaca.
Alhamdulillah, sepanjang pekerjaan diriku menjadi penjaga gerai tshirt labuh, diriku mempunyai masa yang terluang untuk membaca. Beberapa buah buku yang diri ini sedikit terlambat menghabiskan semasa masih belajar dahulu juga berjaya dihabiskan.

Sesungguhnya membaca itu jambatan ilmu, Dengan ilmu, InsyaALLAH iman kita akan bertambah. Pernahkah mendengar bahawa ALLAH S.W.T lebih suka seseorang yang beramal dengan ilmu berbanding mereka yang banyak amal tetapi tanpa ilmu. Namun menyedihkan bahawa terdapat satu kajian dimana daku terbaca di Malajah Solusi bahawa kadar pembacaan rakyat Jepun adalah 40 buah buku untuk setahun sedangkan rakyat Malaysia adalah 4 buah buku setahun. Betapa jauhnya beza?? Sedangkan kita dikatakan mengambil dasar pandang ke timur namun sejauh manakah menjadi realiti.

Inilah antara buku buku yang kucadangkan untuk bacaan sahabat sahabat sekalian.

Buku pertama adalah BUMI CINTA oleh pengarang tersohor negara seberang Pak Habiburahman. SubhanALLAH, membaca buku ini seolah olah tidak sabar untuk mengetahui pengakhirannya. Novel yang bukan sahaja sarat dengan mesej dakwah tetapi juga ilmu pengetahuan. Buku ini mengisahkan pengembaraan seorang pemuda yang ditarbiyah bernama AYYAS yang cuba mempertahankan keimanannya di bumi Rusia. Kelihatan ceritanya begitu ringkas namun jika sahabiyah sekalian membacanya pasti beroleh segala manfaat. Diriku tidak ingin mengulas lebih lanjut, sila beli buku ini untuk maklumat lanjut ya.





Buku kedua adalah HAMAS: Pejuang Suci Baitul Maqdis.

Buat kalian yang masih belum mengenal erti perjuangan HAMAS, buat kalian yang masih bertanya apa itu PALESTIN? buat kalian yang masih dahaga informasi berkaitan Palestin. Buku ini adalah jawapannya. Sesungguhnya buku ini mengupas berkaitan HAMAS, gerakan yang berjuang untuk PALESTIN, gerakan yang tidak akan menggadaikan tanah PALESTIN semata mata untuk pendamaian bersama ZIONIS. Teringat pesanan pimpinan HAMAS yang dicatat dalam buku ini yang penuh syahdu:

Berdoalah agar kita umat ISLAM dapat bersama sama mengerjakan solat di Masjid AL AQSA suatu hari nanti

Buku ketiga: Journey to Space

Melihat diriku membaca buku ini, ramai yang bertanya

"Minat syeikh muzaffar? Dia dah kahwin"
"Dia tak kacaklah, takpayahlah minat"

Dalam hati hanya beristighfar, sesungguhnya terlalu banyak maklumat yang diperolehi dari buku ini. Bukan sekadar meminati watak utama atau ciri fizikalnya sahaja. Sedarlah bahawa ilmu berkaitan angkasa lepas telah tercatat dalam Al Quran. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menerokainya. Ilmu berkaitan angkasa lepas lebih mendekatkan kita kepada ALLAH kerana akan mengingatkan kita pada kuasa yang MAHA BESAR yang mencipta alam ini. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk membaca buku ini.



Alhamdulillah, diri ini masih bekerja di gerai tshirt labuh sahabatku. Namun kekadang hati kecil ku meraung. Perasaan cemburu pada sahabat sahabat yang sudah memperoleh kerja sebagai jururawat semakin meluap. Namun aku terlupa, rezeki itu milik ALLAH, DIA Ar Razzaq iaitu MAHA PEMBERI. Dan sesungguhnya kesabaran itu adalah anugerah yang paling indah.

Gerak kerja ku jua sedikit terbatas. Terdapat pelbagai kekangan untuk ku terus melangkah di jalan tarbiyah ini sehingga ku hampir mendiagnosis diriku sebagai futur. Alhamdulillah, ALLAH memberi jawapan segera kepadaku. Diriku ini lebih mengerti arah tuju perjuanganku. Betapa indahnya rahmat dan kasih sayang ALLAH. Jangan sekali berburuk sangka padaNYA =)


monologku: tidak lama lagi ulang tahun MAWAR SAKINAH yang pertama =)

Tuesday, August 24, 2010

Secekal Al Fateh, segagah Al Ayubi


Bayu Bosphorus1 bertiup manja. Kadang-kadang nakal menampar-nampar lembut wajah Fateh. Bau masin laut menerawang di ruang udara. Berebut-rebut menerobos indera hidunya. Indera lihatnya tidak puas-puas merakam keindahan pagi di tebing Bosphorus walaupun acapkali dia ke mari. Bogaziçi, begitulah gelaran untuk selat ini dalam bahasa Turki. Dari jauh sayup-sayup kelihatan pelabuhan Golden Horn. Di pelabuhan itulah suatu ketika dulu 70 buah kapal milik pasukan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendarat. Gempar Maharaja Konstantine ketika itu. Apa tidaknya, kapal-kapal itu dipindahkan menggunakan jalan darat. Kapal-kapal itu diluncurkan melalui Semenanjung Fera sejauh tiga batu sebelum sampai ke Pelabuhan Golden Horn. Sungguh, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menukar daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukan di ombak lautan. Dalam-dalam Fateh manarik nafas. Matanya kejap dipejam. Seolah-olah mencari semangat Sultan Muhammad Al-Fateh yang masih tersisa di selat itu.

“Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Palestin hari ini ialah Konstantinopel2. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”
Kata-kata Safiyya bersipongang3 di segenap jihat4 fikiran Fateh. Atma5nya dijentik sebak.

“Bagaimana tanganmu, Safiyya? Masih sakit lagi?” sapa Fateh. Dalam kesibukan merawat pesakit-pesakit di musytasyfa6, Fateh sempat lagi mencuri ruang menjenguk Safiyya. Keadaan dalam hospital semakin sesak. Setiap inci tempat ada sahaja batang tubuh yang terbaring memerlukan bantuan perubatan. Entah sampai bila bangunan Musytasyfa al-Syifa ini boleh terus berdiri untuk menampung jumlah pesakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut.

Safiyya sekadar menguntum senyum pada pemuda berkumis nipis berjanggut pandak7 itu. Fateh memeriksa keadaan tangan Safiyya.

“Andai aku hilang tangan kanan, aku masih punya tangan kiri untuk terus berjuang,” mata Safiyya bersinar galak. Tiada tergambar garis-garis kecewa pada air mukanya. Fateh terkesima. Teringat dia kisah Jaafar bin Abi Thalib dalam ghazwah8 Mu’tah. Walaupun kedua-dua tangannya dicantas musuh, panji yang diamanahkan oleh Rasululah tidak dibenarkan mencium tanah. Dipeluk panji dengan kedua-dua lengannya. Rasa kagum pada sahabat nabi yang bergelar At-Tayyar9 itu kini turut singgah pada Safiyya.

Abi ada datang menziarahiku?” suara gadis itu sedikit kendur. Safiyya dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dia dihantar ke hospital tempoh hari.

“Err...” Fateh gugup. Dia hilang bicara. Sebetulnya Basil Mustapha tidak pernah kembali sejak dia menghantar anak gadisnya.

“Apa kamu bimbang aku tidak tega mendengar berita kesyahidannya?” Safiyya menduga. Khali10.

“Bahkan itu jawapan yang paling aku nanti,” sejenak pandangan mereka bersatu.

“Aku tidak punya jawapan untuk soalanmu itu. Yang pasti, abimu tidak pernah kembali sejak dia menghantar kamu ke sini,” Fateh gagahi diri untuk berterus-terang. Lebih dua puluh hari Safiyya menanggung derita akibat peluru yang terbenam di bahu kanannya. Andai Basil Mustapha, ayahnya lewat sehari menghantarnya di Musytasyfa Al-Syifa itu, Safiyya bakal kehilangan anugerah Allah itu. Otot tangannya terurai. Tisu dagingnya mati dan saraf tangan Safiyya hancur lumat. Semuanya gara-gara bedilan rejim zionis yang menggila di Gaza. Fateh tambah bengang apabila mengetahui Safiyya pernah cuba dihantar menjalani pembedahan di hospital Kaherah, Mesir melalui pintu sempadan Rafah beberapa hari selepas terkena tembakan. Namun gara-gara sekatan di sempadan, Safiyya gagal dibawa keluar dan tersadai tidak terbela di pintu sempadan Rafah sebelum Basil Mustapha membawa Safiyya kembali ke Gaza.

“Aku sedang membantu ummi di kedai runcit kami ketika tiba-tiba kami dihujani tembakan peluru si zionis. Ummi terkorban. Begitu juga adikku Soufiyyan,” Safiyya membetulkan jilbabnya yang hampir melorot ke belakang. Beberapa helai rambut yang terjurai di dahi segera disusup ke dalam jilbab hitamnya. Cekatan11 Fateh membuka balutan di tangan Safiyya. Bekas luka dicuci penuh berhati-hati. Lurah-lurah kecil terbentuk di dahi Safiyya. Dia menyeringai kesakitan.

Jabeliya, tempat tumpah darah Safiyya ialah kawasan terawal yang menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Kawasan yang suatu masa dahulu meriah dengan rimbunan pokok zaitun, deretan rumah dan beberapa bangunan kilang kini menjadi padang jarak padang terkukur. Tiada yang tersisa melainkan serpihan-serpihan batu bata yang berselerakan di sana sini.
“Aku bersimpati terhadapmu, Safiyya. Begitu juga dengan mereka yang senasib denganmu,” Fateh meluahkan rasa simpati. Wajah Safiyya diseluruhi. Senyumannya yang kini membuat Fateh tidak lena tidur malam. Lirik matanya benar-benar buat Fateh tidak keruan. Fateh dapat merasakan denyutan jantungnya menyalahi tempo12 setiap kali berhadapan dengan gadis dari Desa Jabeliya itu. Kadang –kala lidahnya jadi kelu ibarat mulutnya penuh disumbat batu. Keteguhannya memelihara syariat Ilahi membuatkan Fateh tambah jatuh hati. Biarpun sakit dan berada dalam kesulitan suasana perang, jilbab masih lekat di kepala. Saat itu dia terkenang Welma, kekasihnya. Welma tidak kalah jika hendak dibandingkan dengan Safiyya. Cuma bezanya, Welma lebih selesa membiarkan rambutnya yang ikal ditayang di khalayak. Welma lebih senang mengenakan skirt pendek dan menampakkan kulit kaki yang halus dan gebu. Mungkin kesalahan tidak boleh seratus peratus diletakkan atas pundak13 Welma. Pemakaian jilbab sememang diharamkan di negaranya. Welma juga sepertinya, jauh dari biah14 Islamiah dek dasar-dasar negara yang tidak memihak kepada syariat samawi15.
“Aku juga bersimpati terhadapmu, Fateh,” Fateh sedikit tersentak. Wajah Welma hilang dari pandangan.

“Kamu bersimpati terhadapku?” Fateh kebingung-bingungan.

“Hakikatnya Fateh, kita sama-sama diserang. Bezanya, kami di Palestin diserang secara fizikal sedang umat Islam di luar sana diasak secara halus,” Safiyya mengurut-urut lembut tangannya yang telah selesai berganti balutan. Fateh mengangguk-angguk kecil.

“Contoh paling mudah, budaya hedonisme.. Umumnya, ideologi hedonistik ini memfokuskan kepada perkara yang boleh meningkatkan keseronokan dan mengurangkan perkara-perkara yang menjuruskan seseorang kepada kesedihan (increasing pleasure and reduce pain). Tanpa umat Islam sedari, mereka telah disuntik dengan doktrin16 ini. Al-hasil, lahirlah golongan umat yang tidak berpijak di bumi realiti. Mereka meletakkan simbol keseronokan serta kemewahan sebagai satu prioriti dalam hidup. Hidup bersandarkan angan-angan. Maka benarlah sabda Baginda SAW junjungan kita, kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya cita-cita untuk syahid dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan,” Safiyya menghela nafas. Fateh membisu. Hanya otaknya ligat mencerna bicara Safiyya.
“Cuba kau teliti semula sejarah empayar Islam. Fateh, kau akan dapati bahawa jatuhnya empayar Islam sama ada kerajaan Abasiyyah ataupun Kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak lain dan tidak bukan adalah kerana pemimpin dan rakyat ketika itu menganuti aliran ini. Hidup berpaksikan keseronokan dan kemewahan. Enak tenggelam dibuai hiburan melampau. Maka, suburlah penyakit dalam hati yang disebut Nabi sebagai wahan. Cintakan dunia dan takutkan mati. Percaya atau tidak, ideologi inilah yang mengunci bicara, memaku gerak tindak para pemimpin Islam hari ini. Menikus di hadapan Israel kerana bimbang untuki maju ke hadapan membantah. Khuatir segala keselesaan yang dikecap akan lenyap,” suara Safiyya sedikit keras. Renungannya tersimpan amarah yang tidak terungkap. Fateh terus selesa mengambil sikap mendengar. Fateh hampir lupa, Safiyya mahasiswa tahun akhir dalam bidang sosiologi dan sejarah di Universiti Islam Gaza. Sebelum sempat menamatkan pengajian, bangunan kuliah ranap tersungkur di dada bumi.
“Jihadmu bukan di sini, Fateh,” lemah kedengaran di hujung suara gadis dari desa Jebaliya itu. Otot dahi Fateh tegang. Mulutnya yang sedikit ternganga cepat-cepat digetap.
“Apa salahkah aku ingin menjadi Salahuddin Al-Ayubbi?” Fateh akhirnya menzahirkan rasa tidak puas hati yang bergulat dalam diri. Safiyya tersengih. Fateh rasa seolah-olah cita-citanya diperkecil-kecilkan. Seolah-olah dia tidak layak untuk menyimpan impian setinggi itu.
“Aku lebih suka engkau menjadi Al-Fateh. Sesuai dengan namamu Fateh,” ujar Safiyya dalam nada berseloroh.
“Sultan Muhammad Al-Fateh?” Fateh ingin kepastian.

“Aku hargai pengorbananmu datang menjejakkan kaki di bumi Palestin ini untuk membantu kami. Ya, sememangnya di sini kami memerlukan bantuan pakar perubatan sepertimu. Namun, antara sedar atau tidak, umat Islam di luar sana jauh lebih sakit dari kami yang sedang terlantar di hospital ini. Mereka lebih perlukan rawatan dan perhatian, Fateh” Safiyya kembali serius.
“Kota Konstantinopel hanya berjaya dibuka setelah 800 tahun dikhabarkan Rasulullah SAW. Sultan Muhammad berjaya membuktikan kebenaran sabda baginda dengan usaha yang tidak sedikit. Sejak kecil baginda telah disuguh17kan bahawa bagindalah yang akan membuka Konstantinopel. Malah kelahiran Salahuddin sendiri telah dirancang seawal zaman Imam Al-Ghazali. Inilah jihadmu, Fateh. Di bahumu tergalas satu tanggungjawab untuk merancang dan melahirkan generasi sehebat Al-Ayyubi dan secekal Al-Fateh. Hanya generasi berjiwa besar seperti mereka sahaja yang dapat membumikan cita-cita seluruh umat Islam yakni melihat masa depan menjadi milik Islam,” berdiri bulu roma Fateh mendengar hujah Safiyya. Lafaz takbir perlahan-lahan mercup18 di tubir bibirnya.
“Aku akan pulang ke Turki dalam tempoh masa terdekat ini,” Fateh menelan air liur. Fateh nekad pagi itu dia akan berterus terang tentang isi hatinya.
“Safiyya, sudikah engkau mengikut aku?” kerongkongnya perit. Awalnya, Safiyya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Lambat-lambat Safiyya mengangkat muka, memandang tepat wajah Fateh.

“Maafkan aku, Fateh, aku harus terus tinggal di sini. Di sini jihad aku bermula dan bertapak. Pulanglah engkau ke tanah airmu. Aku ada perjuangan aku dan engkau ada perjuangan engkau. Biarpun perjuangan berbeza tetapi matlamat kita sama. Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Anggaplah Palestin hari ini ibarat Konstantinopel. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?” Safiyya tega dengan keputusannya. Fateh tahu dia tiada upaya mengubah fikiran Safiyya. Dari awal lagi dia boleh mengagak apa jawapan yang bakal diterima. Biarlah. Sekurang-kurangnya dia tidak terus berteka-teki dan menyimpul andaian sendiri.
“Aku hormati keputusanmu,” awan pilu berarak menyelubungi wajah Fateh. Fateh berlalu sambil membujuk19 kalbu. Fateh tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka. Safiyya menghilangkan diri sejak itu. Tiada siapa nampak kelibatnya lagi di musytasyfa. Fateh dirundung rasa bersalah. Namun, Fateh yakin Safiyya pergi bukan kerana jauh hati dengannya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Abi! Abi!” Fateh menoleh. Seorang kanak-kanak lelaki menerpa ke arah Fateh yang sedia mendepangkan tangan. Welma ayu dalam jilbab hijau pucuk pisang mengekori kanak-kanak itu di belakang. Jubahnya beralun-alun ditiup angin. Tubuh kecil itu dirangkul Fateh. Bertubi-tubi ciuman Fateh singgah di pipinya.
“Siapa yang akan menawan Baitul Maqdis?” Fateh separuh menjerit. Soalan itu seringkali singgah di cuping telinga anaknya.
“Saya, abi!” sambut anak kecil seperti biasa. Tangannya dijulang tinggi-tinggi. Satu ciuman singgah dipipi munggilnya.
“Kamu pasti, anakku?” Welma mengangkat kening sambil merapatkan wajahnya ke wajah anaknya sehingga dahinya mencecah dahi anaknya.
“Saya pasti ummi kerana saya Salahuddin Al-Ayubbi zaman ini!” Salahuddin petah membalas walaupun sedikit pelat. Gelak tawa mereka beranak-pinak.
"Terima kasih, Safiyya. Moga perjuanganmu dan perjuanganku tidak sia-sia," bisik hati Fateh. Tangan Welma dirangkul. Salahuddin mengeliat kecil dalam dukungan Fateh. Beriringan mereka berjalan meninggalkan Selat Bosphorus bersama adunan semangat Al-Fateh dan Al-Ayubbi.



From: Iluvislam.com
Picture: Iluvislam.com

Monday, August 2, 2010

Tshirt Labuh untuk Semua


Bismillahirahmanirahim..
SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar
Diberi peluang dan kekuatan untuk bertinta di "Mawar Sakinah". Maaf dipinta kerana seolah olah telah sekian lama meninggalkan "Mawar sakinah" yang kukasihi, tetapi semenjak berada di kampung halaman ini, seolah olah ditarik balik nikmat untuk menulis. Mungkin ini ujian ALLAH untukku, sejauh mana aku mampu melangkah dalam perjuangan ini, dan kini sememangnya aku diuji di arena yang benar mencabar. Diri ini tercampak jauh dari tapak semaian, jauh dari sahabat setarbiyah. Bagaimana aku bisa memastikan diri untuk sentiasa kekal dalam perjuangan cinta yang panjang ini? Pada awalnya, langkahku seolah terhenti, lidahku seolah kelu untuk mengucapkannya dan jari ini sudah tidak dapat menari di skrin laptop untuk berkongsi sesuatu.

Jutaan terima kasih ku ucapkan buat semua pengunjung "Mawar Sakinah", Alhamdulillah.. di saat ini bilangan follower sebanyak 214 orang. Insan insan ini masih setia mengikut perkembangan "Mawar Sakinah" dan juga Asiah Yusro. Namun tanggungjawab ini terlalu berat sahabiyah sekalian. Setiap kali ada follower baru, daku berasa takut. Aku takut tidak mampu memberikan yang terbaik. Aku tidak punya ilmu yang mendalam dan pengunjung "Mawar Sakinah" sendiri mengetahui bahawa diri ini punya masa silam yang kelam dan dalam proses perubahan.

Cuma yang ku harapkan, agar setiap kelemahan dan keburukanku dapat dijadikan iktibar. Selain itu, dapat melahirkan insan insan yang lebih baik dan muslimah solehah. Diri ini pernah ditanya sahabat, bolehkah kita mendedahkan keaiban kita? Pegangan untuk diriku, sekiranya keaiban itu bisa memberi ibrah kepada insan lain, teruskan berkongsi agar menjadi satu method da'wah dan peringatan kepada insan lain. ALLAH itu Maha Pengampun dan Penyayang, dan hidayah dan taufiq juga milik ALLAH

Terasa sudah lari dari tajuk yang ingin diperkatakan. Alhamdulillah, setelah kembali ke tanah kelahiran tercinta, daku telah dipertemukan ALLAH dengan sahabiyah setarbiyah. Sujud syukur kepada ILAHI kerana bagiku ini adalah satu anugerah dariNYA agar diri ini terus berjalan di atas jalan tarbiyah ini. ISLAM itu sendiri sememangnya lengkap tetapi ingat kitalah yang memerlukan ISLAM dan kita yang lemah ini perlukan tarbiyah. Setelah melalui proses taarif (penyedaran), takwin (pembentukan) dan kini sudah tiba masannya untuk tanfiz iaitu proses perlaksanaan. Inilah masanya untuk mengaplikasikan segala ilmu tarbiyah yang dituntut selama ini. Ya, dikampus sememangnya kita sudah melalui proses tanfiz, tetapi perlaksaan dalam biah luar kampus adalah lebih mencabar.

Sekali lagi panjang ceritanya.. sahabiyah ini mempunyai gerai Tshirt labuh dan meminta diriku untuk membantunya. Alhamdulillah, diriku terasa begitu teruja kerana ini adalah pertama kalinya aku akan bekerja. Bagi diriku, semua pekerjaan itu mempunyai persamaan dengan jururawat. Sekiranya seorang guru itu mendidik, jururawat juga mendidik, sekiranya seorang jurutera itu merangka, jururawat juga merangka dan untuk penjua; tshirt labuh pula perlu menghadapi manusia dan akan bertemu dengan pelbagai karenah insan. Jururawat juga akan menghadapi situasi yang sama. Maka, ku amibil peluang ini untuk menimba ilmu dan pengalaman sebelum bekerja sebagai jururawat nanti.

Alhamdulillah, setelah beberapa hari bekerja, daku berasa dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan ini. Apatah lagi minat ku yang mendalam terhadap busana muslimah yang benar benar menepati syariat. Malah aku kagum melihat kebesaran ALLAH S.W.T. Jangan diingat pembeli tshirt labuh hanya mereka yang bertudung labuh sahaja, bahkan mereka yang tidak bertudung pun juga menjadi pelanggan. SubhanALLAH, diriku berusaha melayan semua pihak sama rata. Ini kerana nilaian manusia itu hanya ALLAH sahaja yang berhak. Kita hanya hambaNYA yang hina.

Teringat kenangan dulu

Asiah nak beli tshirt labuh, teringin
Asiah mana boleh beli tshirt labuh, pakai tudung dulu.
Ayat pertama adalah kata kataku dan ayat kedua adalah kata kata sahabat. Untuk pengetahuan semua, pada masa itu, aku terlalu kecewa. Mengapa mereka seolah olah menghalang niatku untuk membeli tshirt labuh. Padahal, itu adalah "point" yang cukup baik untuk mereka berdakwah. Nasihatku pada muslimah sekalian

Jangan anggap kita yang sudah memakai tshirt labuh ini terlalu istimewa, apabila ada insan yang pakaian tidak sempurna hendak membeli tshirt labuh, kit menidakkan mereka, kita seolah olah mencantas hajat mereka, ingatlah hidayah itu milik ALLAH.
Ini adalah antara kelemahan para pendakwah. Mereka ingin mad'u berubah mengikut corak mereka sehingga kehendak mad'u sendiri diketepikan. Hal ini membuatkan mad'u lari dari kita. Maaf, tulisan ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi marilah kita sama sama mengambil pengajaran. Aku pernah berada di tempat mereka malah diri ini jua pernah merasa genta perasaan mereka.

Akhir kalam, mari kita melaksanakan kempen "TSHIRT LABUH UNTUK SEMUA". Sesiapa sahaja boleh memakai tshirt labuh muslimah, tak kira dia bertudung labuh, bertudung kecil, bertudung ekin dan tidak bertudung. Moga moga, dengan memakai tshirt labuh dengan hati yang ikhlas mendapat keberkatan dariNYA seterusnya membuka pintu hidayah dan taufiq. AMIN ^_^

Impianku: Ingin mempunyai jenama Tshirt labuh sendiri "ASIAH YUSRO"

Picture: akhi Danang

Wednesday, July 28, 2010

Agar Bidadari Cemburu Padamu


Salam semerdu suara bidadari,buat akhawat yang jiwanya mudah tersentuh dengan kebenaran..tulisan ini adalah pemujuk bagi jiwanya yang dipanah cemburu terhadap sang bidadari ciptaan Allah..

“Sesungguhnya orang-orang bertaqwa berada ditempat yang aman. Di dalam taman-taman dan mata air – mata air. Mereka memakai sutera halus dan sutera tebal,(duduk) berhadap-hadapan.Demikianlah…dan Kami jodohkan mereka kepada bidadari bermata jeli” (QS. Ad Dukhan 51-54)

“dan ada bidadari bermata indah,laksana mutiara tersimpan indah” (Surah al-waqi’ah 22-23)

Subhanallah,bila terbaca ayat ini dalam al-quran ada timbul rasa cemburu pada sang bidadari ciptaan terindah Ilahi,begitu tidak dapat saya bayangkan keindahannya, gadis-gadis muda bermata jeli,dihatinya penuh cinta dan setia, laksana mutiara tersimpan indah tidak terusik walaupun sedikit,masih terpelihara fitrah muslimatnya tetap terpelihara dalam jagaan Allah

Cemburu itu bukan hanya terbit di hati saya,tapi di hati ummu salamah,isteri baginda Rasulullah S.A.W.

Tapi tenang sahaja,(^_^).Allah bersifat dengan ke’adilannya..maka tercetuslah dialog antara ummu salamah dengan baginda S.A.W,yang patut kita ambil ihtimam,bahawa wanita dunia juga patut di cemburui oleh bidadari,tapi wanita dunia yang bagaimana?

Imam Thabrani meriwayatkan sebuah hadis dari Ummu Salamah,bahawa Ummu Salamah Radiallahu ‘Anha telah berkata :”Ya Rasulullah, jelaskan padaku firman Allah tentang bidadari-bidadari yang bermata jeli…”

Baginda menjawab,”Bidadari yang kulitnya bersih,matanya jeli dan lebar, rambutnya berkilau bak sayap burung Nasar.”

Aku (ummu salamah) berkata lagi,”Jelaskan padaku ya Rasulullah, tentang firmanNya: “Laksana mutiara yang tersimpan baik…”(QS. Al Waqi’ah 23)

Baginda menjawab,” Kebeningannya seperti kebeningan mutiara di kedalaman lautan, tak pernah tersentuh tangan manusia…”

Aku bertanya,” Ya Rasulullah jelaskanlah kepadaku tentang firman Allah; “ Di dalam surga itu ada bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik…”(QS Ar Rahman 70)

Baginda menjawab,” Akhlaqnya baik dan wajahnya cantik jelita”.

Aku bertanya lagi,” Jelaskan padaku firman Alloh: “ Seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan baik…”(QS As Shaffat 49)

Baginda menjawab,” Kelembutannya seperti kelembutan kulit yang ada pada bahagian dalam telur dan terlindung dari bahagian luarnya, atau yang biasa disebut putih telur.”

Aku bertanya lagi,” Ya Rasulullah jelaskan padaku firman Allah ; “Penuh cinta lagi sebaya umurnya…”(QS Al Waqi’ah 37)

Baginda menjawab,” Mereka adalah wanita-wanita yang meninggal di dunia dalam usia lanjut dalam keadaan rabun dan beruban.Itulah yang dijadikan Allah tatkala mereka sudah tahu, lalu Allah menjadikan merka sebagai wanita-wanita gadis, penuh cinta, ghairah, mengasihi, dan umurnya sebaya.”

Aku bertanya,” Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli?”

Baginda menjawab,” Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat.”

Aku bertanya,” Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?”

Baginda menjawab,”Karena Solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya diwajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara, dan sisirnya terbuat dari emas.Mereka berkata,”Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya.”

Aku berkata,” Ya Rasulullah, salah seorang wanita diantara kami pernah menikah dengan dua, tiga atau empat lelaki lalu meninggal dunia.Dia masuk syurga dan mereka pun masuk syurga. Siapakah diantara lelaki itu yang menjadi suaminya di syurga?”

Baginda menjawab,” Wahai Ummu Salamah, wanita itu disuruh memilih, lalu dia pun memilih siapa diantara mereka yang paling baik akhlaqnya. Lalu dia berkata,”Rabbi, sesungguhnya lelaki inilah yang paling baik tatkala hidup bersamaku di dunia. Maka nikahkanlah aku dengannya…”

…Wahai Ummu Salamah, akhlaq yang baik itu akan pergi membawa dua kebaikan, dunia dan akhirat.” (HR Ath Thabrani)

Subhanallah..beruntunglah wanita yang masih kekal menjaga fitrah,sehingga membuat bidadari yang cantik jelita cemburu padanya..seperti peribadi ummul mukminin saidatinah khadijah,saidatinah ‘aisya,saidatinah Fatimah dan banyak lagi wanita dunia yang akhirnya menjadi pemimpin para bidadari disyurga (subhanallah..subhanallah..subhanallah). buat sahabat akhawat, wanita cantik tidak semestinya solehah,tapi muslimat solehah itu semestinya cantik dipandangan Allah..


Taken from: Laman Nisa' Sabah
Picture: Google

Friday, July 23, 2010

UPPS di hatiku


Donut UPPS ^_^

Bismilahirahmanirahim
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh
UPPS?
rasa rasanya sepanjang hidupku di Kolej Perubatan, UPPS adalah sebutan atau pertubuhan yang paling aku geruni. Mengapa? mesti kalian hairan.. kerana di waktu zaman kegelapanku, pembaca mawar sakinah mesti sudah sedia maklum, diri ini sememangnya jauh dari surau. UPPS merupakan singkatan kepada Unit Perwakilan dan Pengurusan Surau Kolej Perubatan.

Unit yang boleh dikatakan yang boleh membuatkan diri ini sakit alergik. Pantang ada muktamar, diri ini sentiasa mencari alasan untuk melarikan diri. Pantang ada aktiviti surau anjuran UPPS, mesti bermacam sakit yang datang. Malah, ada antara AJK UPPS merupakan sahabat terdekat ku sendiri, tidak putus putus untuk mengajak menyertai aktiviti UPPS namun diri ini terasa begitu berat melangkan. Benarlah, ALLAH pemilik hati hati manusia. Sekiranya ALLAH belum menggerakkan hati manusia, ajak macam mana pun, tetap terasa berat untuk pergi.

Sebenarnya di hati kecil ini, ada keinginan untuk menyertai atau menghadiri, namun perasaan malu ku begitu menebal. Bayangkan seorang seperti diriku menyertai aktiviti surau, sudah tentu menjadi bahan sindiran dan ejekan. Itulah persepsi yang bermain difikiran ku pada waktu itu. Malah kekadang juga aku mengalaminya sendiri, apabila menjenguk muka ke surau

"wah, dah bertaubat ke asiah?"

Merah juga wajah ini dibuatnya. Betapa jauhnya diriku daripada surau ketika itu. Sedangkan surau atau masjid adalah tempat yang dicintai ALLAH s.w.t. Masjid dan surau adalah tempat yang paling tepat buat insan insan yang mencari kekuatan untuk berubah. Malah, diri ini mengalaminya, telah ku ceritakan segalanya dalam universiti kehidupanku.
Apabila mula mencintai surau, ku mula mengenal erti ISLAM, apabila mula menyayangi surau, ku jatuh cinta pada ISLAM dan surau Kolej Perubatan begitu istimewa buatku kerana surau itu adalah tempat bermulanya proses pentarbiyahan dalam diri ini.

Bercerita berkenaan UPPS,
subhanALLAH, alhamdulillah, Allahuakhbar.. bertasbihku kepada yang Maha Esa. Tidak ku pernah merencana dan terlintas di fikiran, akan menjadi sebahagian daripada ahli UPPS. Sungguh, aku merasakan diri ini begitu tidak layak sahabat sekalian. Namun kerana tuntutan dakwah dan gerak kerja ISLAM, ku gagahi juga menyahut cabaran. Biarpun sekecil kecil jawatan yang ku pegang dalam UPPS iaitu sebagai AJK Makanan sahaja namun aku berpendapat, setiap ahli UPPS merupakan ikon kepada pelajar pelajar muslim Kolej Perubatan.

Ahli UPPS hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik bukan sahaja dari segi menguruskan surau Kolej Perubatan, tetapi juga dalam menjadi kebajikan setiap muslim di Fakulti Perubatan khasnya dan di UNIMAS amnya. Bukan mudah untuk menjadi ahli UPPS, ALLAH telah meletakkan amanah yang cukup berat untuk dipikul. Maka, keikhlasan hati dan tarbiyah yang berkesan amat diperlukan sepanjang menjadi ahli UPPS.

Panjang lebar rasanya ku memberikan penerangan sehingga lari dari niat menulis yang sebenarnya. Hari ini adalah muktamar Unit Perwakilan dan Pengurusan Surau Kolej Perubatan. Sedih terasa kerana tidak dapat bertugas untuk kali terakhir sebagai AJK Makanan. Diri ini sudah pulang ke kampung halaman

Pertama sekali, daku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada adik yang sangat aku hormati iaitu rakan seperjuangan menjadi AJK Makanan, Akhi Hasha Zainal. Akhi Hasha sememangnya banyak memberi pengajaran kepadaku. Sesungguhnya aku manusia yang tidak sabar dan mudah melenting. Namun, Hasha sering menenangkanku. Bukan senang untuk menguruskan berkaitan makanan. Alhamdulillah, diberi peluang dapat melatih diriku menjadi lebih sabar dan muslimah sejati ^_^ Biarpun kekadang makanan yang dimasak tidak sedap, Akhi Hasha sentiasa menyenangkan hati ini. Malah selalu menjadi mangsa membeli barang keperluan. Terima kasih dik!

Ramai sahabiyah bertanya, mengapa diri ini selalu "menyusahkan" diri memasak saban minggu. Jawapannya adalah pada ALLAH. ALLAH yang memberi kekuatan untuk memasak, memberi ilham untuk resipi resipi yang dibuat. Ku serahkan segala pergantungan pada ALLAH S.w.t. Setiap kali memasak, tawakalku meninggi kerana kekadang tidak yakin dengan mutu makanan yang disediakan. Pernah juga diri ini memasak ayam masak merah yang terlebih pedas, menangis seisi surau memakannya, insyaALLAH, diri ini sentiasa cuba memperbaiki diri. Terima kasih atas teguran dan tunjuk ajar. Sesungguhnya diri ini rindu sekali untuk memasak terutamanya di surau kolej. Teringat memori membuat donut coklat tetapi tersalah beli coklat. Coklat yang dibeli sepatutnya boleh dicairkan tetapi dipanaskan sejam pun tidak cair juga. Akhi Hasha memujuk supaya buat donut biasa sahaja, tetapi hati ini tetap berkeras. Mujur adik adik ku yang solehah (Amal Athirah dan Farahin) membantu untuk membelikan coklat. Alhamdulillah, berjaya juga menghasilkan donut coklat seperti gambar di atas ^_^




Ayam masak merah yang sangat pedas ^_^



Seterusnya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada saff pimpinan tertinggi UPPS iaitu Akhi Zakaria selaku Pengerusi, Akhi Roslani selaku timbalan pengerusi dan juga Ukhti Noorazizah selaku timbalan pengerusi dua. Seterusnya juga baut semua ikhwan dan akhwat dalam organisasi UPPS yang banyak memberi teguran dan tunjuk ajar. Mohon ampun dan maaf atas kekurangan diri ini. Terima kasih atas bantuan yang diberikan kepada AJK Makanan dan juga kepada diri ini. Moga niat kita sentiasa ikhlas kerana ALLAH dan sentiasa mendapat rahmat daripadaNYA. Sesungguhnya menjadi ahli UPPS merupakan salah satu memori terindahku sewaktu berada di Universiti Mengharap RedhaNYA ini malah diri ini amat menyayangi unit ini kerana begitu istimewa kerana dengan menjadi ahli UPPS ku dapat belajar dan terus menarbiyah diri terutama dari ikhwan dan akhwat yang mantap mantap belaka.

Buat saff kepimpinan UPPS yang baru, tahniah dan takziah diucapkan. Tahniah kerana mendapat jawatan dan takziah kerana sesungguhnya jawatan itu adalah kesengsaraan di dunia dan penyesalan di akhirat. Ikhlaskan niat di hati untuk berkerja kerana ALLAH dan kekallah dalam jalan tarbiyah agar diri kalian berasa lebih kuat di jalan yang penuh ranjau ini. Selamat bertugas!

Di akhir kalam, memetik kata kata Khalifah Umar Abdul Aziz:
Aku bukan seorang qadi, tetapi aku adalah seseorang yang akan melaksanakan perintah ALLAH. Aku bukanlah orang yang terbaik tetapi aku adalah manusia seperti kalian juga. Cumanya aku diberi bebanan yang berat berbanding kalian.

Wallahualam








Wednesday, July 14, 2010

Selamat Tinggal bumi tarbiyah!



Bismillahirahmanirahim
SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar
Sujud syukur ke hadrat ILAHI kerana masih diberi ruang dan kesempatan untuk menulis, mungkin entri sebelum ini terasa sedikit emosional, namun sesungguhnya ku mengambil sesuatu masa untuk rehabilitasi. Malahan jua, diriku begitu sibuk (alasan) menguruskan MINGGU ALUAN PELAJAR (MAP) di mana sekali lagi menjadi Liason Officer (L.O) untuk membantu adik adik permata berharga ini.
Alhamdulillah, seperti biasa sebelum menjadi L.O akan dimulakan dengan Kursus induksi. Pengalaman berkampung di Kolej Tun Ahmad Zaidi cukup indah. Tidak menyangka diriku berpeluang hidup di kampus barat dan timur UNIMAS. Kursus induksi kali ini lebih santai cuma sedikit keletihan kerana terpaksa berjalan jauh dari kolej ke CTF2 (mentang mentang fakulti dan kolej ku dekat kan, ini mungkin untuk melatih tenaga fizikal agar menjadi srikandi gagah)
Aku ditakdirkan bertugas di Kolej Perubatan iaitu kolej ku sendiri. SubhanALLAH, sekiranya empat tahun lalu aku mendaftar di kolej kesayangan ku ini sebagai pelajar baru dan kini aku menjadi salah seorang L.O yang menyambut kedatangan adik adik. Inilah aturan ALLAH yang kita tidak sedari.


Ditugaskan di kolej Perubatan sebagai Penolong Ketua Kolej (PKK), rasa bertuah dapat bekerja dengan sahabat sahabat L.O yang begitu berkaliber seperti Ketua Kolej (KK) Abang Zulhelmi yang banyak memberi tunjuk ajar. Untuk pengetahuan kalian, Abang Zulhelmi merupakan L.O yang menyambut ku sebagai pelajar baru empat tahun dulu. Namun dengan takdir ALLAH mengaturkan aku menjadi pembantunya pula. Selain itu, kami dibantu oleh barisan L.O yang mantap seperti Ukhti Ilhamimi iaitu rakan seperjuangan merangkap cermin ajaibku, junior juniorku yang comel belaka iaitu Debby, Shirley dan Lyon. Malahan, kehadiran sahabat L.O dari kampus utama juga menyerikan suasana iaitu saudara Muazzam sahabat ku yang baik dan juga adik adik yang baik seperti Khairul, Haikal dan Hadi.

Sebelum ini, ku mengakui berasa sedikit gentar kerana tidak pernah bekerja dengan mereka kecuali ukhti Ilhamimi tersayang. Alhamdulillah, sesungguhnya mereka ini adalah insan insan hebat yang telah ALLAH kurniakan dan memberikan aku kesempatan untuk belajar lebih banyak tentang kehidupan. Terima kasih sahabat sahabat L.O!



Sesungguhnya aku mengakui bahawa diriku bukanlah manusia yang sempurna dan kalis dosa. Kadang kadang ku hanyut dibawa arus kelalaian. Ku telah membiarkan adik adik permata berharga ini hanyut bersama. Namun, ku punya satu kekaguman ketika adik adik ini membuat sorakan untuk kolej Perubatan. Mereka begitu bersemangat sekali biarpun dalam kumpulan yang kecil. Malah, kami barisan L.O pun turut berasa bersemangat. Alangkah bagusnya sekiranya semangat sebegini diterapkan dalam perjuangan ISLAM.
Tertarik dengan kata kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS, Akih Hasbullah Najib;

Sekiranya kita punya masa untuk bersorak mewakili kolej kita, tidakkan kita tidak boleh meluangkan masa lima minit untuk solat subuh berjemaah?
Terima kasih Akhi Hasbullah atas teguran yang betul betul menginsafkan. Ya ALLAH, takutnya diriku kerana membawa adik adik ini ke arah kelalaian. Ku rasa diri ini bukanlah insan yang layak ditempatkan di kolej Perubatan untuk mentarbiyah mereka. Apatah lagi, diri ini baru sahaja menghidu nafas pembaharuan dan pembaikan diri. Semoga adik adik ku tersayang terus tsabat dalam perjuangan. Jangan lupa imarahkan Surau Kolej Perubatan yang tercinta ya!


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Itulah antara kisah noktah titik perjuangan ku dan pada tanggal 12 Julai yang lalu, aku telah berangkat pulang ke tanah air meninggalkan bumi tarbiyah tercinta. Aduh, pilu dan sedih meninggalkan bumi tarbiyah apatah lagi meninggalkan sahabiyah setarbiyah. Air mata ini tidak dapat ditahan. Bukan kerana meminta belas kasihan, bukan kerana ingin menunjuk nunjuk tetapi kerana aku tahu sahabat sekalian, aku sudah tidak berada di medan juang yang sama. Diri ini bakal berhadapan dengan jalan juang yang lebih hebat. Jalan juang yang memerlukan pentarbiyahan yang lebih mantap dan berkesan.

Teringat pesanan naqibah tercinta bahawa sekiranya pulang ke tempat sendiri, perkata pertama yang perlu dicari adalah usrah kerana usrah itu nadi perjuangan. Usrah bermasalah, jiwa kacau dan sudah tentu kita menjadi kehilangan arah. Sahabat sahabat sekalian, doakan diriku terus tsabat dalam perjuangan ini. Aku tidak mahu kehilangan anugerah yang indah ini, bertemu jalan tarbiyah

Buat sahabat sahabatku, selamat berjuang. Maafkan diri ini untuk segala kekurangan semasa keberadaan diriku bersama kalian. Teruskan menyampaikan risalah dakwah, jangan takut dan gentar kerana dakwah itu satu kegilaan da kecintaan bukannya satu beban. Terima kasih kerana sudi menerima diriku seadanya, namun aku juga manusia biasa, punya hati dan perasaan, kekadang aku juga merasa terluka dalam perjuangan. Mohon ALLAH kukuhkan ukhuwah di antara kita. Amin
Ingin ku petik kata kata Ukhti Atiqah, terima kasih atas hadiah buku itu. Alhamdulullah, sudah habis membacanya. Terimalah:

Jadikan jalinan antara kita terbina
persis untaian tasbih,
ada awal tiada penghujung,dibentuk untuk mengingatiNYA,
dicantum kerana cintaNYA,
diratib semata mata kerana redhaNYA,
menitis air mata tika merasai kemanisanNYA,
semoga jalan ini kekal dan dirahmati ALLAH

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengumuman penting!

Nama blog ini akan ditukar kepada "Mawar Sakinah" kerana diriku begitu menghormati idolaku iaitu penulis novel Salju Sakinah, Zaid Akhtar.

Beliau mengatakan bahawa lebih baik sekiranya kita ada identiti tersendiri. Terima kasih sifu! ^_^
Bunga mawar merupakan bunga kegemaranku dan sudah tentu ku sentiasakan mengharapkan kedamaian

terimalah

MAWAR SAKINAH!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...