Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Showing posts with label ~ fikrah~. Show all posts
Showing posts with label ~ fikrah~. Show all posts

Tuesday, July 3, 2012

Alam Ria Pasti 2012

Bismillahirahmanirahim


Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT, Alam Ria Pasti Kawasan Kota Kinabalu berjaya dilaksanakan pada 1 Julai 2012 yang lalu. Objektif utama Alam Ria Pasti adalah untuk mencungkil bakat bakat yang terpendam dalam diri anak anak kecil (anak anak yang dihantar di PASTI sekitar 4-6 tahun).
Alam Ria Pasti merangkumi beberapa siri pertandingan seperti bersajak (Pasti Sekolah pilihanku), Nasyid, bercerita tentang kisah nabi, khutbah, azan dan juga hafazan. Selain itu, diharapkan pertandingan seperti ini dapat melahirkan daie daie cilik yang akan meneruskan perjuangan di masa hadapan.

Rasa begitu terhibur melihat telatah si kecil apatahlagi melayan karenah mereka untuk berlatih dan sebagainya. Ada yang menangis apabila naik ke pentas, ada yang berebut mikrofon ketika bernasyid, ada yang lupa skrip dan sebagainya. Walaubagaimanapun, anak anak ini gembira dan bersemangat untuk bersaing secara sihat sesama mereka. Tahniah kepada PASTI BDC Kolombong yang menjadi juara keseluruhan pertandingan ALAM RIA PASTI. Kepada PASTI PASTI yang lain, jangan bersedih terutama anak anak tersayang PASTI AL AMIN, tahun depan kita cuba lagi ya! ^_^

Gelagat di Pentas Nasyid

Terlalu gemuruh untuk bersajak

Si cilik Asma sempat berposing dengan maskot PASTI


Mereka suka panggil saya Ustazah, senyum sajalah ^_^

Tuesday, May 29, 2012

Muslimat Sayap Kiri Perjuangan


Alhamdulillah, baru-baru ini saya berkesempatan memberikan sedikit pengisian betajuk MUSLIMAT SAYAP KIRI PERJUANGAN. Allah, segan rasanya bila membentangkan tajuk ini dihadapan muslimat-muslimat yang lebih hebat dari diri ini. Atas amanah yang diberikan, saya cuba berikan yang terbaik. Dan insyaAllah pengisian itu ingin saya kongsikan bersama semua MUSLIMAT yang berjuang di luar sana.

Saya membahagikan pembentangan saya kepada 3 bahagian. Pertamanya melihat muslimat di zaman Rasulullah. Keduanya muslimat di era awal2 kejatuhan daulah Khilafiah. Dan terakhirnya melihat muslimat di zaman sekarang.


"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,sebahagian mereka adalah menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang maaruf, mencegah yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana."
(At- Taubat : 71)

MUSLIMAT DI ZAMAN RASULULLAH
Di zaman Rasulullah S.A.W., banyak sumbangan yang diberikan oleh kaum muslimat. Contoh terbaik yang boleh kita ambil adalah dari kalangan UMMAHATUL MUKMININ sendiri. Antara sumbangan yang dapat kita lihat dan kaji:

#PUSAT RUJUKAN @ GEDUNG ILMU#

Rasanya semua pasti mengenali Saidatina Aisyah bukan? Isteri Rasululllah dan jugak puteri kepada Saidina Abu Bakar As-Sidiq. Saidatina Aisyah cukup terkenal dengan ketinggian ilmunya. Berkat berdampingan dengan Rasulullah, ilmunya sangat luas.

Pernah diterangkan oleh Abu Burdah Bin Musa dari ayahnya:


“…setiap sahabat yang menemukan kesulitan dan bertanya kepada Aisyah r. a pastilah mereka mendapat jawapan yang mantap dan ilmiah…”

Selain Saidatina Aisyah,Saidatina Saudah r.a , Saidatina Hafsah r.a , Saidatina Raihanah r.a, Saidatina Syafiyah r.a, Ummu Habibah r.a dan Ummu Salamah r.a juga cukup terkenal dengan ilmu mereka.

#MEMBANTU DI MEDAN PERANG#

Mari kita melihat kisah Ummi Sulaim, ibu kepada Anas r.a yang menyertai peperangan Hunain dalam keadaan mengandung dan di tangannya ada sebilah pisau. Ummi Sulaim turut membantu di perang Uhud dengan merawat tentera-tentera yang luka serta menyediakan air buat mereka.

Ketika peperangan Khandak, Safiyyah dapat menghidu pergerakkan Yahudi yang mengintip tentera Islam. Lalu Safiyyah keluar dan membunuh Yahudi tersebut.

Melalui 2 kisah ini, dapat kita rungkaikan bahawa muslimat turut diberi kebenaran untuk membantu tentera Muslimin di medan perang. Banyak pengorbanan yang diberikan dari sudut mengangkat senjata, membantu merawat tentera yang luka dan banyak lagi.

#MEMBANTU DARI SUDUT EKONOMI @ DANA PERJUANGAN#

Seperti yang kita semua tahu, Sidatina Khadijah merupakan seorang yang sangat hartawan. Beliau dari keluarga yang ternama. Hartanya sangat banyak dan melimpah ruah. Namun, apabila beliau memeluk Islam, segala hartanya diinfakkan untuk Islam. Perkembangan Islam di awal penyebaran di bumi Mekkah banyak dibantu oleh Sidatina Khadijah. Walaupun sudah biasa hidup dalam keadaan mewah namun demi cintanya terhadap Islam, sanggup dikorbankan segalanya.

#KEMAHIRAN PSIKOLOGI YANG TINGGI#

Di saat Rasulullah didatangi Jibril untuk disampaikan wahyu yang pertama dan menyatakan kerasulan baginda, hati baginda takut dan tubuh baginda bergetar. Saat sampai rumah, baginda minta diselimutkan. Saat itulah Sidatina Khadijah memainkan peranan, menenangkan suami tercinta yang baru sahaja menerima amanah dari Tuhan. Tidak ditanya kenapa? mengapa? dan bagaimana?. Lantas dirinya terus ke rumah bapa saudaranya untuk bertanyakan apa yang berlaku.

Inilah peranan yang Saidatina Khadijah ajarkan kepada kita duhai muslimat. Tatkala si suami berhadapan dengan masalah, kita perlu menenangkan, bukan mengkusutkan lagi.

MUSLIMAT BERSAMA IKHWANUL MUSLIMIN

Zainab Al Ghazali, seorang muslimat yang bergerak aktif di mesir dalam Harakah Islamiah. Semasa ingin berkahwin, antara syarat yang beliau letakkan pada bakal suaminya adalah membenarkan beliau bergerak dalam Harakah Islamiah. Dan sekiranya berlaku pertembungan,antara perkahwinan dan dakwah, dakwah akan kekal dan perkahwinan akan berakhir. Bertapa kuatnya beliau dalam bergerak di Medan Dakwah.

Zainab Al Ghazali mengasaskan "Jamaah Saidatina Muslimah" yang mana methodnya sama dengan gerakan Ikhwanul Muslimin pada ketika itu. Beliau juga sudah berbaiah dengan Mursyidul Ikhwanul Muslimin, Hassan Al Banna. Beliau banyak membangkitkan kembali semangat muslimat pasa era itu untuk bergerak bersama-sama muslimin bagi menegakkan Islam semula. Beliau banyak meneragkan kembali peranan muslimat di dalam Islam yang cukup besar.

Ketika dalam keasyikan beliau berdakwah, beliau ditangkap dan dipenjarakan. Seksaan demi seksaan yang cukup berat terpaksa beliau lalui sepanjang berada di penjara. Namun begitu, sehingga kini, semangat beliau sentiasa mengalir di jiwa semua muslimat. Semangat juang yang ditunjukkan cukup membangkitkan kembali semangat muslimat untuk sama-sama bergerak bersama muslimin bagi mengembalikan Khilafah Islamiah di muka bumi Allah ini. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang soleh dan solehah..AL FATIHAH..


MUSLIMAT DI ZAMAN MODEN

Cukup jauh jika nak kita bandingkan diri kita dengan mereka. Jika dahulu, mereka bersemangat untuk berjuang demi Islam. Tapi sekarang, kita leka dan alpa dengan dunia. Dahulu, mereka menjaga maruah mereka di setiap sudut, tapi sekarang dengan sesuka hati kita pamerkannya. Dahulu mereka mahir dengan tugas mereka dan paham dengan tanggungjawab mereka, namun sekarang kita mintak tanggungjawab yang tak sepatutnya.

Mungkinkah wujud lagi muslimat seperti Zainab Al Ghazali di era ini? Adakah lagi muslimat yang mengerti besarnya tanggungjawab mereka untuk Islam? Masih adakah Muslimat yang bermati-matian mempertahankan keimananya?

Sekarang bukan masa untuk menunding jari. Sekarang masa untuk kita membaiki diri. Jika suatu ketika dulu Sultan Muhammad Al Fateh yakin beliau adalah raja yang akan menawan semula Kota Kostantinopel, kenapa tidak kita yakin bahawa kita adalah salah seorang yang akan membantu membangkitkan semula Islam di bumi Allah ini. Jika dahulu Sumayyah dengan penuh tekad mempertahankan keimanannya, kenapa tidak kita penuh keyakinan mempertahankan maruah kita. Jika dahulu Ummahatul Mukminin bersama-sama bergerak ke medan jihad, kenapa tidak kita menyambung semangat dan perjuangan mereka?

DUHAI MUSLIMAT..
MARI TANAMKAN AZAM..
MOGA MENJADI MUSLIMAT YANG SOLEHAH,
MOGA MENJADI MUJAHIDAH AGAMA ALLAH,
MOGA MENJADI PENGGERAK DAKWAH,
MOGA THABAT DALAM HARAKAH
MOGA BERJAYA MENDIDIK BAKAL-BAKAL PENGGERAK DAKWAH
DAN MOGA MENJADI BIDADARI DI JANNAH..

P/s: Terima kasih adik Najwa
Semoga ini menjadi jawapan buat adik adik saya yang bertanya ;)

Sunday, May 6, 2012

Gelombang Epal Hijau menyerang SABAH!

Gelombang Epal Hijau menyerang Sabah

YB Siti Zailah merasmikan pelancaran Ameerah Pantai Barat Negeri Sabah




Berminat menyertai AMEERAH Pantai Barat Negeri Sabah? Boleh hubungi saya ataupun Cik An-nisa Jamilah






MALAYSIA MEMERLUKAN PERUBAHAN!

ALLAH menyukai orang orang tua yang soleh tetapi ALLAH lebih berbangga dengan anak anak muda yang soleh dan solehah

Ini kalilah!

Tuesday, February 28, 2012

Bila Mantan Perdana Menteri Berbicara Berkenaan Hudud

Sedikit pencerahan dari Akhi Hilal Asyraf

Bila Mantan Perdana Menteri Berbicara Berkenaan Hudud.

Assalamu'alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barokatuh.

Alhamdulillah, pada hari ini saya telah menulis status berkenaan mantan perdana menteri yang kita kasihi, apabila dia berkata berkenaan Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah, dan bukannya datang daripada Al-Quran.

Apa yang suka saya ketengahkan di dalam isu ini adalah kenyataannya - Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah. Tiada daripada Al-Quran. Rujuk: http://www.youtube.com/watch?v=5_gtWEM7Npw

Maka, saya rasa sangat kelakar, untuk seorang mantan perdana menteri yang memerintah sebuah negara 'Islam' untuk jangka masa lebih dua dekad, bahkan masih hidup hingga ke hari ini, untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

Kita ketepikan dahulu persoalan 'Bagaimana Sepatutnya Hudud Dilaksanakan'. Sebab nampaknya, persoalan 'Apakah Hudud Itu Daripada Allah' pun tidak diketahui rupanya.


Tiada Di Dalam Al-Quran? Tiada Di Dalam Hadith? Rekaan?

Saya hanya seorang pelajar Usuluddin, tahun akhir, di University of Yarmouk, Irbid, Jordan. Saya tidak mendalami syariah(peraturan) Islam sebagaimana pelajar Fiqh. Saya hanya 'budak Usul', atau 'budak akar' di dalam bidang agama ini. Justeru, saya belajar akan Aqidah, Tafsir Al-Quran, dan Hadith.

Sebab itu, saya mahu bahaskan tentang "Apakah benar Hukum Hudud itu rekaan ulama' Fiqah?".

Saya tidak layak untuk membahaskan "Bagaimana Melaksanakan Hukum Hudud." Semestinya, saya serahkan yang itu kepada yang lebih arif. KERANA SAYA TIDAK TAHU. Saya ulang, kerana saya tidak tahu. Apa yang saya tidak tahu, saya tak akan pandai-pandai sentuh.

Maka, di sini buktinya bahawa Hukum Hudud itu wujud di dalam Al-Quran dan Hadith, bukannya rekaan Ulama'.

Ini hukum untuk yang mencuri:

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." Surah Al-Maidah ayat 38. Ini dalil hukum hudud untuk mencuri. Jelas, ini adalah Al-Quran.

Diriwayatkan pula di dalam Sohih Bukhari Hadith no 1516 Jilid 3:

Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: "Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?" Kata mereka: "Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!" Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?" Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: "Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!"

Kemudian hukum zina pula:

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman." Surah An-Nur ayat 2.

Hukum Rejam untuk penzina yang telah berkahwin:

"Dari Jabir bin Abdullah Al-Ansar RA, bahawa seorang lelaki dari Aslam datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa dia telah berzina. Pengakuan ini diucapkannya empat kali. Lalu Rasulullah SAW menyuruh supaya orang itu direjam. Sesungguhnya dia telah berkahwin." Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, no 1817, Jilid 4, Bab Zina.

Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith.

Kemudian hukum murtad pula:

"Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia." Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, Hadith no 6922. Jelas, ini adalah hadith yang sohih.

Kemudian hukum Qazaf(menuduh orang lain berzina):"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik" Surah An-Nur ayat 4.

Sekali lagi, jelas, ini adalah daripada Al-Quran. Daripada Hadith yang Sohih.

Justeru, amatlah dangkal untuk seseorang itu sebenarnya menyatakan Hukum Hudud Adalah Rekaan Ahli Fiqah dan bukannya daripada Al-Quran.


Hukum Hudud Tidak Adil. Merugikan Orang Islam.


Dinyatakan juga oleh Mantan Perdana Menteri tersebut bahawa, Hukum Hudud ini tidak adil. Dia berulang kali menyebut bahawa Islam menekankan keadilan. Kononnya Al-Quran sendiri menyatakan akan keadilan. Hukum dengan adil. Seakan-akan, melaksanakan hudud bukan satu keadilan, bahkan merugikan orang Islam.

Katanya, kalau orang Islam kena potong tangan, dan orang bukan Islam tak kena potong tangan, bukankah itu tidak adil dan merugikan?

Sebenarnya, dari segi perlaksanaan Hukum Hudud, perlaksanaannya adalah sangat ketat. Bukan semua kecurian dihukum dengan hukuman potong tangan. Perkara ini, pelajar yang mendalami Fiqah lebih arif.

Dan sebenarnya, amatlah saya terkilan dengan kenyataan Mantan Perdana Menteri kita itu. Kerana, seakan-akan, bangsa Melayu, orang islam ini kaki mencuri pula. Bukankah kita adalah bangsa yang disematkan adab dan sopan, dan mencuri bukanlah perkara kebiasaan di dalam adat kita sendiri(atau sebenarnya iya?). Maka mengapa perlu takut sebenarnya akan hukum ini? Ramai orang Islam akan ketiadaan tangan? Pada saya itu alasan yang sangat dangkal.

Dr Asri Zainal Abidin adalah antara ulama' yang saya suka penjelasannya akan perlaksanaan hudud. Boleh rujuk kepada video-video beliau. Saya second apa-apa sahaja fatwa beliau berkenaan hudud.

Setakat ilmu saya, perlaksanaan hududlah yang paling adil sekali dalam peraturan dunia. Semestinya kerana Allah SWT yang memberikan hukum ini kepada kita adalah Yang Maha Adil. Kerana itu hukumNya juga adalah adil. Bahkan, pada hemat saya, dengan melaksanakan hukum ini, Ummat Islam akan menjadi Ummat yang paling layak dicontohi kerana disiplin dan ketelusan mereka. Yang menjadikan kita takut dengan Hudud ini adalah daripada penerangan yang salah, dan dimomokkan pula dengan perlaksanaannya yang dikatakan barbarik, ganas, tidak berperasaan.Tidak. Hakikatnya tidak.

Apa-apa hal pun, untuk lebih detail berkenaan BAGAIMANA HUKUM HUDUD ITU PERLU DILAKSANAKAN, saya serahkan kepada rakan-rakan saya dalam bidang syariah untuk menjelaskannya. Jelas, Dr Asri Zainal Abidin banyak membahaskannya.


Penutup: Saya Tidak Perlu Menjadi Pembangkang atau Perdana Menteri Untuk Memberikan Teguran Ini.

Saya tidak perlu menjadi Pembangkang untuk menegur Mantan Perdana Menteri ini sambil menjelaskan pula perkara ini di khalayak ramai. Pada saya, ulama'-ulama' Kerajaan perlu bertegas memberikan penjelasan akan hal ini.

Saya juga tidak perlu menjadi Perdana Menteri, untuk membetulkan statement - Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah dan bukan daripada Al-Quran.

Kalau semua orang perlu menjadi Perdana Menteri baru boleh tegur Perdana Menteri atau Mantan Perdana Menteri, maka dalam sejarah Malaysia ini tinggal 3 orang sahaja yang layak memberikan teguran.

Dan, memandangkan saya adalah pelajar Usuluddin yang mendalami Aqidah, suka saya menekankan satu perkara penting di sini:"Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran, hukumnya adalah kafir." Sebenarnyalah.

"Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. " Surah Al-Maidah ayat 44.

"Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." Surah Al-Maidah ayat 45.

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik." Surah Al-Maidah ayat 49.

Saya dididik oleh guru Aqidah saya, Dr Ala' Hilat, untuk tidak menghukum orang lain kafir. Saya tidak sesekali menyatakan Mantan Perdana Menteri kita itu kafir. Tetapi saya mahu tegaskan bahawa, menolak apa-apa daripada Al-Quran, adalah kafir.Guru saya kata, jika kita nampak orang sujud kepada pokok, katakanlah mungkin dia tidak tahu. Kemudian perjelaskanlah.

Maka saya menganggap, Mantan Perdana Menteri saya, sepanjang 22 tahun dia memerintah dan sehingga kini dia hidup, tiada siapa menjelaskan hal ini kepadanya. Dia TIDAK TAHU.

Maka saya jelaskan di sini secara ringkas.

Saya juga ingin menegaskan bahawa, sekiranya kita bukan AHLI di dalam bidang agama, maka janganlah bicara sembarangan. Bertanyalah jika benar tidak mengetahui. Mintalah penjelasan. Apatah lagi sekiranya kita seorang public figure yang mempunyai ramai pengikut fanatik yang mengikut kita dengan membuta tuli, dan sanggup mempertahankan kita walau apa yang kita sebut itu salah.

Sampai di sini sahaja nota do'if saya.

Mantan Perdana Menteri saya berbicara akan hal ini di khalayak ramai.

Maka di sini nota ini saya persembahkan di khalayak ramai.

Sesiapa mahu sokong pendapat Mantan Perdana Menteri kita itu, boleh fikir 10 kali lepas baca nota ini.

Saya mahu kata di sini bahawa, sesiapa yang mampu sampaikan nota ini kepada Mantan Perdana Menteri saya itu, dia patut sampaikan.Saya tak tahu cara mana saya boleh sampaikan biar betul-betul sampai kepada dia.Sekian.

~ Seorang hamba,

Hilal Asyraf

http://langitilahi.com


Monolog: Ya ALLAH, semoga kita semua diberi peluang untuk belajar dan memperbaiki kejahilan diri. Benarlah pesanan Rasulullah SAW,

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, ORANG RAMAI AKAN MEMILIH ORANG-ORANG YANG JAHIL SEBAGAI PEMIMPIN MEREKA. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, MEREKA AKAN BERFATWA TANPA ILMU PENGETAHUAN. MEREKA SESAT DAN MENYESATKAN ORANG LAIN."


Sungguh menakutkan, ya ALLAH lindungilah kami ^_^

Sunday, December 18, 2011

Cabaran menjadi seorang jururawat Muslimah

Bismillahirahmanirahim

Dengan penuh rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT, saya diberi peluang untuk menulis sekali lagi. Coretan saya ini saya tujukan buat seorang adik istimewa yang saya rasa punya potensi besar untuk menjadi srikandi agama. Melihat kesungguhannya kepada pengislahan dan amal islami menyebabkan saya seolah olah melihat namanya mekar seperi Khaulah binti al Azwar Al kindi. Srikandi misteri di zaman Rasulullah SAW. Untukmu adikku Khaulah Al Adawiyah, semoga tulisan ini bermanfaat sesama kita, kerana sudah tentu kita ingin ALLAH melihat kita dengan pandangan kasih sayangNYA.

Mesej di Mukabuku A.K.A Facebook

assalam akq..asif ganggu..sye ade bace blog akq..akq nurse kan??sy pun bakal pelatih nursing ...hm sy tkut la akq..sy tkut kalau xdpat handle..tkut pressure bile msuk nursing ni cause sy dpat twaran nursing kkm..mak ayh suruh masuk..jdi sy pun bhenti blajar di matrikulasi n tnggu kemasukan nursing 3.01.12 ni...macam mane akq bt baju nursing tu??sbb yg macm kite tahu bju nrse tu sume sendat2?? mcam mane akq handle pressure ea?sbb sy ade tnye kkaq2 nursing..dye ckap tnsion...so sy tkut..lagipun sy kne blajar nursing di phang..kt sane saye xde sedare o shabat..sy nk taw mcam mane pglaman akq handle pesakit...ksbaran etc..sbb sy rase sy perlukan semangat dri muslimah yg jdi nurse(sbb sincerely sy xtfikir pun nk jdi nurse n cite2 sy lain benar dari nurse) sy bca blog akq n alhamdulillah..bgi sy akq alim n baik..bukn sng saye nk jumpe nurse camni..jadi sy ambek pluang ni utk tnye akq..harap akq xlokek utk kongsi pnglaman n nsihat..insyaAllah..moga Allah berkati hdup akq :)

Khaulah AL Adawiyah.

Inilah jawapanku untukmu...

Niat

Adikku, setiap permulaan pekerjaan atau perbuatan yang kita lakukan, biarlah segalanya kerana ALLAH. Maka, sebelum memasuki alam pembelajaran bidang kejururawatan, ikhlaskan hati semata mata kerana ALLAH SWT.

Dalam kitab karangannya yang bernama Matan Arbain, Imam Nawawi meletakkan hadis berkaitan niat sebagai yang pertama iaitu

'Dari Amirul Mukminin Umar Al Khatab R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:- Bahawasanya amalan amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya itu kepada ALLAH dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'

Sebelum memulakan langkah pertama, sematkan di dalam diri bahawa pemilihan bidang ini semata mata kerana ALLAH, dan galakan kedua orang tua sebagai asbabnya. Bersolat istikharah dahulu untuk mendapat keyakinan dari ALLAH bahawa bidang ini yang bersesuaian dengan masa depan adik dan yang terbaik untuk akhirat dan agamamu. InsyaALLAH, jika kita meletakkan ALLAH sebagai yang paling utama, segala urusan kita akan dipermudahkan dunia dan akhirat.

Adikku,

Ingin kakak kongsikan di sini, dengan sedikit pengalaman kakak yang hanya berusia setahun jagung ini berkenaan cabaran untuk menjadi jururawat muslimah. InsyaALLAH, sama sama kita nilai dan ambil iktibar. Malah, kakak juga mengharapkan agar coretan ini bisa menjadi panduan buat semua jururawat dan bakal jururawat muslimah.


Cabaran 1: Uniform Jururawat

Ini adalah cabaran yang paling hebat dalam bidang kejururawatan di Malaysia apatahlagi untuk seorang jururawat Muslimah. Jujurnya adikku, kakak sendiri mengakui bahawa dulunya kakak bukanlah seperti yang adik gambarkan serta fikirkan. Kakak punya masa silam yang kelam dan jauh dari mengenal Tuhan serta agamaNYA. Alhamdulillah, kakak yang sedang menulis sekarang adalah insan yang ALLAH sudah sentuh hatinya untuk berubah. Kakak sedang masih kuat bermujahadah untuk mengikis karat karat jahiliyah yang masih berbaki dalam jiwa kakak. Kakak tidak pernah ingin mnyembunyikan masa silam kakak kerana bukan untuk membuka keaiban tetapi kakak ingin berkongsi manisnya saat hidayah menyapa hati. Sesungguhnya kasih sayang ALLAH SWT adalah milik hamba hambaNYA.

Atas faktor kurangnya pengetahuan kakak berkaitan ISLAM, maka kakak tidak begitu ber'susah hati' berkaitan uniform jururawat semasa kakak mula mula memilih bidang ini terlebih dahulu. Akhirnya, apabila ALLAH menyentuh hati kakak, ketika itu kakak sudah berada di akhir kursus kejururawatan. Kakak betul betul keliru kerana kakak berasakan kakak sudah tidak boleh berpatah lagi dan kakak hampir melengkapkan pengajian kakak ketika itu. Ibubapa kakak juga sangat berharap agar kakak meneruskan jururawat sebagai kerjaya kakak. Sesungguhnya kakak tidak sampai hati untuk berhenti begitu sahaja kerana ibubapa kakak sudah bersusah payah agar kakak dapat melanjutkan pelajaran.

Alhamdulillah adikku, ketika itu kakak berpeluang merasai nikmat ditarbiyah biarpun hanya sekejap. Kakak berpeluang menyertai kumpulan usrah di mana kakak mempunyai seorang naqibah dan juga sahabat sahabat usrah terdiri daripada pelajar kejururawatan dan perubatan sendiri. Setelah taujihat dan kekuatan yang diberikan oleh naqibah dan rakan rakan usrah kakak, maka kakak beristikharah kepada ALLAH. Jika benar pekerjaan jururawat itu yang terbaik untuk akhirat, agama, tarbiyah dan perjuangan kakak, maka kakak minta kepada ALLAH agar mengekalkan kakak dalam bidang kejururawatan ini.

Walaubagaimanapun, terlalu banyak mehnah dan tribulasi bagi seorang pelajar jururawat muslimah. Adakalanya, kami tidak dibenarkan untuk memakai baju berlengan panjang atas alasan takut menyebarkan kuman kepada pesakit. Namun adikku, kakak ini seorang yang sangat keras. Atas semangat 'kamikaze' yang kakak miliki, kakak merupakan seorang pelajar yang paling degil, kakak sering sahaja curi curi mengenakan sarung lengan. Kakak selalu ditegur oleh pengajar ketika itu. Namun kakak tidak takut wahai adikku. Kakak yakin ALLAH bersama kakak dan keteguhan hati itu juga adalah hasil tarbiyah yang akak perolehi melalui usrah.

Malah, ujian yang paling getir sepanjang kakak bergelar pelajar kejururawatan adalah ketika kakak dan rakan rakan sepengajian dipanggil untuk sesi temuduga bekerja di luar negara. Kakak sungguh teruja untuk bekerja di negara orang atas alasan untuk menimba pengalaman. Tetapi yang menyedihkan adalah kami diminta untuk tidak bertudung jika ingin bekerja bersama mereka. Maka sudah tentu wahai adikku, kakak tidak akan memandang untuk bekerja bersama hospital itu lagi jika perlu menggadaikan prinsip agama yang kakak pegang.

Itu baru dugaan ketika bergelar seorang pelajar jururawat dan belum lagi ketika bergelar seorang jururawat sebenar. Cabaran lebih hebat menanti setelah melangkah ke alam pekerjaan. Sebenarnya ketika berada di luar kawasan kerja, kakak lebih suka mengenakan jubah dan bertudung labuh. Bukan niat untuk riak atau menunjuk nunjuk adikku tetapi sesungguhnya kakak amat meyakini bahawa tudung labuh amat menjaga seorang wanita muslimah dan itulah izzah yang perlu kakak banggakan. Namun adikku, kakak mengalami kesukaran dan kadang kadang berasa sedikit terkilan kerana ada yang mempertikaikan kenapa kakak perlu bertudung labuh sedangkan kakak bekerja sebagai seorang jururawat. Hal ini menimbulkan tanda tanya pada fikiran kakak, adakah tudung labuh hanya untuk mereka yang bergelar ustazah dan lepasan agama sahaja? Adakah sebagai seorang jururawat tidak mempunyai hak untuk bertudung labuh? Selain itu, sedikit mengecewakan bahawa isu ini dibangkitkan juga oleh muslimah yang bertudung labuh dan juga insan yang ditarbiyah. Kakak tidak ingin menimbulkan mana mana isu sensitif namun cukuplah kita mengambil kisah ini sebagai pengajaran.

Alhamdulillah, kakak diterima bekerja di sebuah hospital swasta yang membenarkan untuk mengenakan lengan panjang. Namun hal yang menyedihkan adalah tudung masih perlu dimasukkan di dalam baju. Kakak sengaja mengubah suai uniform kakak agar lebih besar untuk mengelakkan terdedahnya bentuk badan. Pada awal permulaan kakak bekerja, kakak sering menjadi bahan ketawa kerana ada insan insan yang mengatakn uniform kakak yang terlebih besar sehingga menyebabkan kakak kelihatan seperti seorang badut. Pada mulanya, ada sedikit rasa terkilan di hati kakak, namun apabila mengingati semuanya kerana ALLAH, kakak kuatkan hati juga untuk terus bekerja. Malah untuk pengetahuan adik , kakak memakai tudung labuh ketika pergi bekerja dan mengeluarkan tudung kakak pada masa masa yang kakak rasakan bersesuaian. Sesungguhnya kekuatan itn datang dari ALLAH SWT.

Cabaran 2: Masa

Masa pekerjaan sebagai seorang jururawat sememangnya tidak menentu. Kadangkala perlu bekerja waktu pagi, petang atau malam. Tidak dinafikan pada mulanya kakak mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri. Namun ini bukan fokus utama yang perlu kakak 'highlight'kan di sini. Fokus utama adalah perlunya MUJAHADAH seorang jururawat untuk menjaga waktu solatnya. Apabila bekerja waktu pagi, sedikit kesukaran untuk menjaga waktu Zohor dan solat sunah dhuha, apabila bekerja waktu petang, ada dua waktu penting yang perlu dijaga iaitu waktu Asar dan juga Maghrib dan yang terakhir sekali apabila bekerja pada waktu malam, susahnya untuk menjaga solat isyak dan tahajud di sepertiga malam.

Sedikit menyedihkan apabila terdapat segelintir jururawat yang tidak cekap dalam menjaga waktu solat. Alasan utama adalah pakaian yang kotor kerana melakukan prosedur seperti membersihkan pesakit. Namun sesungguhnya ISLAM telah menggariskan panduan tertentu dari segi kesucian untuk menyempurnakan solat. Dan sekiranya benar benar ikhlas untuk mengerjakan solat, sudah pasti berusaha untuk menunaikannya kerana solat merupakan waktu pertemuan yang dinanti untuk bertemu ALLAH SWT.

Selain itu, keadaan ward yang terlalu sibuk juga menyebabkan jururawat tidak berpeluang untuk mengerjakan solat. Malah terdapat jururawat yang takut untuk meninggalkan pesakit yang berkeadaan kurang baik kerana khuatir keadaan pesakit boleh berubah bila bila masa dan ketika itu mereka sedang bersolat. Sesibuk mana pun kita, sesungguhnya Nabi Sulaiman A.s adalah manusia yang paling sibuk. Dia mentadbir alam ini secara keseluruhannya. Jin, angin dan haiwan juga tunduk kepada kekuasaanya. Tetapi Nabi Sulaiman A.s masih punya masa untuk menyembah ALLAH SWT, apatah lagi berbanding dengan kesibukan kita yang hanya sedikit ini. InsyaALLAH, berkaitan hukum bolehnya qada solat ketika bekerja akan kakak kupas pada entri yang lain pula.

Adikku,

Pekerjaan sebagai seorang jururawat juga menguji kesabaran kita apatahlagi jika kita terlibat dalam usrah dan program dakwah. Kadangkala, sebagai jururawat, perlu bekerja pada hujung minggu dan cuti sedangkan selalunya program usrah dan dakwah dijalankan pada hari hari tersebut. Syukur wahai adikku, ALLAH sekali lagi menolong kakak iaitu hospital kakak bekerja mudah untuk mendapatkan cuti atau menggantikan waktu bekerja kepada orang lain. Malah, sekiranya terdapat program hujung minggu, kakak selalu meminta untuk bekerja pada waktu malam agar pada waktu siangnya kakak dapat berprogram. Sungguh adikku, selepas kerja malam, mujahadah yang sangat tinggi diperlukan untuk melawan rasa keletihan dan mengantuk. Namun, sekali lagi apabila teringatkan ALLAH dan perjuangan RasulNYA, maka serta merta keletihan dan mengantuk itu hilang. Selagi kita bekerja untuk akhirat, kepenatan kita akan hilang dan kebaikan kita pasti akan kekal berbanding jika kita bekerja untuk dunia, bukan sahaja penat tetapi tidak ada balasannya di akhirat nanti.

Pernah seorang sahabat usrah berkali kali meminta kakak berhenti kerja kerana berasakan pekerjaan kakak tidak bagus dan tidak sesuai untuk gerak kerja dakwah. Malah, kakak pernah mengambil keputusan sehingga hampir menulis surat perletakan jawatan. Ya ALLAH, sesungguhnya ALLAH sayangkan kakak. Kakak tidak terburu buru untuk membuat keputusan melainkan beristikharah kepada ALLAH. ALLAH masih mengekalkan kakak dalam pekerjaan ini, dan kakak berjanji untuk terus melakukan yang terbaik kerana ALLAH. Biarpun kakak sibuk bekerja, kakak sentiasa mengambil berat soal usrah dan program dakwah seperti program ISLAM, ceramah dan sebagainya. Kakak yakin adikku, ini adalah sumber kekuatan kakak untuk terus kekal dalam hidayah dan taufiqNYA. Tanpa usrah dan tarbiyah, kakak bukanlah insan pemilik blog Layakkah Aku menjadi bidadari syurga ini dan mungkin kakak akan terus hanyut dalam penyakit cinta dunia.

Cabaran 3: Fitnah

Adikku,

Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa wanita itu merupakan fitnah terbesar dalam dunia. Ingin kakak ingatkan di sini bahawa pekerjaan jururawat juga bisa menjadikan seorang wanita itu sebagai fitnah dunia. Bukan niat kakak untuk menakutkan adikku tetapi kakak ingin adikku bersedia dengan benteng pertahanan iman. Apabila menjadi seorang jururawat, kita akan bertemu dengan segenap lapisan masyarakat. Tidak dinafikan, kadang kadang terdapat pesakit atau ahli keluarga pesakit atau rakan rakan sekerja dan sebagainya yang mudah tertarik dengan wanita yang bekerja sebagai jururawat. Wanita yang bekerja sebagai jururawat dilambangkan sebagai wanita yang mempunyai kelembutan. Tulisan ini bukan bertujuan untuk riak adikku tetapi ini adalah realiti yang bukan sahaja dihadapi oleh kakak tetapi juga rakan rakan kakak. Kadang kadang terdapat gangguan semasa bekerja seperti meminta nombor telefon, memohon untuk berkenalan, memberi hadiah perkenalan dan sebagainya. Nauzubillah min zalik, mohon perlindungan ALLAH agar kita jauh daripada fitnah.

Maka nasihat kakak buat semua, adalah lebih selamat jika seorang jururawat muslimah itu mengenakan cincin pada jari untuk keselamatan. Mungkin ada yang membantah cadangan kakak tetapi dari pengalaman kakak sendiri cara ini adalah lebih berkesan untuk mengelakkan kita daripada diganggu. Sebelum ini kakak lebih suka berhelah mengatakan bahawa kakak sudah berumah tangga namun kakak sangat takut helah ini menjadi dosa dosa yang menyebabkan hilangnya keberkatan dalam pekerjaan kakak. Jadi, kakak lebih selesa mengenakan cincin sebagai langkah keselamatan.

Tidak dinafikan bahawa terdapat golongan yang tidak bersetuju dengan cara kakak. Mereka berasakan bahawa dengan pekerjaan jururawat memudahkan urusan pencarian jodoh. Sesungguhnya kakak yakin bahawa setiap jodoh, ajal maut dan rezeki ditentukan ALLAH SWT. Prinsip yang kakak pegang adalah

Be a BEST MUSLIM, will BUILD BESTEST BAITUL MUSLIM

Kakak rasa tidak perlulah seorang jururawat muslimah itu terlalu berlembut dengan pesakit yang berlainan jantina. Biarlah dalam setiap kelembutan ada ketegasan. Ketegasan untuk menjadi peribadi kita sebagai wanita ISLAM, menjaga maruah kita sebagai wanita ISLAM sekaligus untuk membersihkan labelan kepada jururawat yang kononnya lebih kepada wanita penggoda. Kesolehan dan kesolehahan seorang lelaki dan wanita bergantung kepada kerjasama mereka berdua. Namun, jika lelaki mudah menggoda dan wanita mudah menerima, bagaimana gelaran soleh dan solehah itu bisa dirai?


Selain itu, terdapat isu yang ditimbulkan rakan usrah kakak sendiri yang juga bergelar seorang jururawat. Dia menyatakan kerisauannya bahawa tidak ada lelaki yang ditarbiyah (lelaki yang mengikuti usrah) untuk memilih wanita yang ditarbiyah (wanita yang mengikuti usrah) tetapi bekerja sebagai seorang jururawat untuk dijadikan isteri. Hal ini kerana faktor masalah uniform, masa kerja yang tidak tentu, labelan terhadap pekerjaan jururawat dan sebagainya. Namun bagi kakak, sekiranya ada lelaki yang menjadikan alasan pekerjaan jururawat untuk menolak wanita yang beragama, sesungguhnya lelaki tersebut berfikiran cetek. Bukankah Hasan Al Banna sendiri menyatakan bahawa 'kenyataan hari ini adalah mimpi kelmarin dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok'. Jika si suami hanya inginkan isteri di dunia, maka sudah tentu dia memilih yang paling sempurna, tetapi sebenarnya yang sangat sempurna itu juga merugikan kerana dia sudah tidak ada ruang untuk memberi ganjaran pahala pada dirinya untuk membentuk isterinya itu. Namun, jika dia inginkan isteri dunia dan bidadari akhirat, maka sudah tentu dia merebut pahala berharga untuk mentarbiyah diri dan juga isterinya sehingga isterinya itu menjadi bidadari yang paling indah di syurgaNYA nanti.

Adikku...

Rasanya cukup di sini sahaja perkongsian dari diri kakak yang kerdil ini. Semoga ALLAH memudahkan urusan adikku ini. InsyaALLAH, jika ada peluang, ALLAH pasti pertemukan kita.

Sebelum memulakan pengajian, sedikit pesanan kakak titipkan buat adikku tersayang;

1) Ikhlaskan niat kerana ALLAH
2) Beristikharah sebelum membuat keputusan
3) Ikutilah usrah dan mana mana program pembaikan diri demi ISLAM. Pilihlah usrah yang terbaik, yang meletakkan ISLAM tertinggi sekali dan lengkap, bukan separuh separuh. ISLAM dipratikkan dalam semua lapangan termasuk ekonomi, politik, kepimpinan dan sebagainya.
4) Bersabarlah dan berteguhlah atas setiap cabaran yang diberikan kerana seusngguhnya, ALLAH sedang menyayangi mu ^_^

Wasalam.....

Bismillahiramanirahim

~ Tulisan ini untuk kedua ibubapa ku.. kalianlah syurgaku
~ untuk insan insan yang mentarbiyahku
~ buat semua adik adik di bumi tarbiyah dalam bidang kejururawatan dan perubatan
~ buat semua jururawat jururawat muslimah serta bakal jururawat muslimah
~ buat bunga agama yang merindukan pembaikan diri
~ buat mujahid dan yusra yang menanti ku di syurga... semoga ALLAH menganugerahkan syahid untukku.... AMEEN ^_^


Pautan:






P/s: Akhi Roslani, minta izin kongsi artikel enta

Tuesday, November 29, 2011

Hei kamu ya di sana, pergi buat kerja DAKWAH


Suasana di lapangan terbang X terasa begitu hening sekali. Sehening jiwa Mastura yang begitu keberatan untuk melangkah pergi. Dia sendiri tidak pasti adakah dia membuat keputusan yang tepat. Sudah beristikharah banyak kali, namun hatinya cenderung untuk beruzlah seketika.

Siapa kata dia tidak mencuba sehabis habisnya? Betapa selama ini dia begitu menekan jiwa dan raganya. Sehingga sampai ke suatu tahap, dia mendiagnosis dirinya sendiri sebagai orang gila. Setiap kemahuan insan lain diturutinya, kemahuan ibubapanya, kemahuan keluarganya, kemahuan rakan jemaah, kemahuan tunang, kemahuan rakan sekerjanya. Tetapi bagaimana dengan kemahuannya? Hanya ALLAH yang tahu betapa perit dan luruh hati tatkala setiap kali dia berasa bahawa dia sahaja yang perlu berkorban. Maka, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat itu seketika. Dia ingin melarikan diri untuk menenangkan jiwa.

Bukankah Rasulullah SAW juga berhijrah untuk menegakkan ISLAM? Jadi, mengapa aku takut untuk melangkah? Monolog Mastura di dalam hatinya.

Tetapi Rasulullah SAW berhijrah kerana tekanan musuh musuh ISLAM, namun kau berhijrah kerana tidak tahan dengan ujian yang ALLAH berikan padamu. Sayup sayup kedengaran suara yang tidak dikenali mendominasi ruang hatinya.

Aku tidak tahan dengan ujian ALLAH? Selama ini aku cuba bertahan, tetapi setiap jalan yang ku pilih menemui jalan buntu... maka ALLAH mengilhamkanku untuk bepergian buat seketika. Malah ini adalah jawapan istikharahku, untuk ku cari ketenangan dalam jiwa.

Sanggupkah dirimu meninggalkan tanggungajwab perjuangan di bumi kelahiran mu kepada orang lain? Semata mata kau ingin mencari sesuatu yang bisa memuaskan hatimu? Bukankah itu namanya pentingkan diri sendiri? Suara itu menggertak lagi.

ALLAH mengetahui sejauh mana diriku berusaha menunaikan kewajipanku menjadi penyeru. Penyeru ke arah kebaikan demi agamaNYA. Aku berasa diriku sudah berusaha sehingga mencapai tahap maksima, namun ruang untukku masih terlalu sempit, mungkinkah melarikan diri seketika adalah jalan terbaik.

Mungkinkah?? Kau masih belum pasti dengan keputusan mu Mastura!

Tidak... jangan ganggu aku, larikan diriku dari pemikiran kacau ini. Aku tidak mengenali siapa kamu. Kenapa kamu perlu hadir dalam diriku... menjauh.. menjauh.......... Mastura menjerit sekuat hatinya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hari hari sebelumnya.........

Deringan telefon bimbit kesayangan Mastura berbunyi. Pada mulanya dia terasa begitu malas untuk mencapainya. Hatinya bermonolog sendirian

"Mesti berkaitan dengan gerak kerja ataupun yang meminta bantuan dariku. Sungguh malas rasanya, apabila memerlukan aku baru dicari, tetapi apabila rasa diriku ini tidak diperlukan, aku akan dibiarkan begitu sahaja. Mereka hanya akan teringatkan diriku apabila mereka membutuhkan ku."

Teringat perbualan bersama rakan seperjuangannya, Humairah.


Humairah: Asif enti, boleh berbicara sebentar. Ana lihat sejak kebelakangan ini, enti semakin kurang berminat dengan gerak kerja, mungkin ada masalah yang enti ingin kongsikan bersama ana?

Mastura: Ana letih enti......

Humairah: Letih? Ya ALLAH, kasihannya sahabatku ini, jika begitu, mungkin enti perlu banyakkan berehat. Jangan fikir yang bukan bukan. Letih kerana kerja??

Mastura: Ana letih dengan kehidupan ana

Humairah: Kehidupan, bagaimanakah dengan kehidupan enti?

Mastura: Enti ini banyak pula soalannya. Nanti kalau ana luahkan pada enti, mesti enti tuduh ana futur.

Humairah: Enti kan sahabat ana, ana tidak akan mudah melabelkan enti sebagai seorang yang futur, bukankah naqibah kita sudah berpesan bahawa futur itu hanya terletak pada hati. Apabila hati sudah lalai dari mengingati ALLAH, itu adalah futur yang sebenar.

Mastura: Ana tidak mampu enti, terlalu banyak masalah yang ana pikul. Fikiran ana terlalu serabut.

Humairah: Cuba enti ceritakan satu persatu kepada ana, insyaALLAH, ana akan cuba membantu ukhti.

Mastura: Enti tidak akan mengerti, ana ada masalah dengan keluarga, tempat kerja, rakan jemaah dan juga tunang ana.

Humairah: Enti, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya dan kemungkinan masalah itu datangnya dari kita sendiri.

Mastura: Tengok, enti sudah mula menyalahkan ana. Baru sahaja ana nak buka mulut mengadu kat enti. Sepatutnya enti mendengar dahulu penjelasan ana bukannya terus menghukum ana. Keluarga ana juga begitu, terus menuduh ana yang bukan bukan. Apatahlagi tekanan dari rakan sekerja, begitu juga rakan jemaah sendiri. Malahan tunang ana sendiri tidak memahami ana dan tidak pernah memperdulikan ana. Lupakan semuanya, ana nak pergi dari sini!.


Humairah segera beristighfar apabila Mastura mengherdiknya lalu meninggalkannya begitu sahaja. Dia yakin bahawa Mastura sedang di uji oleh ALLAH swt, bukankah ALLAH telah membeli dari orang mukmin baik diri mahupun harta mereka? Semoga Mastura memperoleh pencerahan yang hakiki dan diilhamkan penyelesaiannya dari ALLAH SWT.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Air mata Mastura bercucuran. Sesungguhnya dia betul betul berasa terasing disitu. Setiap kemahuannya tidak pernah diikuti. Dia berasakan dia tidak mampu lagi untuk menjadi insan yang baginya terlalu baik. Bukan dia tidak redha dengan ujian ALLAH cuma dia merasakan dirinya tidak mampu. Tekanan demi tekanan menghimpit dirinya. Nuansa keluarga yang tidak memahami perjuangannya menyebabkan dia sering dituduh sebagai seorang penjenayah. Ibubapanya lebih mengutamakan adik beradiknya yang lain dan dia disisihkan dengan alasan dia seorang 'PELAMPAU' yang mengamalkan ajaran ISLAM


Kereta yang dipandu Mastura terus bergerak laju. Mindanya masih melayang melayan perasaannya sendiri. Kepalanya terasa begitu berat. Masalah di tempat kerja juga menimbulkan tekanan emosi pada dirinya. Keadaan tempat kerja yang terlalu sosial menyebabkan dia sering berasa tercekik dengan udara yang dihirupnya. Malah, beberapa kali juga dia mengalami gangguan daripada rakan sekerja yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang muslimah. Ya, dia sudah cuba untuk kuat. Namun, setiap kali dia bersuara untuk berbicara tentang ISLAM, dia sering menjadi bahan sindiran. Dia dikatakan seorang USTAZAH yang ketinggalan zaman.


Dia menangis dan terus menangis. Kini, dia tidak tahu ke mana harus dia mengadu. Hanya kepada ALLAH SWT dia menangis memohon pertolongan dan perlindungan. Rakan rakan dakwah juga seolah olah tidak memahami dirinya. Setiap kali dia cuba meluarkan masalahnya kepada mereka, mereka mengatakan dia seorang yang lemah. Tidak patut sekiranya seorang pejuang agama itu mudah mengeluh. Dia tidak mengeluh tetapi dia mahukan sokongan. Bukankah dia juga manusia biasa? Rasululullah SAW juga perlukan sokongan dari sahabat sahabat baginda.

Malah, harapan yang disandarkan kepada tunangnya juga seolah olah lumpuh begitu sahaja. Dia mengharapkan agar tunangnya itu memahami masalah demi masalah yang dihadapinya. Sebelum ini dia menerima tunangnya dengan penuh tulus hati agar dia menjadi lebih kuat untuk terus berjuang. Kini dia berasakan bahawa dia sudah tersalah, dia melihat tunangnya itu hanya menguatkan dirinya sendiri tetapi tidak pernah cuba untuk menguatkan bakal pendampingnya. Bukankah mereka sudah berjanji untuk membina baitul muslim dakwah? Adakah dia sudah melihat diri Mastura itu sebagai seorang malaikat yang terlalu sempurna?

Mastura berasakan dia tidak bisa untuk menghadapi semua ini, dia ingin lari dari semua ini. Oleh itu, dia sudah bertekad untuk meninggalkan bumi kelahirannya itu dan berpindah ke tempat yang lain. DIa ingin mencari ketenangan jiwa dan merawat segala luka yang merajai hatinya. ALLAH....


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Irama hembusan angin terasa begitu merdu sekali. Terasa bahang panas tiap kali dia cuba untuk menyedut udara itu. Dia sendiri tidak mengetahui dimanakah dirinya kini. Seolah olah tempat itu seperti padang pasir yang kering kontang. Dia berasa sedikit takut kerana dia dia berseorangan di situ. Ya ALLAH, bagaimanakah dia boleh berada di tempat yang asing itu?

Hei kamu ya di sana!

Dia mendengar suara itu lagi. Suara yang sama didengarinya ketika di lapangan terbang. Dia terpaku seketika. Bukankah dia sepatutnya berangkat untuk ke luar negara sebentar lagi. Dia sudah bertekad untuk meninggalkan perjuangannya dan insan insan itu buat seketika. Dia ingin beruzlah, tetapi mengapa dia bisa terdampar di padang pasir itu?

Hei kamu ya di sana!

Suara itu bergema lagi, dia mencari sumber suara itu.

Hei kamu ya di sana! Hei kamu ya di sana! Hei kamu ya di sana!

Suara itu bergema dan terus bergema sehingga Mastura sendiri tidak mampu menahannya dan jatuh pengsan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dia menggosok gosok kedua matanya. Dia masih berada di padang pasir itu. Cumanya, kini dia ditemani oleh seorang wanita. Wanita itu berpurdah dan berpakaian hitam. Dia tidak mengetahui siapa wanita itu dan bagaimana dia boleh berada di situ.

"Assalamualaikum." Wanita itu bersuara

"Waalaikumsalam. Siapa kamu? Dan mengapa aku dan kamu ada di sini?"

"Aku hamba ALLAH".

"Aku juga hamba ALLAH".

"Aku ingin mengajak kamu."

"Ingin mengajakku?"

"Aku ingin mengajak kamu berbuat kerja dakwah!" Suara wanita itu kelihatan bertegas

"Tidak, aku sudah membuat keputusan, aku ingin meninggalkan kerja dakwah buat seketika. Aku sudah hampir gila dalam setiap kekecewaan yang ku terima hasil kerja dakwah!". Mastura menjerit sekuat hatinya. Baginya, tidak ada yang perlu dimalukan kerana hanya dia dan wanita itu yang berada di situ.

"Selama ini kamu tidak berbuat kerja dakwah".

"Aku tidak berbuat kerja dakwah? Aku keliru!".

"Jika kamu berbuat kerja dakwah, kamu pasti tidak akan keliru".

"Aku tidak memahami maksud kamu".

Lantas wanita itu mengalun merdu sepotong ayat dari surah Muhammad; ayat 31.

Dan sesungguhnya Kami benar benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan Kami akan menyatakan (baik buruknya) keadaanmu.

'Jika kamu berdakwah semata mata kerana ALLAH, kamu pasti akan merasa manisnya setiap ujian yang diberikan kerana kamu mengharapkan pembalasan ALLAH semata mata bukan kerana manusia".

"Salah satu faktor ketewasan seorang pejuang adalah melebihkan harapan kepada manusia, bukan kepada ALLAH sedang manusia itu juga makhluk yang lemah, ALLAH SWT juga berkuasa". Wanita itu berbisik tenang


Mastura terpaku seketika mendengar penjelasan wanita itu. Dia sedar bahawa hatinya diselaputi kebencian berburuk sangka dengan ALLAH menyebabkan dia tidak melihat jalan keluar bagi setiap masalahnya.

Bersambung............








Monologku: Ini cerpen saya sempena Maal Hijrah, selama ini kebanyakkan penulis cuba menonjolkan sudut positif watak yang mereka lahirkan, maka saya cuba melahirkan sisi negatif Mastura sehingga berkembang menjadi positif semula... nantikan sambungan cerpen ini ya ^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...