Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Showing posts with label ~Monologku~. Show all posts
Showing posts with label ~Monologku~. Show all posts

Monday, December 31, 2012

Baitul muslim dakwah: Sekadar Impian atau realiti??

Bismillahirahmanirahim

Menjadi impian buat semua aktivitis dakwah untuk memiliki baitul muslim dakwah. Muslimin mengharapkan pasangan muslimat yang memahami perjuangan manakala yang muslimat pula memohon mendapat pasangan hidup yang dapat membimbing dirinya.

Sedikit persoalan timbul berlegar di minda, benarkah baitul muslim dakwah sebenarnya wujud di realiti kehidupan seorang daie atau sekadar impian yang hanya menari menari dalam fikiran seorang daie?.

Berapa ramai aktivitis dakwah muslimat yang sebelumnya laju untuk bergerak kerja, menjadi semakin 'slow' setelah berumah tangga. Alasan yang diberikan, suami tidak mengizinkan untuk bergerak kerja, tanggungjawab terhadap anak anak dan rumahtangga.

Buat sang suami pula, berapa ramai yang sanggup melepaskan sang isteri bermesyuarat lewat malam untuk kebaikan ummah?

Berapa banyak pula anak anak golongan daie yang gagal diprodukkan menjadi seperti ibubapa mereka. Sesungguhnya, ujian paling berat buat seorang daie adalah ketika ahli keluarganya berpaling dari kehendak kedua ibubapanya.

Melalui pemerhatian pemerhatian ini, terdapat juga golongan daie yang bujang, mengambil keputusan untuk tidak berkahwin kerana takut perjuangan terganggu dengan kehadiran seorang suami atau seorang isteri.

Saya hanya mampu tersenyum. Untuk diri saya, pernikahan itu sunnah Rasulullah S.A.W. Sebagaimana saya mengkagumi baitul dakwah Rasulullah S.A.W, selagi itu saya meyakini baitul muslim dakwah bukan hanya omong kosong seorang daie.


Bukankah baitul muslim dakwah Rasulullah S.A.W itu sesuatu yang sepatutnya dicontohi. Rasulullah S.A.W murabbi agung, berjaya mengemudi rumahtangganya di samping tanggungjawab menyampaikan risalah ISLAM . Bagaimanakah pengorbanan Saidatina Khadijah terhadap perjuangan Rasulullah S.A.W?

Masa, harta dan jiwa dikorbankan demi kepentingan ummah. Sanggupkah kita untuk mengorbankan wang ringgit kita sendiri demi perjuangan suami? Rasa rasanya para isteri sekarang lebih suka mempunyai simpanan sendiri terutama di ASB, sebagai persediaan di masa hadapan tanpa ketahuan suami.

Namun, sedikit menyedihkan apabila para daie tidak memberi fokus yang sebenar terhadap pembinaan baitul muslim. Janji yang ditabur hanya di bibir dan tidak dimanifestasikan dengan perbuatan. Bukankah dakwah itu adalah praktikal bukan setakat teori. Sesungguhnya daie, kau belum layak digelar seorang daie sekiranya kau belum merasai medan dakwah di alam rumah tangga. 

Saya bertanya kepada naqibah saya, sejauh mana kepentingan baitul muslim buat seorang daie? Naqibah saya meminta saya menyelami kehidupan ulama mujtahid Imam Hasan Al Banna. Mampukan Imam Hasan Al Banna menyelami bahtera dakwah beliau yang sangat mencabar tanpa seseorang yang kuat untuk menguatkan beliau? Saya terpanggil untuk membaca buku Persembahan Cinta Isteri Hasan Al Banna, perjalanan kisah Lathifah As Shuli pendamping hidup Hasan Al Banna. Pernah saya utarakan kepada Ustazah Fatimah Syarha yang terkenal dengan tulisannya Cinta High Class berkaitan cinta selepas berkahwin. Saya katakan kepada Ustazah Fatimah, bagaimana pula seorang isteri yang berkorban, menjadi seorang ayah dan pemimpin keluarga di saat suami sibuk dengan tugasan dakwah, mampukah kita sebagai muslimah berkorban perasaan tatkala kita ditinggalkan bepergian? Tidak dipedulikan dan disakiti kerana dakwah. Saya berharap Ustazah Fatimah Syarha mengeluarkan artikel berkaitan baitul muslim dakwah.





Ingin juga saya kongsikan di sini, kisah sahabat saya. Seorang muslimah yang ditarbiyah setelah melalui alam kampus, dia kembali kepada keluarganya. Sesungguhnya ALLAH telah mengujinya, keluarganya tidak mengizinkan dia untuk aktif dalam dakwah kerana kurangnya kefahaman keluarga. Sedikit menyedihkan apabila kakak kakak akhwat sering menimbulkan isu supaya dia berkahwin cepat dengan alasan dia dapat 'lari' daripada keluarganya dan bergerak kerja semula. Cuma dia sedikit terkilan apabila melihat kakak kakak yang memberikan cadangan sedemikian juga 'down' dalam bergerak kerja. Dia bertanya dalam dirinya, benarkan baitul muslim dakwah itu wujud di alam realiti atau sekadar impian? Benarkah pernikahan bisa menyelamatkan seorang wanita muslimah untuk kembali ke medan dakwah?

Selain itu, ingin saya kongsikan di sini kisah pernikahan agung seorang sahabat saya, dia juga seorang muslimah yang ditarbiyah. ALLAH swt telah mentakdirkan jodohnya dengan lelaki yang tidak sefikrah tetapi memahami ISLAM. Alhamdulillah, dia telah berjaya menguatkan suaminya dengan fikrahnya. Kini, suaminya begitu aktif menyumbangkan tenaga dalam gerakan dakwah.

Melalui pemerhatian pemerhatian saya yang kerdil ini, pembinaan baitul muslim itu bergantung kepada individu itu sendiri. Sama ada kau berusaha membina atau merobohkannya. Sama ada kau berusaha menjadikan realiti atau hanya impian yang kau catitkan dalam mimpi mu sehari hari. Sama ada kau telah memulakan satu langkah atau kau hanya mengambil tindakan atas pagar. Segala galanya bergantung kepadamu wahai daie. Menghidupkan ummah dengan kefahaman ISLAM juga adalah pilihanmu. 

Jujurnya, ada tikanya keyakinan saya juga goyah. Benarkah baitul muslim dakwah itu bisa dihidupkan di alam nyata atau sekadar impian saya (saya juga mengaku diri saya seorang daie kononnya). Saya tidak tahu kerana ALLAH Maha Mengetahui. Tulisan saya ini merupakan hasil buah fikiran saya, kerana saya kerap tertanya di manakah kedudukan baitul muslim dalam kehidupan seorang daie. Adakah baitul muslim hanya sekadar janji yang perlu ditepati atau sesuatu yang perlu kita usahakan dengan bersungguh kerana dakwah itu kecintaan. Membina baitul muslim dakwah itu juga kecintaan, namun pernahkah dan sanggupkah kita berkorban?

Salam perjuangan
~ Nadrah Yusra ~


Thursday, August 23, 2012

Hadiah terindah buatku




Bismillahirahmanirahim

Salam syawal buat semua sahabat. Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut syawal dengan aman bersama kedua ibu bapa saya. Mohon juga di doakan saudara saudara kita yang sedang berjuang terutama di Syria, Rohingya dan Palestin.

Alhamdulillah, saya ingin berkongsi kegembiraan hati saya sejak ramadhan yang lalu. Mulanya dari ramadhan yang lalu saya berniat untuk menulis entri ini tetapi masa tidak diuruskan dengan sebaiknya menyebabkan hajat tersebut tidak tertunai. InsyaALLAH, saya ingin berkongsi sedikit kisah indah ramadhan yang lalu yang menyedarkan saya bahawa ALLAH ITU DEKAT.

Pada suatu hari yang indah, seorang sahabat dunia akhirat saya yang merupakan sahabat setarbiyah saya di kampus dahulu meminta saya untuk menilik sekeping foto yang dimuat turunnya di sebuah laman web. Katanya ada hadiah istimewa untuk saya

Maka, saya pun menunaikan permintaan sahabat saya dan SUBHANALLAH! Sesungguhnya itu adalah anugerah yang tidak ternilai daripada ALLAH

Teringat kenangan semasa saya di tahun akhir....

"Yusra, ada seorang junior macam kau lah, masa kau dulu dulu belum berubah"

"Yusra, tak sangka ada kembar kau untuk junior intake kali ini, perangai sebiji macam kau, girly girly gitu cuma dia free hair"

"Harap haraplah kembar Yusra tu boleh berubah macam Yusra juga, insyaALLAH kami mendoakan"

Saya hanya tersenyum dengan gelagat rakan rakan saya. Ketika itu saya belum berkesempatan untuk bertemu dengan 'KEMBAR' yang dimaksudkan.

Alhamdulillah, beberapa hari selepas itu saya berjumpa dengan 'KEMBAR' yang dimaksudkan. Saya tersenyum sendiri kerana dia cukup mengingatkan saya pada diri saya yang dahulu cuma saya rasa dia lebih comel dari saya ^_^.

Sudahlah berasal dari negeri yang sama, hobi juga adalah hobi yang sama (ketika saya belum berubah dahulu). Dalam hati saya berdoa agar ALLAH juga menyentuh hati gadis itu kerana saya menyayanginya kerana ALLAH. Apatahlagi 'KEMBAR' saya itu juga menjadi rakan sebilik kepada sahabat dunia akhirat saya iaitu Adila. Saya lebih yakin peluang dakwah begitu terbentang luas.

Namun setelah saya menamatkan pengajian, saya sedikit lalai untuk follow up berkaitan kembar saya itu. Dan akhirnya setelah dua tahun saya meninggalkan bumi cinta saya, ALLAH menghadiahkan sesuatu yang indah buat gadis itu dan juga untuk saya sendiri.

Alhamdulillah, tahniah SHAFIONA atas perubahan mu, sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Pemurah,. InsyaALLAH, banyak kebaikannya jika kita berubah kerana ALLAH.

Comel sangat Ona sekarang, bak kata status Ona sebelum ini,

X kesah la pakaian ni outdated n fashion disaster.. asalkn diredhai Allah sudehh.. insyaAllah.. :)

Ambik dari Facebook Ona, insyaALLAH kami akan sentiasa menyokong mu wahai adikku.

Rasa rasanya hati saya terdetik untuk menulis entri, 3 tahun setelah aku berjilbab cuma saya belum ada kekuatan dan sedang mengumpul idea sebelum saya nukilkan manisnya berjalan mencari redha ALLAH. Saya mengakui jujurnya pada mula perubahan saya, saya mengalami waktu yang sukar untuk belajar banyak benda seperti contoh belajar bab bab agama, belajar memperbaiki bacaan Al Quran, tapi setelah tiga tahun ini saya begitu merasai manisnya iman.

Saya suka mengingati diri saya yang dahulu bukan kerana saya terperangkap dengan zaman silam saya yang kelam tetapi agar saya terus belajar erti sebenar seorang WANITA SOLEHAH. Mungkin sekarang saya berjubah dan bertudung labuh tetapi saya mengakui masih banyak yang saya tidak tahu. Saya mohon tunjuk ajar dan teguran atas segala kelemahan saya. Cuma, saya rasa tenang dan dekat dengan ALLAH dengan keadaan saya sekarang. Semoga saya kuat untuk mempertahankan hidayah dan taufiq dari ALLAH ini.

Kepada sahabat sahabat dan adik adik saya di kampus dahulu, terima kasih sangat kerana menyokong perubahan saya dan menerima saya, saya berharap kalian juga memberi pertolongan, kasih sayang, perhatian dan jagaan buat semua insan yang juga beru belajar mengenal ALLAH.

Alhamdulillah, saya dan keluarga mengucapkan salam aidilfitri buat semua, semoga aidilfitri kali ini lebih berkat dan mendekatkan kita kepada ALLAH, dan amalan di bulan ramadhan berterusan pada bulan bulan yang seterusnya. Taqaballah minna wa minkum.

Kepada sahabat sahabat yang mendirikan baitul muslim, saya titipkan kalamullah yang indah untuk kalian. Semoga ALLAH redha (Ukhti Maznee dan Jie Nazirah)


Teguhkanla aku dengan (adanya) dia
Dan jadikanlah dia teman dalam urusanku
Agar kami banyak bertasbih kepadaMU
dan banyak mengingatiMU
Sesungguhnya ENGKAU MAHA MELIHAT (keadaan) kami

(surah Taha: 31- 35)

Monday, March 19, 2012

Wanita, gambar dan Facebook



Bismillahirahmanirahim

Rasanya mungkin saya orang yang terlambat untuk berkata tentang wanita, gambar dan Facebook. Saya yakin setiap orang pun punya pegangan tersendiri. Ada yang mengatakan meletak gambar di Facebook itu Haram kerana boleh mendatangkan fitnah. Ada yng mengatakan hukumnya Harus selagi tidak melanggar syariat dan tujuannya betul.

Bagaimana dengan pandangan saya?

Baru baru ini saya sering terlibat dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan gerak kerja ISLAM. Pada waktu itu, tidak terfikir pun tentang gambar, facebook dan juga kedudukan sebagai seorang muslimat tarbiyah.

Ketika berprogram baru baru ini. saya ditegur oleh seorang sahabat;

"Akak tak pakai purdah ke?"

"Taklah, buat apa akak nak pakai purdah, tak takut juga dengan 'Sahabat baik' (SB)"

Kini saya merasakan teguran sahabat itu merupakan teguran dari ALLAH buat saya. Tidak dinafikan setiap program besar, lensa kamera akan mengambil memori untuk diabadikan. Malah, peserta program juga akan berasa terlalu gembira untuk bergambar kenangan apatahlagi dengan idola masing masing.

Selepas itu, gambar tersebut akan dimuat turun ke dalam Facebook. Pada mulanya, rasa seperti biasa dan ingin berkongsi kegembiraan dengan sahabiah yang lain. Setelah beberapa ketika, hati sudah mula rasa lain, rasa hubungan dengan ALLAH tidak seperti dahulu lagi. Selalu berpesan dengan adik adik usrah, jika hubungan dengan ALLAH ada masalah, sila periksa dan muhasabah diri. Mungkin ada yang kita buat menyebabkan ALLAH menjauhkan rahmat dari kita.

Alih alih, baru sedar bahawa banyaknya wajah wajah yang terpampang di facebook, oleh sebab gambar berprogram. Biarpun pada niat asalnya lain tetapi apabila sudah di muat turun di Facebook, takut lain pula ceritanya.

Saya ingin meminta maaf buat sahabat sahabat sekalian jika saya meminta untuk memadam gambar saya. Biarpun ada yang berkata bukannya berdosa tetapi saya tidak mahu diri saya menjadi fitnah kerana kita tidak tahu bahawa fitnah itu boleh datang dari segenap arah. Saya menghormati pendapat sahabat sahabat sekalian yang meletakkan gambar di Facebook. Semoga kita semua lebih terjaga.

Terima kasih juga Ya ALLAH kerana menegur saya. Semoga saya lebih berhati hati menjaga diri saya ketika berprogram dan juga bergerak kerja.

Mohon maaf juga jika saya telah mengguris hati sahabat sahabat sekalian. Semoga kita sentiasa dalam perlindunganNYA

Sunday, December 18, 2011

Cabaran menjadi seorang jururawat Muslimah

Bismillahirahmanirahim

Dengan penuh rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT, saya diberi peluang untuk menulis sekali lagi. Coretan saya ini saya tujukan buat seorang adik istimewa yang saya rasa punya potensi besar untuk menjadi srikandi agama. Melihat kesungguhannya kepada pengislahan dan amal islami menyebabkan saya seolah olah melihat namanya mekar seperi Khaulah binti al Azwar Al kindi. Srikandi misteri di zaman Rasulullah SAW. Untukmu adikku Khaulah Al Adawiyah, semoga tulisan ini bermanfaat sesama kita, kerana sudah tentu kita ingin ALLAH melihat kita dengan pandangan kasih sayangNYA.

Mesej di Mukabuku A.K.A Facebook

assalam akq..asif ganggu..sye ade bace blog akq..akq nurse kan??sy pun bakal pelatih nursing ...hm sy tkut la akq..sy tkut kalau xdpat handle..tkut pressure bile msuk nursing ni cause sy dpat twaran nursing kkm..mak ayh suruh masuk..jdi sy pun bhenti blajar di matrikulasi n tnggu kemasukan nursing 3.01.12 ni...macam mane akq bt baju nursing tu??sbb yg macm kite tahu bju nrse tu sume sendat2?? mcam mane akq handle pressure ea?sbb sy ade tnye kkaq2 nursing..dye ckap tnsion...so sy tkut..lagipun sy kne blajar nursing di phang..kt sane saye xde sedare o shabat..sy nk taw mcam mane pglaman akq handle pesakit...ksbaran etc..sbb sy rase sy perlukan semangat dri muslimah yg jdi nurse(sbb sincerely sy xtfikir pun nk jdi nurse n cite2 sy lain benar dari nurse) sy bca blog akq n alhamdulillah..bgi sy akq alim n baik..bukn sng saye nk jumpe nurse camni..jadi sy ambek pluang ni utk tnye akq..harap akq xlokek utk kongsi pnglaman n nsihat..insyaAllah..moga Allah berkati hdup akq :)

Khaulah AL Adawiyah.

Inilah jawapanku untukmu...

Niat

Adikku, setiap permulaan pekerjaan atau perbuatan yang kita lakukan, biarlah segalanya kerana ALLAH. Maka, sebelum memasuki alam pembelajaran bidang kejururawatan, ikhlaskan hati semata mata kerana ALLAH SWT.

Dalam kitab karangannya yang bernama Matan Arbain, Imam Nawawi meletakkan hadis berkaitan niat sebagai yang pertama iaitu

'Dari Amirul Mukminin Umar Al Khatab R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:- Bahawasanya amalan amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya itu kepada ALLAH dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'

Sebelum memulakan langkah pertama, sematkan di dalam diri bahawa pemilihan bidang ini semata mata kerana ALLAH, dan galakan kedua orang tua sebagai asbabnya. Bersolat istikharah dahulu untuk mendapat keyakinan dari ALLAH bahawa bidang ini yang bersesuaian dengan masa depan adik dan yang terbaik untuk akhirat dan agamamu. InsyaALLAH, jika kita meletakkan ALLAH sebagai yang paling utama, segala urusan kita akan dipermudahkan dunia dan akhirat.

Adikku,

Ingin kakak kongsikan di sini, dengan sedikit pengalaman kakak yang hanya berusia setahun jagung ini berkenaan cabaran untuk menjadi jururawat muslimah. InsyaALLAH, sama sama kita nilai dan ambil iktibar. Malah, kakak juga mengharapkan agar coretan ini bisa menjadi panduan buat semua jururawat dan bakal jururawat muslimah.


Cabaran 1: Uniform Jururawat

Ini adalah cabaran yang paling hebat dalam bidang kejururawatan di Malaysia apatahlagi untuk seorang jururawat Muslimah. Jujurnya adikku, kakak sendiri mengakui bahawa dulunya kakak bukanlah seperti yang adik gambarkan serta fikirkan. Kakak punya masa silam yang kelam dan jauh dari mengenal Tuhan serta agamaNYA. Alhamdulillah, kakak yang sedang menulis sekarang adalah insan yang ALLAH sudah sentuh hatinya untuk berubah. Kakak sedang masih kuat bermujahadah untuk mengikis karat karat jahiliyah yang masih berbaki dalam jiwa kakak. Kakak tidak pernah ingin mnyembunyikan masa silam kakak kerana bukan untuk membuka keaiban tetapi kakak ingin berkongsi manisnya saat hidayah menyapa hati. Sesungguhnya kasih sayang ALLAH SWT adalah milik hamba hambaNYA.

Atas faktor kurangnya pengetahuan kakak berkaitan ISLAM, maka kakak tidak begitu ber'susah hati' berkaitan uniform jururawat semasa kakak mula mula memilih bidang ini terlebih dahulu. Akhirnya, apabila ALLAH menyentuh hati kakak, ketika itu kakak sudah berada di akhir kursus kejururawatan. Kakak betul betul keliru kerana kakak berasakan kakak sudah tidak boleh berpatah lagi dan kakak hampir melengkapkan pengajian kakak ketika itu. Ibubapa kakak juga sangat berharap agar kakak meneruskan jururawat sebagai kerjaya kakak. Sesungguhnya kakak tidak sampai hati untuk berhenti begitu sahaja kerana ibubapa kakak sudah bersusah payah agar kakak dapat melanjutkan pelajaran.

Alhamdulillah adikku, ketika itu kakak berpeluang merasai nikmat ditarbiyah biarpun hanya sekejap. Kakak berpeluang menyertai kumpulan usrah di mana kakak mempunyai seorang naqibah dan juga sahabat sahabat usrah terdiri daripada pelajar kejururawatan dan perubatan sendiri. Setelah taujihat dan kekuatan yang diberikan oleh naqibah dan rakan rakan usrah kakak, maka kakak beristikharah kepada ALLAH. Jika benar pekerjaan jururawat itu yang terbaik untuk akhirat, agama, tarbiyah dan perjuangan kakak, maka kakak minta kepada ALLAH agar mengekalkan kakak dalam bidang kejururawatan ini.

Walaubagaimanapun, terlalu banyak mehnah dan tribulasi bagi seorang pelajar jururawat muslimah. Adakalanya, kami tidak dibenarkan untuk memakai baju berlengan panjang atas alasan takut menyebarkan kuman kepada pesakit. Namun adikku, kakak ini seorang yang sangat keras. Atas semangat 'kamikaze' yang kakak miliki, kakak merupakan seorang pelajar yang paling degil, kakak sering sahaja curi curi mengenakan sarung lengan. Kakak selalu ditegur oleh pengajar ketika itu. Namun kakak tidak takut wahai adikku. Kakak yakin ALLAH bersama kakak dan keteguhan hati itu juga adalah hasil tarbiyah yang akak perolehi melalui usrah.

Malah, ujian yang paling getir sepanjang kakak bergelar pelajar kejururawatan adalah ketika kakak dan rakan rakan sepengajian dipanggil untuk sesi temuduga bekerja di luar negara. Kakak sungguh teruja untuk bekerja di negara orang atas alasan untuk menimba pengalaman. Tetapi yang menyedihkan adalah kami diminta untuk tidak bertudung jika ingin bekerja bersama mereka. Maka sudah tentu wahai adikku, kakak tidak akan memandang untuk bekerja bersama hospital itu lagi jika perlu menggadaikan prinsip agama yang kakak pegang.

Itu baru dugaan ketika bergelar seorang pelajar jururawat dan belum lagi ketika bergelar seorang jururawat sebenar. Cabaran lebih hebat menanti setelah melangkah ke alam pekerjaan. Sebenarnya ketika berada di luar kawasan kerja, kakak lebih suka mengenakan jubah dan bertudung labuh. Bukan niat untuk riak atau menunjuk nunjuk adikku tetapi sesungguhnya kakak amat meyakini bahawa tudung labuh amat menjaga seorang wanita muslimah dan itulah izzah yang perlu kakak banggakan. Namun adikku, kakak mengalami kesukaran dan kadang kadang berasa sedikit terkilan kerana ada yang mempertikaikan kenapa kakak perlu bertudung labuh sedangkan kakak bekerja sebagai seorang jururawat. Hal ini menimbulkan tanda tanya pada fikiran kakak, adakah tudung labuh hanya untuk mereka yang bergelar ustazah dan lepasan agama sahaja? Adakah sebagai seorang jururawat tidak mempunyai hak untuk bertudung labuh? Selain itu, sedikit mengecewakan bahawa isu ini dibangkitkan juga oleh muslimah yang bertudung labuh dan juga insan yang ditarbiyah. Kakak tidak ingin menimbulkan mana mana isu sensitif namun cukuplah kita mengambil kisah ini sebagai pengajaran.

Alhamdulillah, kakak diterima bekerja di sebuah hospital swasta yang membenarkan untuk mengenakan lengan panjang. Namun hal yang menyedihkan adalah tudung masih perlu dimasukkan di dalam baju. Kakak sengaja mengubah suai uniform kakak agar lebih besar untuk mengelakkan terdedahnya bentuk badan. Pada awal permulaan kakak bekerja, kakak sering menjadi bahan ketawa kerana ada insan insan yang mengatakn uniform kakak yang terlebih besar sehingga menyebabkan kakak kelihatan seperti seorang badut. Pada mulanya, ada sedikit rasa terkilan di hati kakak, namun apabila mengingati semuanya kerana ALLAH, kakak kuatkan hati juga untuk terus bekerja. Malah untuk pengetahuan adik , kakak memakai tudung labuh ketika pergi bekerja dan mengeluarkan tudung kakak pada masa masa yang kakak rasakan bersesuaian. Sesungguhnya kekuatan itn datang dari ALLAH SWT.

Cabaran 2: Masa

Masa pekerjaan sebagai seorang jururawat sememangnya tidak menentu. Kadangkala perlu bekerja waktu pagi, petang atau malam. Tidak dinafikan pada mulanya kakak mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri. Namun ini bukan fokus utama yang perlu kakak 'highlight'kan di sini. Fokus utama adalah perlunya MUJAHADAH seorang jururawat untuk menjaga waktu solatnya. Apabila bekerja waktu pagi, sedikit kesukaran untuk menjaga waktu Zohor dan solat sunah dhuha, apabila bekerja waktu petang, ada dua waktu penting yang perlu dijaga iaitu waktu Asar dan juga Maghrib dan yang terakhir sekali apabila bekerja pada waktu malam, susahnya untuk menjaga solat isyak dan tahajud di sepertiga malam.

Sedikit menyedihkan apabila terdapat segelintir jururawat yang tidak cekap dalam menjaga waktu solat. Alasan utama adalah pakaian yang kotor kerana melakukan prosedur seperti membersihkan pesakit. Namun sesungguhnya ISLAM telah menggariskan panduan tertentu dari segi kesucian untuk menyempurnakan solat. Dan sekiranya benar benar ikhlas untuk mengerjakan solat, sudah pasti berusaha untuk menunaikannya kerana solat merupakan waktu pertemuan yang dinanti untuk bertemu ALLAH SWT.

Selain itu, keadaan ward yang terlalu sibuk juga menyebabkan jururawat tidak berpeluang untuk mengerjakan solat. Malah terdapat jururawat yang takut untuk meninggalkan pesakit yang berkeadaan kurang baik kerana khuatir keadaan pesakit boleh berubah bila bila masa dan ketika itu mereka sedang bersolat. Sesibuk mana pun kita, sesungguhnya Nabi Sulaiman A.s adalah manusia yang paling sibuk. Dia mentadbir alam ini secara keseluruhannya. Jin, angin dan haiwan juga tunduk kepada kekuasaanya. Tetapi Nabi Sulaiman A.s masih punya masa untuk menyembah ALLAH SWT, apatah lagi berbanding dengan kesibukan kita yang hanya sedikit ini. InsyaALLAH, berkaitan hukum bolehnya qada solat ketika bekerja akan kakak kupas pada entri yang lain pula.

Adikku,

Pekerjaan sebagai seorang jururawat juga menguji kesabaran kita apatahlagi jika kita terlibat dalam usrah dan program dakwah. Kadangkala, sebagai jururawat, perlu bekerja pada hujung minggu dan cuti sedangkan selalunya program usrah dan dakwah dijalankan pada hari hari tersebut. Syukur wahai adikku, ALLAH sekali lagi menolong kakak iaitu hospital kakak bekerja mudah untuk mendapatkan cuti atau menggantikan waktu bekerja kepada orang lain. Malah, sekiranya terdapat program hujung minggu, kakak selalu meminta untuk bekerja pada waktu malam agar pada waktu siangnya kakak dapat berprogram. Sungguh adikku, selepas kerja malam, mujahadah yang sangat tinggi diperlukan untuk melawan rasa keletihan dan mengantuk. Namun, sekali lagi apabila teringatkan ALLAH dan perjuangan RasulNYA, maka serta merta keletihan dan mengantuk itu hilang. Selagi kita bekerja untuk akhirat, kepenatan kita akan hilang dan kebaikan kita pasti akan kekal berbanding jika kita bekerja untuk dunia, bukan sahaja penat tetapi tidak ada balasannya di akhirat nanti.

Pernah seorang sahabat usrah berkali kali meminta kakak berhenti kerja kerana berasakan pekerjaan kakak tidak bagus dan tidak sesuai untuk gerak kerja dakwah. Malah, kakak pernah mengambil keputusan sehingga hampir menulis surat perletakan jawatan. Ya ALLAH, sesungguhnya ALLAH sayangkan kakak. Kakak tidak terburu buru untuk membuat keputusan melainkan beristikharah kepada ALLAH. ALLAH masih mengekalkan kakak dalam pekerjaan ini, dan kakak berjanji untuk terus melakukan yang terbaik kerana ALLAH. Biarpun kakak sibuk bekerja, kakak sentiasa mengambil berat soal usrah dan program dakwah seperti program ISLAM, ceramah dan sebagainya. Kakak yakin adikku, ini adalah sumber kekuatan kakak untuk terus kekal dalam hidayah dan taufiqNYA. Tanpa usrah dan tarbiyah, kakak bukanlah insan pemilik blog Layakkah Aku menjadi bidadari syurga ini dan mungkin kakak akan terus hanyut dalam penyakit cinta dunia.

Cabaran 3: Fitnah

Adikku,

Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa wanita itu merupakan fitnah terbesar dalam dunia. Ingin kakak ingatkan di sini bahawa pekerjaan jururawat juga bisa menjadikan seorang wanita itu sebagai fitnah dunia. Bukan niat kakak untuk menakutkan adikku tetapi kakak ingin adikku bersedia dengan benteng pertahanan iman. Apabila menjadi seorang jururawat, kita akan bertemu dengan segenap lapisan masyarakat. Tidak dinafikan, kadang kadang terdapat pesakit atau ahli keluarga pesakit atau rakan rakan sekerja dan sebagainya yang mudah tertarik dengan wanita yang bekerja sebagai jururawat. Wanita yang bekerja sebagai jururawat dilambangkan sebagai wanita yang mempunyai kelembutan. Tulisan ini bukan bertujuan untuk riak adikku tetapi ini adalah realiti yang bukan sahaja dihadapi oleh kakak tetapi juga rakan rakan kakak. Kadang kadang terdapat gangguan semasa bekerja seperti meminta nombor telefon, memohon untuk berkenalan, memberi hadiah perkenalan dan sebagainya. Nauzubillah min zalik, mohon perlindungan ALLAH agar kita jauh daripada fitnah.

Maka nasihat kakak buat semua, adalah lebih selamat jika seorang jururawat muslimah itu mengenakan cincin pada jari untuk keselamatan. Mungkin ada yang membantah cadangan kakak tetapi dari pengalaman kakak sendiri cara ini adalah lebih berkesan untuk mengelakkan kita daripada diganggu. Sebelum ini kakak lebih suka berhelah mengatakan bahawa kakak sudah berumah tangga namun kakak sangat takut helah ini menjadi dosa dosa yang menyebabkan hilangnya keberkatan dalam pekerjaan kakak. Jadi, kakak lebih selesa mengenakan cincin sebagai langkah keselamatan.

Tidak dinafikan bahawa terdapat golongan yang tidak bersetuju dengan cara kakak. Mereka berasakan bahawa dengan pekerjaan jururawat memudahkan urusan pencarian jodoh. Sesungguhnya kakak yakin bahawa setiap jodoh, ajal maut dan rezeki ditentukan ALLAH SWT. Prinsip yang kakak pegang adalah

Be a BEST MUSLIM, will BUILD BESTEST BAITUL MUSLIM

Kakak rasa tidak perlulah seorang jururawat muslimah itu terlalu berlembut dengan pesakit yang berlainan jantina. Biarlah dalam setiap kelembutan ada ketegasan. Ketegasan untuk menjadi peribadi kita sebagai wanita ISLAM, menjaga maruah kita sebagai wanita ISLAM sekaligus untuk membersihkan labelan kepada jururawat yang kononnya lebih kepada wanita penggoda. Kesolehan dan kesolehahan seorang lelaki dan wanita bergantung kepada kerjasama mereka berdua. Namun, jika lelaki mudah menggoda dan wanita mudah menerima, bagaimana gelaran soleh dan solehah itu bisa dirai?


Selain itu, terdapat isu yang ditimbulkan rakan usrah kakak sendiri yang juga bergelar seorang jururawat. Dia menyatakan kerisauannya bahawa tidak ada lelaki yang ditarbiyah (lelaki yang mengikuti usrah) untuk memilih wanita yang ditarbiyah (wanita yang mengikuti usrah) tetapi bekerja sebagai seorang jururawat untuk dijadikan isteri. Hal ini kerana faktor masalah uniform, masa kerja yang tidak tentu, labelan terhadap pekerjaan jururawat dan sebagainya. Namun bagi kakak, sekiranya ada lelaki yang menjadikan alasan pekerjaan jururawat untuk menolak wanita yang beragama, sesungguhnya lelaki tersebut berfikiran cetek. Bukankah Hasan Al Banna sendiri menyatakan bahawa 'kenyataan hari ini adalah mimpi kelmarin dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok'. Jika si suami hanya inginkan isteri di dunia, maka sudah tentu dia memilih yang paling sempurna, tetapi sebenarnya yang sangat sempurna itu juga merugikan kerana dia sudah tidak ada ruang untuk memberi ganjaran pahala pada dirinya untuk membentuk isterinya itu. Namun, jika dia inginkan isteri dunia dan bidadari akhirat, maka sudah tentu dia merebut pahala berharga untuk mentarbiyah diri dan juga isterinya sehingga isterinya itu menjadi bidadari yang paling indah di syurgaNYA nanti.

Adikku...

Rasanya cukup di sini sahaja perkongsian dari diri kakak yang kerdil ini. Semoga ALLAH memudahkan urusan adikku ini. InsyaALLAH, jika ada peluang, ALLAH pasti pertemukan kita.

Sebelum memulakan pengajian, sedikit pesanan kakak titipkan buat adikku tersayang;

1) Ikhlaskan niat kerana ALLAH
2) Beristikharah sebelum membuat keputusan
3) Ikutilah usrah dan mana mana program pembaikan diri demi ISLAM. Pilihlah usrah yang terbaik, yang meletakkan ISLAM tertinggi sekali dan lengkap, bukan separuh separuh. ISLAM dipratikkan dalam semua lapangan termasuk ekonomi, politik, kepimpinan dan sebagainya.
4) Bersabarlah dan berteguhlah atas setiap cabaran yang diberikan kerana seusngguhnya, ALLAH sedang menyayangi mu ^_^

Wasalam.....

Bismillahiramanirahim

~ Tulisan ini untuk kedua ibubapa ku.. kalianlah syurgaku
~ untuk insan insan yang mentarbiyahku
~ buat semua adik adik di bumi tarbiyah dalam bidang kejururawatan dan perubatan
~ buat semua jururawat jururawat muslimah serta bakal jururawat muslimah
~ buat bunga agama yang merindukan pembaikan diri
~ buat mujahid dan yusra yang menanti ku di syurga... semoga ALLAH menganugerahkan syahid untukku.... AMEEN ^_^


Pautan:






P/s: Akhi Roslani, minta izin kongsi artikel enta

Monday, December 5, 2011

ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat!



Bismillahirahmanirahim

Rasulullah SAW bersabda:

Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku kepada kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita

(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tarmidzi, Nasa'i dan Ibn Majah)

Benarkah begitu sukar menjadi seorang wanita? Apatah lagi seorang wanita muslimah yang mukminah? Adakah dengan menjadi seorang mukminah, seorang muslimah itu perlu bersembunyi di dalam rumah, tidak bergaul dengan sesiapa serta menutup seluruh tubuhnya? Hanya perlu terlihat dua biji mata untuk mengelakkan fitnah?

Tidakkah wanita mukminah itu juga punya peluang? Berubah mengikut peredaran waktu. Zaman sekarang adalah zaman moden. Wanita sudah berdiri sama tarafnya dengan lelaki. Wanita juga perlu ditonjolkan kedepan. Malah, wanita punya hak untuk menjadi pemimpin.

Dr.Zainab Ridhwan telah menyebut dalam kitabnya Al Islam Wa Qadhaya Al-Mar'ah:

Syariat Islam ini datang untuk menempatkan lelaki dan wanita ini pada satu lingkungan dan menjelaskan bahawa tabiat semula jadi manusia, lelaki dan wanita hampir sama. Sesungguhnya ALLAH mengurniakan kepada wanita apa yang dikurniakanNYA kepada lelaki dan menganurgerahkan kepada wanita keupayaan keupayaan yang cukup untuk memikul pelbagai tanggungwab. yang melayakkan kedua- dua jenis manusia ini melaksanakan tugas kemanusiaan yang umum dan khusus

SubhanALLAH, betapa hebatnya seorang wanita, tidak pernah sekalipun ISLAM meletakkan wanita keterbelakangan dari seorang lelaki. ISLAM adalah agama yang benar benar mengangkat martabat seorang wanita. Malah ALLAH telah berfirman dalam Surah An Nisa, ayat 124;

Barangsiapa mengerjakan amal amal soleh, lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, mereka itu masuk syurga dan tidak dianiaya walau sedikit pun.


Terbukti! Tidak pernah ada perbezaan dari segi penerimaan amalan kebaikan lelaki dan wanita. Sesiapa yang berlumba lumba melakukan kebaikan (fastobul khairat), maka dialah yang berhak mendapat pembelaan di sisi ALLAH SWT. ALLAH itu bersifat Al-Adl (Yang Maha Adil) terhadap hamba hambaNYA.

Malah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membelakangkan wanita dalam aspek perjuangan ISLAM. Menyebut kembali kisah Hudaibiah, ketika Nabi Muhammad S.A.W mengarahkan para sahabat bertahalul dan menyembelih korban, sedangkan mereka tidak dibenarkan memasuki Makkah untuk menunaikan umrah, kerana dihalang oleh kaum Quraisy. Kaum Muslimin merasa keberatan lalu mereka tidak berkorban. Nabi Muhammad S.A.W menjadi khuatir tentang hal ini tetapi baginda juga merasa keberatan untuk menyalahi para sahabat. Justeru itu, Ummu Salamah mencadangkan agar Rasulullah SAW keluar dari rumahnya tanpa memberitahu sesiapapun dan menyembelih korbannya. Nabi Muhammad S.A.W melaksanakan pandangan isterinya. Selepas itu, semua orang segera menyembelih korban mereka. Maka berakhirlah krisis ini dengan pandangan seorang wanita kepada Rasulullah SAW.

Sesuai dengan ciptaanya yang sungguh indah dan menjadi mawar yang didambakan sang kumbang, pengaruh wanita juga amat kuat untuk menaikkan dan menjatuhkan seorang lelaki. Jangan pernah sekali terlupa bahawa permulaan keruntuhan kerajaan Firaun adalah berpunca dari isterinya. Asiah mampu menggugat pendirian Firaun yang bertegas untuk membunuh semua anak anak Bani Israel kecuali Nabi Musa A.s. Firman ALLAH:

Mudah mudahan dia berguna kepada kita atau jadikan dia anak. ( Al-Qasas:9)
Namun yang paling istimewa lagi mengagumkan iaitu keteguhan Asiah beriman kepada ALLAH SWT yang Maha Esa dan mengingkari ketuhanan Firaun.

Sahabat sahabat yang dikasihi kerana ALLAH,

Bersyukurlah dengan sepenuh hati kerana dilahirkan sebagai wanita ISLAM kerana hakikatnya ISLAM adalah penyelamat kepada kemuliaan seorang wanita. Mengambil beberapa contoh kepercayaan kaum kaum tertentu terhadap wanita, kaum Yahudi memandang wanita sebagai laknat yang wajib dijauhi dan tidak dapat dipercayai untuk menjaga rahsia atau tugas tertentu. Kaum Yahudi percaya bahawa 'wanita itu lebih kejam daripada kematian' sebagaimana yang telah disebutkan dalam Kitab Taurat mereka.


Pandangan kaum Nasrani terhadap wanita juga lebih cenderung memberikan hukum yang menghina, melecehkan dan membenci kaum wanita. Malah peradaban Barat sendiri dipengaruhi oleh asas agama Nasrani. Jika tidak, masakan peradaban barat cenderung untuk memperagakan wanita mereka. Wanita dijadikan alat untuk menaik nafsu, mencari wang dan sebagainya. Bukankah ini sebenar benarnya diskriminasi terhadap wanita?

Di sebuah wilayah di Perancis tahun 1281, misalnya diadakan persidangan berkisar wanita dengan tema: Wanita, Manusia atau Bukan Manusia?. Persidangan itu malah melahirkan keputusan bahawa wanita adalah manusia yang sengaja diciptakan untuk melayani lelaki.

Malah bukti yang paling kukuh adalah kedudukan wanitayang begitu keterbawahan dalam masyarakat Arab Jahiliyyah sendiri sebelum kedatangan ISLAM seperti contoh contoh berikut:

1) Dilarang untuk mendapat hak waris
2)Tidak ada batasan jumlah isteri dalam pernikahan. Seorang lelaki boleh menikah lebih dari satu isteri tanpa batas
3)Isteri termasuk harta peninggalan suami. Ketika suami meninggal, isteri menjadi warisan bagi anak anaknya di mana si pewaris bebas menikahi atau menikahkannya dengan siapapun.
4) Mengubur hidup hidup anak perempuan. Kelahiran bayi perempuan merupakan aib.

Alangkah bertuahnya kerana dilahirkan dalam suasana wanita begitu diraikan dan diangkat martabatnya dalam ISLAM. Malah, wanita kini diberikan peluang untuk bekerjaya dan menerima pendidikan. SubhanALLAH, dengan peluang sebegini sewajarnya seorang wanita bisa menjadi hebat untuk berbakti kepada agama dan bangsa.

Setelah segala kebaikan dan rahmat yang diberikan sebagai wanita ISLAM yang mukminah, apa lagi yang perlu dinantikan? Bukan sudah tiba masanya generasi wanita ISLAM untuk segera bangkit berjuang. Perbezaan gender bukanlah halangan besar untuk meraih gelaran bidadari syuhadah di sisi ALLAH.

Wanita memang terkenal dengan kelembutannya, tetapi yang sebenarnya lembut itu adalah sumber kekuatan bukan kelemahan. Cara dakwah yang terbaik juga melalui kelembutan. Bukankah ALLAH SWT berfirman dalam surah Taha ayat 43-44:

Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata kata yang lemah lembut, mudah mudahan ia ingat ataupun takut.

ALLAH SWT mengajarkan, untuk mendekati manusia seperti Firaun juga adalah menggunakan kaedah lemah lembut. Bukankah ini satu bonus istimewa buat wanita? Fitrah mu tercipta semulajadi dengan kelembutannya, maka seharusnya kau manfaatkan sebaiknya. Cuma awas, jangan disalahgunakan kelembutan itu untuk menarik yang tidak halal mendekatimu kerana itu bakal membawa bencana dan menjadikan dirimu itu sendiri sebagai bencana.

Sebagai wanita, mungkin kau juga tidak punya kudrat sehebat kaum pendampingmu seorang lelaki. Namun jangan pernah lupa, memori istimewa seorang lelaki adalah ketika dia pernah menumpangi rahim ibunya selama sembilan bulan. Disitulah terbuktinya kekuatan kudratmu. Janin yang dikandung itu berkongsi nyawa dengan mu. Maka, jangan sekali pernah putus asa, sebaliknya beriltizam lah untuk melahirkan mujahid dan mujahidah yang bakal meneruskan perjuangan.

Buat wanita yang tidak berpeluang keluar di medan jihad, jangan pernah sekali berasa gundah. Terdapat sebuah kisah menarik yang bisa menjadi pembakar semangat. Hadis riwayat Anas Bin Malik menceritakan perihal Salamah, ibu susuan Ibrahim, putera Rasulullah SAW dan Mariah al-Qibtiah, dia bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan khabar gembira dalam segala hal untuk kaum lelaki tetapi tidak untuk kaum wanita."

Rasulullah SAW berkata, " Adakah rakan rakanmu menghantarmu untuk bertanya seperti itu?"

Jawabnya, "Benar, mereka menyuruhku."

Lalu baginda berkata:

Tidaklah seorang antara kamu merasa reda jika dia hamil daripada benih suaminya dan suaminya bangga dengan kehamilannya itu. Wanita tersebut mendapat pahala sama dengan seorang berpuasa dan berdiri malam di jalan ALLAH dan apabila wanita itu menderita sakit sewaktu melahirkan, maka betapa kegembiraan yang dirasakan dengan lahir permata hatinya yang tidak diketahui penghuni langit dan bumi
Biar tidak bergerak ke medan jihad, tetapi punya sesuatu untuk disumbangkan ke aras perjuangan. Malah kerelaan wanita itu sendiri mempersiapkan suami atau mahramnya bermujahadah di jalan ALLAH, pasti memberikan ganjaran yang sangat besar untuknya di syurga. Apatahlagi jika dirinya turut bersedia untuk menyediakan diri untuk turut berjuang.


Semoga melalui perkongsian yang sedikit ini, bisa membakar semangat wanita wanita kerinduan pemuda syurga untuk terus berjuang menegakkan agama di jalannya. Sememangnya seorang wanita itu tidaklah sempurna, pasti ada kekurangannya. Tetapi percayalah bahawa dengan kekurangan itu sebenarnya, ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat. Tak perlu resah dan gelisah jika berasakan diri tidak cukup cantik, tidak cukup ilmu, tidak cukup lembut, tidak cukup ayu dan sebagainya. Setiap kelebihan dan kekurangan seorang wanita adalah didikan ALLAH padanya.

Terima CINTA atas segalanya
Jangan gentar, jangan putus asa, teruskan melangkah!
Kerana kita memburu gelaran bidadari syurga! ^_^


Coretan hatiku: Maaf, belum berkesempatan menyambung cerita, Hei ya kamu di sana, pergi buat kerja dakwah. Sedang mencari kekuatan... insyaALLAH, doakan!

Sumber rujukan:

Al Quran dan Sunah (tetap dan utama)
1) Kedudukan Wanita dalam ISLAM ~ Sheikh Abdul Majid Subhi
2)Fiqh Wanita Muslimah~ Dr.Abdul Qadir Muhammad Mansur
3)Menjadi wanita super dengan Asmaul Husna~ Sulaiman Al- Kumayi
4)Sebarkan CintaMU~ Ustazah Fatimah Syarha
5) Solusi 38~ Syurga itu Benar

Wednesday, November 9, 2011

“Nad, she is going to die in a few days…..”

“Anak saya tidak dapat bercakap, mengadu sakit tekak dan susah mau makan minum kerana tekaknya yang sakit tu”, mengadu seorang lelaki kepada salah seorang petugas kesihatan di unit kemalangan dan kecemasan Hospital K (bukan tempat sebenar).

Itu merupakan pertemuan pertamaku dengannya kerana kebetulan aku bertugas di unit tersebut pada hari dan masa tersebut. Perempuan itu masih muda, muda lagi dariku, dan punya raut wajah tipikal wanita Asia. Setelah diperiksa, beliau mengalami dihidrasi (kekurangan air dalam badan) dan jangkitan fungus di tekak dan mulut (oral candidiasis).

Pada hari Isnin berikutnya, daku bertugas di shif pagi dan masih lagi diberi peluang untuk berjumpa dengannya di wad tempatku bertugas. Kesedihan tergambar jelas diraut wajahnya dan kesukaran beliau untuk berkomunikasi menyulitkan doctor untuk memberikan diagnosis yang tepat berkaitan penyakitnya. Beberapa hipotesis awal dibuat namun kesemuanya tidak signifikan. Beberapa ujian makmal dibuat berdasarkan sampel darah yang diambil namun kesemuanya tidak memberikan jawapan yang memuaskan untuk membuat diagnosis yang tepat. Diagnosis yang tepat penting supaya rawatan yang sepatutnya dapat diberikan sebelum keadaan menjadi teruk.

Doktor Cik Chaq (bukan nama sebenar)sangat pening kepala dengan keadaan Miss Jijan(bukan nama sebenar). Jaundis mula kelihatan di kaki dan tangannya, manakala tidak di mukanya. Jangkitan fungus di tekaknya masih tidak berkurangan walaupun antibiotic telah diberikan. Badannya kelihatan lemah dan beliau juga tidak berdaya untuk berjalan ke tandas sendirian.

“ You mesti cakap jujur dengan misi, apa sebab you jadi macam ni. Jangan tipu misi! You ada telan atau minum apa-apa ke sebelum ni?” gertak seorang jururawat kepada Miss Jijan.

Misi Y (bukan nama sebenar) merupakan seorang jururawat pengajar yang berpengalaman berpuluh tahun di unit kritikal. Beliau baru sahaja sampai di wad tersebut dan mendapati sedikit keanehan pada kes Miss Jijan. Setelah digertak beberapa minit, Miss Y melalui pengantara ibunya mengaku menelan satu penutup sejenis racun rumpai pekat yang dinamakan paraquat sebagai jalan akhir atas masalah peribadi yang dialaminya. Ibu dan ayahnya sangat terkejut dengan perkhabaran tersebut dan tidak menyangka anak mereka telah bertindak sejauh itu.

“Nad, she’s going to die in a few days, there is no cure for paraquat poisoning,” bisik rakan setugasku setelah cerita sebenar diketahui. Daku sangat terkejut dan tidak menyangka ajal sebenarnya yang menanti beliau.

Isu Bunuh Diri Di Malaysia
Menurut statistik di Malaysia yang dikeluarkan pada September 2005, kadar peningkatan bunuh diri dianggarkan tujuh orang orang setiap hari serta lebih 2000 kematian setiap tahun. Antara factor penyumbang kepada kejadian bunuh diri antaranya ialah 6 sebab berikut: kemiskinan, kehilangan orang yang disayangi, keretakan perhubungan, penyalahgunaan dadah, kegagalan akademik dan sejarah penyakit fizikal dan mental dalam keluarga. Selain itu, pegangan agama yang lemah juga merupakan pendorong kepada keputusan yang cetek akal seperti isu bunuh diri ini.

Larangan Membunuh Diri Dalam Islam
Terdapat beberapa larangan dari al-Qur�an dan al-Sunnah berkaitan dengan kesalahan ini, di antaranya:
- firman Allah: Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan (al-Baqarah, 2:195)
- dan firmanNya lagi: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang kepada kamu (al-Nisa', 4:29).
Di dalam Sunnah Rasulullah s.a.w. kita menemui Hadis-hadis berikut:
- baginda bersabda: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia ini, maka dia akan diazabkan dengannya pada hari kiamat nanti (riwayat Muslim, 1:104; al-Darimi, 2:112 dan Ahmad, 4:33,34).
- sabdanya lagi: Sesiapa yang menjatuhkan dirinya dari puncak bukit kerana membunuh diri, maka dia akan berulangkali jatuh ke dalam api neraka selama-lamanya, sesiapa yang meneguk racun kerana membunuh dirinya, maka racun itu akan berada di tangannya dan dia akan meneguknya berulangkali di dalam neraka selama-lamanya, sesiapa yang membunuh dirinya dengan menggunakan besi, maka besi itu akan berada di tangannya dan dia akan memukul kepalanya dangan besi itu berulangkali di dalam neraka selama-lamanya (riwayat Muslim, 1:104; al-Darimi, 2:112 dan Ahmad, 4:33,34).

Ibrah Dari Kejadian

1. Nyawa adalah milik mutlak Allah.
Tiada sesiapa selain Allah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Sebagai manusia yang juga hamba kepada Allah, adalah berdosa besar sekiranya meragut nyawa sendiri akibat kegagalan mengatasi masalah dalam hidup. Manusia tidak diciptakan untuk tujuan yang sia-sia. Manusia dan jin diciptakan untuk beribadah kepada-Nya.
Dalam hidup, ujian datang dan pergi. Itu merupakan sebahagian daripada kitaran hidup manusia. Adalah merugikan bagi keluarga, masyarakat, negara dan agama apabila seseorang individu membunuh diri. Jalan penyelesaian yang diambil ini merupakan manifestasi kepada lemahnya jati diri, pegangan agama dan keberkesanan pendidikan yang diterima oleh seseorang individu. Bagaimana mahu merealisasikan cita-cita besar mentadbir masyarakat dan Negara sekiranya jati diri warganegaranya rapuh, tidak kental?

2. Pengalaman adalah guru yang terbaik.
Bagaimana Misi Y dapat mengenalpasti punca masalah dalam beberapa minit sahaja setelah meneliti kes yang dikemukakan? Ini disebabkan beliau telah beberapa kali berdepan dengan masalah sebegini setelah bertahun-tahun berada dalam perkhidmatan. Apabila berdepan dan merawat pesakit, pengalaman merupakan panduan yang terbaik. Jadi, jangan putus asa sekiranya kita tidak pandai atau cekap dalam membuat sesuatu procedure. Yang penting, jangan berhenti belajar, membaiki dan terus meningkatkan prestasi. InsyaALLAH, kita juga merupakan bakal acuan Miss Y pada masa akan datang (cuma kasut kita tidak berbunyi kuat je).

3. Sediakan bekalan yang cukup sebelum kita dipanggil pulang
Setiap manusia yang hidup tidak tahu bilakah mereka akan dipanggil pulang. Masa kematian menjadi rahsia ALLAH. Bukannya manusia yang menentukan bila mereka patut mati.

Menurut satu kajian yang dibuat di India, kepekatan racun paraquat paling tinggi dijumpai di paru-paru dan akan memuncak setelah 5-7jam selepas diminum. Dalam kajian tersebut, 7 daripada 17 orang yang meminum paraquat dilaporkan ‘survive’ tetapi menderita kesan sampingan daripadanya seumur hidup. Racun paraquat mengakibatkan kerosakan terus kepada lapisan sel di mulut, perut dan usus.Toksin racun paraquat mengakibatkan tindakbalas kimia kepada organ dan sistem dalam badan terutamanya paru-paru, hati dan buah pinggang. Jaundis yang kelihatan adalah berpunca daripada kerosakan hati secara beransur-ansur. Keadaannya beransur-ansur lemah. Beliau hanya bertahan selama seminggu selepas meminum racun tersebut. Al-Fatihah.


Rujukan:
1. MedlinePlus: Paraquat poisoning (http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/001085.htm)

2. Institut Kefahaman Islam Malaysia: Islam tegah perbuatan bunuh diri (http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=954&cmd=resetall)

3. Centers for Disease Control and Prevention: Facts about paraquat (http://www.bt.cdc.gov/agent/paraquat/basics/facts.asp)

4. Indian Journal Of Nephrology: outcome of paraquat poisoning-a five year study (http://medind.nic.in/iav/t03/i2/iavt03i2p64.pdf)

credit to Nadzirah Aslan

Monday, October 3, 2011

Redha ALLAH


Bismillahirahmanirahim.
Baru berkesempatan menulis pada bidadari ini. Sesungguhnya, hati sangat rindu untuk berkongsi dan mencoret sesuatu. Tetapi kekangan kekangan yang melanda, menyebabkan terlambat sedikit untuk berkongsi cerita tentang perjalanan hidup yang kian mencabar.

Bermula dengan kisah tanda cinta ALLAH SWT, dua minggu yang lalu diserang keracunan makanan. Semua makanan yang masuk habis dimuntahkan, demam panas melanda setiap kali maghrib dan juga diserang cirit birit. ALLAH sahaja mengetahui keadaan diri masa itu. Berasa sedikit kerugian kerana tidak dapat menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat kerana tiba tiba jatuh sakit. Rasa cemburu menular ke dalam diri kerana tidak dapat menghadirkan diri untuk menambah ilmu demi seruan jihad menegakkan ISLAM di Sabah bumi kelahiranku.

Apabila sudah jatuh sakit, mama dan baba sudah memberi amaran. Untuk seketika ini, kurangkan keluar berprogram. Mereka tidak mahu anak mereka sakit sekali lagi. Rasa bersalah sangat kerana menyusahkan mama dan baba. Selain itu, rasa bersalah juga menular diri kerana tidak dapat berprogram. Syukur yang amat sangat KERANA staff nurse Fronia yang memahami situasi ketika itu, sanggup mengganti jadual kerjaku. Semoga dirimu mendapat hidayah dari ALLAH SWT kerana kelembutan hatimu itu. Mama dan baba kata, jika benar selama ini, benda yang diri ini ikuti, usrah dan program, adalah sesuatu yang benar, sudah pasti buat tika ini, daku akan mendengar cakap kedua ibubapa. Maka, dengan berat hati, bertekad untuk mengurangkan sedikit keluar rumah. Lebih banyak berehat dan temankan mama dan baba.

Alhamdulillah, dapat berusrah sekejap bersama cermin ajaibku, ukhti Norashikin. Syukur, terubat rasa rindu dengan sentuhan tarbiyah hati. Cermin ajaibku mengingatkan tentang hak hak terhadap keluarga, pekerjaan dan jemaah. Syurga untuk seorang wanita yang belum berkahwin adalah pada kedua ibubapanya. InsyaALLAH, jika berusaha mentaati, pasti dipermudahkan dua tiga tahun kemudian. Ukhti Norashikin juga menasihati agar menjaga kesihatan diri kerana seorang daie perlu memerhatikan tarbiyyah jasadiyyah. Terkejut dirinya tatkala diberitahu selalu pergi program lepas kerja malam. Tetapi, mujahadah itu perlu bukan apabila kita berkehendakkan sesuatu. Dan sudah tentu kehendak kita itu adalah redha ALLAH SWT. Bertanya pada cermin ajaibku, adakah diriku ini dikira futur, tetapi cermin ajaibku itu mengingatkan bahawa futur terletaknya pada hati. Malah dia juga mengingatkan segala ajaran yang diperturunkan oleh naqibah dan murabbi kami. Ya ALLAH, kasihMU sentiasa berpanjangan, biarpun dikejauhan tetapi masih merasa perlindungan tarbiyah yang berkekalan. Itulah seorang murabbi dan murabbiyah sejati, biarpun tidak kelihatan dek mata tetapi menembus ke dalam jiwa. Tenaga yang mula lemah kembali direfresh dan mengatur strategi yang lebih baik.

Tanda cinta ALLAH SWT sekali lagi menjengah, tatkala baru pulih sedikit dari keracunan makanan, sudah kembali bertugas di wad. Kali ini bukan calang calang tugasannya kerana terpaksa menjadi 'INCHARGE' untuk satu jangka masa yang panjang apabila senior mengambil cuti. Ya ALLAH, tatkala diri terpaksa merangkak untuk pergi bekerja, dihidangkan pula dengan peranan yang berat dan pesakit yang ramai. Sehari suntuk berlari di wad sehingga tiada masa untuk makan dan minum, mujur ada waktu untuk solat. Mengadu pada mama dan baba atas ketidaklaratan untuk bekerja, tetapi hanya disuruh bersabar. Ragam bekerja sememangnya begitu. Selepas itu mendapat panggilan telefon dari Hospital, minggu ini akan diadakan penilaian untuk diriku. Ya ALLAH, tatkala kesihatan belum stabil, kesibukan yang melanda, biarpun mama dan baba suruh kurangkan keluar tetapi masih mengambil peluang untuk seketika bersama muslimat. Slide show untuk penilaian belum disiapkan kerana kesibukan yang melanda. Namun alhamdulillah, masih follow up dengan sahabat sahabat tentang perkembangan gerak kerja. Maafkan diri ini yang terpaksa menjadi cinderella sekali lagi buat seketika. Semoga kalian beroleh syurga.

Dalam proses persiapan untuk program Wanita bersama muslimat dan Nisa Sepanggar, sekali lagi tahap kesihatan diri diuji. Demam panas menyerang sekali lagi disertakan bersama batuk dan selesma. ALLAH sahaja mengetahui betapa berat kepala untuk diangkat. Namun hati ini sedikit terhibur, kerana pertambahan mujahid kecil di rumah kami. InsyaALLAH, anak anak asuhan mama dan baba semakin bertambah. Riuh sungguh rumah dibuatnya. Sekurang kurang nya mengurangkan kesunyian mama dan baba. Tetapi yang menghairankan, semua budak yang yang dihantar adalah lelaki kecuali seorang kanak kanak perempuan comel .

Selain itu, berita gembira, bertemu dengan Dr Z untuk klinik yang seterusnya. Dia berpuas hati dengan perkembangan diriku. Ya ALLAH, saat untuk bebas dari sebarang rawatan semakin hampir :D. Temujanji sudah dikurangkan selama 4 bulan. Sahabat baikku berpesan, jangan pula diri ini merindui Doktor tersebut. Tidak dinafikan, doktor tersebut banyak berjasa kerana sudi menerimaku yang berhijrah dari bumi kenyalang sebagai pesakit beliau. Semoga dia juga mendapat hidayah dan taufiq atas kebaikannya.

Ya ALLAH, betapa hati ini merindui saat ditarbiyah dan diajar mengenaliMU. SubhanALLAH, rupa rupanya ALLAH punya cara sendiri untuk mendekatkan diri ini padaNYA. Segala ujian jangan dikatakan sebagai halangan tetapi jadikanlah sebagai CABARAN untuk bergelar seorang pejuang. Tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Mujahidah sangat sakit kerana kita perlu mengorbankan apa yang kita suka tetapi insyaALLAH, akhirannya pasti sangat indah tatkala dirimu bernyanyi riang di syurgaNYA kelak. Sesungguhnya tujuan kita hanya satu untuk mengejar redha ALLAH.

Baru baru ini berusaha mencari kerja baru, tetapi masih belum berjumpa yang bersesuaian. Rasanya diriku masih diperlukan khidmat di situ, cuma yang dikhuatiri, tanggungjawab yang semakin besar tatkala sudah bergelar kapten dan incharge. Apatahlagi mungkin diri ini akan menjadi calon calon untuk post basic. Diriku tidak mahu kerana tekanan kerja yang melampau sehingga mengganggu perjuanganku. Jikalau hendak berpindah tempat lain pun, tak sampai hati untuk meninggalkan mama dan baba kerana mereka adalah syurgaku dunia dan akhirat.

Alhamdulillah, diriku ini begitu senang berkongsi bersama bidadari ku ini. Sedar tak sedar, sudah dua tahun usiamu. Terima kasih bidadari kerana sering menjadi medan curahan dan coretan diriku selain penggantungan hanya padaNYA yang satu. Semoga redha ALLAH sentiasa bersamaku dan kalian


SELAMAT ULANG TAHUN LAYAKKAH AKU MENJADI BIDADARI SYURGA =)

Wednesday, September 14, 2011

Sayonara Jahiliyyah!



Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari..
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran sang BIDADARI!

Ah... tidak mudah untuk bergelar bidadari syurga. Diriku ini tersangat tidak sempurna. Rasanya baru kesekian kali diriku terasa kerana tingkah sahabat sahabat yang tidak memperdulikan aku. Seorang daie kah aku? Begitu mudah hati ni merasa tersentuh tatkala kemahuan diri tidak dituruti. Bukankah menjadi seorang daie itu perlu bermujahadaha. Itsar diletakkan sebagai senjata utama kekuatan ukhuwa. Namun diriku bukan begitu, masih ada karat karat jahiliyah yang bersisa dalam diri. Belum! belum cukup hebat diriku. Hati ku belum bisa ku sucikan seperti sucinya hati mu Bidadari bernama Asiah. Sukar sekali menerima ketentuan ALLAH SWT terhadapku. Mungkin belum cukup tarbiyah pada diri ini sehingga perasaan cinta dunia masih menebal dalam diri. Di manakah silap nya pentarbiyahanku?

Buku 'Bekalan Di Sepanjang Jalan Da'wah' karya sang murabbi agung, Mustafa Masyur ku renung sekali lagi. Sebuah buku yang wajib menjadi peneman buat para daie. Rasa rasanya buku buku haraki sebegini perlu dihadam berkali kali agar benar benar sebati dengan diri. Dalam usaha mentarbiyah insan lain, maka tarbiyah diri sendiri yang perlu diberi perhatian khusus.


......... Jalan dakwah adalah segala galanya dalam kehidupan seorang daie kepada ALLAH. Ia adalah jalan utama untuk diberi perhatian. Mestilah ada bekalan yang memelihara dari terpesong, terhalang, terhenti, terbantut atau tergelincir di jalan. Natijahnya, kerugian yang nyata dan hilangnya kebaikan dan kejayaan yang besar.............

Membetulkan niqab di wajah. Hasrat hati untuk bertemu bunga agama yang dahagakan ilmu. Entah mengapa waktu waktu begini, kenangan silam menyapa minda. Ah.... rindu... rindu pada dia. Tetapi dia sudah tiada! Dia sudah lama terkubur. Kenapa dirinya masih menghantui? Kadang kadang berasa marah dan bingung. Biarkan dia mati, aku tidak mahu dia menghantui jiwaku. Namun, ada ketikanya rasa rindu itu menebal pada dirinya. Dan aku menangis lagi atas ketidakmampuan diriku. Terasa diri ini terlalu kurangnya ilmu. Apatahlagi sekatan dakwah yang dilalui saat ini. Segalanya perlu bersembunyi. Hampir saja diri ini menjadi separuh gila kerana ada sahaja badai yang menghempas pantai dan seringkali aku dikecewakan ketika aku berada di jalan ini. Tidak pernah putus putus ujian yang ku lalui, disakiti dengan pelbagai cara, dikecewakan tanpa rasa belas kasihan. Hal ini menyebabkan aku terlalu merindui dia. Kerana bersama dia aku gembira...................

Prolog

"Ku rasakan pudar dalam diriku rasa cinta dalam dirimu....'

Alunan merdu lagu 'Pudar' nyanyian Rossa berkumandang di laptop merah jambu kesayangannya.

Dia masih lagi termanggu manggu berfikir sesuatu. Seperti biasa, dia dengan imejnya. Bagi dirinya, sebagai ikon di Fakultinya, dia sangat perlu menjaga imej. Sebenarnya, dari waktu pagi dia duduk di situ. Namun hatinya gusar. Dia masih belum mendapat sebarang rentak. Pertandingan Pasukan Sorak Peringkat Universiti akan berlangsung tidak lama lagi. Dan sudah tentu dia sangat ingin mempertahankan kejuaraan pasukannya. Siapa yang tidak mengenali dirinya.

'Ratu, aku tengok kau ni asyik termenung saja kat sini, baik kita pergi makan. Perut dah lapar ni". Aida, itulah sahabat baiknya.

'Nantilah, I belum dapat fikir step untuk pasukan sorak kita, I rasa macam otak dah bekulah". Dia merungut sedangkan dalam hatinya gusar.

Ratu, itulah nama gelarannya di kampus. Dia sangat suka kepada yang berunsur kewanitaan. Dia sangat mencintai dunia tarian dan pasukan sorak. Malah, seringkali dia digelar ikon fesyen di kolej. Dia berasa bahagia dengan hidupnya begitu. Kadang kadang dia juga tidak memperdulikan perasaan insan lain. Hidupnya adalah untuk dirinya. Dia pasti akan memperoleh apa yang dimahukannya. Dan untuk ketika ini dia mahukan kemenangan pasukannya.

Cuma beberapa tika ini, dia merasakan sesuatu yang lain. Hatinya bagai ditarik tarik ke arah sesuatu. Itupun setelah dia mula berkenalan rapat dengan seseorang di kolejnya. Dia mula menyenangi kehadiran insan itu dalam hidupnya. Sebelum ini, dia sangat susah untuk bersahabat dengan golongan seperti itu. Baginya, golongan seperti itu adalah golongan ketinggalan zaman. Dia tidak berapa berkenan dengan cara mereka berpakaian. Walaupun dalam nalurinya, mengetahui bahawa berpakaian itu adalah yang terbaik tetapi dia masih mengikuti urusan nafsu dunianya.

Nadiah, itulah nama insan yang menggetarkan hatinya. Kebaikan Nadiah terhadap dirinya cukup memikat hati. Dia yang sebelum ini jahil soal agama tetapi Nadiah banyak mengajarnya. Malah melalui Nadiah juga dia mula membaca Al Quran. Sahabat baiknya Aida juga memberi galakan penuh. Dia merasakan dia bertemu sesuatu yang indah dalam hidupnya. Cuma, dia belum bersedia meninggalkan dunianya. Dia tidak berani untuk melangkah melakukan perubahan. Kadang kadang dia berasa dia tidak layak untuk menyertai dunia itu. Dirinya penuh dosa silam. Malah dalam masa yang sama, dia amat menyayangi reputasinya sebagai ahli pasukan sorak. Dia juga tidak sanggup meninggalkan dunia pentas tariannya. Setelah bertahun tahun dia membina reputasi sedemikian dan sudah semestinya dia tidak mahu dihapuskan begitu sahaja.

_________________________________________________

Mushaf Al Quran dipegang di tangannya. Dia mencuba untuk membacanya. Sekurang kurangnya bacaannya kali ini sudah ada kemajuan. Dulu dia hanya dapat membacanya secara merangkak rangkak. Tetapi kini, dia sudah boleh membacanya tetapi masih terdapat kesalahan hukum tajwid. Dia berazam untuk memperbaiki bacaan Al Quran kerana dia mula terasa dekat dengan kalam ALLAH itu.

"Maka Dia mengilhamkan kepadanya(jalan) kejahatan dan ketaqwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya." As syams (8-10)
"Sebenarnya, untuk menjadi baik atau tidak, terpulang kepada individu itu. ALLAH sebenarnya memberikan jalan yang luas untuk kita menjadi baik. Kita sahaja yang tidak mengambil peluang itu." Terngiang ngiang suara Nadiah ketika memberi pengisian ketika sesi usrah.


Terlalu berat kaki untuk melangkah ketika pertama kali menyertai usrah. Dia menyedari dirinya yang selama ini tidak pernah menjejakkan kaki ke surau itu. Malah, surau itu menjadi terlalu asing baginya. Tetapi, setelah pertama kali melangkah, dia sudah jatuh cinta pada tempat itu. Malah dia tertarik dengan sambutan yang diberikan warga surau itu kepadanya biarpun dia hanyalah sekuntum mawar yang hampir pudar warnanya. Manakan bisa menyamakan dengan mereka ibarat mawar larangan yang indah kerana iman dan taqwa.

'Yusro, apa yang enti paling sukai?". Aisyah, si manis pelajar perubatan itu bertanya kepadanya yang juga merupakan sahabat akrab kepada Nadiah.

"Sebenarnya lama sudah saya tidak dipanggil dengan nama Asiah Yusro sebab selama ini, nama gelaran saya Ratu.Dan terus terang, saya tak pandai nak cakap cakap Arab ni" Dia berterus terang sambil dipenuhi rasa rendah diri.

"Tidak mengapa Yusro, insyaALLAH, Yusro itu nama yang indah. Dan panggilan yang indah itu ibarat doa untuk seorang mukmin. Apa yang Yusro paling sukai?"

"Saya sangat menyukai kecantikan, dan saya ingin menjadi antara mereka yang tercantik dan terindah". Tersipu sipu wajahnya

"Yusro tahu tak, sebenarnya yang paling cantik adalah seorang bidadari?"

"Ya, tapi kalau kita jadi Ratu pun kita akan cantikkan?" Dia menjawab penuh keliru

"Cuba buka tafsir surah Ar Rahman, dan lihat ayat 70, boleh Yusro bacakan?"

"Di dalam syurga itu ada bidadari bidadari yang baik baik dan jelita".

"Yang paling cantik adalah bidadari syurga." Aisyah menjelaskan sambil tersenyum manis.

"Kalau begitu, saya nak jadi bidadari syurga!." Spontan dia menjawab dengan keanak anakan kerana sifatnya memang begitu.

"Sebenarnya, ada lagi yang lebih cantik dari bidadari syurga."

"Kalau begitu, saya pun hendak menjadi yang lebih cantik itu". Dia begitu bersemangat

Maka Aisyah pun membacakan:

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi Muhammad SAW:

Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?

Baginda menjawab: Wanita dunia itu lebih baik dari bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik dari yang batin

Aku berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah itu??

Baginda menjawab: Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada ALLAH, ALLAH akan pakaikan muka muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih....

(Riwayat Al-Tabrani)

Dalam hatinya terdetik, ya ALLAH, layakkah aku menjadi bidadari syurga???


Epilog

Aku menatap wajah bunga agama kesayanganku satu persatu. Usrah kami selalunya berlangsung dengan santai. Air minuman pisang hijau sering menjadi peneman. Lagipun, diriku selesa dengan persekitaran restoran itu. Tidak perlu segan silu diriku untuk membuka niqab, Apabila bersama adik adik usrah,kubiarkan mereka menatap wajahku, agar lebih mudah kepada penyampaian ilmu. Inilah kaedah dakwah.

"Kak, macam mana dengan pengakhiran Ratu? Adakah dia berubah juga akhirnya?" Nurul Zinnirah, si comel yang bermata sepet bertanyakan soalan.

Baru sahaja diriku menghabiskan pengisian mereka bersama mereka tentang sasaran dakwah. Cuma, setiap kali ada sedikit waktu, pasti aku akan menyelitkan sedikit kisah kepada mereka untuk memudahkan kefahaman mereka tentang dakwah.

"Alhamdulillah, dia sekarang sudah mulakan hidup baru, doakan dia agar dia istiqomah."

"Dia tak mengalami kesukaran untuk berubah? Sebab dia yang dulunya sebegitu tiba tiba berubah 360 darjah menjadi yang lain pula, pasti ada sisa sisa jahiliyyah yang masih sukar dibendung". Nur Tasnim Imtiaz, berbanding Nurul Zinnirah, dia mempunyai mata yang agak bulat, malah dia juga petah berkata kata.

"Sebenarnya semuanya pasti mudah jika kerana ALLAH, perjuangan itu memerlukan pengorbanan dan akak yakin dia sekarang belajar untuk berkorban."

"Adakah dia juga sudah ditarbiyah wahai kakakku?." Nurul Zinnirah bertanya lagi

Aku menyukai suasana usrah yang hidup. Ada sesi soal jawab antara naqibah dan anak usrahnya. Dengan cara sebegitu, aku mengetahui permasalahan anak usrahku. Malah, aku juga bisa menyelidiki kekuranganku. Sesungguhnya aku kurang ilmu. Aku cuma ada sedikit kudrat yang ALLAH pinjamkan agar aku terus bermujahadah di bumi milikNYA ini

"Alhamdulillah, dia tidak pernah puas merasa tarbiyah, dan dia masih lagi akan mencari tarbiyah dan terus ditarbiyah. Semoga dia istiqomah."

"Teringin pula jumpa dia ya..." Nurul Zinnirah bermonolog sendirian

Aku tersenyum sendiri. Wahai Ratu, dirimu pernah hadir dalam hidupku dan pernah menjadi sebahagian dari hidupku. Ada waktu tikanya aku merindui dirimu kerana tidak tahan dengan mehnah dan tribulasi yang melanda diriku. Namun, hidayah ALLAH SWT adalah pemberian yang paling indah dalam hidupku. Aku tidak kisah kehilangan segalanya, asalkan tidak ada gangguan hubunganku dengan ALLAH SWT. Biar pahit sekalipun, pasti akan ku telan. Sesungguhnya terlalu banyak yang masih aku tidak faham. Aku perlu diajarkan kerana aku masih terlalu baru dalam perubahan. Ya ALLAH, bukakanlah daku jalan untuk berpeluang menimba lebih banyak ilmu dan hilangkan segala kesusahan dan kekecewaan dalam diriku kerana perjuangan itu memerlukan pengorbanan.

Sayonara jahiliyyah, tidak akan ku bunuh kau dalam ingatanku. Kerana aku ingin menjadi Srikandi Umar, kesilapan silam menjadi pemangkin kepada kegemilangan masa depan. Aku juga ingin mencontohi keunggulan Abu Bakar, menjadi benar untuk setiap perkara malah ingin ku kunci ilmu ku ibarat Ali, agar bisa ku didik ummah untuk meninggalkan mu wahai karat jahiliyyah. Jadikanlah aku setabah Hasan Al Banna, menggoncang dunia dengan fikrahku namun yang paling istimewa, bariskanlah diriku dengan bidadari syurga, biarpun aku hanya seorang wanita biasa.

Aku bukan seorang pejuang, aku hanya yang biasa. Dengan secebis ilmu, ku ingin berkongsi akan indahnya keagunganMU ya ALLAH. Aku tidak mampu menjadi seperti Nusaibah, menyelematkan Rasulullah SAW di medan jihad. Aku hanya mampu menjadi pendengar setia dan penenang jiwa. Aku tidak punya kudrat untuk bergegas ke medan jihad cuma izinkan diriku menjadi peniup semangat juang para mujahid. Aku bukanlah sempurna seperti sang bidadari tetapi aku ingin diriku menyembuh luka perjuangan dengan tangan ku sendiri. Malah, aku sudah cukup lega agar bisa menjadi tiang sandaran sebuah perjuangan biarpun aku tidak punya apa apa. Itulah impianku....



Thursday, July 21, 2011

Misi Ramadhan

Bismillahirahmanirahim

Alhamdulillah, diberi sedikit ruang lagi untuk berkongsi luahan rasa dari diri saya hamba yang kerdil ini. Terus terang saya katakan, minggu ini emosi saya sedikit kurang stabil. Mungkin ini adalah teguran dari ALLAH SWT atas kelalaian menjaga hubungan denganNYA beberapa tika yang lalu.

Alhamdulillah, tidak lama lagi bulan yang istimewa akan menjelma. Bulan yang amat dinanti nantikan oleh umat ISLAM kerana inilah masanya untuk merebut tawaran percuma yang ditawarkan ALLAH SWT. Amalan yang berlipat ganda pahalanya.

Menanti kekasih hati, ramadhan yang penuh mulia ini membuatkan saya bermuhasabah diri. Saya telah mengemaskan almari pakaian saya dan melihat helaian helaian jubah yang tergantung di dalamnya. Rasanya AZAM saya untuk ramadhan kali ini sudah terang lagi bersuluh. Misi untuk ramadhan kali ini adalah untuk melatih diri bersikap qanaah dan berjimat cermat. Sebenarnya, salah satu karat jahiliyah yang sukar saya kikis dalam diri saya adalah keinginan untuk memakai pakaian yang cantik cantik. Inilah simptom yang paling susah untuk saya sembuhkan. Setiap kali melihat jubah atau pun tudung dan beg yang cantik, diri ini sudah menjadi rambang mata . Kadang kadang saya tersenyum sendiri kerana sejauh mana saya berubah seperti yang saya ceritakan dalam



saya masih punya keminatan yang tinggi dalam busana muslim. Maka, target saya untuk ramadhan kali ini adalah untuk tidak mengikut turutan nafsu tetapi sebaliknya membeli mengikut keperluan. Selain itu, ingin saya memanfaatkan ramadhan sepenuhnya untuk mencari jawapan dalam istikharah saya, memohon petunjuk ALLAH terhadap jalan hidup saya.

Bagaimana dengan kalian?

Apakah misi ramadhan kali ini? =)


Semoga nafsu dan diri ini lebih terdidik oleh iman dan taqwa sempena ramadhan yang mendatang... ya ALLAH, temukanlah diriku dengan ramadhan Kareem ... InsyaALLAH




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...