Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Friday, October 28, 2011

Wanita peduli ummah

Kenapa tarikh 12hb Mei setiap tahun disambut sebagai Hari Jururawat Sedunia?

Dunia barat berjaya mendapatkan tarikh ini sebagai tarikh penting bagi pengamal kerjaya kejururawatan bersempena dengan tarikh lahir Florance Nightingale. Florance Nightingale telah diwarwarkan sebagai tokoh jururawat dunia yang tersohor dan dikenali di mana-mana. Beliau telah dilahirkan di Itali pada 12 Mei 1820 sebelum bertugas di England. Anak warga British kelas atasan ini lebih dikenali sebagai ‘The Lady with the Lamp’ kerana telah bekerja gigih termasuk di sebelah malam bagi merawat askar-askar British yang luka ketika perang. Beliau juga telah mengasaskan Pendidikan Kejururawatan secara professional di St Thomas Hospital, London pada 1860 sebelum meninggal dunia pada 1910.

Adakan anda pernah dengar nama Rufaidah binti Sa’ad?

Nama Rufaidah Binti Sa’ad mungkin tidak semasyhur seumpama tokoh-tokoh Muslim yang lain seperti Al-Razi, Ibnu Sina dan Abul Qassim Az`Zahrawi tetapi Rufaidah sebenarnya memberikan sumbangan yang cukup besar di dalam dunia perubatan Islam.

Rufaidah Binti Sa’ad adalah merupakan jururawat pertama di dalam dunia Islam dan dunia perubatan sebenarnya. Sekiranya dunia moden kini menyanjungi Florence Nightingale sebagai jururawat tersohor kerana sumbangannya yang merawat para tentera British, seharusnya kita sebagai muslim menyanjungi dan menjadikan Rufaidah binti Sa’ad sebagai ikon, seorang jururawat hebat yang telah mempelopori dunia perawatan ini 1300 tahun lebih awal sebelum Florence Nightingale.

Nama penuhnya ialah Rufaidah binti Sa’ad al Aslami, daripada suku Khazraj di Madinah. Beliau telah dilahirkan di Yathrib (Madinah) sebelum tahun hijrah dan merupakan di antara penduduk Madinah yang pertama memeluk Islam.

Apakah keistimewaan Rufaidah?

Beliau merupakan seorang jururawat cemerlang yang telah dilatih oleh ayahnya yang merupakan seorang doktor di Madinah pada ketika itu. Rufaidah menjalani latihan secara praktikal dengan menjadi pembantu klinikal kepada ayahnya.

Sejarah mencatatkan bahawa Rufaidah adalah seorang jururawat yang cemerlang yang mempunyai banyak ciri-ciri pengamal perubatan yang sangat istimewa.

Di antaranya ialah :

1-Seorang yang sangat baik, dedikasi dan mempunyai empati yang tinggi.

2-Seorang pengurus dan ketua yang berkebolehan yang mampu menggerakkan pasukannya untuk menghasilkan tugas yang terbaik.

3-Berkemahiran klinikal tinggi dan tidak kedekut untuk berkongsi ilmu mengajar dengar jururawat-jururawat lain yang bekerja bersama-samanya.

4-Beliau tidak menghadkan tugasnya di dalam situasi klinikal sahaja, malah turut turun ke padang melihat sendiri keadaan masyarakat untuk menyelesaikan masalah sesuatu penyakit dari akar umbi.

5-Sumbangan Rufaidah tidak terhad kepada merawat orang sakit sahaja. Sifat ‘peduli ummah’ yang dimilikinya membuatkan Rufaidah bukan sekadar jururawat biasa. Beliau juga bertindak sebagai seorang aktivis sosial yang gemar ‘ambil peduli’ dan menyelesaikan masalah masyarakat. Tenaganya banyak disalurkan kepada kerja-kerja kebajikan dan tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat.

6-Pelbagai golongan muslim telah didekati Rufaidah sama ada yatim piatu mahupun orang kurang upaya. Mengajar anak-anak yang buta huruf juga menjadi sebahagian daripada rutin dalam jadual hidup wanita istimewa ini.

Apakah pengiktirafan Rasulullah kepadanya?

Rufaidah telah mewakafkan dirinya untuk membantu barisan pejuang di Rasulullah saw. Ketika Kota Madinah menjadi sebuah Negara Islam yang mengalami banyak proses perkembangan kemajuan, Rufaidah telah mengabdikan dirinya untuk merawat orang ramai yang sakit. Sebuah khemah perubatan telah dibina di luar Masjid Nabawi ketika suasana aman.

Manakala ketika Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar, Rufaidah sentiasa bersedia di barisan belakang sebagai aktivis perubatan dan merawat tentera Islam yang tercedera. Nabi Muhammad s.a.w sendiri memerintahkan perajurit yang cedera dirawat oleh Rufaidah.

Semasa Perang Khandaq, Panglima Sa’ad bin Mu’adz yang cedera telah dihantar ke khemah perubatan yang telah dibina dan kemudiannya Pahlawan yang berani itu kemudiannya telah dirawat oleh Rufaidah. Dengan kepakaran yang dimiliki, Rufaidah telah berjaya mencabut anak panah yang terpacak di lengan Sa’ad Bin Mu’adz.

Rufaidah juga telah melatih sekumpulan sahabiah sebagai jururawat yang sentiasa bersedia untuk menghadapi peperangan. Apabila Rasulullah s.a.w sedang sedia menuju ke lokasi Perang Khaibar, Rufaidah dan rakan-rakannya pergi bertemu Rasulullah s.a.w. untuk meminta kebenaran untuk turut serta menyertai rombongan para mujahidin itu ke medan perang.

Rasulullah s.a.w telah memperkenankan permintaan mereka. Dengan penuh semangat dan keazaman yang tinggi, kumpulan perubatan yang diketuai oleh Rufaidah telah menjalankan tugas dengan baik sehinggakan Rasulullah s.a.w mengurniakan sebahagian harta rampasan kepada mereka. Bahagian yang diterima oleh Rufaidah sama banyak jumlahnya dengan seorang mujahid yang turun berjihad di barisan depan di medan perang.

Adakah pandangan anda terhadap kehebatan Rufaidah Binti Sa’ad ini?

Benarlah bahawa Rufaidah adalah seorang ’Ikon Peduli Ummah’ yang wajar diteladani kerana beliau adalah tokoh yang telah memenuhi objektif sabdaan Rasulullah yang bermaksud, ““Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain” (Hadith Riwayat Bukhari)


sumber rujukan: Kenali tokoh wanita peduli ummah

Monday, October 24, 2011

Ketika Hati Terluka


~♥ KETIKA HATI DAN JIWA MUSLIMAH TERLUKA ♥~

Ketika hati seorang muslimah terluka, ia akan menghapus air matanya dengan imannya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, ia akan menguatkan hatinya dengan ilmunya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, hati-harinya akan ia penuhi dengan semangat perubahan lebih baik pada dirinya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, ia menari dalam doa permohonan ampunnya terhadap Rabbnya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, wajah kusutnya tetap terlihat indah bagi dunia.

Ketika hati seorang muslimah terluka, bibir merahnya menyimpulkan senyuman untuk hidupnya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, matanya basah oleh lembutnya hatinya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, dunia nya terasa akan berlanjut dan ia harus tegar.

Ketika hati seorang muslimah terluka, jiwa lembutnya sampaikan ketenangan pada hati kecilnya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, akal dan hatinya hadir untuk menanti kesedarannya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, tangannya ia gunakan seperti kebiasaannya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, tak akan ada perubahan dalam dirinya oleh hal-hal yang tidak berguna.

Ketika hati seorang muslimah terluka, ia gunakan kesedarannya untuk menjaga perasaan orang sekitarnya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, air matanya dijadikan doa untuk keselamatan orang yang melukainya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, jari-jemarinya bergerak untuk tetap menolong orang lain tanpa beban di hatinya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, hidupnya tetap menjadi kebahagiaan bagi orang disekelilingnya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, dia tetap meneruskan liku-liku hidupnya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, kepercayaan dirinya tetap tak akan pudar.

Ketika hati seorang muslimah terluka, ia dan dirinya tetap menjadi MUSLIMAH. ♥

˙·٠•●❤ Tabahkanlah HATIMU duhai MUSLIMAH disaat dirimu TERLUKA. Anggaplah ujian ini sebagai ANUGERAH TERINDAH dari-Nya. Kerana Dia ingin sentiasa dekat dengan dirimu. Insya-Allah, Allah SWT sentiasa bersamamu.❤●•٠·˙

Thursday, October 13, 2011

Kisah sekeping hati


Suatu ketika, seorang pemuda yang tampan berdiri di tengah-tengah kota dan mendakwa bahawa dia memiliki sekeping hati yang paling cantik. Lalu diangkat hatinya setinggi yang boleh agar kilauan dari hati yang indah itu dapat dilihat oleh orang lain di sekitarnya.

Tersebar bicara kekaguman orang ramai. Sememangnya hati pemuda itu, tiada cacat celanya. Tidak carik walau sedikitpun. Permukaannya licin sempurna. Warnanya juga segar dan menyerlah pesona seorang anak muda.

Pemuda tampan itu mulai merasa bangga dengan pujian yang diterima. Sorakannya semakin kuat mewar-warkan betapa indah sekeping hati yang dimilikinya.

Tiba-tiba, di tengah-tengah keriuhan itu, muncul seorang tua. Langkahnya perlahan menuju ke arah pemuda tampan. Lagaknya, seolah dia mahu membicarakan sesuatu.

“Wahai anak muda, mengapa kulihat hatimu hampir tidak seindah hatiku?” Orang tua tersebut bertanya dalam nada suara yang agak lemah tetapi penuh keyakinan. Orang ramai dan si pemuda mulai berkeliling mengerumuni orang tua.

Mereka mendengar degup yang kuat tercetus dari hatinya, tetapi hati itu dipenuhi luka. Di satu sisi, kelihatan permukaannya bertampal-tampal. Ada potongan hati yang diambil dan potongan yang lain dimasukkan ke dalamnya, tetapi ia kelihatan tidak berpadanan. Pada satu sudut yang lain, terdapat pula beberapa tanda patah. Bahkan, di beberapa tempat, terdapat lubang yang dalam, di mana seluruh bahagian permukaannya telah hilang.

Melihat itu, orang ramai saling berpandangan.

TERTANYA-TANYA
"Bagaimana orang tua ini boleh mengatakan bahawa hatinya lebih indah?" fikir mereka.
Sementara itu, pemuda tampan tertawa.

"Tentu engkau bergurau, wahai orang tua," katanya.

"Kalau dibandingkan hatimu dengan hatiku, apa yang aku ada ini adalah sangat sempurna, sedangkan kepunyaanmu begitu berantakan dengan bekas-bekas luka dan air mata," lanjutnya lagi.

"Ya, memang benar" tukas si tua penuh kesabaran.

"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarnya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap seorang yang telah aku berikan cintaku buat mereka. Aku merobek sepotong hatiku dan memberikannya kepada mereka, dan setiap kali itu juga mereka memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi tempat kosong di hatiku ini, tetapi kerana potongan-potongan itu tidak tepat, lalu menyebabkan ketidaksempurnaannya, bahkan ia kelihatan kasar dan tidak rata.

Namun, aku tetap menghargainya, kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami. " Panjang lebar bicara orang tua. Si pemuda tampan terpaku mendengar patah katanya.

"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku, tetapi orang yang kuberikan potongan hatiku itu, tidak memberikan kembali sepotong hatinya kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini. Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang dan kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia akan tetap terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap suatu ketika nanti mereka akan kembali dan mengisi lompong-lompong kosong yang sekian lama kutunggu-tunggu agar ia diisi.

Nah, sekarang fahamkah engkau tentang kecantikan sejati? " Si tua mengakhiri kata-katanya.

Pemuda tampan itu terus terdiam. Dia menundukkan kepala dengan air mata mengalir di pipinya. Dia menghampiri orang tua, mengambil hatinya yang sempurna, muda dan cantik itu dan merobek keluar satu potongan darinya. Dia menawarkan potongan tersebut kepada orang tua dengan tangan gementar.

Si tua itu menerima pemberian tersebut lalu meletakkannya pada hatinya dan kemudian mengambil pula sepotong dari bekas luka lama di hatinya dan menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda itu.

Sungguhpun ia sesuai, tetapi ia tidak sempurna, kerana ada beberapa tanda patahan.
Orang muda itu menatap hatinya yang tidak lagi sempurna tetapi kini lebih indah dari sebelumnya, lantaran cinta dari hati orang tua itu kini mengalir kepada hatinya. Mereka bergandingan dan berjalan bersama meninggalkan orang ramai terus terpaku dengan peristiwa menginsafkan itu.

HATI YANG PALING INDAH
Saya menangis. Seakan terpancar kefahaman di dalam diri ini bagaimana anjuran ‘mencintai’ yang dimaksudkan oleh junjungan mulia, Muhammad SAW menerusi sabdanya yang bermaksud :

“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ia bermaksud, memberi sepenuh hati. 100%. Yang terbaik!

Sebagaimana kita menginginkan yang terbaik buat diri sendiri, begitulah juga sewajarnya yang kita lakukan/berikan kepada orang di sekitar.

Tetapi, dengan satu ingatan. Jangan pula mengharap balasan yang sama, 100% , terhadap apa yang telah diberikan itu, kerana bila pemberian mengharap balasan, maka dibimbangi tiada lagi keikhlasan padanya.

Justeru itu, tidak hairan mengapa Rasulullah SAW diiktiraf oleh ALLAH SWT sebagai semulia-mulia insan. Setelah sekian banyak hinaan, cacian dan penderitaan yang dialami, baginda tetap tampil menyebar salam beserta senyuman.

Tujahan batu-batu, diganti dengan kalungan doa, lemparan najis, diganti dengan untaian budi.

Firman ALLAH SWT :

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad ) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” ( Surah al Qalam ayat 4 )

Justeru itu, mari bersama kita usahakan, walau kasih tidak dihargai, kita tetap memberi. Walau khidmat tidak dipeduli, kita terus mencurah bakti.

Ingatlah, andai satu ketika kita tidak mengenal erti kehancuran, kita tidak akan pernah tahu apa yang membuatkan kita utuh dan teguh untuk hari-hari seterusnya.

Hati yang sering dilukai lalu sembuh setelah dirawat dengan zikir kepada ilahi, adalah hati yang indah, bercahaya dengan kasih dan sayang dari Yang Maha Esa. Walaupun luka masih ada, namun sifat sabar, reda dan bersedia memaafkan menjadi ‘antiseptik’ yang menahan luka itu dari dijangkiti kuman dendam yang membawa derita berpanjangan.

Akhirnya, bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami dan menghargai.


ummuhusna99.blogspot.com
Sudah pernah post cerita ini, dari ustazah kesayangan saya, dan post sekali lagi, sebagai pujukan buat hati saya =). Hanya ALLAH mengetahui segalanya



‎"Ya Muqallibal Qulubi, Thabbit qalbi `ala dinik.."

"O Controller of the hearts, make my heart steadfast in Your religion"

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas jalan Agama-Mu"

Monday, October 3, 2011

Redha ALLAH


Bismillahirahmanirahim.
Baru berkesempatan menulis pada bidadari ini. Sesungguhnya, hati sangat rindu untuk berkongsi dan mencoret sesuatu. Tetapi kekangan kekangan yang melanda, menyebabkan terlambat sedikit untuk berkongsi cerita tentang perjalanan hidup yang kian mencabar.

Bermula dengan kisah tanda cinta ALLAH SWT, dua minggu yang lalu diserang keracunan makanan. Semua makanan yang masuk habis dimuntahkan, demam panas melanda setiap kali maghrib dan juga diserang cirit birit. ALLAH sahaja mengetahui keadaan diri masa itu. Berasa sedikit kerugian kerana tidak dapat menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat kerana tiba tiba jatuh sakit. Rasa cemburu menular ke dalam diri kerana tidak dapat menghadirkan diri untuk menambah ilmu demi seruan jihad menegakkan ISLAM di Sabah bumi kelahiranku.

Apabila sudah jatuh sakit, mama dan baba sudah memberi amaran. Untuk seketika ini, kurangkan keluar berprogram. Mereka tidak mahu anak mereka sakit sekali lagi. Rasa bersalah sangat kerana menyusahkan mama dan baba. Selain itu, rasa bersalah juga menular diri kerana tidak dapat berprogram. Syukur yang amat sangat KERANA staff nurse Fronia yang memahami situasi ketika itu, sanggup mengganti jadual kerjaku. Semoga dirimu mendapat hidayah dari ALLAH SWT kerana kelembutan hatimu itu. Mama dan baba kata, jika benar selama ini, benda yang diri ini ikuti, usrah dan program, adalah sesuatu yang benar, sudah pasti buat tika ini, daku akan mendengar cakap kedua ibubapa. Maka, dengan berat hati, bertekad untuk mengurangkan sedikit keluar rumah. Lebih banyak berehat dan temankan mama dan baba.

Alhamdulillah, dapat berusrah sekejap bersama cermin ajaibku, ukhti Norashikin. Syukur, terubat rasa rindu dengan sentuhan tarbiyah hati. Cermin ajaibku mengingatkan tentang hak hak terhadap keluarga, pekerjaan dan jemaah. Syurga untuk seorang wanita yang belum berkahwin adalah pada kedua ibubapanya. InsyaALLAH, jika berusaha mentaati, pasti dipermudahkan dua tiga tahun kemudian. Ukhti Norashikin juga menasihati agar menjaga kesihatan diri kerana seorang daie perlu memerhatikan tarbiyyah jasadiyyah. Terkejut dirinya tatkala diberitahu selalu pergi program lepas kerja malam. Tetapi, mujahadah itu perlu bukan apabila kita berkehendakkan sesuatu. Dan sudah tentu kehendak kita itu adalah redha ALLAH SWT. Bertanya pada cermin ajaibku, adakah diriku ini dikira futur, tetapi cermin ajaibku itu mengingatkan bahawa futur terletaknya pada hati. Malah dia juga mengingatkan segala ajaran yang diperturunkan oleh naqibah dan murabbi kami. Ya ALLAH, kasihMU sentiasa berpanjangan, biarpun dikejauhan tetapi masih merasa perlindungan tarbiyah yang berkekalan. Itulah seorang murabbi dan murabbiyah sejati, biarpun tidak kelihatan dek mata tetapi menembus ke dalam jiwa. Tenaga yang mula lemah kembali direfresh dan mengatur strategi yang lebih baik.

Tanda cinta ALLAH SWT sekali lagi menjengah, tatkala baru pulih sedikit dari keracunan makanan, sudah kembali bertugas di wad. Kali ini bukan calang calang tugasannya kerana terpaksa menjadi 'INCHARGE' untuk satu jangka masa yang panjang apabila senior mengambil cuti. Ya ALLAH, tatkala diri terpaksa merangkak untuk pergi bekerja, dihidangkan pula dengan peranan yang berat dan pesakit yang ramai. Sehari suntuk berlari di wad sehingga tiada masa untuk makan dan minum, mujur ada waktu untuk solat. Mengadu pada mama dan baba atas ketidaklaratan untuk bekerja, tetapi hanya disuruh bersabar. Ragam bekerja sememangnya begitu. Selepas itu mendapat panggilan telefon dari Hospital, minggu ini akan diadakan penilaian untuk diriku. Ya ALLAH, tatkala kesihatan belum stabil, kesibukan yang melanda, biarpun mama dan baba suruh kurangkan keluar tetapi masih mengambil peluang untuk seketika bersama muslimat. Slide show untuk penilaian belum disiapkan kerana kesibukan yang melanda. Namun alhamdulillah, masih follow up dengan sahabat sahabat tentang perkembangan gerak kerja. Maafkan diri ini yang terpaksa menjadi cinderella sekali lagi buat seketika. Semoga kalian beroleh syurga.

Dalam proses persiapan untuk program Wanita bersama muslimat dan Nisa Sepanggar, sekali lagi tahap kesihatan diri diuji. Demam panas menyerang sekali lagi disertakan bersama batuk dan selesma. ALLAH sahaja mengetahui betapa berat kepala untuk diangkat. Namun hati ini sedikit terhibur, kerana pertambahan mujahid kecil di rumah kami. InsyaALLAH, anak anak asuhan mama dan baba semakin bertambah. Riuh sungguh rumah dibuatnya. Sekurang kurang nya mengurangkan kesunyian mama dan baba. Tetapi yang menghairankan, semua budak yang yang dihantar adalah lelaki kecuali seorang kanak kanak perempuan comel .

Selain itu, berita gembira, bertemu dengan Dr Z untuk klinik yang seterusnya. Dia berpuas hati dengan perkembangan diriku. Ya ALLAH, saat untuk bebas dari sebarang rawatan semakin hampir :D. Temujanji sudah dikurangkan selama 4 bulan. Sahabat baikku berpesan, jangan pula diri ini merindui Doktor tersebut. Tidak dinafikan, doktor tersebut banyak berjasa kerana sudi menerimaku yang berhijrah dari bumi kenyalang sebagai pesakit beliau. Semoga dia juga mendapat hidayah dan taufiq atas kebaikannya.

Ya ALLAH, betapa hati ini merindui saat ditarbiyah dan diajar mengenaliMU. SubhanALLAH, rupa rupanya ALLAH punya cara sendiri untuk mendekatkan diri ini padaNYA. Segala ujian jangan dikatakan sebagai halangan tetapi jadikanlah sebagai CABARAN untuk bergelar seorang pejuang. Tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Mujahidah sangat sakit kerana kita perlu mengorbankan apa yang kita suka tetapi insyaALLAH, akhirannya pasti sangat indah tatkala dirimu bernyanyi riang di syurgaNYA kelak. Sesungguhnya tujuan kita hanya satu untuk mengejar redha ALLAH.

Baru baru ini berusaha mencari kerja baru, tetapi masih belum berjumpa yang bersesuaian. Rasanya diriku masih diperlukan khidmat di situ, cuma yang dikhuatiri, tanggungjawab yang semakin besar tatkala sudah bergelar kapten dan incharge. Apatahlagi mungkin diri ini akan menjadi calon calon untuk post basic. Diriku tidak mahu kerana tekanan kerja yang melampau sehingga mengganggu perjuanganku. Jikalau hendak berpindah tempat lain pun, tak sampai hati untuk meninggalkan mama dan baba kerana mereka adalah syurgaku dunia dan akhirat.

Alhamdulillah, diriku ini begitu senang berkongsi bersama bidadari ku ini. Sedar tak sedar, sudah dua tahun usiamu. Terima kasih bidadari kerana sering menjadi medan curahan dan coretan diriku selain penggantungan hanya padaNYA yang satu. Semoga redha ALLAH sentiasa bersamaku dan kalian


SELAMAT ULANG TAHUN LAYAKKAH AKU MENJADI BIDADARI SYURGA =)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...