Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Monday, December 31, 2012

Baitul muslim dakwah: Sekadar Impian atau realiti??

Bismillahirahmanirahim

Menjadi impian buat semua aktivitis dakwah untuk memiliki baitul muslim dakwah. Muslimin mengharapkan pasangan muslimat yang memahami perjuangan manakala yang muslimat pula memohon mendapat pasangan hidup yang dapat membimbing dirinya.

Sedikit persoalan timbul berlegar di minda, benarkah baitul muslim dakwah sebenarnya wujud di realiti kehidupan seorang daie atau sekadar impian yang hanya menari menari dalam fikiran seorang daie?.

Berapa ramai aktivitis dakwah muslimat yang sebelumnya laju untuk bergerak kerja, menjadi semakin 'slow' setelah berumah tangga. Alasan yang diberikan, suami tidak mengizinkan untuk bergerak kerja, tanggungjawab terhadap anak anak dan rumahtangga.

Buat sang suami pula, berapa ramai yang sanggup melepaskan sang isteri bermesyuarat lewat malam untuk kebaikan ummah?

Berapa banyak pula anak anak golongan daie yang gagal diprodukkan menjadi seperti ibubapa mereka. Sesungguhnya, ujian paling berat buat seorang daie adalah ketika ahli keluarganya berpaling dari kehendak kedua ibubapanya.

Melalui pemerhatian pemerhatian ini, terdapat juga golongan daie yang bujang, mengambil keputusan untuk tidak berkahwin kerana takut perjuangan terganggu dengan kehadiran seorang suami atau seorang isteri.

Saya hanya mampu tersenyum. Untuk diri saya, pernikahan itu sunnah Rasulullah S.A.W. Sebagaimana saya mengkagumi baitul dakwah Rasulullah S.A.W, selagi itu saya meyakini baitul muslim dakwah bukan hanya omong kosong seorang daie.


Bukankah baitul muslim dakwah Rasulullah S.A.W itu sesuatu yang sepatutnya dicontohi. Rasulullah S.A.W murabbi agung, berjaya mengemudi rumahtangganya di samping tanggungjawab menyampaikan risalah ISLAM . Bagaimanakah pengorbanan Saidatina Khadijah terhadap perjuangan Rasulullah S.A.W?

Masa, harta dan jiwa dikorbankan demi kepentingan ummah. Sanggupkah kita untuk mengorbankan wang ringgit kita sendiri demi perjuangan suami? Rasa rasanya para isteri sekarang lebih suka mempunyai simpanan sendiri terutama di ASB, sebagai persediaan di masa hadapan tanpa ketahuan suami.

Namun, sedikit menyedihkan apabila para daie tidak memberi fokus yang sebenar terhadap pembinaan baitul muslim. Janji yang ditabur hanya di bibir dan tidak dimanifestasikan dengan perbuatan. Bukankah dakwah itu adalah praktikal bukan setakat teori. Sesungguhnya daie, kau belum layak digelar seorang daie sekiranya kau belum merasai medan dakwah di alam rumah tangga. 

Saya bertanya kepada naqibah saya, sejauh mana kepentingan baitul muslim buat seorang daie? Naqibah saya meminta saya menyelami kehidupan ulama mujtahid Imam Hasan Al Banna. Mampukan Imam Hasan Al Banna menyelami bahtera dakwah beliau yang sangat mencabar tanpa seseorang yang kuat untuk menguatkan beliau? Saya terpanggil untuk membaca buku Persembahan Cinta Isteri Hasan Al Banna, perjalanan kisah Lathifah As Shuli pendamping hidup Hasan Al Banna. Pernah saya utarakan kepada Ustazah Fatimah Syarha yang terkenal dengan tulisannya Cinta High Class berkaitan cinta selepas berkahwin. Saya katakan kepada Ustazah Fatimah, bagaimana pula seorang isteri yang berkorban, menjadi seorang ayah dan pemimpin keluarga di saat suami sibuk dengan tugasan dakwah, mampukah kita sebagai muslimah berkorban perasaan tatkala kita ditinggalkan bepergian? Tidak dipedulikan dan disakiti kerana dakwah. Saya berharap Ustazah Fatimah Syarha mengeluarkan artikel berkaitan baitul muslim dakwah.





Ingin juga saya kongsikan di sini, kisah sahabat saya. Seorang muslimah yang ditarbiyah setelah melalui alam kampus, dia kembali kepada keluarganya. Sesungguhnya ALLAH telah mengujinya, keluarganya tidak mengizinkan dia untuk aktif dalam dakwah kerana kurangnya kefahaman keluarga. Sedikit menyedihkan apabila kakak kakak akhwat sering menimbulkan isu supaya dia berkahwin cepat dengan alasan dia dapat 'lari' daripada keluarganya dan bergerak kerja semula. Cuma dia sedikit terkilan apabila melihat kakak kakak yang memberikan cadangan sedemikian juga 'down' dalam bergerak kerja. Dia bertanya dalam dirinya, benarkan baitul muslim dakwah itu wujud di alam realiti atau sekadar impian? Benarkah pernikahan bisa menyelamatkan seorang wanita muslimah untuk kembali ke medan dakwah?

Selain itu, ingin saya kongsikan di sini kisah pernikahan agung seorang sahabat saya, dia juga seorang muslimah yang ditarbiyah. ALLAH swt telah mentakdirkan jodohnya dengan lelaki yang tidak sefikrah tetapi memahami ISLAM. Alhamdulillah, dia telah berjaya menguatkan suaminya dengan fikrahnya. Kini, suaminya begitu aktif menyumbangkan tenaga dalam gerakan dakwah.

Melalui pemerhatian pemerhatian saya yang kerdil ini, pembinaan baitul muslim itu bergantung kepada individu itu sendiri. Sama ada kau berusaha membina atau merobohkannya. Sama ada kau berusaha menjadikan realiti atau hanya impian yang kau catitkan dalam mimpi mu sehari hari. Sama ada kau telah memulakan satu langkah atau kau hanya mengambil tindakan atas pagar. Segala galanya bergantung kepadamu wahai daie. Menghidupkan ummah dengan kefahaman ISLAM juga adalah pilihanmu. 

Jujurnya, ada tikanya keyakinan saya juga goyah. Benarkah baitul muslim dakwah itu bisa dihidupkan di alam nyata atau sekadar impian saya (saya juga mengaku diri saya seorang daie kononnya). Saya tidak tahu kerana ALLAH Maha Mengetahui. Tulisan saya ini merupakan hasil buah fikiran saya, kerana saya kerap tertanya di manakah kedudukan baitul muslim dalam kehidupan seorang daie. Adakah baitul muslim hanya sekadar janji yang perlu ditepati atau sesuatu yang perlu kita usahakan dengan bersungguh kerana dakwah itu kecintaan. Membina baitul muslim dakwah itu juga kecintaan, namun pernahkah dan sanggupkah kita berkorban?

Salam perjuangan
~ Nadrah Yusra ~


Sunday, December 23, 2012

Istikharah Cinta

 Bismillahirahmanirahim

SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar...

Seperti yang saya kongsikan dalam blog saya sebelum ini, kisah penghijrahan seorang mualaf iaitu sahabat saya, Nur Muhayya.

Alhamdulillah, Nur Muhayya selamat diijabkabulkan bersama mujahid pilihan ALLAH untuknya pada 22 Disember 2012.

Semoga Nur Muhayya dan suami bahagia sehingga ke syurga.

InsyaALLAH.

Pasangan Mempelai
Saat lafaz sakinah

Barisan Ahli Jawatankuasa majlis ;)


Buatmu Yusra...

Engkau yang sedang memikul beban hati
yang tak ringan, dengarlah ini …

DALAM GELAPNYA MASALAHMU,

Tetaplah setia kepada yang benar, tetaplah berharap kepada Allah, dan janganlah pernah lupa bahwa Allah tak akan melupakan
kesetiaanmu kepadaNya.

TETAPLAH MENJADI JIWA YANG BAIK.

Mudah-mudahan Allah segera
memasukkanmu ke tempat masuk yang benar,
atau mengeluarkanmu dari jalan keluar yang benar,
dan mendatangkan dari sisiNya sebuah kekuatan yang menolongmu, yang melepaskan beban dari dadamu, yang membersihkan kekalutan dari pikiranmu, dan yang mengeluarkan penyakit dari tubuhmu.

Semoga Allah mendamaikan jiwamu,
dan menyejahterakan hidupmu.

Diari seorang jururawat : Ini kerja dakwah!

Bismillahirahmanirahim

Maaf, sudah lama saya tidak menulis. Sebenarnya saya sedang mengumpul kekuatan untuk menulis kembali. Saya tidak mahu menulis sesuatu yang sia sia, tanpa menyentuh hati pembaca mendekati ALLAH.

Saya pernah bercita cita untuk menjadi penulis yang hebat, sebaris dengan Ustazah Fatimah Syarha, Hilal Asyraf dan yang lain lain tetapi saya rasa niat saya sudah menyimpang. Seakan akan timbul rasa riak dalam diri saya.

Meneruskan kehidupan harian sebagai seorang jururawat memang indah. Cabaran demi cabaran yang ditempuhi membuatkan saya semakin mencintai kerjaya saya.

Menyantuni kerisauan adik adik berkaitan kerjaya, saya cuma mampu berkongsi agar adik adik banyak memohon dari ALLAH swt untuk memberikan pekerjaan yang terbaik untuk adik adik. Bukan sahaja yang terbaik dari segi tangga gaji tetapi yang mampu membuatkan adik adik istiqomah dengan kerja dakwah dan menyumbang sesuatu untuk ISLAM.

Berkaitan kerjaya sebagai seorang jururawat, saya menolak sama sekali apabila ada individu yang mengatakan ini bukan kerja dakwah. Jika kalian tahu bagaimana seorang jururawat menghabiskan 2/3 dari harinya untuk melayan pesakit pesakitnya. 

Saya gembira apabila mendapat respon daripada adik adik yang juga merupakan seorang jururawat atau bakal bergelar jururawat berkaitan tentang apa yang saya tulis di blog ini. Saya selalu katakan sebelum ini, saya berharap lebih ramai lagi jururawat muslim yang mempunyai kesedaran beragama. InsyaALLAH, seorang jururawat yang benar benar ikhlas, pasti akan menyentuh hati pesakitnya untuk mendekati ALLAH.

Berbalik kepada cerita jururawat dan dakwah, suasana pekerjaan saya sedikit mencabar kerana saya ditemani rakan sekerja yang kebanyakkannya tidak beragama ISLAM. Pesakit pesakit saya juga terdiri daripada golongan atasan yang tidak beragama ISLAM. Sekiranya mempunyai rakan sekerja yang beragama ISLAM, mereka juga masih kurang amal islaminya. Bukan tujuan untuk bangga diri atau riak, saya hanya berkongsi pengalaman dakwah sebagai seorang jururawat.

Pada mula kedatangan saya untuk bekerja, saya dipandang pelik oleh rakan rakan sekerja. Mereka kehairanan apabila saya meminta izin untuk bersolat. Selain itu, mereka juga sedikit lucu melihat uniform saya yang besar dan memakai sarung lengan. Saya hanya tersenyum dan cuba memberi penjelasan secara hikmah. Kadang kadang saya perlu memberi penjelasan berulang ulang kali kerana mereka kerap kali terlupa penerangan saya sebelum ini. Namun, sedikit menyedihkan apabila penjelasan saya adakalanya dibantah oleh sahabat muslim sendiri seperti ketika saya menerangkan mengapa wanita muslimah ditegah untuk menari dihadapan khalayak, rakan muslim saya sendiri bertegas mengatakan menari itu tidak mendatangkan dosa.

Alhamdulillah, setelah dua tahun saya berkhidmat di hospital itu, saya bersyukur kepada ALLAH, rakan sekerja saya semakin berminat untuk mendekati ISLAM. Ada yang minta diajar mengaji, bertanya soalan agama dan sebagainya. Biarpun soalan yang ditanya remeh temeh dan dirasakan mudah, tetapi saya yakin itulah titik permulaan mereka untuk lebih mendekati ALLAH. 

Pengalaman berharga saya bersama pesakit pula apabila saya berpeluang menjaga pasangan suami isteri beragama Budha yang lama menetap di hospital kami. Suaminya menghidap penyakit kanser tahap akhir sehingga perlu melalui banyak pembedahan, isterinya begitu tabah dan setia menemani suaminya. Auntie (panggilan kami buat isterinya), sering bertanya kepada saya jika saya sudah menunaikan solat atau belum. Seolah olah Auntie adalah 'reminder' yang dihantarkan ALLAH supaya saya menunaikan ALLAH.

SubhanALLAH, Alhamdulillah, Allahuakhbar
Kadang kadang saya ditanya oleh adik adik. bagaimana untuk mendapat kekuatan menjadi seorang jururawat muslimah yang ditarbiyah. Saya hanya mampu mengatakan, kekuatan datang dari ALLAH, tetapi jangan sekali kali putus asa. Terus terusan berdoa dan mencuba untuk bersama insan insan yang soleh dan menyertai program program bermanfaat seperti usrah dan sebagainya.

Teruskan usaha, jadikan pekerjaan sebagai jururawat sebagai kerja dakwah, kerana kita paling dekat dengan masyarakat. Bersama mereka tatkala saat sedih dan gembira.


Mohon doa juga agar saya terus kuat di jalan ini. 

Salam sayang,

~ saya hanya jururawat biasa ~

Monday, November 5, 2012

Luahan Hati Seorang Muallaf, Azan itu mengajakku- Nur Muhayya Abdullah

Bismillahirohamannirohim...
Ya Allah, syukur alhamdulilah atas segala nikmat yg Engkau berikan,
Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, nabi junjungan,
Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku, dosa kedua ibubapaku, dosa sahabat-sahabatku,
Teguhkanlah hidayahMU kepada kami ya Allah...

Sekadar perkongsian:-

Aku menulis nota ini utk keluargaku dan sahabat-sahabat disana, andai ada kata yg salah, sepenuh hati aku memohon maaf. Aku hanyalah manusia biasa, hambaNYA sama seperti kamu. Walau kini kita berbeza, aku tetap ada utk kamu, dan berusaha utk menjaga kamu. Mungkin kamu terfikir, jalan hidup yg aku pilih ini adalah salah dimata kamu, tapi tidak bagi aku. Seharusnya aku bersyukur kerana ditemukan jalan kehidupan ini. Aku meninggalkan kejahilanku, bukannya meninggalkan kamu. Saat kamu berkata, aku telah salah memilih agama ini, sesekali tidak wahai keluargaku, wahai sahabat-sahabatku..sebenarnya hati dan mata kamu tertutup, robohkanlah dinding hati kamu yg tebal itu..maka kamu akan melihat, disaat itu kamu merasakan diri terlalu kerdil. Aku masih ingat, ketika lafaz syahadah ku ucapkan, terasa hati tenang, beban selama ini ku tanggung hilang tiba-tiba..tidak sedar, aku menangis..menangis bukan kerana aku menyesal, oh tidak! aku menangis bersyukur..inilah nikmat yg tidak pernah ku rasai.

Selama 3 tahun aku hilang tempat berpaut, terbang melayang-layang tanpa berhenti, mencari dan terus mencari...suatu malam, Allah SWT telah memutuskan agar aku menerima hidayahNYA..DIA membuatkan hatiku sesak, gelisah dan menangis..kerana ia nikmat mengenang dosa! Barulah aku sedar, selama aku hidup di dunia ini, aku berjalan dgn kejahilan, hidup yg sia-sia tidak bermakna dan hanya keseronokan semata-mata. Aku menangis sepuas-puasnya, biarlah DIA mendengar rintihanku..bagaimana aku berdoa? berdoa dgn cara dahulu, sesekali tidak..hati tidak menginginkannya..ku mencari-cari tafsir Al-Quran, ku peluk erat-erat..hatiku berdoa "Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar memilihku, berikanlah aku jalan keluar dari belenggu ini". Akhirnya aku tertidur dgn memeluk Al-Quran itu, biarpun ketika itu aku belum menjadi seorang muslim, tapi ia Al-Quran itu telah memberi ketenangan..sungguh membahagiakan, ia langsung tidakku fahami. DIA Maha Mendengar, DIA telah menemukan hamba-hambaNYA utk membantuku, satu per satu datang, sehinggalah aku selesai mengucap syahadah. Aku bukannya membanggakan diri, maafkanku wahai ibubapaku, dan sahabat-sahabatku..aku hanya sekadar memberi perkongsian agar kamu jg melihat apa yg aku lihat, merasa apa yg aku rasa, menikmati apa yg aku nikmati. Jangan kamu menilai apa yg orang kafir katakan, tapi berfikirlah utk akhirat kamu. 

Suatu ketika, aku menaiki bas ke tempat kerja, jalan melalui sebuah masjid...tiba-tiba azan berkumandang, menandakan waktu sembahyang utk umat Islam, aku pada masa itu tidak tahu waktu apa azan itu (Kini baruku tahu, ia adalah azan utk solat Asar)..aku tersentak, tiba-tiba terasa sayu, hati tersangat pilu. kenapa? aku tidak tahu. Azan itu seolah-olah mengajakku utk datang ke masjid. Aku menangis dalam diam, aku menghayati alaunan suara azan, benar-benar syahdu. KehendakNYA utkku terus mendekati Islam. selalunya mendengar azan di radio atau televisyen, asal saja azan, kedua-duanya di matikan. Kata ibubapaku, itu bising. Aku tidak tahu pada masa itu, hanya menurut. Menunggu detik agar azan itu benar-benar membuatku jatuh hati, apabila azan di Masjid. Kalau azan di radio atau televisyen, boleh dimatikan..bagaimana dengan mendengar azan di Masjid? Bagaimana nak dimatikkan? :), Suatu hari, aku berjanji dgn diriku..nanti aku akan memasuki masjid itu, apa di dalamnya, siapa yg memberi azan? Syukur, Masjid pertamaku jejaki adalah Masjid yg membuatkanku menangis mendengar azan. Akhirnya, aku berjaya melihat apa didalam masjid, siapa yg memberi azan...dipermudahkan.

Bila diri bergelar muslim, DIA tidak akan melihat imanku dgn memberi kehidupan yg baik. Kadangkala akan di datangkan hujan utk membasahkan diriku, didatangkan pula matahari utk memanaskan badan, ahkhirnya terasa diri tidak sihat, sebenarnya DIA menyayangiku, DIA ingin melihat teguh mana akidah dan tauhidku kpdNYA. Ramai sahabat-sahabat muslimah mengelarku muallaf..hamba pilihan. Aku tahu semua manusia jg hamba pilihanNYA, Hidayah itu perlu dicari..aku tidak mencari tapi ia datang secara tiba-tiba, seolah-olah ia adalah suara hati, bayang-bayang kehidupan, mengajak utk mencari hidup yg lebih baik. Aku tidak menyalahkan kpd mereka yg sedia muslim tapi hanya pada nama, mereka jg sedang diuji..janganlah melihat mereka dengan pandangan yg serong, mereka jg manusia biasa..hati masih belum terbuka utk mencari kebenaran. Lihatlah pada kemurnian agama Islam, bukan pada penganutnya...Islam yg sempurna, bukan pada manusia..wahai keluargaku dan sahabat-sahabatku, Janganlah pada diriku krn memilih jalan ini, dan juga jangan benci pada agama yg ku anuti kini. Ia tidak bersalah, dan tidak memberi kemudaratan kepada kamu. Jangan kamu sakit hati kerana ramai yg telah meninggalkan kamu, tapi renungkanlah..kenapa aku meninggalkan agama kamu kerana agamaku kini?. Aku tidak ingin menjadi riak, anggkuh dan sombong..aku cuma ingin kamu melihat pada sisi mana kamu melihat kecacatan pada agama ini...

Aku pernah menyuarakan kepada seroang sahabatku, aku ingin mempelajari Islam tapi tidak menganutinya. Sahabat itu menjawab, jadilah dahulu penganutnya, barulah engkau mempelajarinya..pahala engkau dapat. Aku sebenarnya tidak mahu, aku cuma mahu mencari kelemahannya agama itu, cacat celanya agama itu..semakin mencari, mencari, mencari...tidak ditemui, malah membuatkan ku semakin buntu, tidak ada jawapan. Aku berkata kpd sahabatku, Aku tidak akan dan tidak sesekali memeluk agama kamu selagi aku temui kebaikkannya...Maha Suci Allah, tidak ada yg mustahil...percayalah, sesiapa yg menyangkal ia akan memakan diri sendiri. Jawapannya kini ku temui, Bukan Islam yg dicari cacat celanya tapi ia terletak kepada manusia yg belum menemui hidayahNYA. Benarlah, terlalu banyak tuaian tapi yg menuai hanya sedikit...

Aku mulai belajar sepatah demi sepatah alif, ba, ta, tsa...dulu, aku pernah berkata..bertuahnya manusia yg boleh belajar tulisan berbelit dan sukar difahami. Mustahil bagi aku utk memahamiNYA...Allah Maha Besar, sepatah demi sepatah aku pelajari, semakin lama aku boleh menguasainya, biarpun tertatih-tatih, tapi aku sangat bersyukur krana akhirnya aku boleh membacanya..Aku tidak boleh memahaminya, aku membaca tafsirnya..ayat demi ayat aku pelajari..apa yg terkandung memberi banyakjawapan pada persoalanku. Rupanya jawapan segala pertanyaanku adalah terdapat pada Al-Quran. Bagaimana dgn ibubapaku yg masih kafir? bagaimana dengan saudaraku yg masih kafir? bagaimana dengan mereka yg ingkar? tidak lain tidak bukan, jawapannya adalah Azab yg pedih. Ya Allah, aku tidak mahu keluarga dan sahabat-sahabatku menerima azab, bukakanlah hidayah kepada mereka, jadikanlah mereka hambaMU yg bertakwa.

Pengalaman pertama kali menunaikan ibadat solat, aku hanya menjadi makmum yg mengikut pergerakan, bukan doa yg dilafaz, tapi air mata yg keluar. Berusaha utk menahan tapi tidak tertahan, setiap kali sujud, setitis demi setitis air mata mengalir, tidak tahu kenapa? diri begitu tersangat jahil, tidak layak utk bersujud, aku dipeluk oleh sahabat-sahabat jemaah. Ya Allah, aku memohon kekuatan dariMU. Hari demi hari, aku berusaha utk belajar doa, biarpun tidak mampu berdoa dgn bahasa lain, namun aku tetap berdoa agar dipermudahkan aku memahami doa-doa solat. Syukur kpd Allah, hamba yg mencari pasti di beri jalan yg mudah. Aku mulai menguasai dan memahami setiap bait doa, aku berusaha utk menghayatinya...saat itulah aku akan menangis, seolah-olah DIA ada disisi sedang melihatku, aku terasa kerdil di hadapanNYA.

Untuk ibu dan bapaku, maafkanlah andai pilihan hidupku ini telah menguris dan melukakan hati kamu, bukannya niat utk berpaling dari agama yg kamu anuti tapi aku cuba mencari yg terbaik utkku. Aku tahu, begitu kasihnya kamu kpdku, sayangnya kamu kepadaku, kamu menjagaku dengan baik..aku akui, tapi utk kembali menganuti agama yg kamu percayai, aku tidak akan berpaling lagi. Sungguh, aku sangat2 memohon maaf. Biarpun kadang-kadang kamu menyisihkan dan membandingkanku dgn adik beradik yg lain...aku sesekali tidak ambil hati, hak kamu utk menilai. Di antara kami adik beradik, aku dan kakak sahaja yg berbeza, hanya kerana kami muslim. Tidak mengapa wahai ibu dan ayahku, janganlah benci anak2mu yg muslim, kami mahu kamu hormati sebagaimana kami menghormati agama kamu. Kami tidak akan merasa jauh biarpun kami bergelar muslim. Ketahuilah la wahai ibu dan ayahku, sejak aku dilahirkan, tidak pernah aku mencium tangan dan memeluk kamu sehinggalah aku bergelar muslim. Semua kerana Islam mengajarku utk menghormati kedua ibubapa...walaupun sukar utk utk lakukan, tapi aku cuba utk gagahi jua. Aku cuba memperbaiki cara hidup yg jahil, mengeratkan hubungan kekeluargaan. Maafkan aku ya ibu dan ayah, kadangkala ada terkasar kata tanpaku sedar...tidak bermakna aku tidak menyayangi kamu. Sebenarnya aku berusaha utk memperlihatkan kepada kamu bahawa aku bukannya seperti dulu, dan Islam telah mengajarku utk lebih baik menjadi sebagaimana yg kamu lihat.

Andai nanti wahai ibubapaku dan sahabat-sahabatku, jika aku yg pergi dulu, smoga DIA akan membukakan hati kamu utk menerima hidayah. Jika kamu pergi dulu, aku akan sentiasa mendoakan kamu yg terbaik, tapi wahai  ibubapaku dan sahabat-sahabatku, aku tidak ingin kamu pergi dgn kekafiran. Tapi jika itu kehendakNYA, aku akur...di akhirat nanti, aku tidak akan mengenali kamu, begitu jg kamu tidak mengenali aku. Kamu akan bersama-sama mereka yg kafir, aku akan bersama-sama dgn umat Nabi Muhammad SAW. Aku pun tidak tahu, aku bagaimana dan kamu bagaimana? kerana akhirat, DIA yg berkuasa. Wahai  ibubapaku dan sahabat-sahabatku, sebelum aku mengakhiri pena jariku...aku memohon agar kamu renungkan dan maafkanlah diriku yg meluahkan hati disini, aku mahu mereka yg senasib dgnku dan mereka yg mencari-cari hidayahNYA tahu...betapa aku mengharapkan agar kamu memahamiku. Maafkan sekali lagi.

Waalaikumusalam,

Ikhlas dariku,
NUR MUHAYYA @ ELISABETH TINGGING ABDULLAH.

(Segala tulisan ini adalah asli dan tidak ada kaitan dgn mana-mana pihak yg berkenaan. semoga menjadi teladan)


P/s: Perkongsian sahabat saya yang kucintai kerana ALLAH :)

Saturday, November 3, 2012

Kepentingan Tazkiyatun nafs dalam gerakan ISLAM

Nota Haraki
Kepentingan Tazkiyatun Nafs dalam memantapkan gerakan ISLAM 

1) Untuk Melahirkan petugas yang bersih hatinya (semata mata mencari keredhaan ALLAH)
2) Keteguhan iman dan ketahanan diri apabila berhadapan mehnah dan tribulasi
3)Mempunyai kecintaan yang tinggi kepada ALLAH, rasul serta hari akhirat.

Rukun Tazkiyatun Nafs
1) Ilmu ( ahli harus rajin menuntut ilmu, jangan biarkan sehari berlalu tanpa ilmu yang baru)
2) Berusaha membuang sifat sifat mazmumah. (sila rujuk 10 sifat mazmumah yang disenaraikan oleh Imam Al Ghazali
3) Pamerkan sifat mahmudah dalam diri. (ahli perlu nampak berbeza dengan ahli yang tidak ditarbiyah terutama dari segi akhlak, ikhtilat, muamalat)
4) Mujahadah (usaha dan ikhtiar yang tidak pernah lelah)

Wasilah Tazkiyatun Nafs

1) Bertaubat. (Sentiasa beristghfar)
2) Sentiasa meminta pertolongan dari ALLAH
3) Fokus pada ibadah khusus (qiamulail)
4) Zikrullah. (  jangan biarkan satu hari berlalu tanpa membaca Al Quran)
5) Wirid wirid harian (Mathurat)

Mengapa kita perlu berterusan dengan tazkiyatun nafs:
1) Tanggungjawab dakwah dan jihad adalah terlalu berat, tugas dakwah adalah pilihan ALLAH SWT.
2) Medan Amal penuh mehnah dan tribulasi. Perjuangan tanpa ujian adalah perjuangan yang tidak kekal

Ingat 5 perosak dan penghalang kepada gerakan
1) Mukmin yang dengki
2) Munafiq yang sentiasa benci
3) Orang Kafir yang sentiasa memerangi
4) Syaitan yang menyesatkan
5) Nafsu yang menggelincirkan kita (paling susah mahu dilawan).

Semoga bermanfaat untuk semua .

P/s: Nota yang dicatat semasa usrah.

Saturday, October 27, 2012

Diari Seorang Jururawat: Kita adalah duta ISLAM

Bismillahirahmanirahim

Sentap! Termanggu aku sendirian tatkala menatap akhbar harian hari ini. Seorang gadis yang juga merupakan seorang jururawat bergelar sebagai seorang model sambilan. Beberapa hari yang lalu, aku juga menemukan seorang gadis yang berhijab juga bergelar seorang jururawat berposing di dada akhbar. Si dia juga katanya meminati bidang peragaan.

Situasi sebegini membuatkan aku risau. Adakah kerjaya sebagai seorang jururawat semakin dieksploitasi? Jangan marah ya pada rakan jururawat sekalian jika aku mengatakan sedemikian. Kita perlu mengakui bahawa profession sebagai seorang jururawat adalah sesuatu yang sangat feminin. Profession ini amat sinonim dengan kelembutan seorang wanita. Jujur aku akui hakikatnya tidaklah seindah ini namun itulah gambaran awal minda tatkala kotak fikiran tertulis perkataan jururawat. 

ALLAH SWT berfirman dalam surah An Nur ayat 31

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.


Aku mengetahui cabaran utama seorang jururawat muslimah seperti yang pernah aku ulas dahulu dalam artikel Cabaran menjadi seorang jururawat muslimah adalah uniform jururawat. Namun ketahuilah, tidak semua jururawat muslimah gemar untuk beruniform sedemikian. Malah ada yang sengaja melonggarkan baju mengikut saiz yang lebih besar dari yang asal supaya tidak menampakkan auratnya. Aku cuma ingin menyampaikan sedikit keinginanku kepada para jururawat sekalian bahawa kita adalah duta ISLAM.

Sebagai jururawat, kita perlu berhadapan dengan seorang pesakit dalam keadaan terbaik ataupun terburuk yang perlu mereka hadapi. Kita menjadi saksi tatkala mereka berjaya berjuang menentang kanser, kita menjadi pendengar utama tangisan mereka tatkala menerima kelahiran cahaya mata dan kita juga menjadi penguat semangat mereka tatkala mereka diberitahu mereka tidak mampu meneruskan kehidupan.

Namun, adakah kita bisa mengerti saat saat berharga ini? Mungkin bagi kita yang sudah bertahun tahun bekerjaya sebagai seorang jururawat, perkara ini sudah menjadi terlalu biasa. Orang melahirkan anak memang ramai, orang dapat kanser memang ramai, orang tak hidup lama memang ramai. Kita terlupa bahawa kita amat perlu menjadi duta ISLAM. Di mana mana sahaja kita membawa ISLAM. Apabila pesakit kita mendapat khabar gembira, kita ingatkan mereka untuk mengucapkan ALHAMDULILLAH, apabila keluarga pesakit ditimpa musibah, kita minta mereka untuk menyerahkan kepada ALLAH dengan mengucapkan INNALILLAHIWAINNALILLAHIRAJIUN, apabila pesakit menerima kelahiran orang baru, ingatkan mereka untuk mengazankan bayi tersebut dan pelbagai cara lagi.

Aku mengimpikan suatu hari nanti, akan keluar di paparan akhbar, seorang jururawat memberi pengisian rohani dalam slot slot motivasi atau menjadi pendakwah yang bisa menyentuh hati dengan ayat ayat yang dikeluarkan dari mulutnya ataupun melalui artikel artikel yang ditulisnya

Sungguh aku tidak tahu adakah aku berpeluang melihat keadaan itu, tetapi aku berdoa kepada ALLAH agar impian itu akan dimakbulkan olehNYA

Mohon maaf atas segala kata kataku yang menyebabkan kalian terasa, namun aku ingin sekali kita menjadi jururawat yang disegani dan dihormati kerana cintanya kita kepada ALLAH dan perjuangan kita memartabatkan ISLAM

Sungguh kita bukan jururawat sembarangan, tetapi kita adalah jururawat muslimah yang ditarbiyah untuk berkhidmat kerana ALLAH

Semoga ALLAH mengampunkan dosa dosaku yang kerdil

Yang benar,
aku seorang jururawat



Tuesday, October 23, 2012

Tentang Hijab

Anda ingin menjadi wanita solehah?



Jadilah wanita yang termahal di dunia.


Bagaimana?

Dengan menjaga aurat anda!
Terima kasih kerana menjaga aurat anda :)

Tudung labuh pilihan anda??
Mengapa saya bertudung labuh? 


Berubah ke arah kebaikan :)




Untuk adik adik solehah yang mencari tudung labuh  berjahit dan sedang belajar istiqomah untuk memakainya.  Kakak mencadangkan beberapa butik yang bisa memberi bantuan kepada adik adik

Butik Raudhah
Sufy Solehah Collection
Bidadari Collection


Untuk adik adik yang baru berhijrah, kakak cadangkan cuba pakai tudung bidang 50/bidang 60 dahulu. Biasakan diri juga memakai tshirt labuh dan berskirt labuh. Kakak mengerti fitrah adik adik yang ingin kelihatan indah, maka kak cadangkan beberapa tempat yang bisa membantu adik :)

Hijab For Muslimah
Mis Syam cOLLection
Gerairizqi


Teruskan usaha untuk berhijrah. Rebutlah peluang berhijab kerana ALLAH kerana sesungguhnya wanita solehah itu begitu mahal di sisi ALLAH. Pilihan di tangan anda!

MARI BERUBAH!

Friday, October 19, 2012

Diari seorang jururawat : Belajar untuk menghargai

Bismillahirahmanirahim


SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar

Menjadi seorang jururawat di hospital swasta bukan semudah yang disangkakan. Selalunya persepsi masyarakat bahawa pekerjaan seorang jururawat ini mudah. Hanya memberi ubat kepada pesakit dan mengikut arahan doktor. Namun hakikatnya tanggungjawab seorang jururawat sebenarnya lebih daripada itu.  Dalam masa yang sama jururawat perlu menjadi seorang doktor, jururawat perlu menjadi seorang ibu, jururawat perlu menjadi seorang anak, jururawat perlu menjadi seorang juruteknik malahan seorang jurutelevisyen!

Malam itu, sekali lagi saya ditakdirkan ALLAH untuk bertugas sebagai staff nurse in charged. Biarpun saya bertugas bersama seorang rakan sekerja yang lebih senior tetapi dia lebih selesa untuk mengamanahkan saya sebagai 'staff nurse in charged'. Sedikit penerangan berkaitan 'staff nurse in charged', selalunya sebagai seorang yang diamanahkan untuk mengetuai wad pada ketika itu. Sekiranya berlaku sebarang masalah sewaktu bekerja, 'staff nurse in charged' adalah orang yang pertama dicari. Semua maklumat pesakit perlu berada di hujung jari kerana doktor pada bila bila masa sahaja bisa menelefon untuk mengetahui perkembangan pesakit. Apabila berlaku hal kecemasan, 'staff nurse in charged' juga perlu bertanggungjawab mengetuai 'resuscitation team' sebelum menunggu ketibaan doktor dan memberi arahan yang sewajarnya. 

Menjadi seorang 'staff nurse in charged' di sebuah hospital yang kecil tetapi mempunyai ramai pesakit apatahlagi pada waktu malam sungguh mencabar. Menjaga 26 hingga 30 orang pesakit dalam pelbagai bidang termasuk paediatrik (kanak kanak), pembedahan, perubatan, ortopedik (tulang) , dan sebagainya memerlukan ilmu yang meluas. Apatahlagi tanpa kehadiran doktor di hospital, seorang jururawat perlu mengambil risiko untuk menjadi seorang doktor!. Biarpun pada hari itu saya berat hati untuk bekerja 'double shift' , (saya sepatutnya bertugas pada waktu pagi namun saya perlu menyambung kembali bekerja di sebelah malam kerana kekurangan kakitangan) kerana buat masa ini saya sukar sekali untuk meninggalkan ibu di rumah menjaga nenek saya yang sakit. Apatahlagi ibu saya alhamdulillah, diamanahkan ALLAH untuk menjaga anak jiran kami yang masih bayi dua beradik yang bermalam di rumah. Ibu mengalami kesukaran untuk membantu nenek untuk ke tandas dan memenuhi keperluan lain. 


Namun, saya redha dan bersangka baik dengan ALLAH. Saya mahu saya ikhlas dalam pekerjaan saya dan yakin jika saya membantu orang lain, ALLAH pasti mempermudahkan urusan keluarga saya. Pada malam yang sunyi itu, saya meneruskan kerja kerja saya setelah selesai memberi ubat kepada pesakit pada waktu malam. Saya membiarkan rakan rakan saya yang lain (team member) untuk berehat di sebuah bilik yang disediakan kerana saya mengetahui mereka ada anak anak yang perlu dirisaukan di rumah. Cuma, saya tidak berani meninggalkan kaunter jururawat sepanjang malam kerana risau keadaan pesakit yang tidak diduga.

Ketika saya membelek belek nota pesakit pesakit saya, saya mendengar sayup sayup suara tangisan. Dalam hati segera diserbu seribu ketakutan namun saya beristighfar kepada ALLAH. Bukankah takut itu hanya pada ALLAH, bukannya pada manusia? Semakin lama suara tangisan itu semakin kuat, saya gagahkan diri saya untuk memeriksa biarpun hati saya dilanda seribu keresahan. Saya berlindung kepada ALLAH atas kejahatan makhluk ciptaanNYA. Saya terkejut ketika melihat pesakit di bilik 5 menangis teresak esak. Keadaannya begitu merisaukan saya, saya tidak mahu dia terlalu stess kerana saya tahu dia mengalami masalah jantung yang serius. Jantungnya terlalu lemah dan tidak boleh menerima tekanan!. Saya segera mendekatinya.

Saya: Uncle, ada apa apa yang boleh saya bantu?

Uncle: Girls, saya rasa sakit leher, susah tidur

Saya: Uncle, saya sudah berikan ubat tahan sakit kepada ALLAH, insyaALLAH ubat tersebut berkesan namun Uncle perlu berehat seketika

Lantas saya menyelimutkan pesakit tersebut, dalam lubuk hati saya berdoa agar dia dapat tidur dengan lena.

15 minit kemudian.

Saya mendengar suara orang berjalan. Saya perhatikan pesakit dari bilik 5 tadi berusaha untuk keluar dari bilik dengan menggunakan tongkat. Saya segera mendekatinya.

Saya: Uncle, kenapa Uncle tak tidur lagi, tadi nurse kat suruh Uncle tidur.

Uncle: Girls, boleh saya tidur sini sahaja, saya tidak dapat tidur di bilik, saya nak tidur atas kerusi sini sahaja.

Pesakit itu meminta untuk tidur di atas kerusi plastik berhadapan kaunter jururawat. Saya berusaha untuk memujuknya untuk kembali ke biliknya. Namun dia menangis dan esakannya semakin kuat. Saya berfikir saya tidak mahu memberi tekanan kepada pesakit ini maka saya turuti kehendaknya. Saya membiarkan dia duduk di hadapan kaunter jururawat. Saya tersenyum kerana sekurang kurangnya pesakit ini menemankan saya untuk menyelesaikan tugas tugas saya memeriksa nota pesakit.

15 minit kemudian.

Dia menangis lagi, dan kini dia cuba berjalan ke hujung wad. Hati saya mula risau, saya terfikir dengan keadaanya sebegini, mempunyai pelbagai masalah, mustahil doktor memberikan ubat untuk merehatkannya. Saya cuba memujuknya untuk kembali duduk ataupun masuk ke bilik. Namun dia masih berkeras untuk berjalan ke hujung wad. Rakan saya yang lain tersedar kerana mendengar bunyi esakan pesakit tersebut. Lantas mereka cuba memujuknya dengan memberikan milo panas supaya dia dapat tidur lena.


Rakan saya 1: Kasihan Uncle ini, saya rasa dia rindukan keluarganya.

Rakan saya 2: Jika saya tidak silap, ahli keluarganya iaitu anak isteri berada di luar negara. Dia seorang sahaja yang berada di Malaysia, yang menghantarnya ke hospital pun adalah rakan rakannya sahaja.

Rakan saya 1: Mungkin dia rindukan keluarganya, maka dia pun menangis teresak esak. Dia rasa kesunyian.

Rakan saya 2: Mungkin sebab itu dia suka dipujuk, dia teringatkan anak anaknya di sana. Kehidupan tanpa keluarga sangat menyedihkan.

Saya hanya mendiamkan diri. Namun di hati kecil saya, saya mengiyakan kebenaran kata kata rakan saya itu. Ya ALLAH, saya terfikir bagaimana boleh meninggalkan ayah kita yang sedang sakit berada di negara yang lain dengan kita. Segera saya usir sangkaan buruk itu. Siapalah saya untuk mengada adakan cerita.

Namun, ibrah yang saya dapati daripada pengalaman saya ini. Saya sentiasa menghargai dan bersyukur kurniaan ALLAH kepada saya.  Segala yang saya hadapi, saya bersyukur kerana keluarga saya tidak pernah membuang saya. 

Kadang kadang sebagai manusia, kita tidak belajar untuk menghargai, namun apabila kita sudah kehilangan barulah kita tahu betapa pentingnya kepada kita. Sesungguhnya ALLAH tidak pernah menciptakan sesuatu dengan sia sia, namun kita sendiri yang tidak pernah melihat dengan mata hikmah.Maka hargailah apa yang kita miliki, segalanya pemberian ALLAH, bukalah mata dan bukalah minda. Namun ingatlah semuanya hanya pinjaman. Pada bila bila masa sahaja ALLAH boleh mengambilnya kembali.


Kadang kadang saya juga rasa lemah untuk mengharungi hidup ini. Saya hanyalah orang biasa pasti ada perasaan sedih, tertekan dan sebagainya. Namun saya gagahi untuk melangkah kerana saya menganggap inilah didikan istimewa ALLAH untuk saya dalam menjadikan saya seorang daie yang berkualiti. Jika sahabat sahabat lain dilatih dalam program, usrah dan sebagainya. Saya cukup bersyukur apabila ALLAH melatih saya dengan segala ujian dalam kehidupan. Saya tahu bahawa ALLAH Maha Mengetahui segala ini sangat susah untuk saya tetapi ALLAH juga tahu sejauh mana saya boleh menghadapi semua ini. Semoga saya sentiasa redha dalam mengharungi hidup ini. Semoga Uncle juga disatukan semula dengan keluarganya. 

Jom dengar lagu ini, pengubat hati :)

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita ?kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan

Inteam feat Nazrey; Kehidupan

Sunday, October 7, 2012

Ubat kecemburuanku

Bismillahirahmanirahim, terima kasih ustazah Noraslina kerana mengeluarkan artikel ini pada tarikh ketika ulang tahun keputerianku yang lalu, seolah hadiah ALLAH untuk diriku sentiasa memperbaiki diri. Ingin saya kongsikan bersama sahabat sekalian. 


CELIKKAN KECEMBURUANMU....

Semilir petang yang berhembus begitu mendamaikan. Rumput-rumput hijau yang memenuhi taman kecil di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Sentosa turut meliang lintuk dihembus bayu. Sesekali terdengar kicauan burung. Pulang ke sarang setelah seharian mencari rezeki buat menyambung kehidupan.

Cukup mengasyikkan.

Akan tetapi kecamuk rasa di hati Ahyana sedikit pun tidak berkurang dengan keindahan ciptaan TUHAN yang terpapar di depan mata. Hanya tubuhnya menikmati sapaan lembut alam, sedang jiwanya tenggelam dalam gelombang perasaan.
Satu keluhan dilepaskan. Berat!

“Mengapa kau lakukan begitu?” Solehah, teman karib yang menemaninya menghirup udara petang itu tiba-tiba melempar tanya. Agak menyentak rasa.
Ahyana memalingkan kepala sambil menatap dalam anak mata Solehah. Kelihatan sahabatnya itu serius. Namun, riak ketenangan dari wajah keibuannya itu, seperti selalu, tidak terganggu.
“Lakukan apa? Merajuk dengan suami sendiri sehingga berhari-hari. Itu maksudmu?” Ahyana membalas sinis.

Entah mengapa mimpinya dua hari lalu melihat suami yang dikasihi sedang berbalas pandang penuh cinta dengan seorang wanita jelita sangat kuat mengganggu jaganya. Ditambah pula penemuan sampul-sampul berwarna merah jambu dari kotak barang-barang lama suaminya ketika dia mengemas stor bawah tangga menjadikan perasaannya begitu sengsara. Kebetulan dia mahu mengemas rumah yang didiaminya bersama suami sejak setahun dulu yang telah lebih dulu dihuni suaminya bersama beberapa rakan bujangnya sebelum mereka disatukan.
Jelas tergambar baris-baris ceria dan mesra berisi nasihat dan kata-kata semangat yang dicoret seseorang bergelar wanita yang menjadi rakan pena kepada suaminya dalam surat-surat bersampul merah jambu tersebut.

Walaupun ia berlaku sebelum ikatan perkahwinan antara mereka, penemuan itu agak menjeruk rasa. Sakit di hatinya masih belum hilang. Sekali hatinya terluka, memang lambat untuk sembuh semula. Hanya kepada Solehah, sahabat baik yang telah lama mengenali hati budinya tempat dia meluahkan rasa.

“Buat apa surat-surat itu masih disimpan? Itu menandakan perempuan tu sangat bermakna dalam hidupnya!” Ahyana mengertap bibir. Geram.
Kali ini Solehah pula menatap muka Ahyana. Renungannya sedikit meredup. Belas bercampur simpati dengan amukan cemburu yang sedang melanda jiwa sahabat baiknya itu.
“Kau tak rasa bersalahkah? Membiarkan suamimu bagai ayam berak kapur…termangu-mangu tanpa belaian sambil menatap isteri di rumah berwajah masam? Pedih tau…”
Ahyana hanya menyambut dengan ketawa kecil. Mungkin dibuat-buat. Mungkin juga geli hati mendengar peribahasa dari bibir Solehah yang terkenal suka menyakat.
Namun, di sebalik itu, dia tahu, Solehah sangat memaksudkan setiap patah bicaranya. Tanda ambil berat seorang sahabat. Tambahan pula, Solehah ‘lebih dulu makan garam berbanding dirinya’ yang baru setahun jagung di alam rumahtangga.

WANITA DAN CEMBURU
Memang aneh memikirkan sikap cemburu orang perempuan. Kecemburuan,disebut dalam bahasa Arab sebagai ‘ghirah’ dan dalam bahasa Inggeris diatasnamakan sebagai ‘jealousy’merupakan suatu fitrah dalam diri wanita. Puncanya pelbagai, dan ada ketikanya ia datang dari sebab yang terlalu remeh. Setiap seorang dengan ciri kecemburuannya yang tersendiri. Keadaan-keadaan di bawah ini antara sebab yang membangkitkan kecemburuan di hati seorang isteri terhadap suami :


  • ·  Foto artis/model/rakan perempuan cantik yang sedang ditatap suami.

  • · Senyuman manis suami kepada wanita lain juga boleh menghadirkan resah di hati isteri.

  • · Kecantikan rupa paras dan bakat istimewa pada wanita lain yang dipuji-puji suami.

  • · Dan tidak sedikit, isteri yang menderita cemburu bila melihat kemanjaan dan perhatian suami kepada wanita bergelar ibu yang melahirkannya ke dunia ini.

Tidak dinafikan ia dugaan dan ujian perasaan yang bukan mudah untuk ditatang. Tanpa kawalan emosi dan keimanan yang tuntas, cetusan cemburu itu mampu memusnahkan bila nyalaannya menjadi api yang menjulang!
Kerana itu, bukan sedikit rumahtangga yang hancur kerananya.

Saya pasti setiap wanita bernama isteri tidak dapat lari dari perasaan cemburu. Senario di atas, adalah salah satu dari sekian banyak situasi yang selalu dialami oleh wanita ketika cemburu menguasai diri. Saya tidak menafikan bahawa cemburu itu lahir dari perasaan cinta kepada suami, bak kata orang dahulu kala, cemburu itu tanda sayang, lambang cinta yang sedang mekar berkembang.

Tambahan lagi pada saya, sebagai individu muslim yang digesa oleh ALLAH SWT agar memelihara diri dan keluarga dari menjadi bahan api neraka, cemburu adalah salah satu ‘penjaga’ yang perlu dimiliki oleh wanita dalam memastikan gesaan itu terlaksana. Firman-NYA:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”( Surah At-Tahrim ayat 6 )
Cuma, ia harus dibatasi dengan keimanan yang ampuh beriring pemikiran yang jernih lagi adil agar kecemburuan itu menjadi pemangkin yang mencambah kasih sayang dalam perhubungan bukan menjadi punca perbalahan sehingga menatijahkan perpisahan.

TANDA ARAS
Bukankah kita pernah dihidangkan dengan kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah yang meluahkan perasaan cemburunya?

Diriwayatkan tentang satu peristiwa di zaman Nabi SAW :
قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.
Maksudnya : Berkata Sa’ad bin Ubadah r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan aku pukul dia dengan pedangku!” Lalu, disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi membalas: "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi." ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Inilah tanda aras yang telah digariskan oleh Islam berkenaan cemburu yang dibolehkan dan sebaliknya. Cemburu bila melihat pasangan melakukan kemaksiatan kepada ALLAH adalah cemburu yang mesti ada supaya dengannya dapat mempastikan kehidupan berumahtangga jauh dari unsur-unsur maksiat yang boleh merosakkan keharmonian seperti pergaulan tanpa batas suami dengan saudara mara, sepupu sepapat dan rakan-rakan sekerja berlainan jantina dan seumpamanya. Demikian juga suami terhadap isteri, ibu ayah terhadap anak-anak dan lain-lainnya.

Oleh itu, dalam mengurus kecemburuan yang berlaku dalam cinta antara suami isteri ini agar tidak menatijahkan kesengsaraan dan dukacita di masa depan, Imam Ibnul Qayyim dalam kitabnya, Raudhatul Muhibbin, menganjurkan para wanita muslimah untuk meneladani sifat dan ciri bidadari syurga sebagaimana firman ALLAH SWT :
Maksudnya : “…dan untuk mereka di dalamnya terdapat isteri-isteri yang suci.”( Surah Al Baqarah ayat 25 )
Perkara pokok yang diketengahkan dari ayat di atas adalah dari aspek membangun kejiwaan yang bersih dari perasaan cemburu yang bukan pada tempatnya, menjauhi tingkah dan sikap yang menyakiti hati suami, dan menyahbuang dari benak mereka perbuatan membandingkan suami dengan lelaki lain dalam hal kebaikan dan kebajikan rumahtangga.

CELIKKAN KECEMBURUANMU...

“Yana, cara paling indah untuk berdamai dengan kecemburuan adalah dengan muhasabah diri bukan menambah benci dan sakit hati kepada suami…” Solehah melontarkan patah kata setelah suasana sunyi beberapa ketika.
Ahyana berpaling. Tertarik mendengar saranan dari sahabat baiknya itu. Dahinya berkerut, bagai ada tanda soal yang besar di kepalanya.
“Muhasabah diri? Kenapa pula aku yang kena bermuhasabah…bukan aku yang bersalah!” Ahyana menyanggah, masih larut dalam ego diri dan gundah di hati.
“Jadi, kau maksudkan suamimu yang bersalah? Sedangkan cemburumu itu sendiri hanya berpunca dari sangkaan dirimu semata, belum dipastikan duduk perkara sebenarnya lagi. Mungkin suamimu sendiri sudah lama tidak berhubung dengan wanita itu. Dan surat-surat itu, kemungkinan juga sudah lama dilupakannya. Bukankah ia tersimpan di dalam kotak di stor yang telah bertahun tidak dikemaskan?“ Solehah membayangkan kemungkinan buat Ahyana menjernihkan fikiran.
Ahyana tunduk menekur kepalanya ke lantai. Bagai ada kebenaran dari butir bicara sahabatnya. Dia diam. Mahu terus mendengar. Melihat itu, Solehah menambah…
“Ahyana… setiap perkara dalam hidup kita ini berlaku atas pilihan kita sendiri. Bukan semata takdir ILAHI yang telah menentukan begitu. Sama juga dengan rasa cemburu. Kita sendiri yang memilih sama ada rasa cemburu itu penghujungnya mendorong diri kita menjadi insan lebih baik atau hanyut diselubungi perasaan negatif hingga membawa kepada benci, hasad dan sakit hati. Itu semua lumrah kehidupan. Sebab itu, rasa cemburu jika tidak dibendung lebih awal, lama kelamaan perasaan negatif yang bertunas di hati boleh meledak api emosi. Andai tidak dikawal, ia mampu mencetuskan perbalahan lebih besar. Ibarat gunung berapi yang menanti waktu untuk meletus…busss!” Tambah Solehah sambil memuncungkan mulutnya dalam raut wajah serius.
“Jadi sebelum api cemburu bertukar tragedi cinta…sebelum takdir TUHAN dijadikan alasan perpisahan, baik buang segala prasangka dan duduk bersemuka dari jiwa ke jiwa. Celikkan kecemburuan itu, bukan membiarkannya terus ‘buta’, sahabat!” Solehah masih gigih berfalsafah.
Memujuk rawan hati seorang perempuan memang memerlukan kesenian.
Ahyana menarik nafas dalam. Kolam matanya mulai hangat dengan genangan air jernih.
Wajah Solehah dipandangnya sekilas lalu dengan pantas dia menekupkan kedua tangan ke wajahnya yang mulai cerah bak siang hari baharu disimbahi hujan pagi dengan cahaya matahari mulai memancar di sebalik awan mendung yang berarak pergi. Kolam air matanya melimpah juga.
Terdengar esakannya. Solehah simpati….namun, di dalam hatinya, dia sudah boleh tersenyum lega.
Hati wanita….bagai kerak nasi. Direndam dalam air, maka lembutlah ia.
Alhamdulillah…..

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Ustazah Noraslina Jusin 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...