Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Wednesday, October 7, 2009

dakwah: tiada alasan berbeda fikrah (from puteraazhari.blogspot.com)

Penulis sering diajukan pertanyaan yang berkaitan dakwah, jemaah, badan atau persatuan bagaimana yang perlu diutamakan dan sebagainya, khususnya ketika di alam kampus.

Ada orang mengambil keputusan untuk berdakwah, kerana persekitarannya penuh kerosakan dan maksiat. Ketika segelintir rancak berbincang tentang kaedah melahirkan da’ie, siswi melahirkan anak luar nikah lebih meninggi. Sesuatu mesti dilakukan, lantas keputusan diambil, saya mesti berdakwah.

Ada segelintir yang mengambil keputusan untuk berdakwah kerana hasil ilmu dan pengetahuannya, dia mendapat tahu bahawa dakwah itu wajib. Kewajipan dakwah itu menjadi sangat rasional.Maka tumbuhlah pelbagai badan dan persatuan merata. Pernah kita jujur bertanya kepada diri:

Apakah alasan terpenting kita berjemaah, berusrah, dan berdakwah?

Perlu pada lontaran cukup realistik dalam kehidupan penggerak-penggerak dakwah. Mungkin jawapan yang sesuai dalam menyelesaikan krisis yang melibatkan para muda-mudi, rumahtangga dan segenap kehidupan adalah kembali menilai intipati hijrah baginda al-Amin. Dan banyak permasalahan dapat diselesaikan bila kita mengenali puncanya, back to the basic.

Keperluan berdakwah iaitu menyeru pada kebenaran dan mencegah kemungkaran, boleh dilihat dalam konteks sepenuhnya dari pecahan lanjut rukun Ihsan, dalam memastikan keberkesanan cara kita beragama untuk mencapai tujuan, mentauhid dan mengenal Allah.

Kadang-kadang dakwah perlu dipandang dari sudut berbeza. Kepimpinan melalui tauladan tidak memerlukan sepatah perkataan pun, sebaliknya penyampaian nilai-nilai murni kehidupan melalui contoh pembawaan diri kita sendiri. Kerana kurangnya penerapan berhikmah kepada diri sendiri, masyarakat sekarang memang tidak melihat kepimpinan melalui tauladan sebagai sumber berdakwah yang utama.

Kita lebih peka kepada mendengar bahasa lisan dari melihat bahasa badan. Yang menjadi masalah kadang-kadang ialah kepekaan yang tersalah letak, kepekaan emosi berbanding kepekaan rasional.

Kalau kita berkorban tenaga dan waktu mengenali Allah Taala, dengan mengenali carakerja-Nya (Sunahtullah), kemudian mengamalkan penelitian pelajaran tersebut di dalam kehidupan sesuai syari-‘at-Nya. Qadar Allah Taala akan menentukan kejayaan sebenar kita berdakwah. Tidak kisahlah apa pandangan orang lain, yang mungkin mengatakan kita tidak berdakwah dari sudut mereka, paling penting kita sudah berdakwah di sisi Allah Taala, penentu kedamaian abadi.

PARANAN MAHASISWA DAN JEMAAH

Tanggapan yang sedikit silap apabila hanya mengaitkan dakwah dan kejayaan dakwah ini kepada perkara berkaitan dengan pentarbiahan peribadi. Adalah silap membuat ukuran kejayaan dan usaha dakwah hanyalah kepada ramainya bilangan jemaah di surau, dan ramainya manusia yang hadir ke usrah, ceramah, motivasi agama dan sebagainya.

Jika inilah objektif dan modus operandi dakwah segelintir mahasiswa Islam, maka mereka sedikit lesu. Ini kerana kerja dakwah Islam ini seluas istilah amal al-Islami, dan termasuk juga dalam amal-amal al-Islami perkara yang berkaitan dengan siasah, amar ma’-ruf dan nahi mungkar, urusan masyarakat, penindasan terhadap golongan miskin, protes terhadap harga-harga tol, minyak, masalah kesihatan, banjir, korupsi yang membebankan masyarakat dan seratus macam masalah yang bersangkut paut dengannya.

Mahasiswa Islam perlu ada paradigma yang jelas, bukan pengeluh, jauh lagi bukan seorang yang hanya berpeluk tubuh. Bukan sekadar menjadi pemerhati dan pengkritik yang hanya berpeluk tubuh. Pemerhati dan pengkritik tanpa pelaksanaan dan penglibatan kebiasaannya optimis, namun penuh ego seolah-olah dirinya lebih sempurna berbanding manusia lain.

Sesekali pandang ke atas, jangan lupa untuk menjenguk ke bawah.

Masalah yang dihadapi oleh segelintir mujahid dakwah di kampus adalah method dakwah itu sendiri. Mereka perlu meluaskan dan melebarkan dengan berfikiran dan bersifat terbuka asalkan prinsip tidak terkorban, maruah perjuangan tidak tergadai, lebih efektif dan efisyen. Berjuanglah dengan matlamat yang jelas demi Islam.

Analoginya mudah, jadilah seperti pemain bola sepak yang menentukan segala-galanya sama ada corak permainan dan strategi. Jangan jadi seperti penonton yang hanya mampu memerhati, mengkritik. Mereka memang punya lidah, namun mereka mempunyai keterbatasan berbanding kita.


KONSEP DAKWAH BERKESAN DAN TERKESAN

Dari segi method pembelajaran juga berbeza antara kampus dan sebelumnya. Kampus tidak lagi bertanggungjawab untuk menyuap, walaupun banyak mulut hanya tahu menganga sahaja.

Dalam kepelbagaian ragam manusia seperti biasa, terkurang peduli dan terlebih peduli akan timbul. Apa yang dipedulikan itu yang menjadi pertanyaan utama kita ke arah pembentukan seorang dewasa yang sempurna.

Isunya penulis lihat sebagai kelesuan kampus berdakwah berlandaskan ciri-ciri Islam. Masalah wadah atau jemaah mana yang hendak dijadikan kenderaan tidak begitu penting ketika di kampus, kerana prasarana asas jemaah semuanya sama seperti bermesyuarat, gembira menjadi majoriti, duka terjadinya manoriti, kelas-kelas ilmu berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah dan pelbagai isu house-keeping berpersatuan.

Penyampaian Islam sejati yang hak berbanding penerapan ciri muslim popular yang menjadi titik tolak, peduli atau tidak patut ditekankan.

Kepada yang sekadar menjadi pemerhati dan pengkritik yang hanya berpeluk tubuh, pastikan bersedia dengan surat tunjuk sebab, kerana modal perniagaan yang telah diberikan Allah Taala, tidak diberikan dengan percuma sahaja untuk keadilan sejagat. Bukan kerana Dia hendak untung, tapi kerana Dia hendak kita untung, pasal Dia tak pernah rugi.

Oleh itu penting berdakwah, kerana ada Nabi yang berdakwah hampir beribu tahun, tapi dapat hanya beberapa orang pengikut sahaja. Menjadikan kampus sebagai medan untuk menimba ilmu dan pengalaman, termasuklah bab seru menyeru kepada kebenaran ini.

Tidak salah rasanya memasak guna perencah segera, kalau perencah sedia ada itu sudah cukup bagus. Bila nak buat perencah sendiri kenalah betul-betul pakar memasak sebab masakan itu untuk orang ramai, bimbang perencah buatan sendiri tidak sedap, silap-silap boleh sakit perut.

Kalau hendak masak untuk orang Melayu, kenalah guna perencah Melayu, kerana bukan semua orang Melayu boleh makan mayonnaise. Hati-hati kalau ingin masukkan juga, bimbang pengunjung tidak datang lagi ke warung kita, nanti siapa nak habiskan. Tidakkah membazir pula jadinya?

JERNIHKAN FIKRAH DALAM BERJEMAAH

Membanding-bandingkan jemaah dan dasar perjuangan adalah satu sikap yang kurang rasional, walhal ke semua mereka sudah patri al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan asli.

Sikap seperti ini adalah suatu kemalangan kepada kumpulan Islam. NaQib dan naQibah seperti ini memperbodohkan anak-anak buahnya atas nama kesejahteraan fikrah.

Di dalam dunia ini, manusia yang mudah terpengaruh hanya dua. Manusia yang miskin harta berserta miskin jiwa, serta manusia yang jahil tanpa minda. Yang miskin harta dan jiwa mudah dibeli hanya dengan secawan kopi. Manakala mereka yang jahil pula, membuang daya fikir atau reason biar pun menuntut di universiti terbilang.

Cukuplah dengan memulakan langkah memberanikan diri untuk berdiskusi. Gunakan minda untuk berwacana, lebih dari jari untuk menyumbat telinga.

Kemunduran muslim adalah tanda kegagalan menghayati Islam sepenuhnya. Ramai yang mendamaikan hati dengan alasan kemunduran di dunia akan mendapat kejayaan di akhirat.

Islam itu adalah kejayaan di dunia dan di akhirat. Tidak timbul kejayaan di akhirat tanpa kejayaan di dunia. Tetapi dalam alasan untuk tidak menggunakan akal, atau menyenangkan kerja menyampai, pendakwah mencari jalan singkat dengan menakutkan pendengarnya, yang menggunakan akal itu hanya berjaya di dunia, di akhirat nanti akan merana.

Kalau kita tidak lebih dahulu memahami Dia, bagaimana kita mengharapkan Dia akan memahami kita, dan mengizinkan segala yang hendak kita lakukan di dunia. Bila kita sudah memahami Dia akan mudahlah kita memahami mahluk-Nya, terutamanya manusia.

Maka kesimpulannya, jadilah pemimpin, ahli dan penggerak jemaah yang mempunyai kuasa berlapang dada dalam perjuangan, paling penting kedaulatan Islam menjadi matlamat dan keutamaan.

Wallahu ‘a-lam wa ‘a-la.

http://puteraazhari.blogspot.com/2009/09/dakwah-tiada-alasan-berbeda-fikrah.html

Ulasanku:

Syukran kepada ustaz atas artikel yang amat menarik. Kekadang ana dan antunna semua terlpeas pandang, seringkali kita berusaha untuk mencari kelemahan jemaah lain. Tetapi bukankah kita semua berjalan di atas landasan yang sama? Kenapa kita perlu mencari kelemahan masing2? Bukankah lebih baik kita fokus pada perjuangan kita sebagai daieyah? Ingatlah bahawa keutamaan kita berada di landasan ini adalah untuk mendapat keredhaanNYA.. Semoga kita sentiasa tergolong dalam golongan yang mendapat pengampunan dan keredhaanNYA.. AMIN

0 ~pemberi cinta~:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...