Bismillahirahmanirahim
SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar
Sekali lagi tangan dan otakku diberi kekuatan dan keupayaan untuk menulis di teratak kesayanganku ini. Mungkin pembaca Mawar Sakinah, berasa sedikit hairan dengan perubahan rumah kesayanganku ini. Sesungguhnya diriku ini mendambakan suasana baru buat Mawar Sakinah. Suasana baru itu diharap dapat memberi suntikan agar diriku terus tsabat dalam memperjuangkan fikrahku.
Bumi TarbiyahSudah dua bulan diriku terdampar jauh dari bumi tarbiyah. Sepanjang dua bulan ini jugalah pelbagai ujian getir yang terpaksa aku hadapi. Diriku yang bergelar Muslimat Tarbiyah telah diuji dengan dunia sebenar. Sekiranya dulu di kampus, saban hari penuh dengan pelbagai program tentang perjuangan dakwah. Malah daku tidak risau jika diri ini mula berasa lemah dan lesu kerana sentiasa dekat dengan pentarbiyahan, malah sahabat sahabat sentiasa ada menjadi sayap kiri perjuangan.
Terdapat jurang perbezaan yang cukup ketara dari segi gerakan perjuangan di antara bumi tarbiyah dan bumi kelahiran sendiri. Jika di bumi tarbiyah, gerakan untuk diri sendiri terasa begitu teratur dan terancang. Perhubungan dengan naqibah yang erat juga menjadi salah satu asbab buat diriku mendapat pemahaman yang lebih mendalam dalam perjuangan.
Seringkali diri ini dihujani soalan
Kak asiah baru berubah tapi dah ikut jemaah, macam mana kak asiah faham?
Kita berdakwah tak semestinya ikut jemaah, kita sendiri pun boleh berdakwah lagipun kakak masih baru berubah.
Sering menjadi tanda tanya kepada diriku, kenapa isu "BARU BERUBAH", menjadikan alasan untuk tidak boleh menyertai perjuangan? Kenapa seolah olah ada kelas kelas tertemtu untuk kita menyampaikan risalah ALLAH dan RASULNYA. Adakah mereka yang berdakwah itu hanya layak untuk mereka yang sudah lama mendapat hidayah dan petunjuknya. Adakah golongan golongan yang bertaubat setelah melakukan kesilapan diletakkan sebagai golongan kelas kedua dalam arena dakwah? Nauzubillah min zalik, minta sahabiyah sekalian membuang pemikiran sempit ini. Petikan dari ceramah yang didengari semasa waktu kerja di gerai tshirt labuh;
Syurga itu adalah untuk mereka yang melakukan kesilapan tetapi memohon ampun kepadaNYA kerana sesungguhnya manusia itu tidaklah maksum kecuali nabi dan rasulNYA.
Alhamdulillah, naqibah dan sahabiyah ku sudi menerima diri ini menjadi sebahagian daripada mereka. ALLAH yang MAHA AGUNG memberikan pemahaman yang mudah kepada ku untuk menerima proses pentarbiyahan ini. Sesungguhnya aku tidak berani mengatakan bahawa aku telah berjaya ditarbiyah, namun pemahaman yang amat berharga ini sudah menjadi nikmat yang cukup besar buat diriku dan menjadikan diriku lebih yakin pada apa yang aku pegangi.
Perjuangan di bumi tarbiyah juga diwarnai dengan kesusahan dan kesenangan. Teringat suatu ketika diri ini melenting kerana masa itu baru saja berusaha untuk berubah, tetapi sudah menggalas beban yang amat berat. Mungkin jika dipandang oleh insan lain, tidaklah seberat yang disangkakan cuma ketika itu keadaanku masih kucar kacir kerana baru melangkah ke alam pentarbiyahan. Namun kerana kesusahan semasa diperingkat awal, melatih diriku dan sahabiyah ku yang lain untuk terus kental dalam perjuangan. Jika sahabiyah yang berada di bumi tarbiyah yang lain mempunyai tajaan untuk program, kami terpaksa berhempas pulas mencari duit untuk menjayakan sesuatu. Malah terlalu banyak air mata yang dititiskan sepanjang perjuangan ini.
Kesusahan itulah yang kuhargai kerana dari kesusahan itu, pemahaman mudah menjadi kukuh. Biar pada waktu itu, jumlah kami hanya sedikit dan dilanda pelbagai masalah, namun ALLAH menunjukkan jalan penyelesaiannya satu persatu. Sesungguhnya tidak semestinya ahli yang ramai itu menjadi penanda aras kepada kehebatan sesuatu perjuangan. Hebatnya sesuatu perjuangan itu adalah sejauh mana ahlinya berada di jalan perjuangan kerana ALLAH, bukan kerana manusia. Kita sememangnya ingin meningkatkan kuatiti tetapi apalah gunanya jika tiada kualiti?
Ah.. itulah secebis pengalaman indah dibumi tarbiyahku. Setiap kesusahan itu sentiasa melekat didalam ingatanku. Kesusahan itu yang menjadikan aku seolah olah tidak dapat berpisah dengan perjuangan. Kesusahan di alam kampus itu yang menjadi benteng pertahanan diriku untuk menepis segala kesakitan dalam cabaran dakwah biah luar kampus.
Bumi kelahirankuAlhamdulillah, bumi kelahiranku punya ramai pejuang yang mantap. Syukur kepada ALLAH yang sentiasa memberi. Memberi peluang kepada diriku untuk bertemu sahabat di tanah kelahiran sendiri. Terkadang timbul rasa rendah diri, mengenangkan diriku yang tidaklah sehebat mana, malah kedatangan ku disini mungkin dapat menyumbang sedikit tenaga kerana mereka sememangnya sudah punya tapak yang kukuh.
Biarpun tapak disini lebih kukuh dan sedang membina tiang tiang perjuangan, diriku juga mengalami anjakan paradigma. Tidak ku sangka akan bertemu dengan insan yang lebih berbeza. Mad'u yang lebih mencabar. Terkadang sampai hendak menitiskan air mata apabila melihat kurangnya pengamalan ISLAM di bumi kelahiran sendiri. Diriku diserbu rasa bersalah. Asbabnya ALLAH mempertemukan dan mempersiapkan diriku di bumi tarbiyah adalah untuk berkhidmat di bumi kelahiran ku sendiri. ALLAH sudah memberi kekuatan, memberi kefahaman, maka sebagai galang gantinya, diriku hendaklah terus berjuang untuk menyampaikan risalahNYA bersama sahabiyah sekalian demi menegakkan daulah islamiyah.
Jika dulu di bumi tarbiyah, tidak ada masa leka, namun diri ini mengakui bahawasanya kini diriku sudah menjadi lesu dalam perjuangan. Mungkin kerana di sini semuanya tersedia, program sentiasa ada di mana mana. Maka diriku tidak ada rasa takut untuk terlepas sesuatu program atau tarbiyah. Malah ada juga terlintas di hati bahawa sekiranya diri ini tidak menggerakkannya, masih ramai lagi insan yang berkelayakan. Naudzubillah min zalik. Ya ALLAH, jauhlah diriku dari gejala futur. Di manakah semangat perjuangan Asiah Yusro yang dulu?
Tidak ku nafikan, kerja dakwah di luar kampus lebih banyak cabarannya. Malah penglibatan dalam kerja dakwah dan tarbiyah juga sudah tidak seaktif di kampus kerana mempunyai keterbatasan waktu. Tanggungjawab kepada ibubapa perlu diutamakan. Selain itu tuntutan lain seperti mencari rezeki membantutkan pergerakan. Kebersamaan bersama sahabat juga tidak seperti dulu. Masing masing sudah punya peranan yang tersendiri. Kekadang diri ini berasa terlalu lemah di bumi kelahiran sendiri. Seringkali air mata menjadi peneman. Kata kata dari naqibah dan sahabiyah tercinta menjadi sumber kekuatan. Pesan naqibah; mungkin gerakan dakwah dan gerak kerja ISLAM sudah tidak sehebat di kampus, tetapi jagalah hubungan dengan ALLAH, kerana itulah sumber kekuatan yang sebenar. Berkaitan gerak kerja dakwah, mungkin gerakan terencat sedikit, namun biarlah ambil sedikit demi sedikit, asalkan istiqomah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Inilah adalah sedikit luahan dan coretan dari Asiah Yusro. Asiah Yusro yang sentiasa merindui bumi tarbiyah tetapi dalam masa yang sama mendamba kekuatan untuk menyumbang bakti pada tanah kelahiran...
BIAR SYAHID ATAUPUN KEMENANGAN!