Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari..
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran sang BIDADARI!
Ah... tidak mudah untuk bergelar bidadari syurga. Diriku ini tersangat tidak sempurna. Rasanya baru kesekian kali diriku terasa kerana tingkah sahabat sahabat yang tidak memperdulikan aku. Seorang daie kah aku? Begitu mudah hati ni merasa tersentuh tatkala kemahuan diri tidak dituruti. Bukankah menjadi seorang daie itu perlu bermujahadaha. Itsar diletakkan sebagai senjata utama kekuatan ukhuwa. Namun diriku bukan begitu, masih ada karat karat jahiliyah yang bersisa dalam diri. Belum! belum cukup hebat diriku. Hati ku belum bisa ku sucikan seperti sucinya hati mu Bidadari bernama Asiah. Sukar sekali menerima ketentuan ALLAH SWT terhadapku. Mungkin belum cukup tarbiyah pada diri ini sehingga perasaan cinta dunia masih menebal dalam diri. Di manakah silap nya pentarbiyahanku?
Buku 'Bekalan Di Sepanjang Jalan Da'wah' karya sang murabbi agung, Mustafa Masyur ku renung sekali lagi. Sebuah buku yang wajib menjadi peneman buat para daie. Rasa rasanya buku buku haraki sebegini perlu dihadam berkali kali agar benar benar sebati dengan diri. Dalam usaha mentarbiyah insan lain, maka tarbiyah diri sendiri yang perlu diberi perhatian khusus.
......... Jalan dakwah adalah segala galanya dalam kehidupan seorang daie kepada ALLAH. Ia adalah jalan utama untuk diberi perhatian. Mestilah ada bekalan yang memelihara dari terpesong, terhalang, terhenti, terbantut atau tergelincir di jalan. Natijahnya, kerugian yang nyata dan hilangnya kebaikan dan kejayaan yang besar.............
Membetulkan niqab di wajah. Hasrat hati untuk bertemu bunga agama yang dahagakan ilmu. Entah mengapa waktu waktu begini, kenangan silam menyapa minda. Ah.... rindu... rindu pada dia. Tetapi dia sudah tiada! Dia sudah lama terkubur. Kenapa dirinya masih menghantui? Kadang kadang berasa marah dan bingung. Biarkan dia mati, aku tidak mahu dia menghantui jiwaku. Namun, ada ketikanya rasa rindu itu menebal pada dirinya. Dan aku menangis lagi atas ketidakmampuan diriku. Terasa diri ini terlalu kurangnya ilmu. Apatahlagi sekatan dakwah yang dilalui saat ini. Segalanya perlu bersembunyi. Hampir saja diri ini menjadi separuh gila kerana ada sahaja badai yang menghempas pantai dan seringkali aku dikecewakan ketika aku berada di jalan ini. Tidak pernah putus putus ujian yang ku lalui, disakiti dengan pelbagai cara, dikecewakan tanpa rasa belas kasihan. Hal ini menyebabkan aku terlalu merindui dia. Kerana bersama dia aku gembira...................
Prolog
"Ku rasakan pudar dalam diriku rasa cinta dalam dirimu....'
Alunan merdu lagu 'Pudar' nyanyian Rossa berkumandang di laptop merah jambu kesayangannya.
Dia masih lagi termanggu manggu berfikir sesuatu. Seperti biasa, dia dengan imejnya. Bagi dirinya, sebagai ikon di Fakultinya, dia sangat perlu menjaga imej. Sebenarnya, dari waktu pagi dia duduk di situ. Namun hatinya gusar. Dia masih belum mendapat sebarang rentak. Pertandingan Pasukan Sorak Peringkat Universiti akan berlangsung tidak lama lagi. Dan sudah tentu dia sangat ingin mempertahankan kejuaraan pasukannya. Siapa yang tidak mengenali dirinya.
'Ratu, aku tengok kau ni asyik termenung saja kat sini, baik kita pergi makan. Perut dah lapar ni". Aida, itulah sahabat baiknya.
'Nantilah, I belum dapat fikir step untuk pasukan sorak kita, I rasa macam otak dah bekulah". Dia merungut sedangkan dalam hatinya gusar.
Ratu, itulah nama gelarannya di kampus. Dia sangat suka kepada yang berunsur kewanitaan. Dia sangat mencintai dunia tarian dan pasukan sorak. Malah, seringkali dia digelar ikon fesyen di kolej. Dia berasa bahagia dengan hidupnya begitu. Kadang kadang dia juga tidak memperdulikan perasaan insan lain. Hidupnya adalah untuk dirinya. Dia pasti akan memperoleh apa yang dimahukannya. Dan untuk ketika ini dia mahukan kemenangan pasukannya.
Cuma beberapa tika ini, dia merasakan sesuatu yang lain. Hatinya bagai ditarik tarik ke arah sesuatu. Itupun setelah dia mula berkenalan rapat dengan seseorang di kolejnya. Dia mula menyenangi kehadiran insan itu dalam hidupnya. Sebelum ini, dia sangat susah untuk bersahabat dengan golongan seperti itu. Baginya, golongan seperti itu adalah golongan ketinggalan zaman. Dia tidak berapa berkenan dengan cara mereka berpakaian. Walaupun dalam nalurinya, mengetahui bahawa berpakaian itu adalah yang terbaik tetapi dia masih mengikuti urusan nafsu dunianya.
Nadiah, itulah nama insan yang menggetarkan hatinya. Kebaikan Nadiah terhadap dirinya cukup memikat hati. Dia yang sebelum ini jahil soal agama tetapi Nadiah banyak mengajarnya. Malah melalui Nadiah juga dia mula membaca Al Quran. Sahabat baiknya Aida juga memberi galakan penuh. Dia merasakan dia bertemu sesuatu yang indah dalam hidupnya. Cuma, dia belum bersedia meninggalkan dunianya. Dia tidak berani untuk melangkah melakukan perubahan. Kadang kadang dia berasa dia tidak layak untuk menyertai dunia itu. Dirinya penuh dosa silam. Malah dalam masa yang sama, dia amat menyayangi reputasinya sebagai ahli pasukan sorak. Dia juga tidak sanggup meninggalkan dunia pentas tariannya. Setelah bertahun tahun dia membina reputasi sedemikian dan sudah semestinya dia tidak mahu dihapuskan begitu sahaja.
_________________________________________________
Mushaf Al Quran dipegang di tangannya. Dia mencuba untuk membacanya. Sekurang kurangnya bacaannya kali ini sudah ada kemajuan. Dulu dia hanya dapat membacanya secara merangkak rangkak. Tetapi kini, dia sudah boleh membacanya tetapi masih terdapat kesalahan hukum tajwid. Dia berazam untuk memperbaiki bacaan Al Quran kerana dia mula terasa dekat dengan kalam ALLAH itu.
"Maka Dia mengilhamkan kepadanya(jalan) kejahatan dan ketaqwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya." As syams (8-10)
"Sebenarnya, untuk menjadi baik atau tidak, terpulang kepada individu itu. ALLAH sebenarnya memberikan jalan yang luas untuk kita menjadi baik. Kita sahaja yang tidak mengambil peluang itu." Terngiang ngiang suara Nadiah ketika memberi pengisian ketika sesi usrah.
Terlalu berat kaki untuk melangkah ketika pertama kali menyertai usrah. Dia menyedari dirinya yang selama ini tidak pernah menjejakkan kaki ke surau itu. Malah, surau itu menjadi terlalu asing baginya. Tetapi, setelah pertama kali melangkah, dia sudah jatuh cinta pada tempat itu. Malah dia tertarik dengan sambutan yang diberikan warga surau itu kepadanya biarpun dia hanyalah sekuntum mawar yang hampir pudar warnanya. Manakan bisa menyamakan dengan mereka ibarat mawar larangan yang indah kerana iman dan taqwa.
'Yusro, apa yang enti paling sukai?". Aisyah, si manis pelajar perubatan itu bertanya kepadanya yang juga merupakan sahabat akrab kepada Nadiah.
"Sebenarnya lama sudah saya tidak dipanggil dengan nama Asiah Yusro sebab selama ini, nama gelaran saya Ratu.Dan terus terang, saya tak pandai nak cakap cakap Arab ni" Dia berterus terang sambil dipenuhi rasa rendah diri.
"Tidak mengapa Yusro, insyaALLAH, Yusro itu nama yang indah. Dan panggilan yang indah itu ibarat doa untuk seorang mukmin. Apa yang Yusro paling sukai?"
"Saya sangat menyukai kecantikan, dan saya ingin menjadi antara mereka yang tercantik dan terindah". Tersipu sipu wajahnya
"Yusro tahu tak, sebenarnya yang paling cantik adalah seorang bidadari?"
"Ya, tapi kalau kita jadi Ratu pun kita akan cantikkan?" Dia menjawab penuh keliru
"Cuba buka tafsir surah Ar Rahman, dan lihat ayat 70, boleh Yusro bacakan?"
"Di dalam syurga itu ada bidadari bidadari yang baik baik dan jelita".
"Yang paling cantik adalah bidadari syurga." Aisyah menjelaskan sambil tersenyum manis.
"Kalau begitu, saya nak jadi bidadari syurga!." Spontan dia menjawab dengan keanak anakan kerana sifatnya memang begitu.
"Sebenarnya, ada lagi yang lebih cantik dari bidadari syurga."
"Kalau begitu, saya pun hendak menjadi yang lebih cantik itu". Dia begitu bersemangat
Maka Aisyah pun membacakan:
Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi Muhammad SAW:Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?Baginda menjawab: Wanita dunia itu lebih baik dari bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik dari yang batinAku berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah itu??Baginda menjawab: Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada ALLAH, ALLAH akan pakaikan muka muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih....(Riwayat Al-Tabrani)
Dalam hatinya terdetik, ya ALLAH, layakkah aku menjadi bidadari syurga???
Epilog
Aku menatap wajah bunga agama kesayanganku satu persatu. Usrah kami selalunya berlangsung dengan santai. Air minuman pisang hijau sering menjadi peneman. Lagipun, diriku selesa dengan persekitaran restoran itu. Tidak perlu segan silu diriku untuk membuka niqab, Apabila bersama adik adik usrah,kubiarkan mereka menatap wajahku, agar lebih mudah kepada penyampaian ilmu. Inilah kaedah dakwah.
"Kak, macam mana dengan pengakhiran Ratu? Adakah dia berubah juga akhirnya?" Nurul Zinnirah, si comel yang bermata sepet bertanyakan soalan.
Baru sahaja diriku menghabiskan pengisian mereka bersama mereka tentang sasaran dakwah. Cuma, setiap kali ada sedikit waktu, pasti aku akan menyelitkan sedikit kisah kepada mereka untuk memudahkan kefahaman mereka tentang dakwah.
"Alhamdulillah, dia sekarang sudah mulakan hidup baru, doakan dia agar dia istiqomah."
"Dia tak mengalami kesukaran untuk berubah? Sebab dia yang dulunya sebegitu tiba tiba berubah 360 darjah menjadi yang lain pula, pasti ada sisa sisa jahiliyyah yang masih sukar dibendung". Nur Tasnim Imtiaz, berbanding Nurul Zinnirah, dia mempunyai mata yang agak bulat, malah dia juga petah berkata kata.
"Sebenarnya semuanya pasti mudah jika kerana ALLAH, perjuangan itu memerlukan pengorbanan dan akak yakin dia sekarang belajar untuk berkorban."
"Adakah dia juga sudah ditarbiyah wahai kakakku?." Nurul Zinnirah bertanya lagi
Aku menyukai suasana usrah yang hidup. Ada sesi soal jawab antara naqibah dan anak usrahnya. Dengan cara sebegitu, aku mengetahui permasalahan anak usrahku. Malah, aku juga bisa menyelidiki kekuranganku. Sesungguhnya aku kurang ilmu. Aku cuma ada sedikit kudrat yang ALLAH pinjamkan agar aku terus bermujahadah di bumi milikNYA ini
"Alhamdulillah, dia tidak pernah puas merasa tarbiyah, dan dia masih lagi akan mencari tarbiyah dan terus ditarbiyah. Semoga dia istiqomah."
"Teringin pula jumpa dia ya..." Nurul Zinnirah bermonolog sendirian
Aku tersenyum sendiri. Wahai Ratu, dirimu pernah hadir dalam hidupku dan pernah menjadi sebahagian dari hidupku. Ada waktu tikanya aku merindui dirimu kerana tidak tahan dengan mehnah dan tribulasi yang melanda diriku. Namun, hidayah ALLAH SWT adalah pemberian yang paling indah dalam hidupku. Aku tidak kisah kehilangan segalanya, asalkan tidak ada gangguan hubunganku dengan ALLAH SWT. Biar pahit sekalipun, pasti akan ku telan. Sesungguhnya terlalu banyak yang masih aku tidak faham. Aku perlu diajarkan kerana aku masih terlalu baru dalam perubahan. Ya ALLAH, bukakanlah daku jalan untuk berpeluang menimba lebih banyak ilmu dan hilangkan segala kesusahan dan kekecewaan dalam diriku kerana perjuangan itu memerlukan pengorbanan.
Sayonara jahiliyyah, tidak akan ku bunuh kau dalam ingatanku. Kerana aku ingin menjadi Srikandi Umar, kesilapan silam menjadi pemangkin kepada kegemilangan masa depan. Aku juga ingin mencontohi keunggulan Abu Bakar, menjadi benar untuk setiap perkara malah ingin ku kunci ilmu ku ibarat Ali, agar bisa ku didik ummah untuk meninggalkan mu wahai karat jahiliyyah. Jadikanlah aku setabah Hasan Al Banna, menggoncang dunia dengan fikrahku namun yang paling istimewa, bariskanlah diriku dengan bidadari syurga, biarpun aku hanya seorang wanita biasa.
Aku bukan seorang pejuang, aku hanya yang biasa. Dengan secebis ilmu, ku ingin berkongsi akan indahnya keagunganMU ya ALLAH. Aku tidak mampu menjadi seperti Nusaibah, menyelematkan Rasulullah SAW di medan jihad. Aku hanya mampu menjadi pendengar setia dan penenang jiwa. Aku tidak punya kudrat untuk bergegas ke medan jihad cuma izinkan diriku menjadi peniup semangat juang para mujahid. Aku bukanlah sempurna seperti sang bidadari tetapi aku ingin diriku menyembuh luka perjuangan dengan tangan ku sendiri. Malah, aku sudah cukup lega agar bisa menjadi tiang sandaran sebuah perjuangan biarpun aku tidak punya apa apa. Itulah impianku....
0 ~pemberi cinta~:
Post a Comment