Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Tuesday, April 3, 2012

Aku tidak sesempurna bidadari



Ainul Mardhiah mengerling jam berwarna merah jambu di tangannya. Entah berapa kali dia mundar mandir di situ. Penantiannya seolah olah tidak berkesudahan. Namun, atas rasa rindu dan harapan yang tidak pernah putus, dia menanti di situ.

"Bukankah dia sudah berjanji untuk kembali ke rumah pada hari ini? Tetapi mengapa dia yang dinanti masih tidak muncul?"

Ainul Mardhiah mengerling ke luar tingkap. Kegelapan malam mula memenuhi ruang. Hatinya mula disimbahi rasa pilu. Adakah penantiannya pada tika itu juga masih sia sia?? Ya ALLAH, hanya padaMU hambaMu ini berserah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Aku terima nikahnya, Ainul Mardhiah binti Osman, dengan mas kahwinnya RM45 tunai"

Alhamdulillah, lafaz sakinah antara Ainul Mardiah dan Farhan terjalin atas dasar membina baitul muslim dakwah. Sesungguhnya mereka berdua berjanji bahawa penyatuan cinta mereka hanyalah kerana ALLAH dan segalanya juga kembali kepada ALLAH.

"Ainul Mardhiah, adakah enti sudi menjadi Ainul Mardhiah abang juga di syurga nanti?"

"Setelah lafaz sakinah yang ALLAH izinkan untuk kita berdua, maka dengan rela hati diri ana yang kerdil ini sedia menjadi bidadari mu untuk dunia dan akhirat"

"Adakah Ainul Mardhiah sudi menantiku di syurga?"

"Sudah tentu sekali wahai suamiku yang ku cintai, bukankah asal kisahnya bidadari yang bernama Ainul Mardhiah itu menanti mahar syahidnya suaminya untuk bersatu di syurga nanti"

"Jika begitu, Ainul Mardhiah harus bersabar ke atasku"

"Bersabar?"

"Ainul Mardhiah harus bersabar menantiku, kita akan disatukan di syurga, itulah tempat penyatuan kita"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ainul Mardhiah menghantar pesanan ringkas kepada suaminya Farhan. Rasanya sudah beberapa hari dia dan Farhan tidak bertemu. Farhan terlalu sibuk dengan urusan dakwah dan tarbiyahnya. Perasaan rindu menyelubungi hati dan sanubari Ainul Mardhiah.

1 pesanan baru

Asif, bidadari ku yang bernama Ainul Mardhiah, rasanya kanda tidak akan pulang ke rumah untuk beberapa hari lagi, kanda masih ada urusan yang perlu diselesaikan. Umat ini terlalu merindukan pembaikan. Semoga berjumpa di syurgaNYA.

Menitis air mata Ainul Mardhiah membaca pesanan tersebut. Mengapa dia tidak pernah ada masa untukku? Adakah aku tidak begitu penting dalam hidupnya? Di tahap manakah kedudukan ku dalam dirinya?

Sepanjang usia perkahwinan mereka yang mencecah satu tahun itu, hanya beberapa kali sahaja Farhan menjengah ke rumah. Fokus Farhan hanya pada perjuangan. Namun Ainul Mardhiah seringkali juga dilanda perasaan resah, gelisah, cemburu dan buruk sangka. Sehebat manapun dia ditarbiyah, dia juga manusia biasa bernama seorang perempuan. Dia tidak sesempurna bidadari. Biarpun beberapa kali dia cuba untuk bersabar, tetapi masih terdapat rasa terkilan dalam dirinya.

Aku tahu diriku bukan pilihan pertama dalam hidupnya tetapi kenapa begitu sukar ku tepis rasa terkilan ini. Aku bukanlah sesempurna bidadari yang bernama Ainul Mardhiah yang tabah menunggu syahidnya seorang pemuda sebagai maharnya di pintu syurga. Semoga ALLAH memberi kekuatan buat diri yang lemah ini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Selama dua tahun melayari bahtera rumah tangga, Ainul Mardhiah dan Farhan dikurniakan sseorang mujahid kecil yang juga dinamakan Mujahid. Harapan Ainul Mardhiah dan Farhan, agar Mujahid mewarisi perjuangan ibu dan ayah.


Sehinggalah suatu ketika, Mujahid yang berusia 6 bulan jatuh sakit;

Ainul Mardhiah menghubungi Farhan yang sedang sibuk melaksanakan tugas pembaikan ummah

"Assalamualaikum abang, boleh abang balik segera, Mujahid jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital"

"Jika begitu, Ainul Mardhiah temankan dia dahulu, insyaALLAH esok abang akan pulang"

"Tetapi keadaan Mujahid sangat kritikal, Ainul tidak bisa mendepani peristiwa ini seorang diri"

"Ainul, bidadariku, bersabarlah, abang masih ada tugas yang lebih penting di sini"

"Abang selama ini memang tidak pernah pentingkan Ainul dan Mujahid, Ainul tidak tahu di mana kedudukan Ainul dalam hidup abang"

"Ainul bersabarlah, ini ujian buat kita"

"Ainul sudah tidak betah untuk menanti abang dalam waktu begini"

"Bukankah Ainul Mardhiah sudah berjanji sentiasa menjadi Ainul Mardhiah buat abang, dan menanti abang di pintu syurga?, masih ingatkah janji kita itu wahai bidadariku?"

"Ainul tidak sesempurna bidadari abang, Ainul juga punya perasaan sebagai seorang wanita. Ainul punya rasa untuk dikasihi, Ainul punya rasa untuk cemburu"

"Cinta abang kepada Ainul tidak pernah berubah, semuanya kerana ALLAH dan perjuangan, jika Ainul juga mencintai abang kerana ALLAH dan perjuangan, maka tunggulah abang sebagai Ainul Mardhiah di pintu syurga"

Telefon dimatikan. Ainul Mardhiah menangis semahunya. Dia merasakan dirinya tidak layak mendampingi insan bernama Farhan. Dia terlalu lemah. Dia tidak sehebat Siti Khadijah yang berkorban jiwa dan harta untuk menyokong perjuangan Rasulullah SAW, dia juga tidak punya iman sekental Asiah yang rela berkorban untuk agama dan yang paling utama dia tidak layaknya digelar Ainul Mardhiah kerana tidak sabar dalam penantian. Dia tidak sesempurna bidadari.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dia menanti lagi. Farhan berjanji untuk pulang hari ini. Dia ingin melayan Farhan dengan sebaiknya. Dia mungkin tidak sesempurna Ainul Mardhiah bidadari di syurga, tetapi dia mengakui kesilapannya dan ingin membetulkan segala kesalahannya terhadap Farhan.

Namun dia diburu kehairanan, sehingga waktu begini Farhan belum juga pulang. Adakah Farhan sudah melupakan segala janjinya? Dia tidak akan penat menunggu, dia akan sentiasa menanti Farhan.

Cumanya, dia berasa tempat itu seolah asing baginya, mata mata ganjil memandangnya. Mungkin itu igauan buatnya. Yang penting, dia setia menanti Farhan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Liza, seorang pelajar jurusan psikologi baru sahaja ditugaskan untuk membuat kajian di tempat itu. Bagi dirinya, tempat itu kelihatan biasa sahaja cuma penghuninya sedikit istimewa. Namun, dalam semua penghuni di situ, terdapat seorang yang amat menarik perhatiannya. Penghuni berwajah jelita, malah menutup aurat dan menjaga solat lima waktu. Namun, dia tidak memperdulikan persekitarannya dan hanya hidup dalam dunianya sendiri.

Liza terdetik untuk bertanya kepada jururawat di situ

"Kak, boleh saya tahu lebih lanjut berkenaaan penghuni wanita yang sering bersendirian di situ" sambil jarinya menuding ke arah buaian yang berhampiran pagar.

"Apa yang adik ingin tahu tentang dia?"

"Saya rasa dia sangat istimewa, dia seolah olah waras kerana masih mengamalkan ajaran ISLAM tetapi dia hidup dalam dunianya sendiri"

"Dia memang istimewa adik. Dialah bernama Ainul Mardhiah, sudah hampir empat tahun dia menghuni Hospital Sakit Jiwa ini tetapi selama kakak menjaga dia, dia tak banyak karenah malah sangat memenuhi tuntutan agama malahan melebihi akak sendiri"

"Saya kurang faham kak, bukankah semua penghuni di sini mengalami masalah mental, mengapa dia masih boleh mengamalkan ajaran agama?"

"Percayalah pada kuasa ALLAH dik, ALLAH penentu segalanya. Jangan diingat mereka yang gila itu hina sedangkan mereka adalah ahli syurga dan sangat istimewa di sisi ALLAH. Kisah Ainul Mardhiah sangat istimewa. Dia seorang wanita solehah yang sangat menjaga peribadinya, ditakdirkan pula dia bernikah dengan seorang pemuda soleh yang juga seorang yang sangat mencintai agama. Malah mereka dikurniakan seorang mujahid kecil. Namun, takdir ALLAH mengatasi segalanya, Ainul Mardhiah diuji begitu hebat tatkala dia menghadapi dua kehilangan sekali gus. Mujahid kecilnya meninggal dunia kerana menghidap penyakit kronik dan suaminya pula terlibat dalam kemalangan ketika hendak menyertai program dakwah di sebuah kampung yang terpencil. Sejak itu, Ainul Mardhiah seolah olah tidak mengenali orang lain. Apabila ditanya, dia hanya mengatakan bahawa dirinya tidak sesempurna bidadari. Malah saban waktu, dia seolah olah menanti seseorang di buaian itu. Tetapi yang paling mengkagumkan, dalam keadaan dia begitu, hilang kewarasan, tetapi dia masih mampu menjaga aurat dan solatnya. Begitulah ALLAH menjaga bidadariNYA. Malah, sudah banyak kali insan insan lain yang melihat keadaan Ainul Mardhiah, berubah kerana tersentuh dengan kebesaran ALLAH.

"SubhanALLAH, tersentuh saya kak, dia masih boleh menyampaikan dakwah biarpun dalam keadaan yang tidak waras"

"Kakak yakin, Ainul Mardhiah berada dalam penantian. Menanti untuk bertemu Mujahid kecil dan suaminya yang tercinta di syurga nanti. Bukankah tugas seorang yang bernama Ainul Mardhiah itu sememangnya menanti?"

"SubhanALLAH, menitis air mata saya kak, semoga penantian Ainul Mardhiah akan terubat dengan kasih sayang ALLAH"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sepertiga malam yang hening, di kala sujudnya seorang hamba kepada Maha Kuasa, terdengar rintihannya..

Ya ALLAH, diri ini tidak sesempurna bidadari...

Maka ampunkanlah segala kekhilafan diri ini

Ya ALLAH, diri ini tidak sesempurna bidadari..

Maka kasihanilah hamba ini dengan sepenuh kasih sayangMu, hanya padaMU pengharapan hamba

Ya ALLAH, diri ini tidak sesempurna bidadari....

Tiada daya hamba untuk menolak segala ketentuan MU...

Ya ALLAH, diri ini tidak sesempurna bidadari...

Maka lindungilah hamba ini dari segala rasa putus asa terhadap rahmatMu

Ya ALLAH, diri ini tidak sesempurna bidadari....

pertemukanlah diriku dengan Mu dan dengan izin mu jua, pertemukanlah diri ini bersama suami dan anakku, setelah penantian yang terlalu berharga ini

Ya ALLAH, diri ini tidak sesempurna bidadari....

Maka, kembalikan diri ini kepadaMU, hanya ENGKAU yang Maha Sempurna...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pada pagi bulan Ramadhan, kebiasaanya para jururawat Hospital Mesra itu akan membangunkan para pesakit yang beragama ISLAM untuk bersahur bersama. Jururawat yang bertugas menghampiri katil Ainul Mardhiah. Dilihatnya Ainul Mardhiah sedang bersujud, segan rasanya untuk mengganggu ketika itu. Dia memberikan masa kepada Ainul Mardhiah.

Azan subuh berkumandang, Ainul Mardhiah masih jua tidak kelihatan. Jururawat yang bertugas sangat terkejut. Selalunya Ainul Mardhiah sangat menepati waktu solat. Maka, dia segera bergegas ke kamal Ainul Mardhiah.

Dilihatnya Ainul Mardhiah masih bersujud, mustahil Ainul Mardhiah bersujud terlalu lama. Ketika dia menggerakkan Ainul Mardhiah, tiada sebarang respon dan akhirnya tubuh yang bersujud itu rebah. Jururawat itu terkejut dan dia segera memeriksa nadi Ainul Mardhiah serta memanggil rakan setugasnya yang lain.

"Innalillahiwainnalillahirajiun, penantian Ainul Mardhiah sudah berakhir", jururawat tersebut berkata dengan sedu sedan.


Penantian Ainul Mardhiah sudah berakhir......

2 ~pemberi cinta~:

Anonymous said...

alhamdulillah..sangat tersentuh

Nadrah Yusra said...

alhamdulillah, Ainul Mardhiah ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...