Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Friday, January 27, 2012

Membina Seorang Khadijah

Bismillahirahmanirahim

Jika ada wanita yang langsung menerima salam dari ALLAH, maka Khadijahlah orangnya. Peristiwa itu terjadi ketika Jibril mendatangi Rasulullah SAW. ALLAH SWT menjaga diri Khadijah dari segala cela, sehingga penduduk Mekah menggelarnya sebagai 'wanita suci'.

Bisakah kita membina Seorang Khadijah?

Sedikit perkongsian daripada ukhti Rumaysa:

Khadijah radiallahu anha itu seorang yang lagenda. Kewanitaannya begitu sempurna. Dia solehah, jelitawan, bijaksana lagi bangsawan. Allah sahajalah yang mengetahui hikmah menjadikan manusia pertama yang beriman kepada Allah selepas Rasulullah saw sendiri, ialah seorang wanita.

Di bahu Khadijah tersandang amanah yang sangat berat, iaitu menjadizaujah (pasangan hidup) kepada seorang Nabi, yang terpaksa menghadapi segala macam penentangan, bahaya, dipulaukan, ancaman nyawa, demi menyampaikan firman Tuhannya. Pasti bukan senang menjadi Khadijah. Namun imannya kepada Allah, cintanya kepada suami, tiada pernah berbelah bahagi, ketika dalam bahagia atau derita, dalam tangis dan dalam tawa.

Akhirnya, dialah penghulu bidadari di syurga! Bahkan semasa hayatnya lagi, Allah sudah berkirim salam kepadanya melalui Nabi saw. Kehebatan cinta baginda kepada Khadijah tidak pernah pudar walau sekelip mata. Nama Khadijah asyik meniti di bibir baginda hingga cemburu isteri lainnya, walau setelah lama khadijah meninggal dunia. Rasulullah saw bersabda:

“Demi Allah, Allah tidak pernah menggantikan untukku isteri yang lebih baik dari Khadijah! Dia beriman padaku ketika manusia lain kufur kepadaku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain mendustakan aku. Dia memberiku harta ketika manusia lain memboikot dan mencegah harta dari sampai kepada (perjuangan) aku. Darinya aku dikurniai zuriat”.

Sesuailah dia berpasangan dengan seorang Nabi. Sungguh Allah telah memilihkan yang terbaik untuk kedua-duanya.

Hati dipenuhi rasa kasih padanya, hormat dan kagum. Macam manalah boleh wujud perempuan sehebat Khadijah?? Seteguh itu imannya, setabah itu pengorbanannya, sedalam itu cintanya. Jikalau jiwa sehebat itu ialah hasilnya, maka pastilah persediaannya juga mantap. Sudah tentulah untuk membina semula seorang wanita seperti khadijah, tidak mudah.

Untuk menyediakan seorang khadijah pastilah memerlukan masa yang bukan cuma sehari dua.

seorang khadijah..
Tentulah segalanya bermula dengan iman yang sangat kukuh kepada Allah Subhanahu wa Taala. Tidak berganjak, tidak semudah itu tergoncang dengan ujian-ujian kecil dunia. Justeru, seorang khadijah mestilah seorang perempuan yang ditarbiyyah, yang dididik dengan Al-Quran, yang ikhlas, yang taat kepada Tuhannya.

seorang khadijah..
Yang sentiasa tenang dan menenangkan. Mungkin hatinya juga pernah bimbang berdepan cabaran, ancaman dan bahaya. Namun sentuhannya, kasih-sayangnya, senantiasa mendamaikan. Kerana keyakinannya kepada janji-janji Allah mengatasi segalanya, hinggakan dia dapat meminjamkan dan menjadi sumber kekuatan serta peniup ruh jihad.

seorang khadijah..
Mestilah bijaksana. Dia harus mengerti tentang perjuangan, tentang tabiat jalan dakwah, tentang agama Allah. Percaya atau tidak, dia menjadi sebahagian dari rencana besar Allah dalam perkembangan Islam. Seorang khadijah ialah seorang wanita yang berjiwa daie. Kerana itu, seorang mujahidah, seorang khadijah, tidak boleh banyak mengeluh,perlu sabar, tidak boleh gentar.

Di atas segala-galanya itu, seorang khadijah..
Juga adalah seorang ibu. Dia mahir dalam memikul amanah Allah untuk melahirkan dan mendidik generasi pewaris dakwah, hingga menjadi sehebat seorang fatimah.

Lalu bagaimana?
Bagaimana untuk mempersiapkan seorang khadijah di abad ke-21 yang berkecamuk ini?

Barangkali ia boleh dimulakan dengan pembersihan diri.
Dari apa-apa nawaitu-nawaitu yang tidak seiring dengan kesucian Islam, dari perbuatan dan dosa-dosa yang menggelapkan hati, dari kepentingan-kepentingan diri yang semata duniawi, dari perkara-perkara syubhah yang mencemarkan diri. Kerana Khadijah semasa hayatnya digelar ‘thahirah’ (perempuan yang suci). Maka, mulailah dengan bertaubat nasuha. InshaAllah kebersihan diri adalah bekal yang paling utama.

Satu lagi antara ciri paling luar biasa yang perlu ada untuk menjadi seorang khadijah, ialah kepercayaan yang penuh kepada janji-janji Allah. Di situlah letaknya ketenangan dan kebahagiaan. Yakin pada kesempurnaan rencanaNya.

“Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah lah pelindung orang-orang beriman dan kerana sesungguhnya orang-orang kafir itu tiada mempunyai perlindungan.” (Surah Muhammad : ayat 11)

“Sesungguhnya Kami akan menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman di dunia dan hari akhir.” (Surah Ghafir:ayat 51)

“Katakanlah, sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah oranag-orang beriman harus bertawakal.” (Surah at-Taubah : ayat 51)

Dengan jiwa yang luhur ini, inshaAllah akan datang..
kecintaan kepada Allah
keikhlasan dalam amal
ketaatan yang tidak berbelah bagi
kekuatan untuk istiqamah
kesediaan untuk berkorban.

Sudah tentu kesiapan berkorban itu, termasuklah kerelaan untuk meninggalkan hal-hal yang disukai, itsar(megutamakan orang lain lebih dari diri sendiri), kesudian untuk memahami, husnudzhon (berbaik sangka), berlapang dada, memberi dan terus memberi, akan taat dan berbakti sampai habis nyawa, walaupun ia bererti terpaksa mengetepikan kepentingan diri.

Seperti itulah bonda kita Saidatina Khadijah r.a.,kan?

Kerana seorang khadijah…
Tidak mengharapkan pun manusia untuk membalasnya. Dia sedang mengejar sesuatu yang tiada mata pernah melihat, tiada hidung pernah mencium dan tiada telinga pernah mendengar…
Itulah Jannah. Itulah syurga – tempat berehat, tempat kenikmatan yang tiada pernah habis, tempat pertemuan dengan Allah Yang Maha Agung.

Ya ukhti…
Berazam, berusaha dan bermujahadahlah untuk menjadi seorang wanita muslimah…
persis seorang khadijah.
InshaAllah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...