Bismillahirahmanirahim
Menjadi impian buat semua aktivitis dakwah untuk memiliki baitul muslim dakwah. Muslimin mengharapkan pasangan muslimat yang memahami perjuangan manakala yang muslimat pula memohon mendapat pasangan hidup yang dapat membimbing dirinya.
Sedikit persoalan timbul berlegar di minda, benarkah baitul muslim dakwah sebenarnya wujud di realiti kehidupan seorang daie atau sekadar impian yang hanya menari menari dalam fikiran seorang daie?.
Berapa ramai aktivitis dakwah muslimat yang sebelumnya laju untuk bergerak kerja, menjadi semakin 'slow' setelah berumah tangga. Alasan yang diberikan, suami tidak mengizinkan untuk bergerak kerja, tanggungjawab terhadap anak anak dan rumahtangga.
Buat sang suami pula, berapa ramai yang sanggup melepaskan sang isteri bermesyuarat lewat malam untuk kebaikan ummah?
Berapa banyak pula anak anak golongan daie yang gagal diprodukkan menjadi seperti ibubapa mereka. Sesungguhnya, ujian paling berat buat seorang daie adalah ketika ahli keluarganya berpaling dari kehendak kedua ibubapanya.
Melalui pemerhatian pemerhatian ini, terdapat juga golongan daie yang bujang, mengambil keputusan untuk tidak berkahwin kerana takut perjuangan terganggu dengan kehadiran seorang suami atau seorang isteri.
Saya hanya mampu tersenyum. Untuk diri saya, pernikahan itu sunnah Rasulullah S.A.W. Sebagaimana saya mengkagumi baitul dakwah Rasulullah S.A.W, selagi itu saya meyakini baitul muslim dakwah bukan hanya omong kosong seorang daie.
Bukankah baitul muslim dakwah Rasulullah S.A.W itu sesuatu yang sepatutnya dicontohi. Rasulullah S.A.W murabbi agung, berjaya mengemudi rumahtangganya di samping tanggungjawab menyampaikan risalah ISLAM . Bagaimanakah pengorbanan Saidatina Khadijah terhadap perjuangan Rasulullah S.A.W?
Masa, harta dan jiwa dikorbankan demi kepentingan ummah. Sanggupkah kita untuk mengorbankan wang ringgit kita sendiri demi perjuangan suami? Rasa rasanya para isteri sekarang lebih suka mempunyai simpanan sendiri terutama di ASB, sebagai persediaan di masa hadapan tanpa ketahuan suami.
Namun, sedikit menyedihkan apabila para daie tidak memberi fokus yang sebenar terhadap pembinaan baitul muslim. Janji yang ditabur hanya di bibir dan tidak dimanifestasikan dengan perbuatan. Bukankah dakwah itu adalah praktikal bukan setakat teori. Sesungguhnya daie, kau belum layak digelar seorang daie sekiranya kau belum merasai medan dakwah di alam rumah tangga.
Saya bertanya kepada naqibah saya, sejauh mana kepentingan baitul muslim buat seorang daie? Naqibah saya meminta saya menyelami kehidupan ulama mujtahid Imam Hasan Al Banna. Mampukan Imam Hasan Al Banna menyelami bahtera dakwah beliau yang sangat mencabar tanpa seseorang yang kuat untuk menguatkan beliau? Saya terpanggil untuk membaca buku Persembahan Cinta Isteri Hasan Al Banna, perjalanan kisah Lathifah As Shuli pendamping hidup Hasan Al Banna. Pernah saya utarakan kepada Ustazah Fatimah Syarha yang terkenal dengan tulisannya Cinta High Class berkaitan cinta selepas berkahwin. Saya katakan kepada Ustazah Fatimah, bagaimana pula seorang isteri yang berkorban, menjadi seorang ayah dan pemimpin keluarga di saat suami sibuk dengan tugasan dakwah, mampukah kita sebagai muslimah berkorban perasaan tatkala kita ditinggalkan bepergian? Tidak dipedulikan dan disakiti kerana dakwah. Saya berharap Ustazah Fatimah Syarha mengeluarkan artikel berkaitan baitul muslim dakwah.
Ingin juga saya kongsikan di sini, kisah sahabat saya. Seorang muslimah yang ditarbiyah setelah melalui alam kampus, dia kembali kepada keluarganya. Sesungguhnya ALLAH telah mengujinya, keluarganya tidak mengizinkan dia untuk aktif dalam dakwah kerana kurangnya kefahaman keluarga. Sedikit menyedihkan apabila kakak kakak akhwat sering menimbulkan isu supaya dia berkahwin cepat dengan alasan dia dapat 'lari' daripada keluarganya dan bergerak kerja semula. Cuma dia sedikit terkilan apabila melihat kakak kakak yang memberikan cadangan sedemikian juga 'down' dalam bergerak kerja. Dia bertanya dalam dirinya, benarkan baitul muslim dakwah itu wujud di alam realiti atau sekadar impian? Benarkah pernikahan bisa menyelamatkan seorang wanita muslimah untuk kembali ke medan dakwah?
Selain itu, ingin saya kongsikan di sini kisah pernikahan agung seorang sahabat saya, dia juga seorang muslimah yang ditarbiyah. ALLAH swt telah mentakdirkan jodohnya dengan lelaki yang tidak sefikrah tetapi memahami ISLAM. Alhamdulillah, dia telah berjaya menguatkan suaminya dengan fikrahnya. Kini, suaminya begitu aktif menyumbangkan tenaga dalam gerakan dakwah.
Melalui pemerhatian pemerhatian saya yang kerdil ini, pembinaan baitul muslim itu bergantung kepada individu itu sendiri. Sama ada kau berusaha membina atau merobohkannya. Sama ada kau berusaha menjadikan realiti atau hanya impian yang kau catitkan dalam mimpi mu sehari hari. Sama ada kau telah memulakan satu langkah atau kau hanya mengambil tindakan atas pagar. Segala galanya bergantung kepadamu wahai daie. Menghidupkan ummah dengan kefahaman ISLAM juga adalah pilihanmu.
Jujurnya, ada tikanya keyakinan saya juga goyah. Benarkah baitul muslim dakwah itu bisa dihidupkan di alam nyata atau sekadar impian saya (saya juga mengaku diri saya seorang daie kononnya). Saya tidak tahu kerana ALLAH Maha Mengetahui. Tulisan saya ini merupakan hasil buah fikiran saya, kerana saya kerap tertanya di manakah kedudukan baitul muslim dalam kehidupan seorang daie. Adakah baitul muslim hanya sekadar janji yang perlu ditepati atau sesuatu yang perlu kita usahakan dengan bersungguh kerana dakwah itu kecintaan. Membina baitul muslim dakwah itu juga kecintaan, namun pernahkah dan sanggupkah kita berkorban?
Salam perjuangan
~ Nadrah Yusra ~
0 ~pemberi cinta~:
Post a Comment