Bismillahrahmanirahim..... Alhamdulillah, betapa masa berlalu tanpa disedari. Pejam celik pejam celik, tahun ini sudah sampai pada bulan Mei. Bulan Mei adalah antara bulan yang dinanti nantikan oleh saya. Banyak peristiwa istimewa yang bakal dan telah berlaku pada bulan Mei yang terpahat kukuh dalam ingatan saya. Antaranya adalah ulang tahun kelahiran ibu saya dan saya juga mengetahui bahawa bulan Mei adalah bulan yang amat dinanti nantikan oleh insan insan yang bergelar seorang jururawat. Biarpun saya sendiri tidak sabar menanti bulan Jun agar saya lebih insaf dan bermuhasabah diri namun saya ingin 'menikmati' bulan Mei dengan penuh rasa takzim sebagai generasi muda sebelum ditambah satu nombor pada pangkal hujung nombor penghidupan saya.
Istimewanya bulan Mei ketika hidup di kampus bagi diri saya adalah ketika saya dan rakan rakan sekampus akan bertungkus lumus untuk menjayakan perayaaan HARI JURURAWAT SEDUNIA. Biarpun masih bergelar seorang pelajar, namun ketika itu kami diajar untuk menghargai profesyen yang mulia ini. Hari jururawat sedunia adalah hari yang dikhususkan bukan semata mata untuk menghargai seorang jururawat sahaja tetapi juga sebagai medan muhasabah diri buat para jururawat sekalian iaitu sejauh mana pekerjaan ini kita sandarkan sebagai tapak semaian di mana hasilnya ingin kita tuai di akhirat kelak. Ketika di kampus, kami bertungkus lumus dan bersemangat penuh untuk meningkatkan profesyen ini bukan sahaja dari segi penilaian manusia tetapi juga penilaian ALLAH SWT.
The choosen one
Mengimbau pertama kali melangkah masuk ke universiti, soalan pertama yang ditanyakan adalah kenapa memilih ingin menjadi jururawat? Dan ketika itu, diri masih seorang yang jahil. Hidup hanya berpaksikan dunia semata mata, dengan selambanya menjawab kerana seorang jururawat itu cantik. Apabila terkenang kembali memori tersebut,boleh ketawa sampai pecah perut. Tidak disangka bahawa itu adalah Asiah Yusro yang dulu . Kadang kadang macam tak percaya apabila diri bertukar dan berpusing 360 darjah. Tika melihat gambar gambar lama juga gosok mata tiga hingga empat kali. Saya berterima kasih dengan bidang kejururawatan yang membuka mata saya untuk membuat u turn dalam hidup. Baru baru ini saya mula memahami setiap hikmah dan ujian yang ALLAH berikan kepada saya. Setiap titik kesusahan demi penghijrahan kerana ALLAH itu merupakan tarbiyah secara terus yang ALLAH berikan. Alhamdulillah, bukan calang calang orang yang bisa mendapat hadiah hidayah dan taufiq dari ALLAH swt kan? Jika begitu, maka tepatlah jawapan yang diajarkan oleh kakak kakak senior ketika di kampus bahawa menjadi seorang jururawat itu adalah mereka yang terpilih. The choosen one! Terlalu banyak yang saya pelajari tentang hidup dalam waktu yang sama saya menghabiskan kursus ijazah jururawat selama empat tahun di universiti tarbiyah saya. Malah, ketika belajar itulah juga, hati saya didekatkan kepada ALLAH SWT... syukur...
Kaca Mata Akhirat
Seringkali saya ditanya, bagaimana saya boleh 'mengadakan' diri dalam sesuatu program memandangkan jadual waktu pekerjaan saya yang begitu istimewa. Pertanyaan sebegini menyenangkan saya dan membuat saya juga bermuhasabah diri. Tidak dinafikan waktu pekerjaan saya sedikit istimewa. Tidak sama dengan pejuang pejuang yang lain. Pada waktu tikanya, terpaksa bersengkang mata kerja malam agar di siang hari dapat menghadirkan diri ke usrah ataupun program yang dianjurkan. Saya tidak menafikan kadang kadang saya berasa terlalu letih kerana terpaksa bertugas dengan berjadual, terpaksa merayu untuk bertukar shif atau terpaksa bekerja malam secara berterusan. Apatahlagi ibubapa saya juga kurang mengizinkan saya untuk terus aktif jika mengganggu karier saya. Namun, saya cuba melihat dunia dengan kaca mata akhirat. Buat pertama kalinya, saya melihat kembali kenapa saya berintima dengan perjuangan dan usrah saya? Adakah semata mata kerana saya terpengaruh dengan naqibah saya yang membantu saya berubah ataupun pengaruh sahabat sahabat seusrah saya? Saya membuat kesimpulan sendiri iaitu sekiranya perbuatan dunia ini disandarkan kerana manusia semata mata, maka tiadalah hasil selain kepenatan yang berpanjangan. Namun, jika kita meyakini bahawa perjuangan hidup di dunia adalah semata mata mencari bekalan untuk dibawa ketika bertemu dengan NYA, inshaALLAH, langkah untuk perjuangan pasti dipermudahkan. Walau sesusah atau sesingkat mana pun waktu, kita harus berusaha memanfaatkan diri demi perjuangan. Jika kita tidak boleh dari segi kehadiran diri, cukupkah sekadar kita ikhlaskan diri untuk memberi infaq pada perjuangan. Petua paling istimewa, biarpun kalian tidak dapat menghadiri atau menyumbang sesuatu kerana sekatan masa, keluarga dan sebagainya, pastikan hati kalian sentiasa bersama perjuangan.
Pejuang pilihan
Seorang sahabat memberitahu bahawa dirinya hampir futur kerana ujian karier dan keluarga yang melanda. Saya tidak menafikan bahawa diri saya juga sedemikian. Ketika berada di alam kampus, fokus kita mungkin hanya pelajaran dan perjuangan. Namun, apabila berada di luar kampus, skop pemikiran seorang pejuang itu harus diperluaskan. Tanggungjawab sebagai anak perlu digalas, tanggungjawab mencari rezeki harus dipikul dalam masa yang sama tanggungjawab pada perjuangan tidak sama sekali ditinggalkan. Saya begitu berpegang bahawa pejuang pejuang agama ALLAH SWT itu adalah pilihanNYA. Jika kita berasa diri seperti hendak mengalah, maka sila semak balik hubungan kita dengan ALLAH SWT. Mungkin disebabkan kelalaian kita sendiri dalam menjaga redha ALLAH, kita terkeluar dari senarai pejuang pejuang pilihanNYA. Jangan kita takut untuk menempuh badai dalam perjuangan kerana seorang pejuang itu akan sentiasa bersahabat dengan halangan. Bukanlah namanya perjuangan jika tiada mehnah dan tribulasinya bukan? Setiap halangan itu pasti ada penyelesaiannya. Bukankah Rasulullah SAW pun dihimpit dengan pelbagai mehnah dan tribulasi? Seringkali kita menyatakan bahawa kita ini tidak seperti Rasulullah SAW dan para sahabat, iman kita tidak dapat menandingi mereka. Cuma kita jangan lupa bahawa kita adalah UMAT MUHAMMAD, golongan yang dirindui Rasulullah SAW biarpun tidak pernah bertemu. Tidakkah kita berasa perlu menyahut panggilan rindu itu dengan membina kekentalan iman demi menempuh jalan perjuangan yang penuh onak dan duri. Selain itu, saya juga ingin berkongsi petua untuk kalian yang berhadapan dengan sahabat sahabat yang dikatakan futur dan sebagainya, cubalah meletakkan kaki kalian ke dalam kasut kasut mereka (pepatah Inggeris yang dimelayukan). Mungkin mereka punya kekangan dan sekatan yang tidak dapat mereka lepasi sehingga mereka perlu direhatkan sekejap dalam gerak kerja. Dan ingatlah bahawa hidup ini umpama roda. Sekejap di atas dan sekejap dibawah. Mungkin akan sampai satu masanya pula diri kalian diuji sedemikian, maka sudah tentu kita juga mohon pengertian dari insan lain. Dan mungkin pada tika itu, sahabat kalian yang dikatakan futur itu pula yang bekerja untuk gerak kerja ISLAM. Jangan mudah sekali menghukum seorang pejuang itu menjadi futur kerana ALLAH SWT sahaja Maha Mengetahui.
Tarbiyah di mana saja
Buat sang daie yang hebat di alam kampus, kalian harus bersedia. Pendekatan yang berbeza perlu diambil dalam menghadapi cabaran dakwah pasca graduasi. Keadaan dalam dan luar kampus tidak boleh disamakan. Biarpun kita sudah menyiapkan pelbagai perancangan untuk persediaan perjuangan luar kampus namun perancangan itu terkadang tidak bisa dilaksanakan. Persediaan yang paling utama adalah bekalan iman yang kukuh dan kental dalam diri seorang pejuang. Jangan terlalu memanjakan diri dengan kesenangan atau kemudahan pergi untuk mendapatkan pentarbiyahan atau menghadirkan diri ke program program kerana kita tidak tahu bilakah waktunya ALLAH memilih untuk menguji kita. Seperti yang saya katakan tadi, pejuang pejuang pilihan agama ALLAH adalah pilihanNYA. Mungkin ALLAH ingin mengadakan satu proses tapisan untuk memilih seorang daie yang benar benar sanggup memikul tanggungjawab dakwah. Saya tidak suka menggunakan perkataan bebab dakwah kerana tidak mahu menghilangkan kemanisan dakwah. Dakwah itu bukanlah suatu beban tetapi suatu kecintaan dan kegilaan. Bergantung pada seorang daie itu, jika dia mengganggap dakwah adalah satu beban yang harus dipikulnya, maka sudah pasti dia berasa keberatannya, namun jika jalan dakwah itu adalah jalan yang dicintainya, maka inshaALLAH, biar apapun mehnah dan tribulasinya, perjalanan dakwah itu pasti begitu indah terasa. Dan ingatlah bahawa, jika ditakdirkan satu hari nanti, ALLAH menguji kita dengan sedikit sekatan dalam perjuangan, maka bersyukurlah kerana ALLAH ingin mengajar kita erti kemanisan tarbiyah. Mungkin sebelum ini, kesenangan yang ALLAH berikan kepada kita tanpa sekatan menyebabkan kita begitu asyik berprogram sehingga lupa untuk memprogram diri sendiri demi keredhaanNYA. Hidup seorang daie adalah untuk memurnikan kehidupan insan lain namun itu tidak akan bermakna apa apa jika daie itu sendiri yang tidak memurnikan hidupnya kerana ALLAH SWT. Percayalah, tarbiyah ada di mana saja, pandanglah sesuatu dengan kaca mata dakwah dan tarbiyah, inshaALLAH, kita pasti istiqomah dijalanNYA.
Selamat Hari jururawat
Terasa entri kali ini seperti biasa melalut tak tentu arah. Ini adalah sedikit perkongsian dari diri saya yang kerdil ini. Saya bukanlah muslimah yang hebat dalam perjuangan dakwah kerana saya juga baru sahaja diprogramkan untuk berhijrah. Cuma, saya suka berkongsi fikrah dan rasa saya kerana saya yakin, erti hidup adalah untuk berkongsi seperti yang diajarkan oleh cermin ajaib saya saudari Khairunisa Klem. Saya seorang jururawat dan sedang cuba untuk mengasimilasikan kehidupan seorang daie dan juga seorang jururawat. Biar apapun diri anda, jadilah diri anda sendiri tetapi dengan syarat semata mata mencari redha ALLAH SWT. Dan akhir kalam:
Selamat Hari jururawat Sedunia
"When you're a nurse you know that every day
you will touch a life or a life will touch yours."
P/s: Tulisan yang berbelit belit disebabkan baru balik dari menanam pokok sempena hari jururawat sedunia. Sudahlah saya seumur hidup tidak pernah pegang cangkul dan sabit, tiba tiba disuruh menanam pokok. Alhamdulillah, bisa berbudi kepada tanah...... Buat anak anak di Sekolah Seri Mengasih, jagalah pokok yang mama tanam sebaik baiknya ya sayang. Mama doakan anak anak diredhai ALLAH dan mendapat syurga di sisiNYA kerana kalian adalah anak anak akhirat yang ALLAH turunkan ke dunia dengan 1001 keistimewaan.. InsyaaALLAH... hampir terlupa, saya akan menghidupkan semula FB Asiah Yusro kerana rungutan dan teguran dari sahabat sahabat, rakan rakan dan adik adik usrah saya yang mengatakan begitu susah menghubungi saya.... Asif jiddan kerana menyusahkan... insyaALLAH, Asiah Yusro akan kembali =)
Sekolah Seri Mengasih
Hasil kerja anak anak istimewa =)
Pokok yang ditanam
Pokok bunga yang ditanam lagi...
Wallahualam...
Staff Nurse Nadrah a.k.a Asiah Yusro
2 ~pemberi cinta~:
Salam . Membaca blog anda menyebabkan saya baru tahu hari Jururawat pada bulan ini. T.Kasih kerja anda sangat mulia.
Selamat Hari Jururawat :)
Kagum akak dgn kekuatan yg ada dlm diri Nadrah utk hadir ke usrah dan program2. akk sendiri ada kwn yg juga jururawat. beliau di ppum dan akk kagum dgn masa yg beliau bahagikn antra kerja dan usrah/program...
moga terus diber kekuatan. untuk diri akk juga moga diberi kekuatan :)
errr, nadrah lebih muda dr akk kot?
Post a Comment