Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Sunday, November 28, 2010

Pemilik hatiku............



Bismillahirahmanirahim
Uhh.... mendapat teguran dari sahabiyah sahabiyah ku tercinta tentang kekurangan diriku untuk bertinta di teratak kesayanganku ini. Sesungguhnya aku mengakui bahawa momentum untuk menulis sudah tidak seperti dulu. Malahan setiap kali bersedia di depan cik laptop kesayanganku, otak ku seakan akan beku untuk menarikan jejari ku di papan keyboard. Benarlah janji ALLAH bahawa seorang daieyah itu akan sentiasa di uji dengan kata katanya sendiri. Jika dulu di kampus, diriku inilah yang berapi rapi mengajak cermin ajaibku untuk berblog sebagai salah satu wadah perjuangan dakwah islamiyah. Namun kini diriku pula yang kelihatan agak malap dan sudah tidak lagi mampu menjadi mentol yang dapat menerangi hati hati pengunjung teratak kesayanganku ini.

SubhanALLAH... sebenarnya terlalu banyak cerita indah untuk dikongsikan bersama sahabiyah sekalian. Namun diriku ini hanya insan biasa, hanya penulis biasa. Dipohon seribu kemaafan andai artikel ku hanya lebih berkisar berkenaan diriku sahaja. Namun, biarlah kisah ku ini dapat dijadikan ibrah dalam mencari cinta hakiki yang sebenar.

Sesungguhnya ini adalah kisah hidup Asiah Yusro yang sentiasa lemas dalam cinta. Mengapa ku katakan sedemikian. Pengikut setia teratak kesayanganku ini sudah pasti mengetahu kenangan zaman silam dan siapa diriku sebenarnya. Segalanya telah kurungkaikan dalam entri bertajuk 'universiti kehidupanku'. Itu adalah kisah Asiah Yusro dan perjuangan semasa di kampus. Ah... kenangan itu terlalu indah... sehingga diriku ini selalu berharap agar masa itu dapat diputar kembali dan kembali berada di alam kampus

Sekali terhantuk baru terngadah...
Begitulah pepatah Melayu, setelah empat bulan berada di bumi kelahiranku dan tidak lama lagi memulakan tugasan sebagai jururawat... diriku sedar bahawa masih terdapat kelompangan yang harus sentiasa diperbaiki. Sesungguhnya diriku ini bukan kalis dosa namun ku berharap agar diri ini sentiasa menjadi mawar yang terpilih untuk mengharumi perjalanan dakwah ini.

Diri ini mendapat inspirasi untuk menulis entri yang tidak seberapa ini kerana cermin ajaibku yang sangat ku hormati iaitu asrar safiya melalui blog titisan embun .
Asrar si kecil molek yang manis yang banyak memberi tunjuk ajar dan harapan buat diriku. Asrar yang mengajarkan aku erti perjuangan mencari cinta hakiki berbanding cinta manusia yang sememangnya hamba...

Hati...
mengapa hati itu selalu berbolak balik. Adakah kerana hati itu sentiasa dimanjai? Adakah hati itu kurangnya makanan tarbiyah? Adakah hati itu dihuni oleh makhluk hina lain selain DIA YANG MAHA BERKUASA? Asrar sering mengingatkan diriku dengan pesanan Rasulullah SAW bahawa:


" Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara : Kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkanmu." (Riwayat Muslim)

Sebagai insan insan yang menggelarkan diri sebagai muslimat tarbiyah, sudah tentu tidak terlepas untuk memasang impian mendirikan baitul muslim dakwah dengan alasan untuk menjamin kelangsungan dalam perjuangan. Begitulah jua diriku yang kerdil dan hina ini. Namun, kekadang hati ini bertanya sejauh mana segala perjuangan dalam membina ummah ini dilandaskan kerana ALLAH swt atau sebenarnya diri ini tertipu dengan permainan nafsu yang menjadikan segalanya indah.

Seringkali ku mendengar akhwat atau ikhwan yang terpaut antara satu sama lain kerana kehebatan masing masing dalam kepimpinan atau ilmu haraki atau siasah dan sebagainya. Hal ini membuat diriku bingung, adakah sebaiknya faktor penarikan itu kerana kehebatan masing masing atau kerana tertarik pada ALLAH swt?

Kekadang diri ini dilanda seribu ketakutan... mampukah diriku menjadi seperti khadijah, sayap kiri perjuangan Rasulullah SAW. Di kala Rasulullah saw berdepan dengna mehnah dan tribulasi yang cukup hebat, khadijah sentiasa melapangkan hati dan menopang bahu agar sama sama memikul tanggungjawab menyebarkan risalah ALLAH swt? Mampukah diriku ini menjadi seperti Lathifah Ah Sury pendamping Hassan Al Banna, tetap tegar membesarkan anak anak seorang diri di kala sang mujahid punya tanggungjawab di luar demi perjuangan dakwah? Ataupun jika ALLAH mentakdirkan diriku menghadapi ujian seperti Asiah, mampukah diriku mempunyai kesabaran dan akidah yang mantap seperti bidadari syurga ini?

Sesungguhnya pertanyaan demi pertanyaan ini ku hamburkan buat diri yang sering lalai dan alpa dalam mengurus hati yang penuh lemah. Aku tidak ingin menjadi wanita yang bisa melemahkan dan melalaikan malahan menjadi fitnah buat imamku nanti. Dalam masa yang sama juga, aku tidak ingin terbuai dengan angan angan kosong selagi belum ada yang ALLAH izinkan menjadi halal buat diriku.

Namun seringkali dihamburkan soalan berkaitan siapakah bakal pendamping apatahlagi dengan alasan bahawa di usia tika ini amat sesuai untuk mempersiapkan diri sebagai sayap kiri perjuangan seorang mujahid.

Kadang kadang soalan ini terlalu berat untuk dikatakan namun jawapan ku terinspirasi setelah membaca artikel dari cermin ajaibku ukhti Asrar Safiya... jawapanku biarlah si dia itu tidak dikenali oleh penduduk dunia atas kehebatannya dalam ditarbiyah atau kepimpinannya atau ketampanannya... cukup ALLAH sahaja yang mengenalnya kerana iman dan taqwanya.

Ya.. diriku ini bukan lah insan yang sebenar benar sempurna untuk berharap sidia seperti yang kugambarkan namun dirku percaya bahawa ALLAH itu sentiasa dekat dengan hamba yang meminta padaNYA. Biarlah diri ini tidak dipertemukan dengan sidia sebegitu di dunia andai cinta dan tarbiyah ALLAH itu galang gantinya... biarlah sidia itu tidak pernah muncul asalkan ALLAH redha dengan perjuanganku mencari jalan taubat menebus kesilapan silam. Sesungguhnya manusia itu sememangnya diciptakan berhajat kepada cinta namun segala galanya dengan izin ALLAH, mungkin tidak bisa kecapi cinta insani di dunia kerana ALLAH swt ingin mempersiapkan dirimu dan diriku agar menjadi bidadari yang menjadi penyeri mujahid bergelar syuhadah di syurga... maka akhwatku... jangan sekali kali menanggalkan perhiasan agama dan perjuangan hanya kerana jodoh... kerana biarlah kita memilih ALLAH dari memilih manusia.

Ya ALLAH semoga diriku yang dhaif ini terlebih dahulu melakukan sedemikian kerana di akhirat nanti sang penulis terlebih dahulu disoal oleh ALLAH swt. Semoga luahan ini tidak menyakiti atau melukai sesiapa namun biarlah sekadar bisa menyentuh hati untuk terus mengorak langkah dalam merebut gelaran bidadari di syurgaMU nanti.

Buat asrar, terima kasih adikku sayang... diriku ini sering terinspirasi dengak tulisanmu. Semoga ALLAH memberi segala kebaikan buatmu...

Ya ALLAH... jadikanlah kami bidadari syurga!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Buat sidia ....
Sekiranya dirimu jua resah menanti kehadiranku, maka berdoalah kepada ALLAH dan mintalah kepadaNYA kerana aku ini insan yang hina dan ALLAH adalah pemillik nyawaku... memohonlah pada DIA yang lebih berhak

sekiranya dirimu juga mencari siapa diriku maka muhasabahlah dirimu.. Mengapa ALLAH swt tidak mempertemukan kita lagi... adakah kerana kita masih belum cukup? Ataupun diriku dan dirimu masih punya tanggungjawab yang belum selesai dalam perjuangan dakwah?

sekiranya dirimu masih bertanya siapa diriku, maka mohonlah petunjuk dari ALLAH swt... adakah benar diriku adalah pilihanmu kerana ALLAH atau kerana penyakit cinta dunia semata mata? Sekiranya kau menginginkan kecantikan, ketahuilah bahawa jika dirimu benar benar cintakan ALLAH, kau akan meyakini bahawa segala ciptaan ALLAH itu cantik, sekiranya dirimu ingin keturunan yang baik, ketahuilah bahawa iman itu tidap dapat diwarisi, sekiranya dirimu inginkan yang berharta ketahuilah harta itu sedikit sebanyak akan merencat perjuangan dakwahmu namun jika kau ingin yang beragama, persiapkanlah dirimu terlebih dahulu kerana kaulah yang bakal menjadi imam buat baitul muslim mu

sekiranya dirimu masih mengharap kehadiranku, serahkanlah hatimu kepada ALLAH swt, nescaya akan diberikan pemilik terbaik....kerana yakinlah ALLAH itu adil. Jika yang kau cari kesempurnaan, maka carilah kesempurnaan itu di sisi ALLAH, kerana dirimu itu pasti mendapat jawapannnya..

Milikilah hatiku dengan izin ALLAH, milikilah cintaku keranaNYA, miliki diriku kerana agamaNYA dan milikilah jiwaku keranaNYA.


sekiranya dirimu telah berasa siap.....maka dapatilah diriku............. hanya kerana ALLAH...




2 ~pemberi cinta~:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...