Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Thursday, August 25, 2011

Salam Lebaran dari Layakkah aku menjadi bidadari syurga



Bismillahirahmanirahim

Diri saya yang kerdil, tuan punya bidadari yang kerdil ini juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri, Maaf Zahir dan Batin buat seluruh pengunjung teratak saya yang biasa biasa ini. Semoga lebaran kali ini memberikan seribu makna. Sedih pilu di hati untuk melepaskan ramadhan yang ku kasihi, ya ALLAH pertemukanlah kami dengan ramadhan pada tahun hadapan. Tahniah buat kalian yang berjaya mendapatkan segulung ijazah bernilai taqwa hasil Universiti Ramadhan. Ya ALLAH, semoga kita menjadi lebih baik. Sesungguhnya ramadhan kali ini banyak ujian yang tertimpa ke atas diri namun saya meyakini tulisan takdir ALLAH adalah yang terbaik. Sering melafazkan doa di ramadhan ini iaitu 'Ya ALLAH, jadikanlah kehendakMU sebagai kehendakku', Ameen =). Indahnya jiwa manusia yang bersifat qanaah, kerana tidak perlu berpenat lelah untuk mengejar dunia yang sementara. Teringat pesanan seorang ustazah, dunia ibarat sebelah sayap nyamuk sahaja, maka untuk apa mengejar dunia yang sia sia.

Saya Asiah Yusro dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AidilFitri

buat

Seluruh Umat Islam, tahniah atas kemenangan bergelar graduan taqwa!

Ahli keluarga jauh dan dekat, jemputlah datang ke rumah =)

Sahabat sahabat seperjuangan dalam jemaah terutama cermin ajaibku, sahabat sahabat Nisa dan Muslimat, adik adik usrah.... raya bukanlah bermakna waktu kerehatan tetapi masa untuk menopup jiwa sebelum melangkah ke medan pertempuran

Rakan rakan sekalian terutama Matronku yang begitu baik hati kerana memberi waktu cuti raya yang panjang. Alhamdulillah......

Dan buat sesiapa yang mengenali diri ini serta kedua ibubapaku.

Mohon maaf atas segala kesilapan diri... semoga menjadi yang lebih baik

Dan setelah sebulan saya merehatkan Facebook saya untuk beruzlah demi mencari nikmat ramadhan, InsyaALLAH, saya akan menghidupkan kembali....

Ok, nak pergi buat kuih raya dan kemas rumah.........................

P/s: Sesiapa yang ingin mengnjungi rumah saya, mohon hubungi dulu ya kerana kami sekeluarga akan berhari raya di kampung dan selepas itu saya akan membantu Majlis Perkahwinan sahabat saya =)

Wednesday, August 24, 2011

Kitakah yang bergelar pejuang agama?

Terkesima dan tergamam seketika...
mendapat perkhabaran yang cukup mencucuk sanubari...
ya ALLAH, mengapa untuk ramadhan kali ini, ujian bertimpa timpa didatangkan kepada kami?
Namun, segera hati diubati dengan kalam yang indah:

Ketika ALLAH rindu pada hambaNYA, DIA akan mengirimkan hadiah istimewa melalui malaikat jibril yang isinya adalah ujian. Dalam hadits qudsi ALLAH berfirman: "Pergilah kepada hambaKU, lalu timpakanlah berbagai ujian kepadanya kerana AKU ingin mendengar rintihannya. (HR Thabrani dan Abu Umamah)

ya ALLAH, hilangkan rasa kekecewaan dihatiku ini. Biarpun hal yang sedemikian ini menimpa sahabat baikku namun cukup meninggalkan kesan 'FOBIA' dalam diri ini. Rasanya tidak layak diri ini untuk menjadi 'Pengadil' pada pentas lakonan dunia yang penuh tipu daya. Biar Rakib dan Atid sahaja yang mencatatnya dan ALLAH menjadi 'Ketua Juri' di padang masyar nanti.

Hati ini terpaut dengan artikel yang cukup menarik dari ukhti akhwat medic iaitu Maksiat yang tersembunyi. Sebenarnya diri ini sangat mengkagumi mereka yang sudah berada lama dalam jalan tarbiyah. Apatahlagi yang merupakan produk tarbiyah yang sebenar, bukan produk tarbiyah express seperti diriku. Lahir dalam suasana tarbiyah, keluarga yang penuh tarbiyah, bekerja dalam suasana tarbiyah tetapi mengapa masih ada karat karat jahiliyah yang belum tertanggal?

Pada mulanya, sukar untuk mempercayai situasi sedemikian, malah diriku begitu mengidamkan kehidupan indah dalam suasana beragama yang kuyakini ALLAH pasti akan sentiasa meluruskan hati hati manusia. ya ALLAH, aku bukannya wanita sempurna apatahlagi masa silam sentiasa membelenggu diri dan diri ini sentiasa mendahagakan pengajaran dan ilmu yang berpanjangan. Impianku agar dapat menuntut ilmu dengan tenang kerna aku tahu bahawa diri ini masih belum cukup. Alangkah indahnya jika dapat menghadiri kelas kelas agama dan selepas itu ada orang yang bisa mengajarkan Al Quran sehingga aku boleh menghafaznya.

Namun peristiwa yang berlaku cukup menjadikan diri ini fobia. Teringat kata kata mutiara yang sering ku ungkapkan

'Biarlah tidak dikenali penduduk dunia atas kehebatan ilmu, kepandaian, kepimpinan dan kecerdikan. Cukup nama menjadi sebutan penduduk di langit dan ALLAH mengenal kerana iman dan taqwa.'

Terlalu takut untuk menilai manusia pada ketika ini. Kadang kadang corak pemakaian dan perilaku individu itu tidak memcerminkan peribadi yang sebenar. Mungkin ada yang dilihat seperti ustaz dan ustazah, tetapi tidak menjaga ikhtilat. Ada yang lagaknya seperti wanita solehah, bertudung labuh dan berjubah tetapi masih kurang menjaga adab sebagai wanita sehingga begitu mudah untuk mendekati lawan jenisnya. Mungkin ada yang sentiasa berkopiah, kelihatan zuhud orangnya tetapi masih punya perangai suka mengambil hak orang. Nauzubiilah Min Zalik. Ya ALLAH, jauhkanlah kami dari kehipokritan ini. Kami tidak mahu menjadi indah di pandangan manusia tetapi JELEK pada pandanganMU.

Tidak dinafikan, sejauh mana pun seorang manusia berusaha untuk menjadi sempurna tetapi manusia tetap manusia. Rasulullah SAW sahaja yang maksum. Maka, jika kalian berasa sudah tersasar ke sebelah jalan, maka luruskan kembali stereng pengembaraan hidup anda. ALLAH pasti menunjukkan jalan yang lurus. Diriku meyakini, produk asli tarbiyah pasti punya hati yang sentiasa hidup. Apatahlagi cukup berpengalaman dalam perjuangan. Maka, jangan biarkan NAFSU mengatasi segalanya. Kembalilah mencari naungan kasih sayang ALLAH dengan bermujahadah melawan nafsu.

Soalan demi soalan menerjah kotak fikiran....

Kitakah yang bergelar pejuang agama tetapi
kita masih tidak mampu mengekang hawa nafsu terhadap sesuatu yang bukan milik kita?

Kitakah yang bergelar pejuang agama jika
tidak segan silu melalaikan ibadah kepada ALLAH SWT?

Kitakah yang bergelar pejuang agama sekiranya
berjuang semata mata untuk mendapat pangkat dan nama serta perhatian?

Kitakah yang bergelar pejuang agama namun
masih ber'sms' yang tidak berkenaan dengan yang bukan muhrim atas tiket perjuangan malah sengaja memanjangkan?

Kitakah yang bergelar pejuang agama yang
memakai jubah dan tudung labuh untuk menunjukkan kita bertaqwa
memakai kopiah untuk menunjukkan kita soleh
hanya kepada manusia hina?

Kitakah yang bergelar pejuang agama tetapi
masih tidak mampu menjaga ikhtilat sehingga berlebihan dengan tiket sahabat?

Kitakah yang bergelar pejuang agama namun
masih punya waktu untuk membuang masa sedangkan ummah berkondisi kritikal kini?

Kitakah yang bergelar pejuang agama sekiranya
masih bermalas malasan tentang ukhrawi tetapi bermati matian mengejar duniawi?

Kitakah yang bergelar pejuang agama walhal masih memungkiri janji?

Kitakah yang bergelar pejuang agama tetapi susah untuk mencari ikhlas dalam diri?

ya ALLAH, diriku sangat takut andai aku melakukan perkara sedemikian. Lindungilah diriku ya ALLAH, kekalkanlah diriku dalam hidayah dan petunjukMU. Ku ingin sekali sentiasa menjadi pejuang agamaMU. Tetapi janganlah engkau jadikan diriku PEJUANG AGAMA yang SILAP. Berjuang hanya kerana cinta duniawi sedangkan miskin akhirat.

Tiba tiba terlintas di kotak fikiranku, "patutlah kemenangan terasa begitu jauh, rupa rupanya masalah datang dari diri sendiri". Sebak hati teringat perjuangan Rasulullah SAW, baginda punya batalion tentera pejuang yang hebat. Kehebatan tangkas bermain sahaja itu adalah luarannya sahaja tetapi sumber kehebatan sebenar adalah kekuatan iman dan taqwa. Teringat frasa kegemaranku:

Pilihan Salahuddin Al Ayubi bukanlah yang petah berkata kata, tetapi yang istiqomah tahajudnya. Katanya nak jadi srikandi Hasan Al Banna tetapi ambilnya hanya pada semangat, bukan pada amalannya.



~Musabah diri ini~


Diriku, burung merpati yang kerdil ini, sedang berusaha mencari sangkar yang baru. Mungkinkah akan menyeberangi laut Cina selatan ke tanah semenanjung ataupun sayapku akan berterbangan merentasi benuaMU. Dimana pun sayapku ini KAU titipkan, jadikanlah kehendakMU sebagai kehendakku, berkat ramadhan sekiranya ini yang terbaik untuk akhirat, agama dan tarbiyahku. ^_^ (Teringat lagu leaving on a jet plane yang popular di kampus)

Monday, August 15, 2011

Tika bergelar isteri.....


Ukhtiku....

Kiranya waktu ini dirimu pasti mengira waktu..
saat indah terbuktinya janji mujahid pilihan ALLAH untuk menjemputmu....
ku tuliskan surat ini sebagai hadiah buatmu..
kerana dirimu adalah sayap kanan perjuanganku

Ukhti...
tidak bisa ku gambarkan perasaan ini
betahkah diriku untuk melepaskan mu?
engkau pendamping dan pembimbing sejatiku
tetapi kiranya penyatuan cintamu adalah yang terbaik
maka ku redhai saat nya dirimu bergelar zaujah buat zauj sejati

Betapa indahnya memoir ramadhan yang lalu
tatkala pertama kalinya diriku mengenali dirimu
engkau ibarat hadiah yang ALLAH titipkan buatku
tatkala aku tercari cari
medan perjuangan di tanah kelahiranku ini

Persahabatan kita ini bukanlah sentiasa disulami keindahan
badai dugaan datang merobohkan istana pepasir persahabatan yang kita bina
tetapi kita meletakkan sangkaan baik pada ALLAH yang pertamanya
kita meyakini bahawa ALLAH ingin menguji persahabatan kita
maka DIA menurunkan ujian sedemikian rupa

Ukhtiku...
tidak pernah terlintas di hatiku untuk menyakiti hatimu
dan pada ketika itu aku juga keliru
memilih antara persahabatan dan jalan perjuanganku

Ukhti...
tatkala dirimu bergelar isteri
praktikkanlah rukun usrah dalam rumah tanggamu
satu ketika, kau melalui saat taaruf bersama zauj mu
dan pada satu ketika lagi, diri mu itu pasti melalui saat bertafahum bersamanya
dan ingatlah ukhti ku...
akan sampai satu masanya, dirimu dan dirinya pasti menjadi penolong antara satu sama lain
dan ketika itu lah, proses takaful antara dirimu dan dirinya

Ingatlah akan firman ALLAH bahawa:

Istri-istri kamu (para suami) adalah pakaian untuk
kamu, dan kamu adalah pakaian untuk mereka Al-Baqarah [2]: 187).


Menjadi seorang isteri
bermakna kamu harus melepaskan suami mu berpergian
dia bukan milikmu yang hakiki
dia adalah milik ALLAH dan jalan juang agamaNYA


Jangan pernah sekali engkau mengeluh wahai ukhtiku sayang..
sentiasa beringat bahawa dirimu bukan pilihannya yang pertama
Engkau adalah pilihan yang kedua

Redhalah dengan kedudukan mu yang kedua itu..
sentiasa ikhlas berkhidmat untuk memenuhi keperluan suami mu yang tercinta
bukankah Rasulullah SAW berpesan bahawa:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
(Hadis Riwayat Ahmad)
Jangan pernah engkau gusar ukhtiku...
tidak perlu dirimu berasa cemburu..
kerana pilihannya yang pertama masih tidak dapat menandingi keindahan dirimu
sesungguhnya engkaulah wanita solehah yang ALLAH pilihkan untuknya.
pilihan yang pertama itu adalah PERJUANGANNYA
jangan sekali kali engkau merantai kaki nya untuk bersamamu
lepaskan dia bepergian... kerana dia pasti akan kembali kepadamu
Ukhtiku..
ku titipkan kisah indah sebagai motivasi buatmu
Inilah kisah penghulu bidadari syurga...
tatkala sang bidadari memanggil manggil suaminya untuk bersama dengan mereka...
namun si suami kelihatan gusar...
seindah dan secantik mana bidadari yang cukup sempurna
tetapi itu bukan pilihannya...
dia mencari permata yang indah
itulah isterinya yang solehah di dunia
dia berpaling untuk menjemput bidadari dunia dan akhiratnya
Ukhtiku.. tabahkanlah hati selalu
menjadi isteri kepada seorang pejuang bukan mudah
pasti disulami mehnah dan tribulasinya
tetapi dikau harus yakin dan bersyukur
engkaulah pilihan ALLAH SWT
untuk menjadi sayap kiri seorang mujahid
dan mendidik generasi pembela agama
ALLAH pasti mengetahui kemampuanmu...
yakinlah!
Engkaulah wanita yang gagah..
wanita yang tahan untuk mendepani kehilangan..
wanita yang tidak takut kepada kemiskinan
wanita yang tabah menanggung rindu setelah ditinggalkan bepergian
wanita yang tidak meminta minta untuk dipenuhi segala keinginan....
Engkaulah Penghulu bidadari syurga...
dan zaujah sejati buat zaujmu...
Selamat pengantin baru buat Cermin Ajaibku, Ukhti Nurul Husna dan bakal abang iparku Ustaz Razlie, entri ini ku tujukan buatmu... ku doakan kebahagiaanmu... Maaf, barang hantaran belum ku dan Balqis Baltisha berkesempatan mengambilnya, insyaALLAH, kami akan menyiapkan secepat mungkin. Doakan Jaulahku sembuh seperti sedia kala... ^_^


Pesona Cintamu Asiah


Dia, Asiah Binti Muzahim adalah seorang wanita dari kaum Bani Israel yang baik hati dan suka menolong orang orang susah. Dia berakhlak mulia dan sanggup menentang segala kezaliman yang berlaku di hadapannya. Namun, ALLAH SWT mentakdirkannya bertemu jodoh dengan Fir'aun, seorang raja yang terkenal dengan pemerintahan kuku besinya. Dia memerintah dengan kejam tanpa mengira penderitaan dan penganiyaan yang dilakukan terhadap rakyatnya. Malah, dia turut mengakui dirinya yang berkuasa yang tiada tuhan selainnya. Nauzubilla Min Dzalik...

Setelah kematian isterinya, Fir'aun yang kejam itu hidup sendirian. Suatu hari, dia mendengar berita mengenai Asiah, seorang gadis jelita dari keturunan keluarga Imran. Lalu Fir'aun memerintahkan seorang menteri bernama Haman untuk merisik dan meminang Asiah untukknya. Orang tua Asiah bertanya kepada Asiah apakah dia sudi untuk berkahwin dengan Fir'aun, sedangkan dia terkenal sebagai raja yang sombong dan enggan tunduk kepada perintah ALLAH?

Haman kemudian pulang menghadap Fir'aun dan menyampaikan jawapan Asiah itu. Fir'aun begitu marah mendengar berita yang dibawa oleh Haman itu. "Sungguh berani keluarga Imran menolak pinanganku, seret mereka ke mari. Biar aku sendiri yang memberi hukuman kepada mereka!'. Bentak Firaun.

Kedua orang tua Asiah pun ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Mereka diseksa dengan kejam oleh Fir'aun. Kemudian Fir'aun memerintahkan supaya Asiah pula ditangkap. Dia membawa Asiah ke penjara dan ditemukan dengan kedua orang tuanya yang sedang ditawan itu. Fir'aun berkata: 'Wahai Asiah! Jika kamu seorang anak yang baik, kamu tentu kasih kepada kedua orang tuamu. Oleh itu aku memberi kamu dua pilihan. Kalau kau setuju dengan lamaranku, kau akan hidup mewah bersamaku dan aku akan membebaskan kedua orang tuamu. Tetapi jika kamu ingkar, kamu akan menerima padahnya."

Asiah terpaksa bersetuju dengan lamaran itu tetapi dengan beberapa syarat. Pertama, Fir'aun harus membebaskan kedua orang tuanya dan kedua Fir'aun harus mendirikan rumah dengan segala kelengkapan di dalamnya untuk kedua orang tuanya. Fir'aun juga harus memastikan bahawa kedua orang tuanya dijamin kesihatan dan makan minum mereka. Asiah juga sudi menjadi isteri Fir'aun namun hanya akan menghadirkan diri di dalam acara acara tertentu tetapi tidak bersedia untuk ditiduri oleh Fir'aun. Sekiranya Fir'aun tidak dapat memenuhi semua permintaanya, Asiah lebih rela mati dibunuh bersama kedua orang tuanya.

Fir'aun bersetuju dengan semua permintaan Asiah itu. Dia yang memerintahkan agar kedua orang tua Asiah dibebaskan dari penjara. Asiah pun tinggal bersama sama Fir'aun di dalam serba kesenangan. Namun dia tetap patuh pada perintah ALLAH SWT dan melakukan ibadah ibadahnya seperti biasa.

Setiap malam, Asiah akan menunaikan solatnya dan bermunajat kepada ALLAH SWT dan sentiasa memohon perlindungan dari ALLAH SWT agar dirinya tidak disentuh oleh seorang yang kafir walaupun Fir'aun itu suaminya. ALLAH SWT telah memperkenankan permintaan Asiah dan menciptakan seorang iblis wanita yang menyerupai Asiah. Wanita iblis inilah yang telah meniduri Fir'aun setiap malam.

Asiah cuba menasihati dan memperbaiki sikap Fir'aun yang kejam itu. Dia cuba mempengaruhi Fir'aun untuk berlaku benar dan adil tetapi tidak pernah berhasil. Begitulah kerasnya hati Fir'aun. Dia melakukan sesuatu perkara tanpa sebarang rasa kemanusiaan.

Sungguhpun begitu, ada suatu perkara yang amat menyentuh hati Asiah iaitu Fir'aun benar benar mengasihi dirinya dan akan melakukan apa sahaja untuk membahagiakannya. Dia telah membina sebuah istana yang besar dan indah untuknya di atas tebing sungai Nil. Istana itu diserikan dengan pelbagai keindahan yang tidak dapat digambarkan. Airnya mengalir masuk ke dalam lorong lorong yang dibina dalam istana itu. Namun kehidupan Asiah yang mewah itu tidak dapat mententeramkan jiwanya. Dia sentiasa bimbang dengan sikap Fir'aun yang tidak putus putus menyeksa dan membunuh rakyat jelata terutama golongan Bani Israel.

Pada suatu hari, dayang dayang Asiah sedang bermandi manda di sungai berhampiran istana itu. Tiba tiba sebuah peti menyusur ke arah mereka. Mereka pun menyampaikan berita itu kepada Asiah. Dengan segera Asiah datang untuk melihatnya dan memerintahkan agar peti itu dibawa kepadanya. Sebaik sahaja peti itu dibuka, semua yang berada di sekelilingnya terkejut. Mereka melihat seorang bayi yang cukup comel, wajahnya indah berseri dengan senyumannya yang manis seolah olah melambai mereka. Asiah meletakkan bayi itu ke dalam pangkuannya.

Bersambung............ (dipetik dari buku kesayanganku, Riwayat Bidadari Syurga oleh Ustaz Munif)

Image: Google
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

MasyaALLAH, ini adalah kisah yang menjadi hiburan di hati tatkala kesedihan dan kekecewaan bermaharaja rela. Akhirnya, berpeluang berkongsi cerita yang ku dokong selama ini bersama pengunjung bidadari ini. Semoga bermanfaat di ramadhan yang mulia.

PENGUMUMAN

Tersenyum sendiri tatkala melihat ramai yang tidak menyenangi lagu di blog ku ini. Lagu Bidadari tetap menjadi pilihan. Atas asbab kesayanganku kepada semua, ku menukar kembali lagu pada bidadari ini dengan lagu 'bidadari'. ya ALLAH, moga lagu ini menjadi doa buatku agar menjadi bidadari di syurgaNYA kelak. Ameen. Namun yang paling lucu apabila ada yang tidak menyukai perubahan nama UMMU ASIAH YUSRA, katanya Asiah yusro lebih indah bersama dengan bidadari kesayanganku. Sekali lagi, atas asbab terlalu menyayangin pengunjung bidadari ku ini, maka ku tukarkan juga nama ku kembali.

ya ALLAH, semoga nama ASIAH meresapi jiwaku dan roh perjuangan serta pengorbanannya membakar dalam diriku... tempatkanlah daku di syurgaMU.........

Diriku bukan ASIAH di zaman Fir'aun, aku hanya seorang gadis biasa yang masih ingin belajar, masih banyak yang aku tidak tahu, masih banyak yang perlu diperbaiki, moga ALLAH menunjukkan jalan buatku.........


Jadikanlah kami bidadari di syurgaMU... AMEEN ^_^


Thursday, August 11, 2011

Bekalan buat daie



Bismillahirahmanirahim

Alhamdulillah, ramadhan sudah memasuki minggu yang kedua. Syukur kerana masih diberi peluang untuk terus menghidupkan bulan yang sungguh istimewa. Teringat akan sepotong hadis bahawa:

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'ALLAH berfirman: "Setiap amalan manusia itu untukknya kecuali puasa. Ia untukKU dan AKU yang memberi ganjarannya"'. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimana dengan larian kita sempena minggu kedua ramadhan kali ini? Sudah sempurna kah check list yang kita susun sebelum ramadhan? Tarawih tak pernah tinggal, tadarus yang berterusan, zikir penghidup hati dan sebagainya. Alhamdulillah, jika ada yang berjaya menyempurnakan namun buat mereka yang masih belum sempurna, insyaALLAH ramadhan masih berbaki lagi untuk kita. Rebutlah 10 malam yang terakhir untuk mencari keredhaanNYA.

Alhamdulillah, diari ramadhan saya cukup indah. ALLAH beri peluang untuk berusrah dan berukhuwwah bersama sahabat sahabat dan adik adik Nisa Sepanggar. Ya ALLAH, sebenarnya saya cukup berbangga dapat bergandingan dengan calon calon bidadari syurga ini. Mereka adalah generasi pewaris perjuangan ummul mukminin di zaman Rasulullah. Semangat dan komitmen yang tinggi terhadap aktiviti dakwah dan tarbiyah yang begitu membara di kalangan mereka cukup menghilangkan kerisauan saya. Andai satu hari nanti, ditakdirkan saya berpergian, saya tidak akan risau untuk meninggalkan Nisa Sepanggar kerana saya yakin setiap saat di dunia ini pasti lahirnya seorang pejuang dan pasti akan lebih ramai mujahidah yang akan memperkembangkan dakwah di bumi kelahiran ini =)

Teringat pesanan seorang insan yang saya hormati, sebagai seorang daie kita tidak boleh 'syok sendiri'. Kita harus melatih generasi yang bakal menjadi penyambung perjuangan Rasulullah SAW. Seorang pemimpin yang baik pasti akan melahirkan pemimpin yang baik dan seorang daie yang baik juga pasti akan melahirkan lebih ramai lagi para daie. Bukan untuk berbangga atau menunjuk tapi saya meyakini bahawa diri saya yang kerdil ini adalah produk tarbiyah seorang daie. Saya tidaklah terlalu sempurna malah masih banyak lompang lompang yang perlu saya perbaiki. Cuma segala yang diajarkan dan diperturunkan kepada saya InsyaALLAH akan saya kongsikan bersama sahabat sahabat sekalian. Apa yang saya inginkan agar kita bergerak bukan kerana manusia tetapi kerana ALLAH. Saya yakin sahabat sahabat dan adik adik MAMPU melakukannya biarpun tanpa kehadiran saya =)

InsyaALLAH, selagi ALLAH izinkan saya berada di sini, saya pasti akan terus berkhidmat untuk semua kecuali jika ada kekangan yang tidak dapat dielakkan. Hati saya sentiasa bersama dengan jamaah dan saya beriltizam bahawa di suku bumi mana pun ALLAH meletakkan saya, saya pasti tidak akan meninggalkan jalan juang yang cukup indah ini. Di sini ingin saya kongsikan empat perkara yang menjadi bekalan buat seorang daie.

1) Ilmu

Jadilah seorang daie yang berilmu. Ilmu adalah kunci utama untuk memikat hati para mad'u. Setiap yang kita lakukan pasti diasakan dengan ilmu. Bermula dari ilmu penampilan diri untuk memikat mad'u, ilmu memasak, ilmu memikat hati sehinggalah kepada ilmu sirah dan sebagainya. Rangkumkan segalanya untuk memperkuatkan usaha dakwah.

2) Ibadah

Mengapa saya letakkan ibadah di tangga yang kedua? Ibadah tanpa ilmu adalah sia sia tetapi ilmu dan ibadah yang seiringan pasti akan berjaya. Ibadah yang mantap adalah keperluan buat seorang daie untuk menjaga hubungan dengan ALLAH SWT. Seorang daie tidak akan berjaya kecuali dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT. Maka, perbaiki hubungan mu dengan ALLAH SWT nescaya ALLAH pasti akan memperbaiki hubungan mu sesama manusia

3) Amal

Jangan jadi seorang yang cakap tak serupa bikin. Action speaks louder than words. Setiap amalan perlu dijaga. Aduh, memang susah untuk menjadi sempurna tetapi mujahadah adalah teman yang paling indah untuk mendapatkan tahapan itu.

4) Akhlak

Akhlak = Ilmu + ibadah + Amal. Untuk mejadi seorang daie, kita harus bersedia untuk menjadi qudwah. Sedangkan akhlak Rasulullah sendiri digambarkan seperti Al Quran dan ramai sahabat sahabat yang memilih ISLAM kerana terpaut dengan akhlak Rasulullah SAW.


Alhamdulillah, sedikit perkongsian ringkas dari diri saya yang kerdil ini. Namun, saya berharap agar formula ini dapat ditanamkan dalam diri setiap daie. Jangan sekali berhenti menjadi penyeru kerana jalan menuju ALLAH sentiasa terbuka untuk hamba hambaNYA.

Sedikit perkongsian dari sebuah buku yang berjudul ' Matahari' tulisan pengarang yang saya hormati iaitu Saudara Hilal Asyraf iaitu seorang daie ibarat matahari. Cahayanya akan terus memancar biarpun di malam yang kelam. Matahari tidak akan pernah berhenti membakar sehinggalah ALLAH takdirkan dia menamatkan tugasnya. Begitulah juga seorang daie, teruskan membakar api perjuangan dan menjadi cahaya buat para mad'u kerana janji ALLAH itu pasti.


ya ALLAH jadikanlah kehendakMU sebagai kehendakku
Aku ini milikmu dan ku berserah atas segala ketentuanMU. Awan yang mendung pasti berarak kerana matahari pasti muncul kembali. Letakkan segala harapan pada ALLAH SWT bukan pada manusia biasa kerana dengan ALLAH kita pasti berasa cukup, InsyaALLAH =)

Thursday, August 4, 2011

Amalan Untuk Muslimah



AMALAN UNTUK MUSLIMAH YANG DIDATANGI HAID DI BULAN RAMADHAN.

Ramadhan telah tiba, bulan yang penuh dengan kelebihan dan ganjaran.Setiap detik di dalam bulan yang penuh keberkatan ini amat berharga dan kemungkinan amalan di bulan inilah yang memberikan perbezaan tempat kembalinya kita. Bagi muslimah yang menyedari hakikat ini, kedatangan ‘tempoh bercuti’ setiap bulan sangat tidak diharapkan pada bulan Ramadhan. Sering terdengar keluhan dari mereka yang haid kerana sedih merasakan tidak mampu merebut pahala ibadah di bulan ini, terutamanya sekiranya ‘ia’ datang ketika tempoh 10 malam terakhir.Malah, ada yang sanggup mengambil ubat penghalang datangnya haid semata-mata untuk memanfaatkan sebulan Ramadhan. Namun,ubatan sebegini kadang kala tidak memberikan kesan yang diharapkan malah lebih mengganggu kestabilan hormon.


Sememangnya perasaan sedih ini hanya akan lahir dari hati seorang muslimah yang sangat mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Tuhannya. Saidatina Aisyah R.A sendiri pernah menitiskan air mata kesedihan kerana merasakan hilangnya peluang beramal dengan kedatangan haid. Namun, haid sebenarnya bukanlah satu perkara yang buruk, bukan jua satu kekurangan yang patut ditangisi, kerana disebaliknya masih ada peluang merebut ganjaran di bulan yang mulia ini.

Mari kita lihat,bagaimana Rasulullah S.A.W menangani perasaan Aisyah apabila beliau menangis kesedihan ketika didatangi haid ketika menunaikan haji.Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Ini adalah suatu yang ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam, maka tunaikanlah apa yang ditunaikan oleh orang yang melakukan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu telah mandi (suci dari haid)”. (Riwayat Muslim)


Haid adalah suatu ketentuan yang telah Allah tetapkan ke atas kita(anak-anak perempuan Adam), maka kita sepatutnya redha di atas ketentuan ini. Redha merupakan salah satu daripada ibadah hati. Keredhaan kepada Allah sebagai Tuhan menuntut keredhaan atas apayang diperintahkan-Nya dan apa yang ditetapkan oleh-Nya.


Redha

Redha di atas apa yang Allah perintahkan ke atas kita bermaksud kita menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan untuk kita lakukan, bukan sebagaimana yang kita suka untuk lakukan. Tahukah anda bahawa perbuatan anda berbuka puasa disebabkan haid merupakan suatu ibadah? Ini kerana Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada hari-hari kita tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang memerintahkan kita untuk berbuka ketika sedang haid, maka berpuasa ketika haid merupakan suatu dosa kerana anda dikira melanggar perintah-Nya.

Redha di atas apa yang Allah tetapkan ke atas hambanya pula bermaksud penerimaan atas apa yang Allah telah ciptakan kita dan apa yang Allah fitrahkan ke atas diri kita, termasuklah apa yang Allah tetapkan ketika tempoh haid, dengan hati dan jiwa yang tenang. Perasaan sedih merupakan suatu bentuk penentangan atas ketentuan Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. “(An-Nisa’:32)

Oleh itu, sekiranya anda redha dengan sebenar-benar redha anda telah mengerjakan ibadah hati yang dengannya kita akan merasai kemanisan iman. Ibadah ini mungkin tidak dikerjakan oleh kebanyakan mereka yang sedang suci, malah mungkin tidak dikerjakan oleh kaum lelaki! Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, dan dengan Islam sebagai deen, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasul.”(Riwayat Muslim)


Rindu

Rindu seorang muslimah yang sedang haid untuk melakukan solat dan membaca Al-Qur’an juga merupakan suatu ibadah yang tidak didapati di kalangan mereka yang sedang suci. Malah sekiranya terdapat rindu di hati kita untuk melakukan ibadah, kita lebih baik berbanding mereka yang melakukan ibadah, tapi dalam masa yang sama merasakannya sebagai suatu beban dan kesusahan. Lebih istimewa, perasaan gembira seorang muslimah kerana dapat mengerjakan ibadah selepas tamat tempoh haid adalah suatu perasaan yang Allah khususkan untuk kaum wanita sahaja. Maka bersyukurlah!

Bilakah haid menjadi masalah?

Haid menjadi masalah apabila seorang muslimah merasakan telah hilangnya peluang bagi mendapatkan ganjaran di bulan Ramadhan, kerana dia tidak oleh berpuasa dan menunaikan solat tarawih. Sedangkan tanpa dia sedari pintu-pintu syurga masih terbuka untuknya, dan para malaikat masih memanggil-manggil pencari kebaikan. Dan sekiranya dia melakukan suatu kebaikan ganjarannya seperti dia melakukan suatu kefardhuan. Seorang muslimah yang haid sebenarnya masih mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan ganjaran dan kelebihan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Nabi S.A.W,mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya.


Tunaikanlah keperluan ukhtimu yang berpuasa!

Seorang muslimah yang bijak, dia akan cuba sedaya upaya memanfaatkan setiap detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haid. Mungkin kita terhalang daripada berpuasa dan menunaikan solat tarawih, namun kita masih boleh mendapat ganjaran dengan menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa, menunaikan keperluan ukhti yang keletihan disebabkan puasa, menjaga anak-anak kecil ketika ibu mereka sedang solat di masjid, bersedekah dan sebagainya.Semoga kita beroleh pahala sebagaimana mereka yang berpuasa dan menunaikan solat.Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun”(Riwayat Tarmizi).

Selain itu, gunakanlah tempoh haid ini untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah dan lain-lain urusan dunia anda, supaya kita dapat menyibukkan diri dengan ibadah ketika waktu suci tanpa dirunsingkan dengan rumah yang bersepah atau tugasan yang belum selesai.

Akhir kata, sebelum datangnya tempoh haid anda, perbanyakkanlah amal ibadah, semoga Allah tetap memberikan ganjaran bagi amalan yang kita terhalang dari melakukannya disebabkan haid. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sekiranya seorang hamba muslim sakit atau bermusafir, (tetap) ditulis baginya apa yang dahulunya dia lakukan ketika dia sihat dan bermukim.”(Riwayat Al-Bukhari dan Al-Baihaqi).

Maka, barangsiapa yang terpaksa meninggalkan suatu amal ibadah disebabkan halangan yang syar’ie, Allah Yang Maha Pemurah akan tetap memberikan kita ganjaran sepertimana kita melakukannya.

Monday, August 1, 2011

Facebook Tarbiyah



Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah, sejuta kesyukuran kerana saya masih berpeluang merasai kemanisan tarbiyah ramadhan. Ya ALLAH, saya ingin menjadikan ramadhan ini ramadhan yang terbaik buat saya. Kenangan ramadhan yang lalu sentiasa tersemat di hati saya tatkala mengimbau kembali suasana saya ditarbiyah. Dengak keberkatan bulan ramadhan dua tahun yang lalu juga saya mula belajar membaca Al Quran dan akhirnya pada ramadhan kali ini saya menunggu untuk mengkhatamkannya buat sekian kalinya. Itu adalah nikmat terbesar dalam hidup saya.

Saya berharap ramadhan kali ini dimanfaatkan sebaiknya untuk menopup mana yang kurang dan tidak sempurna. Cuma ketika ini, ada hal yang menggusarkan pemikiran saya. Seringkali facebook dikatakan bisa dijadikan medan dakwah dan tarbiyah yang luas. MasyaALLAH, inilah hebatnya kurnian ALLAH, setiap perkara pasti ada manfaatnya

Namun, saya gusar sekiranya diri saya yang mengaku ditarbiyah dan juga sahabat sahabat seperjuangan telah terhijab dari menjaga adab adab tarbiyah di dalam facebook.Kadang kadang, kita sendiri tidak akan perasan perlakuan kita sehingga ada yang menegur. Jadi, sebagai seorang yang mengaku pejuang agama, sudah pasti akan berlembut hati untuk menerima teguran yang berhikmah bukan? =)

Pernah saya menuliskan pada status saya bahawa 'MENJAGA IKHTILAT ADALAH CARA MEMBEZAKAN GERAK KERJA MEREKA YANG DITARBIYAH DAN TIDAK DITARBIYAH. Saya mengajar diri saya untuk menanamkan sifat tersebut juga dalam facebook saya. Cuma perlu diubah sedikit iaitu ISI KANDUNGAN FACEBOOK MEMBEZAKAN MEREKA YANG DITARBIYAH DAN TIDAK DITARBIYAH.

Saya bukanlah seorang yang syadid sehingga menyatakan bahawa tidak boleh bergurau atau bermain di dalam facebook tetapi kadang kadang kita sebagai manusia juga alpa sehingga tidak menjaga adab adab tarbiyah sebagai seorang daie. Cuba lihat facebook kita, mungkin ada komen komen kita yang terkeluar sedikit dari landasan namun sekiranya kekerapan begini berulang takut akan menimbulkan kesakitan di hati manusia manusia yang sakit. Kita memang tidak sakit tetapi harus di INGAT bahawa kita adalah insan yang ditarbiyah, dan jangan sekali kali kerana kelalaian kita menjaga adab menyebabkan kita terjerumus pada fitnah dunia.

Facebook tetap facebook. Saya tidak mahu membicarakan soal boikot atau tidak boikot. Cuma harapan saya, sebagai seorang daie, kita punya LOCENG KESEDARAN. Sekiranya kita berasakan kita sudah terlebih dari sasaran, maka insyaALLAH jadikanlah ramadhan sebagai u turn ke jalan yang lurus. Tidak ada salahnya komen mengomen dalam facebook cuma berhati hati terhadap FITNAH dunia dan PERSEPSI manusia. Biar ALLAH mengetahui niat di hati kita tetapi REPUTASI sebagai seorang DAIE harus dijaga apatahlagi tika berdepan dengan mad'u.

Saya juga mempunya facebook, saya juga berkomen melalui facebook. Tulisan ini saya tujukan terutama buat diri saya kerana saya mempercayai wasiat Imam HASAN AL BANNA, tegakkan ISLAM dalam dirimu, pasti ISLAM akan tertegak di sekelilingmu. Kalian juga masih boleh menggunakan facebook, membalas komen, meletakkan gambar dan sebagainya tetapi jangan pernah sekali lupa iaitu jadikan facebook anda sebagai FACEBOOK TARBIYAH. Insan yang ditarbiyah pasti bijak menilai sejauh mana tindakannya .... InsyaALLAH


Mari berdoa agar menjadi bidadari di syurgaNYA AMEEN ^_^. InsyaALLAH doa akan dimakbulkan pada bulan yang mulia ini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...