Suasana di lapangan terbang X terasa begitu hening sekali. Sehening jiwa Mastura yang begitu keberatan untuk melangkah pergi. Dia sendiri tidak pasti adakah dia membuat keputusan yang tepat. Sudah beristikharah banyak kali, namun hatinya cenderung untuk beruzlah seketika.
Siapa kata dia tidak mencuba sehabis habisnya? Betapa selama ini dia begitu menekan jiwa dan raganya. Sehingga sampai ke suatu tahap, dia mendiagnosis dirinya sendiri sebagai orang gila. Setiap kemahuan insan lain diturutinya, kemahuan ibubapanya, kemahuan keluarganya, kemahuan rakan jemaah, kemahuan tunang, kemahuan rakan sekerjanya. Tetapi bagaimana dengan kemahuannya? Hanya ALLAH yang tahu betapa perit dan luruh hati tatkala setiap kali dia berasa bahawa dia sahaja yang perlu berkorban. Maka, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat itu seketika. Dia ingin melarikan diri untuk menenangkan jiwa.
Bukankah Rasulullah SAW juga berhijrah untuk menegakkan ISLAM? Jadi, mengapa aku takut untuk melangkah? Monolog Mastura di dalam hatinya.Tetapi Rasulullah SAW berhijrah kerana tekanan musuh musuh ISLAM, namun kau berhijrah kerana tidak tahan dengan ujian yang ALLAH berikan padamu. Sayup sayup kedengaran suara yang tidak dikenali mendominasi ruang hatinya.Aku tidak tahan dengan ujian ALLAH? Selama ini aku cuba bertahan, tetapi setiap jalan yang ku pilih menemui jalan buntu... maka ALLAH mengilhamkanku untuk bepergian buat seketika. Malah ini adalah jawapan istikharahku, untuk ku cari ketenangan dalam jiwa.Sanggupkah dirimu meninggalkan tanggungajwab perjuangan di bumi kelahiran mu kepada orang lain? Semata mata kau ingin mencari sesuatu yang bisa memuaskan hatimu? Bukankah itu namanya pentingkan diri sendiri? Suara itu menggertak lagi.ALLAH mengetahui sejauh mana diriku berusaha menunaikan kewajipanku menjadi penyeru. Penyeru ke arah kebaikan demi agamaNYA. Aku berasa diriku sudah berusaha sehingga mencapai tahap maksima, namun ruang untukku masih terlalu sempit, mungkinkah melarikan diri seketika adalah jalan terbaik.Mungkinkah?? Kau masih belum pasti dengan keputusan mu Mastura!Tidak... jangan ganggu aku, larikan diriku dari pemikiran kacau ini. Aku tidak mengenali siapa kamu. Kenapa kamu perlu hadir dalam diriku... menjauh.. menjauh.......... Mastura menjerit sekuat hatinya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hari hari sebelumnya.........
Deringan telefon bimbit kesayangan Mastura berbunyi. Pada mulanya dia terasa begitu malas untuk mencapainya. Hatinya bermonolog sendirian
"Mesti berkaitan dengan gerak kerja ataupun yang meminta bantuan dariku. Sungguh malas rasanya, apabila memerlukan aku baru dicari, tetapi apabila rasa diriku ini tidak diperlukan, aku akan dibiarkan begitu sahaja. Mereka hanya akan teringatkan diriku apabila mereka membutuhkan ku."
Teringat perbualan bersama rakan seperjuangannya, Humairah.
Humairah: Asif enti, boleh berbicara sebentar. Ana lihat sejak kebelakangan ini, enti semakin kurang berminat dengan gerak kerja, mungkin ada masalah yang enti ingin kongsikan bersama ana?
Mastura: Ana letih enti......
Humairah: Letih? Ya ALLAH, kasihannya sahabatku ini, jika begitu, mungkin enti perlu banyakkan berehat. Jangan fikir yang bukan bukan. Letih kerana kerja??
Mastura: Ana letih dengan kehidupan ana
Humairah: Kehidupan, bagaimanakah dengan kehidupan enti?
Mastura: Enti ini banyak pula soalannya. Nanti kalau ana luahkan pada enti, mesti enti tuduh ana futur.
Humairah: Enti kan sahabat ana, ana tidak akan mudah melabelkan enti sebagai seorang yang futur, bukankah naqibah kita sudah berpesan bahawa futur itu hanya terletak pada hati. Apabila hati sudah lalai dari mengingati ALLAH, itu adalah futur yang sebenar.
Mastura: Ana tidak mampu enti, terlalu banyak masalah yang ana pikul. Fikiran ana terlalu serabut.
Humairah: Cuba enti ceritakan satu persatu kepada ana, insyaALLAH, ana akan cuba membantu ukhti.
Mastura: Enti tidak akan mengerti, ana ada masalah dengan keluarga, tempat kerja, rakan jemaah dan juga tunang ana.
Humairah: Enti, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya dan kemungkinan masalah itu datangnya dari kita sendiri.
Mastura: Tengok, enti sudah mula menyalahkan ana. Baru sahaja ana nak buka mulut mengadu kat enti. Sepatutnya enti mendengar dahulu penjelasan ana bukannya terus menghukum ana. Keluarga ana juga begitu, terus menuduh ana yang bukan bukan. Apatahlagi tekanan dari rakan sekerja, begitu juga rakan jemaah sendiri. Malahan tunang ana sendiri tidak memahami ana dan tidak pernah memperdulikan ana. Lupakan semuanya, ana nak pergi dari sini!.
Humairah segera beristighfar apabila Mastura mengherdiknya lalu meninggalkannya begitu sahaja. Dia yakin bahawa Mastura sedang di uji oleh ALLAH swt, bukankah ALLAH telah membeli dari orang mukmin baik diri mahupun harta mereka? Semoga Mastura memperoleh pencerahan yang hakiki dan diilhamkan penyelesaiannya dari ALLAH SWT.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Air mata Mastura bercucuran. Sesungguhnya dia betul betul berasa terasing disitu. Setiap kemahuannya tidak pernah diikuti. Dia berasakan dia tidak mampu lagi untuk menjadi insan yang baginya terlalu baik. Bukan dia tidak redha dengan ujian ALLAH cuma dia merasakan dirinya tidak mampu. Tekanan demi tekanan menghimpit dirinya. Nuansa keluarga yang tidak memahami perjuangannya menyebabkan dia sering dituduh sebagai seorang penjenayah. Ibubapanya lebih mengutamakan adik beradiknya yang lain dan dia disisihkan dengan alasan dia seorang 'PELAMPAU' yang mengamalkan ajaran ISLAM
Kereta yang dipandu Mastura terus bergerak laju. Mindanya masih melayang melayan perasaannya sendiri. Kepalanya terasa begitu berat. Masalah di tempat kerja juga menimbulkan tekanan emosi pada dirinya. Keadaan tempat kerja yang terlalu sosial menyebabkan dia sering berasa tercekik dengan udara yang dihirupnya. Malah, beberapa kali juga dia mengalami gangguan daripada rakan sekerja yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang muslimah. Ya, dia sudah cuba untuk kuat. Namun, setiap kali dia bersuara untuk berbicara tentang ISLAM, dia sering menjadi bahan sindiran. Dia dikatakan seorang USTAZAH yang ketinggalan zaman.
Dia menangis dan terus menangis. Kini, dia tidak tahu ke mana harus dia mengadu. Hanya kepada ALLAH SWT dia menangis memohon pertolongan dan perlindungan. Rakan rakan dakwah juga seolah olah tidak memahami dirinya. Setiap kali dia cuba meluarkan masalahnya kepada mereka, mereka mengatakan dia seorang yang lemah. Tidak patut sekiranya seorang pejuang agama itu mudah mengeluh. Dia tidak mengeluh tetapi dia mahukan sokongan. Bukankah dia juga manusia biasa? Rasululullah SAW juga perlukan sokongan dari sahabat sahabat baginda.
Malah, harapan yang disandarkan kepada tunangnya juga seolah olah lumpuh begitu sahaja. Dia mengharapkan agar tunangnya itu memahami masalah demi masalah yang dihadapinya. Sebelum ini dia menerima tunangnya dengan penuh tulus hati agar dia menjadi lebih kuat untuk terus berjuang. Kini dia berasakan bahawa dia sudah tersalah, dia melihat tunangnya itu hanya menguatkan dirinya sendiri tetapi tidak pernah cuba untuk menguatkan bakal pendampingnya. Bukankah mereka sudah berjanji untuk membina baitul muslim dakwah? Adakah dia sudah melihat diri Mastura itu sebagai seorang malaikat yang terlalu sempurna?
Mastura berasakan dia tidak bisa untuk menghadapi semua ini, dia ingin lari dari semua ini. Oleh itu, dia sudah bertekad untuk meninggalkan bumi kelahirannya itu dan berpindah ke tempat yang lain. DIa ingin mencari ketenangan jiwa dan merawat segala luka yang merajai hatinya. ALLAH....
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Irama hembusan angin terasa begitu merdu sekali. Terasa bahang panas tiap kali dia cuba untuk menyedut udara itu. Dia sendiri tidak mengetahui dimanakah dirinya kini. Seolah olah tempat itu seperti padang pasir yang kering kontang. Dia berasa sedikit takut kerana dia dia berseorangan di situ. Ya ALLAH, bagaimanakah dia boleh berada di tempat yang asing itu?
Hei kamu ya di sana!
Dia mendengar suara itu lagi. Suara yang sama didengarinya ketika di lapangan terbang. Dia terpaku seketika. Bukankah dia sepatutnya berangkat untuk ke luar negara sebentar lagi. Dia sudah bertekad untuk meninggalkan perjuangannya dan insan insan itu buat seketika. Dia ingin beruzlah, tetapi mengapa dia bisa terdampar di padang pasir itu?
Hei kamu ya di sana!
Suara itu bergema lagi, dia mencari sumber suara itu.
Hei kamu ya di sana! Hei kamu ya di sana! Hei kamu ya di sana!
Suara itu bergema dan terus bergema sehingga Mastura sendiri tidak mampu menahannya dan jatuh pengsan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dia menggosok gosok kedua matanya. Dia masih berada di padang pasir itu. Cumanya, kini dia ditemani oleh seorang wanita. Wanita itu berpurdah dan berpakaian hitam. Dia tidak mengetahui siapa wanita itu dan bagaimana dia boleh berada di situ.
"Assalamualaikum." Wanita itu bersuara
"Waalaikumsalam. Siapa kamu? Dan mengapa aku dan kamu ada di sini?"
"Aku hamba ALLAH".
"Aku juga hamba ALLAH".
"Aku ingin mengajak kamu."
"Ingin mengajakku?"
"Aku ingin mengajak kamu berbuat kerja dakwah!" Suara wanita itu kelihatan bertegas
"Tidak, aku sudah membuat keputusan, aku ingin meninggalkan kerja dakwah buat seketika. Aku sudah hampir gila dalam setiap kekecewaan yang ku terima hasil kerja dakwah!". Mastura menjerit sekuat hatinya. Baginya, tidak ada yang perlu dimalukan kerana hanya dia dan wanita itu yang berada di situ.
"Selama ini kamu tidak berbuat kerja dakwah".
"Aku tidak berbuat kerja dakwah? Aku keliru!".
"Jika kamu berbuat kerja dakwah, kamu pasti tidak akan keliru".
"Aku tidak memahami maksud kamu".
Lantas wanita itu mengalun merdu sepotong ayat dari surah Muhammad; ayat 31.
Dan sesungguhnya Kami benar benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan Kami akan menyatakan (baik buruknya) keadaanmu.
'Jika kamu berdakwah semata mata kerana ALLAH, kamu pasti akan merasa manisnya setiap ujian yang diberikan kerana kamu mengharapkan pembalasan ALLAH semata mata bukan kerana manusia".
"Salah satu faktor ketewasan seorang pejuang adalah melebihkan harapan kepada manusia, bukan kepada ALLAH sedang manusia itu juga makhluk yang lemah, ALLAH SWT juga berkuasa". Wanita itu berbisik tenang
Mastura terpaku seketika mendengar penjelasan wanita itu. Dia sedar bahawa hatinya diselaputi kebencian berburuk sangka dengan ALLAH menyebabkan dia tidak melihat jalan keluar bagi setiap masalahnya.
Bersambung............
Monologku: Ini cerpen saya sempena Maal Hijrah, selama ini kebanyakkan penulis cuba menonjolkan sudut positif watak yang mereka lahirkan, maka saya cuba melahirkan sisi negatif Mastura sehingga berkembang menjadi positif semula... nantikan sambungan cerpen ini ya ^_^
0 ~pemberi cinta~:
Post a Comment