Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Wednesday, November 9, 2011

“Nad, she is going to die in a few days…..”

“Anak saya tidak dapat bercakap, mengadu sakit tekak dan susah mau makan minum kerana tekaknya yang sakit tu”, mengadu seorang lelaki kepada salah seorang petugas kesihatan di unit kemalangan dan kecemasan Hospital K (bukan tempat sebenar).

Itu merupakan pertemuan pertamaku dengannya kerana kebetulan aku bertugas di unit tersebut pada hari dan masa tersebut. Perempuan itu masih muda, muda lagi dariku, dan punya raut wajah tipikal wanita Asia. Setelah diperiksa, beliau mengalami dihidrasi (kekurangan air dalam badan) dan jangkitan fungus di tekak dan mulut (oral candidiasis).

Pada hari Isnin berikutnya, daku bertugas di shif pagi dan masih lagi diberi peluang untuk berjumpa dengannya di wad tempatku bertugas. Kesedihan tergambar jelas diraut wajahnya dan kesukaran beliau untuk berkomunikasi menyulitkan doctor untuk memberikan diagnosis yang tepat berkaitan penyakitnya. Beberapa hipotesis awal dibuat namun kesemuanya tidak signifikan. Beberapa ujian makmal dibuat berdasarkan sampel darah yang diambil namun kesemuanya tidak memberikan jawapan yang memuaskan untuk membuat diagnosis yang tepat. Diagnosis yang tepat penting supaya rawatan yang sepatutnya dapat diberikan sebelum keadaan menjadi teruk.

Doktor Cik Chaq (bukan nama sebenar)sangat pening kepala dengan keadaan Miss Jijan(bukan nama sebenar). Jaundis mula kelihatan di kaki dan tangannya, manakala tidak di mukanya. Jangkitan fungus di tekaknya masih tidak berkurangan walaupun antibiotic telah diberikan. Badannya kelihatan lemah dan beliau juga tidak berdaya untuk berjalan ke tandas sendirian.

“ You mesti cakap jujur dengan misi, apa sebab you jadi macam ni. Jangan tipu misi! You ada telan atau minum apa-apa ke sebelum ni?” gertak seorang jururawat kepada Miss Jijan.

Misi Y (bukan nama sebenar) merupakan seorang jururawat pengajar yang berpengalaman berpuluh tahun di unit kritikal. Beliau baru sahaja sampai di wad tersebut dan mendapati sedikit keanehan pada kes Miss Jijan. Setelah digertak beberapa minit, Miss Y melalui pengantara ibunya mengaku menelan satu penutup sejenis racun rumpai pekat yang dinamakan paraquat sebagai jalan akhir atas masalah peribadi yang dialaminya. Ibu dan ayahnya sangat terkejut dengan perkhabaran tersebut dan tidak menyangka anak mereka telah bertindak sejauh itu.

“Nad, she’s going to die in a few days, there is no cure for paraquat poisoning,” bisik rakan setugasku setelah cerita sebenar diketahui. Daku sangat terkejut dan tidak menyangka ajal sebenarnya yang menanti beliau.

Isu Bunuh Diri Di Malaysia
Menurut statistik di Malaysia yang dikeluarkan pada September 2005, kadar peningkatan bunuh diri dianggarkan tujuh orang orang setiap hari serta lebih 2000 kematian setiap tahun. Antara factor penyumbang kepada kejadian bunuh diri antaranya ialah 6 sebab berikut: kemiskinan, kehilangan orang yang disayangi, keretakan perhubungan, penyalahgunaan dadah, kegagalan akademik dan sejarah penyakit fizikal dan mental dalam keluarga. Selain itu, pegangan agama yang lemah juga merupakan pendorong kepada keputusan yang cetek akal seperti isu bunuh diri ini.

Larangan Membunuh Diri Dalam Islam
Terdapat beberapa larangan dari al-Qur�an dan al-Sunnah berkaitan dengan kesalahan ini, di antaranya:
- firman Allah: Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan (al-Baqarah, 2:195)
- dan firmanNya lagi: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang kepada kamu (al-Nisa', 4:29).
Di dalam Sunnah Rasulullah s.a.w. kita menemui Hadis-hadis berikut:
- baginda bersabda: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia ini, maka dia akan diazabkan dengannya pada hari kiamat nanti (riwayat Muslim, 1:104; al-Darimi, 2:112 dan Ahmad, 4:33,34).
- sabdanya lagi: Sesiapa yang menjatuhkan dirinya dari puncak bukit kerana membunuh diri, maka dia akan berulangkali jatuh ke dalam api neraka selama-lamanya, sesiapa yang meneguk racun kerana membunuh dirinya, maka racun itu akan berada di tangannya dan dia akan meneguknya berulangkali di dalam neraka selama-lamanya, sesiapa yang membunuh dirinya dengan menggunakan besi, maka besi itu akan berada di tangannya dan dia akan memukul kepalanya dangan besi itu berulangkali di dalam neraka selama-lamanya (riwayat Muslim, 1:104; al-Darimi, 2:112 dan Ahmad, 4:33,34).

Ibrah Dari Kejadian

1. Nyawa adalah milik mutlak Allah.
Tiada sesiapa selain Allah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Sebagai manusia yang juga hamba kepada Allah, adalah berdosa besar sekiranya meragut nyawa sendiri akibat kegagalan mengatasi masalah dalam hidup. Manusia tidak diciptakan untuk tujuan yang sia-sia. Manusia dan jin diciptakan untuk beribadah kepada-Nya.
Dalam hidup, ujian datang dan pergi. Itu merupakan sebahagian daripada kitaran hidup manusia. Adalah merugikan bagi keluarga, masyarakat, negara dan agama apabila seseorang individu membunuh diri. Jalan penyelesaian yang diambil ini merupakan manifestasi kepada lemahnya jati diri, pegangan agama dan keberkesanan pendidikan yang diterima oleh seseorang individu. Bagaimana mahu merealisasikan cita-cita besar mentadbir masyarakat dan Negara sekiranya jati diri warganegaranya rapuh, tidak kental?

2. Pengalaman adalah guru yang terbaik.
Bagaimana Misi Y dapat mengenalpasti punca masalah dalam beberapa minit sahaja setelah meneliti kes yang dikemukakan? Ini disebabkan beliau telah beberapa kali berdepan dengan masalah sebegini setelah bertahun-tahun berada dalam perkhidmatan. Apabila berdepan dan merawat pesakit, pengalaman merupakan panduan yang terbaik. Jadi, jangan putus asa sekiranya kita tidak pandai atau cekap dalam membuat sesuatu procedure. Yang penting, jangan berhenti belajar, membaiki dan terus meningkatkan prestasi. InsyaALLAH, kita juga merupakan bakal acuan Miss Y pada masa akan datang (cuma kasut kita tidak berbunyi kuat je).

3. Sediakan bekalan yang cukup sebelum kita dipanggil pulang
Setiap manusia yang hidup tidak tahu bilakah mereka akan dipanggil pulang. Masa kematian menjadi rahsia ALLAH. Bukannya manusia yang menentukan bila mereka patut mati.

Menurut satu kajian yang dibuat di India, kepekatan racun paraquat paling tinggi dijumpai di paru-paru dan akan memuncak setelah 5-7jam selepas diminum. Dalam kajian tersebut, 7 daripada 17 orang yang meminum paraquat dilaporkan ‘survive’ tetapi menderita kesan sampingan daripadanya seumur hidup. Racun paraquat mengakibatkan kerosakan terus kepada lapisan sel di mulut, perut dan usus.Toksin racun paraquat mengakibatkan tindakbalas kimia kepada organ dan sistem dalam badan terutamanya paru-paru, hati dan buah pinggang. Jaundis yang kelihatan adalah berpunca daripada kerosakan hati secara beransur-ansur. Keadaannya beransur-ansur lemah. Beliau hanya bertahan selama seminggu selepas meminum racun tersebut. Al-Fatihah.


Rujukan:
1. MedlinePlus: Paraquat poisoning (http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/001085.htm)

2. Institut Kefahaman Islam Malaysia: Islam tegah perbuatan bunuh diri (http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=954&cmd=resetall)

3. Centers for Disease Control and Prevention: Facts about paraquat (http://www.bt.cdc.gov/agent/paraquat/basics/facts.asp)

4. Indian Journal Of Nephrology: outcome of paraquat poisoning-a five year study (http://medind.nic.in/iav/t03/i2/iavt03i2p64.pdf)

credit to Nadzirah Aslan

0 ~pemberi cinta~:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...