Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Monday, December 31, 2012

Baitul muslim dakwah: Sekadar Impian atau realiti??

Bismillahirahmanirahim

Menjadi impian buat semua aktivitis dakwah untuk memiliki baitul muslim dakwah. Muslimin mengharapkan pasangan muslimat yang memahami perjuangan manakala yang muslimat pula memohon mendapat pasangan hidup yang dapat membimbing dirinya.

Sedikit persoalan timbul berlegar di minda, benarkah baitul muslim dakwah sebenarnya wujud di realiti kehidupan seorang daie atau sekadar impian yang hanya menari menari dalam fikiran seorang daie?.

Berapa ramai aktivitis dakwah muslimat yang sebelumnya laju untuk bergerak kerja, menjadi semakin 'slow' setelah berumah tangga. Alasan yang diberikan, suami tidak mengizinkan untuk bergerak kerja, tanggungjawab terhadap anak anak dan rumahtangga.

Buat sang suami pula, berapa ramai yang sanggup melepaskan sang isteri bermesyuarat lewat malam untuk kebaikan ummah?

Berapa banyak pula anak anak golongan daie yang gagal diprodukkan menjadi seperti ibubapa mereka. Sesungguhnya, ujian paling berat buat seorang daie adalah ketika ahli keluarganya berpaling dari kehendak kedua ibubapanya.

Melalui pemerhatian pemerhatian ini, terdapat juga golongan daie yang bujang, mengambil keputusan untuk tidak berkahwin kerana takut perjuangan terganggu dengan kehadiran seorang suami atau seorang isteri.

Saya hanya mampu tersenyum. Untuk diri saya, pernikahan itu sunnah Rasulullah S.A.W. Sebagaimana saya mengkagumi baitul dakwah Rasulullah S.A.W, selagi itu saya meyakini baitul muslim dakwah bukan hanya omong kosong seorang daie.


Bukankah baitul muslim dakwah Rasulullah S.A.W itu sesuatu yang sepatutnya dicontohi. Rasulullah S.A.W murabbi agung, berjaya mengemudi rumahtangganya di samping tanggungjawab menyampaikan risalah ISLAM . Bagaimanakah pengorbanan Saidatina Khadijah terhadap perjuangan Rasulullah S.A.W?

Masa, harta dan jiwa dikorbankan demi kepentingan ummah. Sanggupkah kita untuk mengorbankan wang ringgit kita sendiri demi perjuangan suami? Rasa rasanya para isteri sekarang lebih suka mempunyai simpanan sendiri terutama di ASB, sebagai persediaan di masa hadapan tanpa ketahuan suami.

Namun, sedikit menyedihkan apabila para daie tidak memberi fokus yang sebenar terhadap pembinaan baitul muslim. Janji yang ditabur hanya di bibir dan tidak dimanifestasikan dengan perbuatan. Bukankah dakwah itu adalah praktikal bukan setakat teori. Sesungguhnya daie, kau belum layak digelar seorang daie sekiranya kau belum merasai medan dakwah di alam rumah tangga. 

Saya bertanya kepada naqibah saya, sejauh mana kepentingan baitul muslim buat seorang daie? Naqibah saya meminta saya menyelami kehidupan ulama mujtahid Imam Hasan Al Banna. Mampukan Imam Hasan Al Banna menyelami bahtera dakwah beliau yang sangat mencabar tanpa seseorang yang kuat untuk menguatkan beliau? Saya terpanggil untuk membaca buku Persembahan Cinta Isteri Hasan Al Banna, perjalanan kisah Lathifah As Shuli pendamping hidup Hasan Al Banna. Pernah saya utarakan kepada Ustazah Fatimah Syarha yang terkenal dengan tulisannya Cinta High Class berkaitan cinta selepas berkahwin. Saya katakan kepada Ustazah Fatimah, bagaimana pula seorang isteri yang berkorban, menjadi seorang ayah dan pemimpin keluarga di saat suami sibuk dengan tugasan dakwah, mampukah kita sebagai muslimah berkorban perasaan tatkala kita ditinggalkan bepergian? Tidak dipedulikan dan disakiti kerana dakwah. Saya berharap Ustazah Fatimah Syarha mengeluarkan artikel berkaitan baitul muslim dakwah.





Ingin juga saya kongsikan di sini, kisah sahabat saya. Seorang muslimah yang ditarbiyah setelah melalui alam kampus, dia kembali kepada keluarganya. Sesungguhnya ALLAH telah mengujinya, keluarganya tidak mengizinkan dia untuk aktif dalam dakwah kerana kurangnya kefahaman keluarga. Sedikit menyedihkan apabila kakak kakak akhwat sering menimbulkan isu supaya dia berkahwin cepat dengan alasan dia dapat 'lari' daripada keluarganya dan bergerak kerja semula. Cuma dia sedikit terkilan apabila melihat kakak kakak yang memberikan cadangan sedemikian juga 'down' dalam bergerak kerja. Dia bertanya dalam dirinya, benarkan baitul muslim dakwah itu wujud di alam realiti atau sekadar impian? Benarkah pernikahan bisa menyelamatkan seorang wanita muslimah untuk kembali ke medan dakwah?

Selain itu, ingin saya kongsikan di sini kisah pernikahan agung seorang sahabat saya, dia juga seorang muslimah yang ditarbiyah. ALLAH swt telah mentakdirkan jodohnya dengan lelaki yang tidak sefikrah tetapi memahami ISLAM. Alhamdulillah, dia telah berjaya menguatkan suaminya dengan fikrahnya. Kini, suaminya begitu aktif menyumbangkan tenaga dalam gerakan dakwah.

Melalui pemerhatian pemerhatian saya yang kerdil ini, pembinaan baitul muslim itu bergantung kepada individu itu sendiri. Sama ada kau berusaha membina atau merobohkannya. Sama ada kau berusaha menjadikan realiti atau hanya impian yang kau catitkan dalam mimpi mu sehari hari. Sama ada kau telah memulakan satu langkah atau kau hanya mengambil tindakan atas pagar. Segala galanya bergantung kepadamu wahai daie. Menghidupkan ummah dengan kefahaman ISLAM juga adalah pilihanmu. 

Jujurnya, ada tikanya keyakinan saya juga goyah. Benarkah baitul muslim dakwah itu bisa dihidupkan di alam nyata atau sekadar impian saya (saya juga mengaku diri saya seorang daie kononnya). Saya tidak tahu kerana ALLAH Maha Mengetahui. Tulisan saya ini merupakan hasil buah fikiran saya, kerana saya kerap tertanya di manakah kedudukan baitul muslim dalam kehidupan seorang daie. Adakah baitul muslim hanya sekadar janji yang perlu ditepati atau sesuatu yang perlu kita usahakan dengan bersungguh kerana dakwah itu kecintaan. Membina baitul muslim dakwah itu juga kecintaan, namun pernahkah dan sanggupkah kita berkorban?

Salam perjuangan
~ Nadrah Yusra ~


Sunday, December 23, 2012

Istikharah Cinta

 Bismillahirahmanirahim

SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHuakhbar...

Seperti yang saya kongsikan dalam blog saya sebelum ini, kisah penghijrahan seorang mualaf iaitu sahabat saya, Nur Muhayya.

Alhamdulillah, Nur Muhayya selamat diijabkabulkan bersama mujahid pilihan ALLAH untuknya pada 22 Disember 2012.

Semoga Nur Muhayya dan suami bahagia sehingga ke syurga.

InsyaALLAH.

Pasangan Mempelai
Saat lafaz sakinah

Barisan Ahli Jawatankuasa majlis ;)


Buatmu Yusra...

Engkau yang sedang memikul beban hati
yang tak ringan, dengarlah ini …

DALAM GELAPNYA MASALAHMU,

Tetaplah setia kepada yang benar, tetaplah berharap kepada Allah, dan janganlah pernah lupa bahwa Allah tak akan melupakan
kesetiaanmu kepadaNya.

TETAPLAH MENJADI JIWA YANG BAIK.

Mudah-mudahan Allah segera
memasukkanmu ke tempat masuk yang benar,
atau mengeluarkanmu dari jalan keluar yang benar,
dan mendatangkan dari sisiNya sebuah kekuatan yang menolongmu, yang melepaskan beban dari dadamu, yang membersihkan kekalutan dari pikiranmu, dan yang mengeluarkan penyakit dari tubuhmu.

Semoga Allah mendamaikan jiwamu,
dan menyejahterakan hidupmu.

Diari seorang jururawat : Ini kerja dakwah!

Bismillahirahmanirahim

Maaf, sudah lama saya tidak menulis. Sebenarnya saya sedang mengumpul kekuatan untuk menulis kembali. Saya tidak mahu menulis sesuatu yang sia sia, tanpa menyentuh hati pembaca mendekati ALLAH.

Saya pernah bercita cita untuk menjadi penulis yang hebat, sebaris dengan Ustazah Fatimah Syarha, Hilal Asyraf dan yang lain lain tetapi saya rasa niat saya sudah menyimpang. Seakan akan timbul rasa riak dalam diri saya.

Meneruskan kehidupan harian sebagai seorang jururawat memang indah. Cabaran demi cabaran yang ditempuhi membuatkan saya semakin mencintai kerjaya saya.

Menyantuni kerisauan adik adik berkaitan kerjaya, saya cuma mampu berkongsi agar adik adik banyak memohon dari ALLAH swt untuk memberikan pekerjaan yang terbaik untuk adik adik. Bukan sahaja yang terbaik dari segi tangga gaji tetapi yang mampu membuatkan adik adik istiqomah dengan kerja dakwah dan menyumbang sesuatu untuk ISLAM.

Berkaitan kerjaya sebagai seorang jururawat, saya menolak sama sekali apabila ada individu yang mengatakan ini bukan kerja dakwah. Jika kalian tahu bagaimana seorang jururawat menghabiskan 2/3 dari harinya untuk melayan pesakit pesakitnya. 

Saya gembira apabila mendapat respon daripada adik adik yang juga merupakan seorang jururawat atau bakal bergelar jururawat berkaitan tentang apa yang saya tulis di blog ini. Saya selalu katakan sebelum ini, saya berharap lebih ramai lagi jururawat muslim yang mempunyai kesedaran beragama. InsyaALLAH, seorang jururawat yang benar benar ikhlas, pasti akan menyentuh hati pesakitnya untuk mendekati ALLAH.

Berbalik kepada cerita jururawat dan dakwah, suasana pekerjaan saya sedikit mencabar kerana saya ditemani rakan sekerja yang kebanyakkannya tidak beragama ISLAM. Pesakit pesakit saya juga terdiri daripada golongan atasan yang tidak beragama ISLAM. Sekiranya mempunyai rakan sekerja yang beragama ISLAM, mereka juga masih kurang amal islaminya. Bukan tujuan untuk bangga diri atau riak, saya hanya berkongsi pengalaman dakwah sebagai seorang jururawat.

Pada mula kedatangan saya untuk bekerja, saya dipandang pelik oleh rakan rakan sekerja. Mereka kehairanan apabila saya meminta izin untuk bersolat. Selain itu, mereka juga sedikit lucu melihat uniform saya yang besar dan memakai sarung lengan. Saya hanya tersenyum dan cuba memberi penjelasan secara hikmah. Kadang kadang saya perlu memberi penjelasan berulang ulang kali kerana mereka kerap kali terlupa penerangan saya sebelum ini. Namun, sedikit menyedihkan apabila penjelasan saya adakalanya dibantah oleh sahabat muslim sendiri seperti ketika saya menerangkan mengapa wanita muslimah ditegah untuk menari dihadapan khalayak, rakan muslim saya sendiri bertegas mengatakan menari itu tidak mendatangkan dosa.

Alhamdulillah, setelah dua tahun saya berkhidmat di hospital itu, saya bersyukur kepada ALLAH, rakan sekerja saya semakin berminat untuk mendekati ISLAM. Ada yang minta diajar mengaji, bertanya soalan agama dan sebagainya. Biarpun soalan yang ditanya remeh temeh dan dirasakan mudah, tetapi saya yakin itulah titik permulaan mereka untuk lebih mendekati ALLAH. 

Pengalaman berharga saya bersama pesakit pula apabila saya berpeluang menjaga pasangan suami isteri beragama Budha yang lama menetap di hospital kami. Suaminya menghidap penyakit kanser tahap akhir sehingga perlu melalui banyak pembedahan, isterinya begitu tabah dan setia menemani suaminya. Auntie (panggilan kami buat isterinya), sering bertanya kepada saya jika saya sudah menunaikan solat atau belum. Seolah olah Auntie adalah 'reminder' yang dihantarkan ALLAH supaya saya menunaikan ALLAH.

SubhanALLAH, Alhamdulillah, Allahuakhbar
Kadang kadang saya ditanya oleh adik adik. bagaimana untuk mendapat kekuatan menjadi seorang jururawat muslimah yang ditarbiyah. Saya hanya mampu mengatakan, kekuatan datang dari ALLAH, tetapi jangan sekali kali putus asa. Terus terusan berdoa dan mencuba untuk bersama insan insan yang soleh dan menyertai program program bermanfaat seperti usrah dan sebagainya.

Teruskan usaha, jadikan pekerjaan sebagai jururawat sebagai kerja dakwah, kerana kita paling dekat dengan masyarakat. Bersama mereka tatkala saat sedih dan gembira.


Mohon doa juga agar saya terus kuat di jalan ini. 

Salam sayang,

~ saya hanya jururawat biasa ~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...