Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Tuesday, February 28, 2012

Bila Mantan Perdana Menteri Berbicara Berkenaan Hudud

Sedikit pencerahan dari Akhi Hilal Asyraf

Bila Mantan Perdana Menteri Berbicara Berkenaan Hudud.

Assalamu'alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barokatuh.

Alhamdulillah, pada hari ini saya telah menulis status berkenaan mantan perdana menteri yang kita kasihi, apabila dia berkata berkenaan Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah, dan bukannya datang daripada Al-Quran.

Apa yang suka saya ketengahkan di dalam isu ini adalah kenyataannya - Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah. Tiada daripada Al-Quran. Rujuk: http://www.youtube.com/watch?v=5_gtWEM7Npw

Maka, saya rasa sangat kelakar, untuk seorang mantan perdana menteri yang memerintah sebuah negara 'Islam' untuk jangka masa lebih dua dekad, bahkan masih hidup hingga ke hari ini, untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

Kita ketepikan dahulu persoalan 'Bagaimana Sepatutnya Hudud Dilaksanakan'. Sebab nampaknya, persoalan 'Apakah Hudud Itu Daripada Allah' pun tidak diketahui rupanya.


Tiada Di Dalam Al-Quran? Tiada Di Dalam Hadith? Rekaan?

Saya hanya seorang pelajar Usuluddin, tahun akhir, di University of Yarmouk, Irbid, Jordan. Saya tidak mendalami syariah(peraturan) Islam sebagaimana pelajar Fiqh. Saya hanya 'budak Usul', atau 'budak akar' di dalam bidang agama ini. Justeru, saya belajar akan Aqidah, Tafsir Al-Quran, dan Hadith.

Sebab itu, saya mahu bahaskan tentang "Apakah benar Hukum Hudud itu rekaan ulama' Fiqah?".

Saya tidak layak untuk membahaskan "Bagaimana Melaksanakan Hukum Hudud." Semestinya, saya serahkan yang itu kepada yang lebih arif. KERANA SAYA TIDAK TAHU. Saya ulang, kerana saya tidak tahu. Apa yang saya tidak tahu, saya tak akan pandai-pandai sentuh.

Maka, di sini buktinya bahawa Hukum Hudud itu wujud di dalam Al-Quran dan Hadith, bukannya rekaan Ulama'.

Ini hukum untuk yang mencuri:

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." Surah Al-Maidah ayat 38. Ini dalil hukum hudud untuk mencuri. Jelas, ini adalah Al-Quran.

Diriwayatkan pula di dalam Sohih Bukhari Hadith no 1516 Jilid 3:

Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: "Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?" Kata mereka: "Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!" Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?" Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: "Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!"

Kemudian hukum zina pula:

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman." Surah An-Nur ayat 2.

Hukum Rejam untuk penzina yang telah berkahwin:

"Dari Jabir bin Abdullah Al-Ansar RA, bahawa seorang lelaki dari Aslam datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa dia telah berzina. Pengakuan ini diucapkannya empat kali. Lalu Rasulullah SAW menyuruh supaya orang itu direjam. Sesungguhnya dia telah berkahwin." Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, no 1817, Jilid 4, Bab Zina.

Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith.

Kemudian hukum murtad pula:

"Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia." Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, Hadith no 6922. Jelas, ini adalah hadith yang sohih.

Kemudian hukum Qazaf(menuduh orang lain berzina):"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik" Surah An-Nur ayat 4.

Sekali lagi, jelas, ini adalah daripada Al-Quran. Daripada Hadith yang Sohih.

Justeru, amatlah dangkal untuk seseorang itu sebenarnya menyatakan Hukum Hudud Adalah Rekaan Ahli Fiqah dan bukannya daripada Al-Quran.


Hukum Hudud Tidak Adil. Merugikan Orang Islam.


Dinyatakan juga oleh Mantan Perdana Menteri tersebut bahawa, Hukum Hudud ini tidak adil. Dia berulang kali menyebut bahawa Islam menekankan keadilan. Kononnya Al-Quran sendiri menyatakan akan keadilan. Hukum dengan adil. Seakan-akan, melaksanakan hudud bukan satu keadilan, bahkan merugikan orang Islam.

Katanya, kalau orang Islam kena potong tangan, dan orang bukan Islam tak kena potong tangan, bukankah itu tidak adil dan merugikan?

Sebenarnya, dari segi perlaksanaan Hukum Hudud, perlaksanaannya adalah sangat ketat. Bukan semua kecurian dihukum dengan hukuman potong tangan. Perkara ini, pelajar yang mendalami Fiqah lebih arif.

Dan sebenarnya, amatlah saya terkilan dengan kenyataan Mantan Perdana Menteri kita itu. Kerana, seakan-akan, bangsa Melayu, orang islam ini kaki mencuri pula. Bukankah kita adalah bangsa yang disematkan adab dan sopan, dan mencuri bukanlah perkara kebiasaan di dalam adat kita sendiri(atau sebenarnya iya?). Maka mengapa perlu takut sebenarnya akan hukum ini? Ramai orang Islam akan ketiadaan tangan? Pada saya itu alasan yang sangat dangkal.

Dr Asri Zainal Abidin adalah antara ulama' yang saya suka penjelasannya akan perlaksanaan hudud. Boleh rujuk kepada video-video beliau. Saya second apa-apa sahaja fatwa beliau berkenaan hudud.

Setakat ilmu saya, perlaksanaan hududlah yang paling adil sekali dalam peraturan dunia. Semestinya kerana Allah SWT yang memberikan hukum ini kepada kita adalah Yang Maha Adil. Kerana itu hukumNya juga adalah adil. Bahkan, pada hemat saya, dengan melaksanakan hukum ini, Ummat Islam akan menjadi Ummat yang paling layak dicontohi kerana disiplin dan ketelusan mereka. Yang menjadikan kita takut dengan Hudud ini adalah daripada penerangan yang salah, dan dimomokkan pula dengan perlaksanaannya yang dikatakan barbarik, ganas, tidak berperasaan.Tidak. Hakikatnya tidak.

Apa-apa hal pun, untuk lebih detail berkenaan BAGAIMANA HUKUM HUDUD ITU PERLU DILAKSANAKAN, saya serahkan kepada rakan-rakan saya dalam bidang syariah untuk menjelaskannya. Jelas, Dr Asri Zainal Abidin banyak membahaskannya.


Penutup: Saya Tidak Perlu Menjadi Pembangkang atau Perdana Menteri Untuk Memberikan Teguran Ini.

Saya tidak perlu menjadi Pembangkang untuk menegur Mantan Perdana Menteri ini sambil menjelaskan pula perkara ini di khalayak ramai. Pada saya, ulama'-ulama' Kerajaan perlu bertegas memberikan penjelasan akan hal ini.

Saya juga tidak perlu menjadi Perdana Menteri, untuk membetulkan statement - Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah dan bukan daripada Al-Quran.

Kalau semua orang perlu menjadi Perdana Menteri baru boleh tegur Perdana Menteri atau Mantan Perdana Menteri, maka dalam sejarah Malaysia ini tinggal 3 orang sahaja yang layak memberikan teguran.

Dan, memandangkan saya adalah pelajar Usuluddin yang mendalami Aqidah, suka saya menekankan satu perkara penting di sini:"Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran, hukumnya adalah kafir." Sebenarnyalah.

"Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. " Surah Al-Maidah ayat 44.

"Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." Surah Al-Maidah ayat 45.

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik." Surah Al-Maidah ayat 49.

Saya dididik oleh guru Aqidah saya, Dr Ala' Hilat, untuk tidak menghukum orang lain kafir. Saya tidak sesekali menyatakan Mantan Perdana Menteri kita itu kafir. Tetapi saya mahu tegaskan bahawa, menolak apa-apa daripada Al-Quran, adalah kafir.Guru saya kata, jika kita nampak orang sujud kepada pokok, katakanlah mungkin dia tidak tahu. Kemudian perjelaskanlah.

Maka saya menganggap, Mantan Perdana Menteri saya, sepanjang 22 tahun dia memerintah dan sehingga kini dia hidup, tiada siapa menjelaskan hal ini kepadanya. Dia TIDAK TAHU.

Maka saya jelaskan di sini secara ringkas.

Saya juga ingin menegaskan bahawa, sekiranya kita bukan AHLI di dalam bidang agama, maka janganlah bicara sembarangan. Bertanyalah jika benar tidak mengetahui. Mintalah penjelasan. Apatah lagi sekiranya kita seorang public figure yang mempunyai ramai pengikut fanatik yang mengikut kita dengan membuta tuli, dan sanggup mempertahankan kita walau apa yang kita sebut itu salah.

Sampai di sini sahaja nota do'if saya.

Mantan Perdana Menteri saya berbicara akan hal ini di khalayak ramai.

Maka di sini nota ini saya persembahkan di khalayak ramai.

Sesiapa mahu sokong pendapat Mantan Perdana Menteri kita itu, boleh fikir 10 kali lepas baca nota ini.

Saya mahu kata di sini bahawa, sesiapa yang mampu sampaikan nota ini kepada Mantan Perdana Menteri saya itu, dia patut sampaikan.Saya tak tahu cara mana saya boleh sampaikan biar betul-betul sampai kepada dia.Sekian.

~ Seorang hamba,

Hilal Asyraf

http://langitilahi.com


Monolog: Ya ALLAH, semoga kita semua diberi peluang untuk belajar dan memperbaiki kejahilan diri. Benarlah pesanan Rasulullah SAW,

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, ORANG RAMAI AKAN MEMILIH ORANG-ORANG YANG JAHIL SEBAGAI PEMIMPIN MEREKA. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, MEREKA AKAN BERFATWA TANPA ILMU PENGETAHUAN. MEREKA SESAT DAN MENYESATKAN ORANG LAIN."


Sungguh menakutkan, ya ALLAH lindungilah kami ^_^

Saturday, February 18, 2012

Hasan Al Banna; Aku ingin menyampaikan dakwah ini sehingga ke janin dalam perut ibunya .


Di sebuah masjid di perkampungan Mesir, suatu petang. Seorang ustaz sedang mengajarkan murid-muridnya membaca Al-Qur’an. Mereka duduk melingkar & berkelompok. Tiba-tiba, masuk seorang anak kecil yang ingin menyertai di lingkaran mereka. Usianya kira-kira 9 tahun.

Sebelum menempatkannya di satu kelompok, ustaz itu ingin tahu kemampuannya. Dengan senyumnya yang lembut, dia bertanya kepada anak yang baru masuk tadi, ” ada ayat yang kamu hafal dalam Al-Qur’an?”

“Ya,” jawab anak itu singkat.

” Kalau begitu, cuba bacakan salah satu ayat dari juz ‘Amma?‘ pinta ustaz

Anak itu mengalunkan beberapa ayat, fasih & betul tajwidnya. Merasa anak tersebut mempunyai kelebihan, guru itu bertanya lagi,“Adakah kamu hafal surah Tabaraka?” (Al-Mulk)

“Ya,” jawabnya lagi, & segera membacanya. Baik & lancar. Ustaz itu pun kagum dengan kemampuan hafazan si anak kecil itu, meski usianya lebih muda berbanding murid-muridnya yang ada.

Dia pun cuba bertanya lebih jauh, “kamu hafal surat An-Nahl?”

Ternyata anak kecil itu menghafalnya dengan sangat lancar, sehingga kekagumannya semakin bertambah. Lalu ustaz itu pun cuba mengujinya dgn surah-surah yang lebih panjang.

“Adakah kamu hafaz surat Al-Baqarah?”

Anak kecil itu kembali mengiyakan dan membacanya tanpa sedikitpun kesalahan. Dan ustaz itu semakin teruja dengan pertanyaan terakhir, “Anakku, adakah kamu menghafal Al-Qur’an ?”

“Ya,” jawabnya dengan jujur.

Mendengar jawapan itu, seketika ustaz itu mengucapkan, “Subhanallah wa masyaallah,tabarakkallah”

Setelah hari itu menjelang maghrib, sebelum ustaz tersebut menamatkan kelas mengaji, secara khusus dia berpesan kepada murid barunya,” Esok, kalau kamu datang ke masjid ini, tolong ajak juga ibubapa mu. Ustaz ingin berkenalan dengannya”.

Esok harinya, anak kecil itu kembali datang ke masjid. Kali ini dia bersama ayahnya, seperti pesan ustaz kepadanya. Melihat ayah dari anak tersebut, si ustaz bertambah kaget kerana gayanya tidak langsung seperti orang alim, kehormat & pandai.

Belum sempat dia bertanya, ayah si anak sudah menyapa terlebih dahulu, “Saya tahu, mungkin ustaz tidak percaya bahawa saya ini adalah ayah dari anak ini. Tapi rasa hairan anda akan saya jawab, sebenarnya disebalik anak kecil ini ada seorang ibu yang sekuat seribu lelaki. Dirumah, saya masih mempunyai 3 anak lagi yang semuanya hafal Al-Qur’an. Anak perempuan saya yg kecil berusia 4 tahun, dan sekarang sudah menghafal juz Amma”.

“Bagaimana si ibu itu boleh lakukan itu?” tanya si guru tanpa boleh menyembunyikan kekagumannya.”

Ibu mereka, ketika anak-anak itu sudah pandai bercakap, si ibu membimbing anak kami menghafal Al-Qur’an dan selalu memotivasi mereka melakukan itu. Tak pernah berhenti dan tak pernah bosan. Dia selalu katakan kepada mereka,

“Siapa yang hafal lebih dulu, dialah yang menentukan makan malam ini,

“Siapa yang paling cepat mengulangi hafalannya, dialah yang berhak memilih ke mana kita boleh bersiar – siar nanti”


Itulah yang selalu dilakukan ibunya, sehingga tercipta semangat bersaing dan berlumba-lumba antara mereka untuk memperbanyak dan mengulang-ulang hafalan Al-Qur’an mereka,” jelas si ayah memuji isterinya.

Sebuah keluarga biasa yang boleh melahirkan anak-anak yang luar biasa. Hanya seorang ibu yang biasa. Setiap kita dan semua ibubapa tentu bercita-cita anak-anaknya menjadi generasi yang soleh, cerdas dan membanggakan. Tetapi tentu perkara itu tidak mudah.

Apatah lagi membentuk anak-anak itu mencintai & mencintai Al-Qur’an. Memerlukan perjuangan, perlu kekuatan. Mesti tekun & sabar melawan rasa letih dan susah tanpa kenal batas. Maka wajar jika si ayah mengatakan,”Disebalik anak ini ada seorang ibu yang kekuataanya sama dengan seribu lelaki.”

Ya, perempuan yang telah melahirkan anak itu memang begitu kuat & perkasa. Sebab membuat permulaan yang baik untuk kehidupan anak-anak, adalah tidak mudah. Hanya orang – orang yang punya kemahuan & motivasi yang boleh melakukannya. Dan tentu modal pertamanya adalah kesolehan diri. Tidak ada yang lain.

Ibu si anak cerdas ini, dia adalah lambang seorang perempuan solehah yang mewariskan kesolehannya ke dalam kehidupan rumah tangganya. Dialah contoh perempuan yang pernah diwasiatkan Rasulullah saw kepada kaum lelaki untuk mereka jadikan pendamping hidup diantara sekian banyak wanita.

Dengan menangggalkan keutamaan harta, kecantikan & keturunannya, seperti sabda Rasulullah saw, “Wanita dinikahi kerana 4 perkara : kerana hartanya, keturunannya. kecantikkannya, & agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”(HR.Bukhari & Muslim).

Perempuan yang dikenalkan kepada kita dalam cerita diatas, dia sebenarnya tidak memulakan kerja kerasnya ketika anak-anaknya baru belajar bercakap. Tidak. Tetapi jauh sebelum itu, tenaganya telah ditumpahkan untuk mengakrabkan mereka dengan bacaan-bacaan Al-Qur’an semasa mereka masih janin.

Dalam keadaan kehamilannya yang berat, ibu ini hampir setiap hari selalu meluangkan waktu untuk membaca Al-Qur’an, memperdengarkannya janin yang ada dirahimnya, dalam keadaan berbaring, duduk/pun bersandar. Perjuangan itulah yang berat tapi itu pulalah yang kemudian memudahkan lidah anak-anaknya merangkai kata demi kata dari ayat-ayat Al-Qur’an, saat mereka sebenarnya baru mulai belajar bicara.


Semoga dari kisah diatas dapat kita ambil pelajaran & menjadikan teladan.



kredit: http://akuislam.com/blog/kisah-tauladan/ibu-yang-sekuat-seribu-lelaki/#ixzz1mo6PW5Ex

Saturday, February 11, 2012

Belajar dan Mengajarlah Al Quran!



Bismillahirahmanirahim

Alhamdulillah, dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH, PASTI SEPANGGAR berkesempatan untuk menhadiri Kursus Asas Perunding Teknik Al Baghdadi pada 28 dan 29 Januari 2012. InsyaALLAH, teknik Al Baghdadi akan dijadikan sebagai sukatan pelajaran di PASTI Sepanggar bermula bulan Febuari 2012. Guru guru PASTI begitu bersemangat untuk mengasah ilmu demi belajar dan mengajar Al Quran.

Alat bantu mengajar teknik Al baghdadi. Jom ketuk!

Pada pendapat saya, kepelbagaian teknik belajar dan mengajar Al Quran (16 cara bacaan Al Quran, jika tidak silap) merupakan rahmat dari ALLAH SWT agar kita tidak putus asa untuk menikmati kalam indah dariNYA. Jika ada yang tidak sesuai dengan kaedah yang begini, maka gunakanlah kaedah yang satu lagi contohnya jika tidak sesuai dengan Iqra, boleh menggunakan muqaddam dan sebagainya. Setiap kaedah ada kelebihannya tersendiri. Yang penting adalah nawaitu kita untuk mencari cinta hakiki melalui kalam ALLAH SWT. Tidak perlu kita bertekak mana satu kaedah pembelajaran Al Quran yang lebih baik, tidak perlu kita cari bukti untuk mencari kelemahan yang lain. Sebaiknya kita harus punya misi. Misi kita adalah 'MENGUBATI' masalah penyakit buta Al Quran yang begitu berleluasa di kalangan masyarakat.

Sedang berusaha memahami cara ketukan

Alangkah baiknya jika ada kempen 'melahirkan satu keluarga satu huffaz'. InsyaALLAH pasti akan mendapat berkat dalam kehidupan. Secara jujurnya, saya juga pernah mengalami masalah buta Al Quran. Alhamdulillah, ALLAH beri saya peluang untuk belajar dan insyaALLAH saya berazam untuk mengajarkan Al Quran untuk menyebarkan cintaNYA. Tiada yang lebih indah dalam kehidupan melainkan membawa insan lain untuk mencintai dan mengenaliNYA. Sesungguhnya ALLAH mencintai orang yang membawa orang lain mencintaiNYA.

Ustaz Jalal memberi pengajaran di kelas

Buat guru guru PASTI, tahniah dan takziah! Tahniah kerana ALLAH memilih kalian untuk mentarbiyah. Kalian adalah nukleus awal dalam pembentukan insan yang soleh untuk mengenal ISLAM. Namun, peranan ini bukan mudah, tanggungjawab yang ALLAH berikan untuk mendidik anak anak adalah amanah. Maka, jagalah amanah ini sebaiknya. Jangan lupa untuk mentarbiyah dirimu, sebelum dikau mentarbiyah insan lain.

Barisan generasi pejuang belajar dan mengajar Al Quran

Semoga impian dan harapan, untuk melahirkan generasi Al Quran dipermudahkan ALLAH SWT

InsyaALLAH!

Mari Belajar Al Quran!

Maklumat lanjut berkaitan teknik Al Baghdadi: Layari atcsabah.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...