Lilypie Angel and Memorial tickers

Pemburu Gelaran Bidadari Syurga

Wahai wanita solehah 'Bidadari Bumi'
Bakar semangatmu untuk mengejar langkah sang bidadari
Jangan hanya diam dan menunggu keajaiban
Perlu usaha!
Tak akan ada kesempatan sebelum kau jemput sendiri...
Jangan biar dirimu tertinggal di belakang sang bidadari
Kau akan bangga mengukir namamu di syurga Izzatul Rabbi
sebagai wanita solehah berhasil meraih gelaran
SANG BIDADARI!

Laman

Wednesday, April 28, 2010

"How did nursing change you?" Part 1


Bismillahirahmanirahim
SubhanALLAH, alhamdulillah, ALLAHIAKHBAR!
Terasa air mata ini hangat berguguran ke pipi. Betapa besarnya rahmat dan kasih sayangMU ya ALLAH.. alhamdulillah, insyaALLAH diri ini tidak mempunyai masalah untuk bergraduasi kelak kerana perkara yang paling ku takuti telah ku ketahui, research dan OSCE ku telah lulus. Alhamdulillah, segala puji hanya untukNYA. Kejayaan di dunia ini adalah milikNYA dan pinjaman semata dan kejayaan sebenar adalah semasa kita menunggu timbangan amal kita di Padang Masyar dan juga adakah kita berjaya melalui titian sirat nanti..

Selama empat tahun ini terlalu banyak perkara pahit manis yang ditempuhi, bermula dengan di halau dari hostel dengan alasan tidak aktif selepas itu terpaksa menyewa kondo (gelaran untuk rumah sewa atas kedai kami), namun menghadapi pelbagai dugaan. Selepas itu, berjaya pindah ke hostel, jadi ketua cheerleader pula (ini paling lucu) dan sibuk menari sana menari sini. Alhamdulillah... akhirnya diriku kembali, di jalan tarbiyah ini... seperti kurasakan ALLAH itu Maha Agung, dia telah menggarap cerita hidupku seperti sebuah novel. Bermula dari seorang gadis yang nakal dan jahil, kini diri ini insyaALLAH berusaha menjadi muslimat tarbiyah.. yang sentiasa dahagakan perjuangan..

Mengapa ku kembali terfikir kenangan silam?

Kerana soalan yang dilontarkan pensyarah kesayangan ku..

:How did nursing change you?:
Diri ini bersyukur teramat sangat kerana telah dipilih sebagai "jundi:, berjuang dalam bidang kejururawatan ini. Selalunya, bidang kejururawatan ini tidak menjadi pilihan bagi muslimah tarbiyah. Alasan yang diberikan

Pemakaian jururawat yang tidak/ kurang menutup aurat

Jururawat terpaksa berdepan dan merawat kedua dua jantina
Beban kerja terutama kerja shift bagi seorang jururawat
Ah.. sememangnya banyak alasan bukan. Namun, jika bukan kita, siapa lagi yang bisa menjadi jundi perjuangan dalam bidang kejururawatan ini? Diri ini mengakui dulu diri ini sememangnya jahil, namun bidang kejururawatan itu sendiri banyak mengubah diriku. ALLAH telah mentakdirkan diriku berada dalam bidang kejururawatan ini, di mana ku melihat sendiri kematian berlaku pada waktu yang kita tidak sangka. Kita tidak akan menduga bila ajal menjemput, mungkin sekarang, mungkin esok dan mungkin lusa.

Setiap yang berjiwa mesti merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barangsiapa yang terjauh dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya menanglah dia. Tidaklah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan (3:185)
Semasa ku di tahun satu, daku berpengalaman merawat seorang nenek. Nenek tersebut sihat, masih boleh "bergaduh" denganku dan kawan kawan. Namun, dalam sekelip mata, nenek tersebut pergi meninggalkan kami. Itulah pertama kali ku berdepan di mana daku sendiri menguruskannya.. terdetik di hatiku bahawa suatu hari nanti akulah yang akan "diuruskan"... bersediakah? Jadi, bagaimanakah lagi bidang kejururawatan ini bisa mengubah diriku?

Semakin menaiki tangga tahun pengajian, semakin banyak pengalaman ditimpa apatah lagi pengalaman tersebut secara tidak langsung menjadi tarbiyah pada diri ini. Semasa di tahun dua, ku pernah menjaga seorang nenek.. Apakah yang membuat diriku bersedih sahabiyah sekalian. Nenek tersebut ditinggalkan bersendirian, tidak ada ahli keluarga yang menjaganya.. Setiap kali waktu melawat, sememangnya ramai ahli keluarga yang datang.. namun tanggungjawab menjaga nenek tersebut diserahkan sepenuhnya kepada jururawat. Diri ini cuba berhusnozon.. mereka sibuk. Di hati kecil ku terdetik, adakah diri ini akan sanggup mengabaikan ibu bapaku apabila telah bekerja kelak? Adakah ku sanggup menyerahkan tugas membelai mereka kepada orang lain sedangkan mereka telah membelai diriku selebih lebihnya sewaktu diri ini masih kecil? Naudzubillah min zalik.. minta dijauhkan..

Inilah Sebahagian dari pengalaman ku yang bisa ku ceritakan disini, di bidang kejururawatan ini, yang membawa perubahan pada diriku.. dari seorang yang tidak tahu apa apa dan tidak mahu ambil tahu kepada muslimah yang ingin sentiasa berjuang dalam perjuangan yang panjang ini..

monologku: mata terasa berat.. tubuh terasa longlai.. kepada sudah tidak dapat berfikir.. insyaALLAH.. esok adalah hari yang panjang.. penuh dengan kepadatan kerja.. nantikan sambungan "How did nursing change you?"... semoga ALLAH masih memberi ana ruang dan peluang serta hidayah dan taufiq untuk terus menulis sebagai peringatan untuk diriku dan moga menjadi pengajaran kepada yang lain =)

Saturday, April 24, 2010

Sayang... jalan tarbiyah itu indah!


Bismillahirahmanirahim
Hasbi Rabbi Jalallah, Ma fi Qalbi Gairullah, Nur Muhammad Sallalah, Laila ha illalah
Alhamdulillah.. ditengah berjuang menghadapi peperiksaan akhir, terasa ringan menulis di "Salju Sakinah" kesayangan hamba.. Entry kali ini paling istimewa buat sahabiyah sahabiyah ku yang sentiasa mantop dalam medan perjuangan ini. Tanpa kalian ku terasa rebah dan kepatahan sayap, dan di kala ku kesesatan mencari arah, kalian menjadi cahaya pemandu ke arah kebenaran. Bersama kalian, ku merasai pahit manit perjuangan ini.. entri kali ini terisitimewa untuk kalian tersayang..

Menyoroti saat saat indah perkenalan, ingin ku ceritakan satu persatu bagaimana ALLAH mentautkan hati diriku dan cermin ajaibku. MasyaALLAH, siapakah yang bisa melawan kekuasaan ALLAH? Dan siapakah pemilik hati hati manusia ini? Ku mengenali si dia yang bergelar "cahaya kepimpinan" sebagai sahabat sekelasku. Ya, di waktu itu ku masih dalam fasa "asiah yusra" yang tersesat. Tidak segan silu melampiaskan keindahan diri kepada insan lain, sedangkan si dia "cahaya kepimpinan" begitu indah. Seindah mawar berduri yang mekar di taman. Cantik dipandang namun tidak bisa digapai. Namun, si dia melayan ku seperti aku mempunyai taraf sama yang sama walhal jika dibandingkan diriku seolah olah si bunga yang indah di pandang mata, mudah dipegang namun baunya busuk. Bagi si dia "cahaya kepimpinan" yang berhati lembut dan suci, tidak pernah ada perasaan buruk sangka, dia menerima ku dengan seadanya sehinggalah kini ku dididik olehnya menjadi seorang pejuang sepertinya malah aku berbangga bisa menjadi sayap kiri perjuangannya dan sepenuhnya ku berikrar untuk sentiasa bersamanya menghadapi mehnah dan tribulasi perjuangan ini..

Si dia yang manis dan pendiam begitu menarik perhatian ku. Ku hanya mengenali dia sebagai seorang "junior". Si dia yang ku maksudkan adalah "teman idea". Sikapnya yang berlemah lembut terhadapku dan suka menolong orang begitu membuatku tertarik dengan peribadinya. Ku berasakan dirinya sama seperti "cahaya kepimpinan". Hari demi hari ku melihat perubahannya. Dia menjadi muslimah yang mantap dan membuat ku berazam untuk menjadi sepertinya. Alhamdulillah, kini ku bersamanya, saling menyulam kasih di laut perjuangan ini.

Ohh... si dia ini kekadang takut ku dekati. Kerana wajahnya yang terlalu "baik" bagiku. Ku berasa dia adalah wanita yang terlalu sempurna, bukan sahaja punya wajah yang cantik namun punya sikap ang sempurna. Itulah dia si manis "digma" . Biarpun muda setahun dariku, namun sikapnya yang ramah membuatkan diriku senang. Apabila bersama berada dalam perjuangan ini, ku semakin mengenalinya. Ku banyak belajar darinya yang penuh sikap ingin belajar dan bersemangat tingga kerana ISLAM.. bertuahnya diriku ini..

Mulanya ku hanya mengenalinya dari jauh saja. Sekadar bertegur seorang senior dan junior. Namun, ku teringat apabila ku mula menjinak jinak mengenali ISLAM, si dia banyak membantu. Dia memperkenalkan kepadaku buku yang paling aku gemari iaitu "tautan hati". Alhamdulillah, kini ku lebih memahaminya apabila bersama dalam perjuangan ini dan ku mendapati kami banyak persamaan.. si dia adalah si manis "atun umair"

Ku mengenali si dia apabila berada dalam satu organisasi pentadbiran kolej. Hatinya yang lembut seringkali ku guris. Namun, dia sering menerima dengan redha.Mungkin kerana peranan ku sebagai pemimpin dan dia anak buah ku pada waktu itu, menjadikan dia memberi ikrar dalam setiap kerja yang ku arahkan. Takdir ALLAH itu manis sekali, kami mula rapat antara satu sama lain dan saling memberi sokongan, malah si jelita ini sering membantu ku lebih memahami jalan perjuangan ini, alhamdulillah dia adalah si "qalbun saleem" yang ku kasihi.

Alhamdulillah.. si cantik manis ini sememangnya terlalu baik. Dia tidak pernah mendiskriminasi diriku yang serba kekurangan. Ku masih ingat jubah pertama ku adalah pemberiannya. Dia begitu penyabar. Aku ingin sekali mencontohi dia dalam kerana kesabarannya. Cukuplah ku gelarkan dia sebagai "ainul mardhiah" kerana peribadi nya yang sememangnya indah, seindah dirinya. Ya, dia telah bersama dalam perjuangan ini..

Dan yang terakhir sekali, si dia yang paling istimewa. "Asrar Qalbi". Namanya seindah orangnya. Si kecik molek. Biarpun jarak usia yang amat berbeza namun kami bedua punya banyak persamaan. Malah si kecil molek ini telah mengajar ku banyak perkara tentang perjuangan. Ku terinspirasi melihat perjuangannya sejak kecil kerana ISLAM. Ku terinspirasi bagaimana dia menggunakan kalamnya untuk berjuang dan kerana itu terlahirlah "salju sakinah'. Bertuahnya diriku, di saat saat akhir berada di alam kampus, ALLAH pertemukan dengan si kecil molek ini yang boleh kukatakan sebagai penyelamat. Terima kasih ya dik

Wahai sahabiyah sahabiyah yang ku kasihi kerana ALLAH, tujuan ku menulis bukan ingin membodek atau menyubur rasa ujub, namun tujuan ku menulis kerana ku ingin sekali "mengekspresi rasa cinta kepada kalian. Jujur ku katakan, ku tidak tahu apa yang berlaku pada diriku sekiranya tidak bertemu dengan kalian. Pasti ku sudah jauh keciciran dari medan perjuangan ini. Kerana kalianlah ku merasa indahnya berjuang di jalan ini.

Ku mengakui sahabiyah sekalian, aku bukan manusia sempurna, namun kehadiran kalian ku rasa bisa melengkapi kekurangan pada diriku. Bak kata seorang sahabat "saling top up" antara satu sama lain. Betapa ku mencintai kalian kerana ALLAH, dan semoga ALLAH memelihara ukhuwah kita ini, teruslah berjuang wahai ANSORULLAH, kerana kita hanyalah penyambung mata rantai perjuangan, biarlah kita bergelar mereka yang berjuang kerana ISLAM biar kemenangan untuk ISLAM sudah pasti, namun belum pasti di tangan kita.

Takbir!!

Allahuakhbar!



Sunday, April 18, 2010

Taqarrub illallah


Bismillahirahmanirahim
Minggu peperiksaan sudah mendatang, apatah lagi untuk diriku dan sahabat sahabat yang berada di tahun akhir ini, dua minggu lagi akan menghadapi peperiksaan besar di Universiti Mengharap RedhaNYa ini.. degupan jantung terasa begitu kencang lagi kerana inilah peperiksaan yang menjadi ujian kepada ilmu yang telah diperolehi selama empat tahun ini. Mampukah kami menjadi jururawat yang benar benar mantap dari segi kemahiran dan pengetahuan?


Apabila waktu peperiksaan besar menghampiri, terlihat pelbagai ragam dikalangan sahabat atau teman seperjuangan. Ada yang tidak dapat belajar di asrama, mesti berada di rumah bersama ibu bapa maka dapat belajar lebih tenang, ada yang lebih suka terperuk di perpustakaan, mungkin yang tidak pernah terlihat muka di perpustakaan telah menjadikan perpustakaan sebagai tempat yang paling digemari. Alhamdulillah..

Namun, kita terlupa, penawar yang paling mujarab apabila menghadapi saat saat genting seperti ini adalah "taqarrub illallah". Dekatkanlah diri dengan ALLAH, nescaya segala kesusahan untuk belajar itu dapat ditempuhi dengan penuh ketenangan. Masa inilah kita lebihkan masa kita kerana ALLAH, ya mungkin selama ini kita telah lalai dan alpa, tetapi di waktu kritikal seperti ini, dekatkan diri kita kepada Maha Pencipta. Solatlah di awal waktu, kerjakan solat sunat dan dekatkanlah diri dengan ALLAH melalui membaca Al Quran dan mengamalkannya. InsyaALLAH, janji ALLAH itu sentiasa benar.

Namun sedikit terkesima juga apabila mendengar alasan alasan seperti

" Saya tak dapat turun solat jemaah, nak study"

"Saya tak dapat pergi usrah hari ini, nak fokus study"

"Saya tak dapat dengar tazkirah hari ini, nak balik cepat study"

Ya, alasan study diberikan untuk penolakan kepada aktiviti aktiviti yang mendekatkan kita kepadaNYA. Namun, dalam masa study itu, sempat juga kita bermain facebook, sempat juga kita keluar makan bersama kawan kawan, sempat juga melihat telivisyen. Mengapa begitu susah kita mendekatkan diri padaNYA biarpun pada saat kritikal seperti ini dan masih terpengaruh dengan permainan dunia? Fikir fikirkan

Selain itu, menjelang peperiksaan ini, kita bersama muhasabah diri, apakah niat kita sebenar untuk belajar? Sekiranya kita belajar untuk pekerjaan, jika kita gagal memperolehnya, kita akan kecewa, jika kita belajar untuk wang ringgit, kita akan asyik berasa gundah gulana jika masih tidak kaya raya, tetapi sahabat, jika kita belajar kerana ALLAH.. kita dengan redha menerima segala ketentuanNYA, kerana kejayaan itu milik ALLAH bukan milik kita.

Apabila menjelang peperiksaan, beritahulah pada ibu bapa kita kerana kita ingin keberkatan dan doa mereka mengiringi perjuangan kita.

"Keredhaan ALLAH adalah bersama keredhaan ibu bapa"
Biarpun ibu bapa kita tidak tahu membaca dan menulis, tidak hidup secara islami namun tetaplah memberi perkhabaran kepada mereka tentang diri kita yang bakal menghadapi peperiksaan, semoga restu mereka bersama kita.

Di tengah berada di ambang perjuangan, jangan kita lupa wahai muslimat tarbiyah, tanggungjawab kita terhadap dakwah dan perjuangan ISLAM,sesungguhnya tiada istilah "rehat" di dalam dakwah. Ingatlah bahawa sebagaimana junjungan besar kita Rasulullah S.A.W membahagikan masanya

"1/3 untuk ummah, 1/3 untuk keluarga dan 1/3 untuk diri sendiri"

Namun, jika masa 1/3 untuk ummah itu tidak mencukupi, maka di ambil 1/3 daripada masa untuk keluarga itu bekerja untuk ummah. Jangan dengan alasan sibuk kerana pelajaran, maka gerak kerja ISLAM kita terabai, sebagai muslimat tarbiyah, sudah tentu kita telah dilatih membahagikan masa dengan sebaiknya maka terserahlah kepada diri sendiri sejauh mana kebijaksanaan menguruskan masa masing masing.

Sudah tentu kita diburu rasa takut akan kegagalan, takut jika kita terlebih tumpu pada gerak kerja ISLAM sehingga pelajaran terabai, namun sahabat sekalian, ingatlah janji ALLAH dalam surah al fath:

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai MUHAMMAD) satu jalan kemenangan yang jelas dan nyata. Al fath; ayat 1"
Kemenangan untuk perjuangan ISLAM itu jelas dan nyata, kita hanyalah penyambung mata rantai perjuangan, kita bukan pemula dan hanya sebahagian. Ya sahabat, sekiranya pahala ganjaran itu kelihatan, pasti berpusu pusu manusia yang ingin melibatkan diri dalam perjuangan ini, cuma kita hendaklah mempercayai perkara perkara ghaib seperti yang tertera dalam surah Al Baqarah:

" Iaitu orang orang yang beriman kepada perkara perkara ghaib. Al Baqarah, ayat 3"

Yakinlah bahawa pertolongan ALLAH itu ada dan yakinlah bahawa barangsiapa menolong agama ALLAH nescaya ALLAH akan menolongnya. Islam tidak memerlukan kita tetapi kita perlukan Islam

Salam perjuangan imtihan kepada sahabat sahabat sekalian, diri yang dhaif ini mohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, halalkan makan minum, mari kita berdoa agar kita terus tsabat dalam perjuangan yang panjang ini.. takbir!

"ALLAHUAKHBAR"

Saturday, April 17, 2010

Palestinku!

Dunia Palestin tidak pernah sunyi daripada disebut-sebut dari dahulu hinggalah ke saat ini. Lipatan sejarah dan apa yang kelak berlaku di bumi Palestin telah pun dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kalam-Nya yang benar lagi membenarkan. Kaum kuffar tidak jemu-jemu melancarkan fitnah terhadap dunia Islam, kononnya umat Islam adalah pengganas. Label pengganas tersebut menjadi lesen bagi mereka untuk menghalalkan darah kaum muslim terutamanya di bumi Palestin di mana kaum muslim telah lama menanggung penderitaan sejak 1948.

Kaum Yahudi tanpa jemu, giat melenyapkan Palestin sebagai bumi umat Islam di peta dunia. Lihatlah dunia hari ini, adakah nama Palestin ditulis di atas atlas-atlas yang dijual di kedai-kedai? Sebaliknya, negara haram Israel yang tertera di atlas-atlas tersebut. Apa yang menyedihkan, negara pengganas Israel hanyalah sebesar gelang yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 7.5 juta orang sahaja. Namun tiada satu negara Arab pun yang menghantar bala tentera mereka untuk mencabut kekuasaan pengganas Israel di bumi suci Palestin. Sebaliknya, menghantar wakil-wakil mereka untuk melakukan rundingan antara pemuka-pemuka Islam yang bacul dengan pemuka-pemuka Yahudi yang terang-terang pendusta.



Dari dahulu hingga kini, apakah natijah rundingan-rundingan ini? Natijahnya tidak lebih daripada menghabiskan wang ke sana ke mari, membuang air liur, dan menjadi panggung wayang bagi kaum kuffar sedunia untuk bergelak ketawa melihat gelagat pemuka Islam yang pengecut. Mengapakah masalah ini berlarutan dari tahun 1948 sehingga kini? Masih tidak cukupkah masa untuk mencabut kekuasaan haram itu? Tidak tahukah kalian, wahai pemimpin, Khalifah Mu'tasim Billah hanya mengambil masa beberapa jam untuk menggerakkan bala tentera untuk menyerang kota Rom terkuat setelah seorang mukminah dipersenda oleh lelaki kafir? Inilah budaya yang diterapkan oleh penjajah imperialis. Mereka sedaya-upaya menerapkan semangat nasionalisme.

Lihat, semangat nasionalis telah memisahkan tali silaturrahim kita bersama saudara kita di Palestin. Negara-negara Arab hanya mementingkan negara mereka sendiri sahaja. Apatah lagi negara-negara yang dipisahkan dengan ribuan kilometer jauh dari Palestin. Inilah dia semangat nasionalisme! Semangat nasionalisme menjadi nadi kehancuran perpaduan kaum muslim! Sungguh, para pejuang nasionalis sudahpun tersesat dengan idea kapitalis yang rosak lagi merosakkan ini. Apa yang lebih menyedihkan lagi, ada juga pihak yang memandang masalah ini hanyalah masalah kaum Arab.



Tidak cukup dengan itu, umat Islam di Palestin yang sememangnya terpisah dengan kaum muslim lain di serata dunia, dipisahkan lagi dengan sempadan Gaza dan Tebing Barat. Justeru, ramai pihak memandang bahawa Gaza-lah yang perlu diselamatkan kerana kawasan tersebut dikuasai oleh Hamas. Sungguh, mereka tertipu dengan semangat asobiyyah yang sesat lagi menyesatkan. Ketahuilah, setiap inci dan penjuru Palestin wajib dibebaskan daripada genggaman Yahudi mahupun pihak berhaluan sekular (Fatah). Tiada hak bagi kaum kafir harbi Yahudi di bumi Palestin walaupun sejengkal!



Hanya dengan pengerahan bala tentera ke kawasan sebesar gelang itu barulah kekuasaan Yahudi dapat dicabut dari bumi Palestin dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah! Wahai pemerintah yang mempunyai kuasa, apakah jawapan kalian untuk dakwaan-dakwaan umat Islam yang menderita ketika mereka mendakwa kalian di hadapan Allah kelak?! Sesungguhnya bumi Gaza, seluruh Palestin, dan bumi Islam yang lain sedang menunggu pembelaan daripada seorang Khalifah yang merupakan junnah (perisai) kepada ummat!


Ya rabbi, izinkanlah kami berjihad di Palestin Mu, Ya ALLAH, masukkanlah kami tercatat sebagai syuhadahMU!
Terima Kasih ILUVISLAM.com





Tuesday, April 13, 2010

Sabarlah duhai hati...


"Nenda sedang sakit, mohon doa sahabat sahabat sekalian agar diberi kesembuhan"


Luka hati mendengar kata kata ibuku. Nenda yang dikasihi sedang bertarung dengan kesakitan. Kerinduaan pada rumah begitu menggigit pangkal hati. Rasanya ingin segera terbang pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Nenda adalah insan yang paling rapat dengan diri. Selama hidup ini, diriku dibesarkan disisi nenda. Apatah lagi sebagai anak tunggal yang takut untuk tidur bersendirian, nenda terpaksa mengambil jawatan sebagai peneman tidur. Namun, nenda tetap tersenyum melihat tingkah laku cucunya, tidak pernah merungut. Rindu menjelma mengingatkan saat istimewa itu.

Aduh, air mata ini menitis lagi. Sesungguhnya diri ini tidak punya saudara kandung. Hidup sebagai anak tunggal kadang kadang ku lihat sebagai tarbiyah istimewa dari ALLAH untukku. Tetapi nenda begitu baik sekali, menjadi peneman di kala susah dan senang. Apabila daku pulang ke kampung halaman, sudah tentu nenda dengan senang hati berkunjung ke rumah kami. Sebut sahaja jenis lauk kegemaranku, nenda berusaha menyediakan untuk diriku. Nenda juga membantu ibu menjaga putera putera kecil di "taska mini" milik ibuku.Bayangkan kepeningan yang dialami oleh nenda dan ibuku untuk menjaga lima orang putera nakal yang dihantar ke rumah, namun itulah indahnya kesabaran. Ayahku pernah berkata bahawa kanak kanak itu pembuka rezeki, biar mereka tidak ada rezeki untuk memiliki anak lagi namun ibu dan bapaku berasa puas dapat membantu mendidik dan menjaga anak insan lain.

Aduh.. rindunya pada rumah. Seorang kawan mengatakan bahawa diriku seolah olah kelihatan tidak begitu bergantung kepada keluarga. Sudah tentu tidak, keluargaku adalah nyawaku. Betapa aku terlalu rindu untuk pulang ke rumah, syurgaku di dunia ini, apatahlagi memikirkan keadaan nenda namun ibubapa ku mendidik ku menjadi seorang yang boleh "survive". Ini kerana aku berseorangan, maka mereka melatih diriku untuk punya semangat kental, untuk punya ketegasan dan merantau ke negeri orang agar bertemu dengan tarbiyah dan jalan hidup sebenar. Alhamdulillah, itulah keberkatan doa ibu bapa, anaknya yang dihantar ke bumi kenyalang ini, telah terjumpa dengan tarbiyah..

Dua minggu lagi diri ini akan berhadapan dengan peperiksaan penting dalam empat tahun pembelajaran. Ya ALLAH, diri ini mengakui sedikit lemah dalam pelajaran. Mungkin kerana kurangnya usaha atau kegagalan itu sebenarnya tarbiyah yang indah. Rasa patah sebelah bahuku menerima perkhabaran tentan nenda, namun ibu berpesan agar aku sentiasa sabar, ini kerana sabar itu indah. Apatah lagi dengan keadaan ku juga yang sedang berubat, membuatkan diriku selalu lemah, ujian itu datang bertimpa timpa.

Namun apalah sedikitnya ujian yang ku hadapi ini, jika dibandingkan beratnya ujian sumayyah untuk mendapat kasihNYA. Malah daku bersyukur atas segala ujian ini kerana itu tanda ALLAH memerhatikanku.

"Adakah manusia menyangka bahawa mereka telah dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman tanpa mereka mendapat ujian" (Al ankabut, 2)

Di antara manusia itu ada yang menyangka bahawa cukup dengan mengatakan saya telah beriman, tanpa di uji ALLAH s.w.t imannya itu. Sangkaannya salah sama sekali. Melainkan orang yang beriman itu ketika didatangkan ALLAH s.w.t ujian maka keimanannya tidak goncang, malah dia menerima dengan hati yang lapang dan sabar serta mengucapkan

"Innalillahi wainna ilaihi rajiun"


Ku bermohon agar diberi kesabaran hati menempuh segala kesulitan yang menerpa. Sememangnya diri ini lemah dan ratu air mata. Mudah sekali mengalirkan air mata namun hatiku terubat dengan:
"Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang sangat, dan mereka gementar (ketakutan), sehingga berkata Rasul dan orang orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan ALLAH? Ingatlah bahawa pertolongan ALLAH itu hampir tiba" (Al baqarah, 214)


Yakinlah dengan janji ALLAH, malah titiskanlah air mata ketika sujud kepadaNYA. Nescaya, itulah ada terapi paling indah buat mereka yang bersedih. Ujian itu tarbiyah.. Doakan nenda sembuh dan dapat tersenyum seperti biasa dan diri ini berjaya menghadapi peperiksaan akhir.

Takbir: Allahuakhbar!!







Monday, April 12, 2010

Bidadari itu ada di dunia


Wahai Muslimah ku tahukah dikau….

Bidadari itu jelitawan yang sangat mekar,
Riasnya indah lagi memukau,
Lentuknya tertib lembut gemalai,
Nur kasihnya terang cemerlang terpancar,
Serba sempurna akhlak gemilang.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

Sesungguhnya bidadari itu mempunyai Ratu,
Yang sangat sempurna dari yang sempurna,
Yang sangat dicemburui oleh sekaliannya,
Yang menjadi peneman paling utama,
Yang sangat memukau melebihi segalanya.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

Ratu bidadari pada dunia fana ini,
Isteri solehah gelaran di beri,
Tiada tertanding akhlak dan pekerti,
Tiada terbilang kesetiaan dan ketaatan diberi,
Tiada ternilai budi dan pengorbanan pada Allah dan suami,
Itulah Ratu bidadari di alam syurgawi.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau…

aku mengidam bertemu dengannya,
Hanya mengharap pada Ilahi,
Agar niat, amalan dan ikhlas ku di perhalusi,
Dalam merafakkan kesyukuran kepadaNya,
Agar syurga menjadi imbalannya,
Supaya hajatku menjadi terlaksana.

Wahai Muslimah ku tahukah dikau..

Sesungguhnya Ratu bidadari menjadi idamanku,
Bukan sahaja membawaku ke syurga Allah,
Malah menjadi Ratu penemanku di alam sana,
Dan menjadi harapan dan doaku selama ini ……
Agar Ratu bidadari itu adalah kamu….……

InsyaAllah….


Syukran ILUVISLAM.COM

Monday, April 5, 2010

Al Quran Dihatiku



Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah, terasa ringan sekali tangan ini untuk menari di "salju Sakinah"
Mungkin tangan ini ingin melepaskan rasa kerinduan kerana sebelum ini, tangan ini kaku sebentar, kerana ketandusan idea.
As saff?
Ya surah As Saff... Mas'ul mewajibkan diriku dan cermin ajaibku untuk menghafal surah as saff dan terjemahannya sekali
Ya ALLAH, megapa kurasakan berat?
Sahabiyah sekalian,
diriku ini bukanlah sempurna, diri ini baru sahaja khatam al quran buat kali pertama pada tahun lalu, sebelum ini ana sememangnya buta AL QURAN!
Ingin memohon maaf kepada para pengikut salju sakinah, kekadang ku rasa tulisan ku ini hanya lebih berbentuk luahan peribadi tetapi ku berharap agar antuna dapat mengambil ibrah dari kegelapan masa silam itu.
Daku mengalami kesukaran sedikit menghafal surah as saff, kerananya penbacaan Quran ku tidaklah begitu baik, malah sukar sekali mengingat setiap baris ayat.
Pernah juga ketika surau kolej membuat keputusan untuk membaca surah Kahfi setiap malam jumaat, ana ini mengalami kesukaran. Ana sedar kekurangan dan kelemahan diri ini dari segi bacaan Al Quran. Ana bukanlah muslimah yang hebat dalam tajwid dan taranum. Alhamdulillah, ana dapat membaca Al Quran tetapi berbandingnya diri ini dengan sahabiyah yang lain, terasa diri ini terlalu kerdil.
Layakkah diri ini yang serba kekurangan berada di jalan tarbiyah?
Tujuan ku menulis sebegini bukan untuk meraih simpati dan membuka aib sendiri, ingin ana tekankan kepentingan mempelajari Al QURAN, jangan seperti diriku.. yang masih terkapai dalam pembacaan surat cinta itu.
Latihlah diri untuk sentiasa membaca Al Quran, simpankanlah Al quran didalam hati nescaya akan menerangi hidup dan kehidupan alam barzakh nanti

Sesungguhnya kekadang hari yang dilalui terasa payah apatahlagi dalam tempoh berubat ini, ana tidak mengerti mengapa kesan ubat begitu kuat sekali dalam diri ini. Malah, kekadang terasa penat melayan pertanyaan demi pertanyaan dari insan lain tentang keadaan diriku yang terusik sedikit akibat kesan ubat. Namun, Al Quran itu pengubat hatiku. Sejak ana mula mengenali Al Quran lah, ana mengenali apa itu menutup aurat, sejak ana mengenali Al Quran lah, ana mengenali jalan tarbiyah, dan sejak ana mengenali AL Quranlah, ana terasa lebih dekat denganNYA

Al Quran juga mengajar setiap sakit itu adalah ujian dan ujian itu adalah peluang untuk kita mendapat keampunanNYA.. Ana berharap diri ana dapat redha menerima segala ujian daripadaNYA.

Kekadang melihat sahabiyah lain yang bakal melangkah ke alam rumah tangga, diriku berasa mereka sudah siap. Ini kerana bekalan Al Quran di hati. Namun, diri ini berdoa agar mencukupkan diri dengan pengetahuan Al Quran kerana tidak ku sanggup melihat bakal mujahid dan mujahidah yang kulahirkan nanti di didik oleh orang lain kerana ibunya buta Al QURAN.. malah ku berasakan mungkin tidak ada mujahid yang sudi memandang diri ini yang kurang pengetahuan tentang Al QURAN kerana itulah syarat utama solehahnya seorang wanita.

Moga diriku terus tsabat dalam mempelajari Al Quran
Al Quran dihatiku
Wallahualam





Saturday, April 3, 2010

Serahkan hatimu pada ALLAH, nescaya akan diserahkanNYA kepada pemilik terbaik =)


Bismillahirrahmanirrahim...
" Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara : Kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkanmu." (Riwayat Muslim)
Assalamualaikum wbt...

Aku bukanlah seorang wanita yang memiliki harta bertimbun, bukan juga seorang yang mempunyai paras wajah yang anggun jelita bak bidadari, jauh sekali bersusur galurkan keturunan yang dihormati dan disegani. Apa yang ada pada diriku hanyalah agama yang menjadi pegangan dan panduan hidup untuk aku terus gah berdiri di muka bumi Allah ini. Maka milikilah hatiku dengan izin Allah, milikilah cintaku keranaNya, milikilah diriku kerana agamaNya dan milikilah jiwaku keranaNya.

Tidak pernah dan tidak sekali pun aku kisah siapa sahaja yang mahu berkawan dengan ku baik perempuan mahupun lelaki. Apa yang penting bagiku asalkan dia tahu batasnya ikhtilat terutama jika dia seorang lelaki. Tetapi aku kisah jika dia seorang lelaki yang terus-terusan meluahkan perasaan cintanya kepadaku tanpa melalui orang perantaraan yang aku percayai. Kerana aku tidak yakin lelaki sebegini mampu menjadi pemimpinku dalam perjalanan panjang mencari dan meraih redhaNya. Cintaku tidak semurah itu! Biarlah dia sehebat mana sekalipun tetapi aku tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal ini. Bagi aku lelaki sebegini kurang mujahadahnya dalam mengawal perasaan cintanya walaupun dia seorang yang hebat dari segi dakwah. Dimana hilangnya sensitivitinya terhadap agama dalam hal sebegini yang berkait rapat dengan kerajaan diri iaitu hati? sedangkan hati perlu dijaga kerana disitu letaknya segala kemuliaan. Cukuplah sekadar berkawan denganku sehingga tiba masa yang ditetapkanNya. Saat itu pasti tiba!

Kerap sekali soalan siapa mujahid pilihanku dilontarkan oleh sahabat2 seperjuangan ku dulu. Usahlah ditanya kerana itu menjadi asrar qalbi. Cuma ingin aku tegaskan aku tidak menginginkan lelaki yang hebat di pentas dunia, bukan juga yang namanya sering meniti di setiap bibir gadis-gadis kerana ketampanan dan kepimpinannya yang menyerlah tetapi, aku lebih memilih dia yang penuh dengan kerendahan hati, yang bangunnya disepertiga malam menemui Sang Kekasih dengan hati yang sarat dengan kerinduan dan kecintaan kepadaNya. Hidupnya sentiasa dalam halaqah, yang ditarbiyah dan istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Biarlah dia tidak dikenali oleh sesiapapun asalkan namanya menjadi sebutan di langit Ilahi dan dirindui para bidadari syurga. Yang ku harapkan bukanlah putera berharta tapi yang diimpi biarlah putera agama. Bukanlah aku mengharapkan yang sempurna kerana aku juga serikandi dengan silam yang kelam.

Walaupun adakalanya hati ini terasa lelah dan penat kerana kerap teruji dengan cinta lelaki, ku cuba juga sedaya upaya mungkin menepis cinta yang tak halal buatku. Ku hargai perasaan setiap insan yang datang padaku tetapi aku tetap dengan prinsipku cinta untuk seorang suami takkan ku kongsi!. Kalian lebih mulia berbanding diriku yang hanya insan hina yang cuba meraih redha dimataNya. Tetapi aku tidak boleh menerima kalian memandangkan hati ini tidak bersedia untuk menerima sesiapa. Bukanlah niatku untuk menyakiti hati sesiapapun, malah aku cukup merasa serba salah bila orang kecewa dan patah hati keranaku. Ketahuilah aku cuma kasihankan kaummu wahai adam kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda
"Tidak ada fitnah terbesar buat seorang lelaki di akhir zaman melainkan seorang wanita"
Aku takut tergolong dalam golongan yang menjadi fitnah kepada lelaki. Aku tidak mahu melalaikan seorang lelaki yang bakal menjadi mujahid agama. Betapa berdosanya diriku jika aku menjadi punca kejatuhan mereka.

Kepada insan yang pernah ku katakan diriku sudah bertunang dan mempunyai pilihan sendiri, ya memang benar. Aku mempunyai pilihan ku sendiri, dan sudah pun bertunang. Aku bertunang dengan study dan gerak kerja ku dan pilihan ku adalah "dia" yang Allah takdirkan buatku. Dalam usiaku ini aku tidak mahu tertipu dengan cinta palsu yang boleh mengundang padah pada keberkatan rumah tanggaku kelak. Ku petik sedikit kata2 Dr Nazri yang bercinta sebelum kahwin dan sering keluar bersama dengan teman wanitanya dalam buku Dr Farhan Hadi-Denyut Kasih Medik :
" Kena jaga hubungan dengan tunang. Saya rasa macam tak berkat aje lepas kahwin. Hati jadi susah. Rasa selalu curiga. Bila dia keluar aje terus rasa tak sedap hati. Kalau sebelum kahwin dah berani keluar dengan saya, sekarang ni pun mestilah berani keluar dengan lelaki lain. Curiga ni susah nak hilang. Rasa menyesal pula tak pilih yang baik dan solehah,"
Inilah yang cukup aku takuti. Benarlah, dosa semalam menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya!
Sememangnya jatuh cinta itu bukanlah sesuatu yang salah kerana ianya fitrah dan merupakan hadiah dari Sang Pencipta. Tetapi manusia sering kali terlupa dan leka, mereka terlalu taksub dengan hadiah yang diberi sehingga terlupa untuk berterima kasih pada Sang Pemberi Hadiah itu. Oleh itu hati ini kuserahkan padaNya, biarlah Dia yang menentukan kepada siapa yang layak memilikinya..wallahualam..



Monologku: Syukran ya ukhti tercinta Surianah Yahya.. penulisan yang cukup dekat dengan diri ana.. luahanmu sama seperti luahanku..

Serahkan hati mu pada ALLAH, nescaya akan diserahkanNYA kepada pemilik yang terbaik

Milikilah hatiku dengan izin ALLAH, milikilah cintaku kerana cintaNYA, milikilah diriku kerana agamaNYA, milikilah jiwaku keranaNYA

Friday, April 2, 2010

Nurse Muslimah


Bismillahirahmanirahim
SubhanALLAH, Alhamdulillah, ALLAHhuakhbar!

Ana telah kembali.. kembali ke kolej.. setelah sebulan berjuang di medan posting terakhir. Posting sudah berakhir, tinggal kini hanya debaran menanti FINAL PROFESIONAL EXAM.. YA ALLAH, ENGKAU permudahkanlah segala urusan kami. Usaha, Doa, dan tawakal.. itulah senjata rahsia kepada sebuah kejayaan
Menjadi nurse atau seorang jururawat sememangnya cita cita ana dari kecil. Jika di tanya oleh guruku, sudah pasti ana begitu cepat menjawab, "Saya nak jadi nurse, cikgu"

Kenapa ana bercita cita hendak menjadi seorang jururawat. Jika waktu kecil dahulu, mudah sahaja jawapan yang diberikan"Nurse semua cantik cantik dan baik serta lemah lembut cikgu, saya nak jadi macam itu"

Lucu rasanya mengimbau kembali telatah diri ini. Namun kini ana punya jawapan yang amat pasti. ALLAH ITU MAHA BERKEHENDAK.. setiap individu mempunyai peranannya sendiri di bumi ALLAH ini, maka sekiranya sudah kehendakNYA, ASIAH YUSRO menjadi seorang NURSE, maka walau apapun halangannya.. insyaALLAH.. ana akan jadi nurse =)

Namun kekadang rasa sedih di hati, melihat senario bidang kejururawatan di Malaysia. Terutama dari segi pakaian seorang jururawat itu sendiri. Penutupan aurat yang tidak sempurna. Malah, ada yang mengharamkan pemakaian tudung dan juga handsock!
Alasan yang diberi, takut menjadi punca jangkitan. Adakah hanya tudung dan handsock sahaja yang menjadi sumber jangkitan, sedangkan jangkitan kuman lebih banyak disebabkan oleh punca lain.


Jururawat merupakan tugas yang amat mulia. Apatahlagi sekiranya dilakukan dengan hati yang benar benar ikhlas. Namun, pekerjaan itu akan lebih berkat sekiranya dilengkapi dengan penutupan aurat yang sempurna. Kenapa kita perlu melanggar hukum ALLAH kerana takut pada jangkitan kuman? Sedangkan kuman itu sendiri adalah milik ALLAH...

Penutupan aurat yang sempurna memuliakan wanita. Kerana didalam ISLAM, wanita itu adalah perhiasan dunia yang paling berharga. Maka, sudah semestinya sentiasa dijaga dengan rapi. Ana mengakui bahawa diri ini adalah terlalu terlambat untuk memahami tentang aurat. Namun, ana yakin bahawa ALLAH itu MAHA PENGAMPUN, pintu taubat sentiasa terbuka..

Tentu lebih indah lagi apabila "nurse muslimah" ini jika sudah mempunyai uniform yang menutup aurat sepenuhnya, ditambah lagi dengan kesolehan diri. Sudah tentu,"Nurse Muslimah" ini tidak lagho untuk menghias diri dengan bermake up tebal, cuma cukup air wudhu' sebagai penyeri wajah. "Nurse muslimah" juga ikhlas dalam memberi penjagaan kepada pesakit pesakitnya. Selain itu, dia juga sentiasa istiqomah dalam mentarbiyah pesakit sekaligus meneruskan dirinya ditarbiyah. Apatah lagi "nurse muslimah" ini tidak akan membuang masa untuk ghibah atau berborak perkara yang tidak berfaedah. Di hatinya, menjadi seorang jururawat itu adalah untuk mendapat keredhaanNYA sekaligus menjadi ruang medan dakwah kerana jururawat itu paling dekat dengan masyarakat ;)

MasyaALLAH.. baru terasa ada kepuasan dalam penulisan kali ini, kerana apa yang tertaip di skrin ini, sememangnya datang dari hati ana. Moga ana sentiasa diberi hidayah dan taufiq untuk menulis.

Terima kasih pada sahabiyah yang sudi memberi "award" kepada blog ini. Namun, apa yang penting, biarlah kita mendapat "award" yang sebenar iaitu blog ini menjadi saksi perjuangan kita sebagai muslimat tarbiyah di padang masyar nanti

Kepada jururawat jururawat muslimah, mari kita sama sama berjuang.. memperjuangkan uniform jururawat yang menutup aurat sepenuhnya.. Jadilah jururawat dan bakal jururawat yang disayangi ALLAH =)

Amin



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...